November 27, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 7

BUNYI DERUAN KERETA yang masuk perlahan ke perkarangan rumah Mak Melah itu menarik perhatianku. Ada kaum kerabat Mak Melah yang datang barangkali...atau teman lelaki Kak Lina yang ku dengar khabar sudahpun masuk meminang dan bakal bertunang masa cuti Deepavali nanti. Patutlah Mak Melah beria-ia membuat kuih bakar pandan untuk minum petang mereka.

Aku yang sudah mula menapak untuk masuk ke dalam rumah berpusing memandang. Namun kereta itu terus juga bergerak perlahan menghala ke arah rumahku. Bukan nak mencari keluarga Mak Melah ke? Bukan teman lelaki Kak Lina ke? Atau mungkinkah cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah teknik itu yang mahu bertanya mencari rumah sewa?

Eh? Kalau nak tumpang bertanya pun tak payahlah sampai masuk ke sini, desis hatiku. Bimbang juga ni sebab aku kan tinggal sendirian? Tentu rumah Mak Melah tadi sudah bertutup pintu dan tingkapnya sebab itulah dia orang sampai masuk ke mari. Laman rumahku itu memang tidak pernah dijejaki kereta sebelum ini...tetapi semasa emak meninggal memang mati rumput dekat situ kena lanyak dengan orang ramai yang datang menguruskan jenazahnya. Aku macam dah nak lari masuk ke dalam tetapi bimbang orang di dalam kereta itu nanti terpandang aku dalam ketakutan...maka aku beranikan diri tercegat menunggu di situ dengan penyapu.

Cermin sebelah pemandu itu diturunkan dan aku nampak wajah pak cik Taufik yang tersenyum memandangku.

"Emak kan dah tak ada...nak cari siapa lagi?" aku bersuara garang. Memang tahap kurang ajarlah kalau orang yang tidak tahu sejarah hidup kami itu mendengarnya.

"Ayah tau emak dah tak ada...ayah yang menguruskan pengkebumian dia. Itu sebab ayah datang lagi untuk tengok Siti pula."  Pak cik Taufik masih lembut berbicara.

Memang semasa emak dilapurkan sakit tiba-tiba, pak cik Taufik yang menghantarnya ke hospital dari warung Mak Minah pagi itu. Emak dikatakan asyik memegang dadanya sahaja...macam orang sesak nafas. Kebetulan pak cik Taufik datang untuk bersarapan sebelum ke pejabat.

Hanya beberapa jam dimasukkan ke wad, emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku cuma mendapat berita emak sudah meninggal dan mereka mahu kebumikan emak secepat mungkin sebelum waktu Asar. Mana sempat aku nak balik waktu itu? Aku sampai ketika mentari sudah berada di ufuk Barat, ketika itu orang semua sudah berdedai pulang dari tanah perkuburan. Apa yang aku nak cakap? Apa lagi tindakan yang perlu aku buat?

Orang di sebelah tempat duduk pemandu itu langsung tidak keluar menjengukkan mukanya Aku main jeling-jeling aje. "Rumah Siti tak ada letriklah pak cik, nak ajak masuk kang tak selesa pulak," aku beritahu dengan merendah dirinya.

"Jom tinggal dengan ayah ajelah...di bandar tu senang sikit...semua kemudahan ada." Pak cik Taufik mempelawa aku.

"Dulu emak pernah pesan...jangan biarkan rumah ni kosong. Itu sebab Siti balik tinggal sini...lagipun Siti dah biasa dengan keadaan macam ni." Macam tu aku jawab, menolak pelawaan pak cik Taufik. Gila! Ada dia nak suruh aku tinggal serumah dengan abang Mus tu? Memanglah kami adik beradik berlainan ibu, tapi malu aku tu nak diletak di mana? Orang lelaki lainlah...senang bagi mereka untuk beralih arah. Yang dah kahwin pun boleh sempat cari lain...inikan pula yang sedang bercinta.

"Ayah tahu...emak dah cerita pada ayah segala-galanya. Tapi sementara ayah bina rumah yang baru menggantikan rumah lama ni, baik Siti tinggal dulu dengan ayah."

Emak sudah menceritakan segala-galanya? Cerita apa? Aku renung wajah pak cik Taufik. Mengapa semasa aku berkenalan dengan abang Mus dulu aku tak terfikir kami berkongsi ayah yang sama? Sheikh Mohd Taufik, itu nama bapa kami...tapi emak cakap ayahku meninggal akibat retak tulang belakang jatuh dari pokok kelapa kerana mencari daun muda untuk dijadikan sarung ketupat. Mana emak dapat idea yang begitu tragis sekali?

