July 10, 2012

Emak (iii)

Sepanjang menjaga Emak di wad Hospital Baru Daerah Kluang itu, kami seakan berkenduri setiap petang.
Jude datang sekeluarga dengan bekalan mereka, siap dengan minum petang.




Jijah yang baru berjinak-jinak dengan kerja-kerja membuat pelbagai jenis roti itu pula membawa segala jenis dan rupa roti yang baru dipelajarinya.


...yang ini memang Tipuware....

Lela sepertibiasa akan datang dengan bekalan tengahari untukku. Ada Pucuk Paku Masak Lemak dan Sambal Tumis Sotong Kembang dan kekadang lauk Asam Rebus Ikan Pelaling dengan Nanas lauk kegemaran Emak, sekaligus lauk kegemaran Ngah juga.


Sehingga satu petang itu, ada yang membawa bekal Serawa Durian, bila penutup (mind you Tupperware ye bukan Tipuware) itu dibuka, masya-Allah....semerbak baunya menyengat hidung kami di dalam bilik nombor 17 itu. Terpaksa pula Azemi, suami Jude membukakan tingkap-tingkap untuk mengeluarkan bau yang haru itu. Sehingga Lempeng Pekak yang dibawa ke bilik yang bernombor 17 itu juga menjadi sedap kepada anak-anak yang sama berkumpul setiap petang itu.


...sebahagian tamu Emak...


Entahlah....tak ada rupa menjaga Emak yang sakit pun? Kami pula mengambil kesempatan dapat berkumpul sebegitu sekali tak sekala dengan memeriahkan suasana sambil menjaga Emak. Setiap apa yang disebut dan didingini oleh Emak selama beberapa hari dia berada di katil wad itu, akan dipenuhi walaupun hanya disapukan di bibirnya sahaja.


....cucu Emak. Iqbal dtg sejauh KK....

..Iqbal & The Teachers....


The Sisters.....


....with The Beloved Emak....


The Reds & The Coach....

Emak tidak dapat makan sendiri, kerongkongnya sudah tidak dapat menelan dan saluran tiub yang dipasang terus ke perut menerusi hidung itu hanya mampu memberi dia minum susu Ensure yang disarankan oleh Dietician yang memantau perkembangan Emak setiap 3 jam sekali.

Akhirnya, kami anak-anak juga diajar bagaimana untuk memberi Emak minum susu menerusi tiub itu jika Emak dibenarkan pulang nanti. Cara-cara penjagaan yang betul juga diajar oleh Sister Mary, yang ramah dan kalau dia seorang yang beragama Islam, sudah pasti dia memperoleh pahala yang berterusan di akhirat nanti di atas ilmu yang diturunkan kepada kami.

Aku yang baru mahu melunjurkan kaki pada pagi Jumaat setelah melihat Emak dapat melelapkan mata itu, menoleh bila pintu bilik itu ditolak oleh Jururawat Noriyah yang bertugas.

"Masa untuk minum susu," katanya.

Aku bangun merapati katil Emak. "Dia baru nak tidur...semalam tak dapat tidur, kebas sampai ke pinggang," aku memberitahu misi itu apa yang disampaikan oleh Emak semasa aku mengambil alih menjaganya pagi Jumaat itu.

"Mak cik Nong...minum susu..." kejutnya lembut macam mengejut seorang bayi pula.

Emak tidak memberikan respons kali ini.

Nina mengurut dada Emak sambil memanggilnya perlahan. "Emak....minum susu."

Aku sama memanggil dengan berlagunya, "....maaaaaaakkk!!"

Jururawat Noriyah cepat keluar memanggil doktor bertugas pagi itu. Bila doktor masuk bersamanya, kami diarahkan keluar. Aku cemas...aku arah Nina untuk menyampaikan berita kepada Ngah dan Lela di rumah. Aku sendiri menghantar SMS kepada Jude dan Uda memberitahu mereka Emak sudah tidak lagi mahu bercakap seperti hari-hari yang lepas.........

~bersambung~



2 comments:

  1. Sedih baca mak andak..raya ni blk Kluang jgk

    ReplyDelete
  2. Mak andak memang balik sebab dah janji. Walau atok dah tak ada....tapi mak andak akan bawak anak-anak menziarahi kuburnya.
    Kalau adik sudi, boleh join sama sebab rasanya ayah pun balik juga.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...