July 14, 2012

Tinggal Kenangan...

Hi peeps!

Keadaan sudah kembali seperti sediakala kerana yang hidup harus meneruskan hidup ini dan aku yang tidak ada anak yang bersekolah untuk dilayan, telah tinggal lama di rumah Emak.

Malam pertama tahlil tu, aku memang tak tahu apa-apa....semua Lela yang urus, Makan pun aku belum berselera lagi walau aku terdengar orang sibuk mengatakan 'Bakso' yang dibuat oleh Lela itu kalau dijual memang laku.

Malam kedua, kami cadang nak masak Roti Jala dengan Dalca Daging. Aku di meja dapur mengarah Lela menyimpan sahaja air teh yang tidak diminum itu ke dalam peti sejuk kerana kami mahu menggunakan tempat di dapur itu untuk menyediakan bahan-bahan memasak Dalca.

Tiba-tiba....tengahari itu, bekalan air pula teputus. Maka kami terpaksa mengangkut air tadahan dari depan rumah untuk kerja-kerja memasak.

Aku tonggang tonggek mencari bahan-bahan dari dalam peti sejuk untuk dijadikan lauk makan tengahari bila aku terpandang sebotol air yang menyerupai air teh. Aku teringat pula, tadi aku ada mengarah Lela menyimpan air teh ke dalam peti sejuk.

"Kalau dah sejuk karang, tak sempat kita minum....tau-tau dah tinggal botol aje," kata Lela.

Oleh kerana aku yang duduk di dapur itu sejak pagi tadi, maka air yang di dalam botol yang tersimpan itu, ku sangkakan adalah air teh yang dimaksudkan. Aku buka penutupnya dan ku gogop dengan rakusnya. Tiba-tiba..... YUCK! Air apa ni? Tak ada rasa teh langsung malah pahit pula.

"Laaaa....itu kan air Tongkat Ali?" tegur Lela melihat aku yang sudah minum dekat setengah botol, kot? Gilalah!

Memang aku tetiba jadi kuat menyerupai Badang.

....jamuan Nasi Ambeng...


"Uda nak pergi cas bateri kejap," ujar Uda menarik diri setelah kepenatan setengah hari di dapur. Kali ini Uda dapat lepas lama tinggal di rumah Emak.

Lela juga aku lihat sempat melelapkan mata di tepi dinding ruang tamu tengahari itu, tetapi aku memang tahan. Tidak terasa letih langsung membuat kerja sendirian di dapur akibat 'terminum' perahan air Tongkat Ali, milik Zahar.

Malam itu juga aku tidak menjamah apa yang dimasak, entah kenapa. Tapi waktu tengaharinya aku sempat makan Kerabu Daun Selom yang ku buat. Lela sengaja membeli bahan itu lagi kerana semasa kenduri pada 3 Jun lalu, aku tidak dapat menjamahnya kerana telah pulang sebelum sempat menunggu majlis malam itu.

Ngah sudah berangkat pulang ke KK kerana ibu mertuanya pula diberitakan telah jatuh di bilik mandi dan tidak sedarkan diri. Dia dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sana dalam keadaan koma. Ngah menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Senai di Johor Bahru dihantar oleh Jude dan keluarganya. Maka malam tahlil kedua itu, tinggal kami berempat beradik sahaja.



Seronok pula tinggal adik beradik sahaja kerana sudah lama tidak dapat berbuat begitu. Sedikit terkilan kerana perkara itu berlaku bila Emak pula sudah tiada. Jika semasa hayatnya kami dapat lama tinggal bergurau senda bekerja bersama-sama, sudah tentu Emak sangat gembira. Tapi apakan daya....semua itu kehendak Ilahi, DIA yang mengatur pertemuan itu semula, entah apa hikmahnya, wallahualam.


Malam ketiga, kami buat Nasi Ambeng. Bagusnya...kami tidak perlu menggunakan banyak pinggan. Nasi Ambeng ini dijamu di dalam dulang dan makan berempat sedulang. Aku suka cara itu. satu ketika dulu semasa menyambut perayaan Maulidur Rasul, selepas berarak kami akan dijamu dengan nasi yang diletakkan di dalam dulang dan makan berempat di Masjid Jamek daerah Kluang bersebelahan dengan Sekolah Menengah Tinggi Kluang itu.

Malam itu selera ku datang kerana makan sedulang dengan Jude dan Jijah. Dia tarik sikit, aku tarik sikit...lama-lama habis sedulang tidak perasan dek kami. Ketika itu aku teringat, waktu Emak memelihara kami empat beradik perempuan dan anak saudaranya, iaitu sepupuku itu juga berempat adik beradik perempuannya serumah....bagaimana seleranya kami makan walau hanya berlaukan masakan kampung sahaja. Emak pula bukan jenis yang suka makan dengan satu lauk sahaja, dia akan mempelbagaikan apa yang ada di rumah. Walau lauknya simple-simple sahaja, namun penuh satu meja dan Emak pula bukan orang yang lokek dalam menjamu tetamunya.



Bahagia....itulah yang dapat ku katakan selama berkampung di rumah Emak. Malam ketiga itu pula, Uda dijemput pulang oleh anaknya. Maka tinggallahah aku dan adik bongsuku sahaja. Ngah datang lagi bila ibu mertuanya sama pulang ke pangkuan Ilahi pada hari Jumaat, tiga hari selepas Emak. Jadi, pada kenduri hari ketujuh dan terakhir itu, Ngah ada bersama kecuali Uda.

Aku yang bercadang untuk pulang menumpang Ngah hingga sampai ke Nilai itu membatalkan niat kerana masih mau berpoya-poya dan berjimba-jimba dengan Lela di rumah Emak mengingati setiap detik dan ketika. Bila lagi jika tidak ku ambil kesempatan itu di waktu itu?

Kini...kenangan tinggal kenangan, rumah Emak tidak akan dibiarkan usang kerana Lela dan keluarganya telah mengambil alih dan akan terus tinggal di situ sebagai tempat perhentian kami jika pulang ke Kluang nanti untuk menziarah pusara Ayah dan Emak.........

Junie Octovian: Mati itu pasti...........


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...