"Siti Nasuha!" suara pak cik Taufik mengejutkan aku dari lamunan.

Aku pandang wajahnya dan kemudian mengerling orang di dalam kereta. Entah mengapa, aku masih belum dapat hendak memanggilnya ayah walau telah berulangkali dia membahasakan dirinya begitu.

"Pergi masuk ambil kain baju...ikut ayah ke bandar malam ni juga." Perintahnya.

"Siti segan dengan orang tu..." ucapku perlahan. Aku pasti dia tidak mendengarnya kerana cermin dan pintu kereta bertutup rapat. Enjin juga masih belum dimatikan.

"Itukan abang Siti..." ujar pak cik Taufik pula kerana dia tidak tahu kami pernah menjalinkan hubungan. "...apa nak dimalukan?" tambah pak cik Taufik sambil sama merenung orang yang di dalam kereta itu. "Lagipun dia dah nak balik ke UK semula. Dia nak sambung buat Master dan kalau ada tawaran kerja dia nak tinggal terus di sana." 

Aku renung lagi wajah pak cik Taufik. Senangnya? Boleh dia nak biarkan anak tunggal lelakinya itu bermastautin di sana? Tapi kalau fikir balik, bagus juga. Tak payahlah aku nak melarikan muka setiap kali terjumpa dengannya. Mungkin dia juga sama malu mahu memandang wajahku yang kini wajib mengaku adik pula. Hisy! Entah apa-apa aje...

~bersambung~





November 25, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 6

PETANG itu aku membersihkan keliling rumah usang nenek. Aku tidak mahu rumah itu dibiarkan tinggal macam rumah jiran-jiran yang lain bila anak mereka sudah berjaya, mereka sama ikut tinggal di kota. Aku ingat akan pesanan dan kemahuan emak agar rumah pusaka itu dibina baru dimasukkan letrik dan air untuk kemudahan sendiri. Tak usah lagi memasang getah mengambil air dari rumah Pak Yahya. Tak usah lagi menggunakan api pelita. Jika sudah ada letrik, semua peralatan boleh dibeli walau dengan cara bayaran ansuran pun.

"Anak perempuan Mak Melah yang kerja kat JB tu belikan mesin basuh dari Courts Mammoth....bayar bulan-bulan." teringat emak cakap macam tu satu hari masa aku pulang bercuti.



"Nanti Siti dah kerja, Siti belikan emak ye?" aku pujuk hati emak semasa emak mengadu akan perubahan yang berlaku sekitar daerah itu semasa ketiadaan aku. Walau baru ku tinggalkan tak sampai setahun, tetapi di situ sudah mula nak dibangunkan setesen bas baru menggantikan yang lama di tengah-tengah bandar yang menjadikan bandar itu seakan sesak pula.

Apatah lagi sekolah Teknik yang baru dibuka itu menyebabkan kemasukan orang luar ke daerah situ yang datang dengan kereta yang berbagai rupa. Emak kata mereka juga sibuk mencari rumah-rumah untuk disewa...habis rumah-rumah yang lama ditinggalkan kosong itu juga menarik perhatian mereka.

"Ala...emak pun kalau setakat bayar bulanan tu mampu juga...cuma rumah ni tak ada letrik dan Mak Melah cakap dia orang dekat Courts Mammoth tu nak tengok slip gaji." 

"Lepas SPM ni Siti terus kerjalah mak...kalau nak tunggu sampai masuk U tu, memang lambat lagilah."

"Tak usah nak beranganlah Siti...emak pun bukan terdesak sangat nak basuh guna mesin. Baju emak sorang aje pun. Cuma emak tengok Mak Melah tu dah senang sikit...masukkan kain baju kotor dalam mesin tu, letakkan sabun dan tekan aje. Bila dah berhenti, kain tu dah siap berperah, tinggal dijemur." 

"Dia ada buat demonstrasi ke mak?" aku tanya emak kerana pelik sikit. Emak selalunya memang tak ambil tahu apa-apa tentang jiran tetangga. Dia orang beli TV LCD ke...pasang Astro Beyond ke...beli peti sejuk dua pintu ke...emak tak kisah langsung. Tapi pasal kisah mesin basuh ni, dia siap tunggu sampai dijemur.

"Masa mak pergi rumah dia nak tadah air tu, dia tengah cuci baju. Mak Melah yang tunjukkan cara-caranya...itu yang emak tau." 

"Bila kamu balik Siti?" Panjang umur Mak Melah, baru teringatkan dia...sudah muncul pula.

Aku menegakkan badan dari membongkok menyapu laman tadi. Wajah tua yang sedang menapak mendekati aku dengan membawa pinggan yang berisi entah apa itu ku renung. Sihat lagi orang tua ni...sedangkan emak aku pun sudah pergi menemui Ilahi. "Balik petang semalam... Siti dah habis belajar...tunggu dihantar mengajar kat mana aje."

"Tak mintak mengajar di sini aje ke? Kan senang dah ada rumah tak payah nak menyewa," ajar Mak Melah. "...mintak mengajar di sekolah teknik tu...Siti kan ada ijazah. Rumah-rumah kosong deret sini semua cikgu-cikgu dari sekolah teknik tu dah booking nak sewa. Untung dia orang tu daripada ditinggalkan semak samun, kalau ada orang yang sewa, riuh juga. 

"Memang dalam borang tu ada Siti tulis untuk mengajar di sini, tengoklah rezeki Siti macam mana." Aku pula memberitahu...yalah...di kementerian tu aku bukan ada kabel besar yang boleh minta ke mana kita suka?

"Baguslah...sementara tu boleh bersihkan rumah ni. Sejak emak kamu tak ada sunyi benar...kalau tidak sudah tentu ada juga dapat teman Mak Melah berborak." 

Aku mencapai pinggan yang dihulur.... "Hurmmm...wanginya," kataku sambil menghidu kuih bakar pandan buatan Mak Melah. "Kak Lina ada balik ke?" tanyaku kerana nampak macam Mak Melah rajin benar membuat kuih bakar pandan untuk minum petang. Aku tahu kerana kuih itu kuih kegemaran Kak Lina. Tapi semenjak kejadian, Kak Lina tidak berapa mahu menegur aku macam dulu.


"Haah...dialah yang sibuk nak makan kuih bakar pandan ni. Jomlah ke rumah...malam ni ada anugerah AIM...boleh tengok sama-sama dari kamu tinggal sorang-sorang kat rumah tu." ajak Mak Melah ramah.

"In sha Allah..." jawabku untuk tidak menghampakan. Masakan aku mahu menebeng di rumahnya macam dulu. Tentu Kak Lina pandang aku berbulu.


Ku renung kelibat itu sehingga hilang di sebalik pintu dapur rumahnya. Untung Mak Melah...sempat dia merasa kesenangan hidup di dunia berbanding emak yang tidak sempat hendak tinggal di dalam rumah yang punya letrik pun.

Mungkin kerana emak susah hati dan banyak menanggung beban hidup sendiri, sebab itulah dia cepat menemui Ilahi. Ditambah pula dengan perangai aku yang seperti kacang lupakan kulit pada satu waktu itu menjadikan emak makan hati berulam jantung. Tapi salah siapakah sebenarnya? Mengapa mereka harus berahsia denganku?

Tiba-tiba sahaja dadaku berombak kencang bila mengenangkan berita yang menyambar gegendang telingaku hari itu....cepat-cepat aku longgokkan sampah dedaun kering dan ranting-ranting kayu itu di pangkal pokok durian yang sudah mati dipanah petir. Ku hidupkan api dan ku perhati agar dedaun dan ranting kayu itu habis dimakan api. Waktu petang begini memang bagus kalau ada bau-bau asap sikit, biar nyamuk Aedes pembawa demam Denggi itu tidak berani mendekati.

Tetapi kalau menurut kempen Perangi Denggi yang aku ikuti itu, katanya nyamuk jenis ini bukan calang-calang nyamuk. Ia tidak membiak di air keruh. Sebab itu di setiap rumah dipastikan tidak ada takungan air bersih. Kolah rumahku juga sentiasa emak bersihkan untuk mengelak nyamuk Aedes yang dikatakan tinggi citarasanya kerana mahukan air bersih untuk membiak. Malah pihak dari Jabatan Kesihatan juga ada menghantar kakitangannya ke kampung-kampung untuk membuat fogging atau semburan kabus bertujuan  untuk membunuh nyamuk Aedes dewasa yang membawa virus agar penyakit Denggi dapat dikawal daripada merebak.

Aku masih menyangkung menghadap api yang membaham rakus dedaun dan ranting kering yang rangup itu. Nampak macam tanah yang ku pijak itu sudah lama tidak disimbahi hujan. Aku memang bercadang untuk balik tinggal di rumah usang itu jika permohonanku untuk mengajar di daerah itu diterima. Aku akhirnya memilih untuk menjadi guru sahaja bila aku gagal menunjukkan prestasi yang baik di dalam SPM. Waktu itu aku merasa kecewa sungguh bila diberitahu bahawa pak cik Taufik itu sebenarnya adalah ayah kandungku. Aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Aku yang tidak pernah melawan dan membantah cakap emak itu, pada hari itu telah mengamuk seakan tidak sedarkan diri kerana aku merasa malu sungguh kerana telah mencintai abang kandungku sendiri.......

~bersambung~




November 22, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 5

PAGI itu emak mengejutku untuk solat Subuh. Oleh kerana sudah terbiasa bangun awal pagi untuk menolong emak menggoreng kuih, maka aku terus bangun dan bersila di atas katil. Tetapi aku teringat pula emak bercuti dari jualan kuihnya pada pagi itu.

"Mak, lima minit lagi boleh mak?" tanyaku yang masih mau bermalas-malas. Sejuk kot pagi-pagi tu kalau tak ada urusan memang sedap menarik selimut.

"Kalau nak mati boleh cakap tunggu lagi lima minit ke?" begitu emak mengingatkan.

Aku terus bangun bila emak mengingatkan tentang mati. Selimut ku lipat dan aku mengemas katil sebelum turun ke bilik mandi. Adoi! Memang seksa nak mandi pagi-pagi ni sebab air di dalam kolah simpanan itu amat sejuk sekali. Kami tak ada paip terus dipasang di rumah. Air diambil dari rumah Pak Yahya sebelah depan menghadap ke jalan besar. Rumah nenek ni di sebelah belakang rumah Pak Yahya. Jadi bila kami perlukan air, kami akan memasang getah dari paip dapur rumahnya. Apabila air hampir memenuhi kolah simpanan itu, aku akan berlari ke rumah Pak Yahya untuk menutupnya. Bila bil air sampai setiap bulan, kami akan bahagi dua. Tidak kiralah rumah dia atau rumah aku yang pakai lebih. Tetapi keluarga Pak Yahya memang baik, entah belah mana dia dengan arwah nenek ada kaitan, aku kurang periksa pula. Maklumlah emak aku tu bukan suka kalau aku bertanya tentang riwayat hidupnya.

Usai solat aku turun ke dapur. Di mata tangga, aku terpandang emak baru masuk dari belakang dengan menjimbit beg kertas. Surat dan kotak berisi pen semalam belum aku simpan lagi. "Mak! Mana kotak pen Siti dalam beg kertas tu?" Macam tu aku tanya emak. Mana berani aku nak cakap ada surat yang belum ku baca lagi di situ?

"Kotak pen tu ada mak letak atas tingkat buku tepi pintu. Tadi ingat nak buang aje beg ni, tapi nampak cantik pulak...tu yang mak tak jadi nak buang." Kata emak sambil meletakkan beg kertas itu di atas timbunan surat khabar lama yang dibekalkan oleh Pak Yahya untuk membungkus nasi lemak.

"Mak! Hari ni Siti nak pergi jumpa Rozi pasal urusan ke asrama tu boleh tak?" Aku tanya emak sambil menapak mendekati timbunan surat khabar untuk mengambil beg kertas itu.

"Bila?" tanya emak.

"Pagi nilah..." tengahari karang waktu orang nak memasak. Petang pula tentu emak tak beri sebab rumah Rozi di seberang sana sungai. Dia tinggal di dalam kawasan bandar.

"Jangan lama-lama...waktu pagi ni orang banyak kerja. Kamu nak pergi bersembang pula." Tegur emak.



Memang aku tahu...kalau dengan emak semua waktu pun tak kena. Cakap tengahari, dia kata waktu orang nak makan...cakap lepas Zohor, dia kata waktu orang nak berehat. Petang dah tentu tak boleh kerana nak balik ke sini nanti mentari sudah berada di ufuk Barat. Hari sudah mulai gelap...bahaya untuk melalui pokok-pokok getah yang tinggi mendongak langit. Dulu, atok nenek mahukan bidang tanah yang luas untuk mereka bercucuk tanam. Tapi bila sampai anak cucu, mereka tidak pandang itu semua kerana di bandar kecil ini tidak ada prospek bagi mereka. Oleh itu mereka sudah beralih arah ke kota-kota besar berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja yang lebih bagus dengan gaji yang lebih lumayan.

Mana ada lagi anak-anak muda kampung itu yang hendak bekerja di situ? Orang muda mana yang masih mahu tinggal di kampung menoreh getah, menyangkul dan berkebun? Daripada mereka menoreh pangkal getah lebih baik mereka jadi guru sekolah. Jadi semua yang berpelajaran, mempunyai kelulusan dan berijazah sudah berhijrah dan bekerja di bandar. Apatah lagi yang berkelulusan dalam bidang IT...mana ada tempat mereka di bandar kecil ini?

Mereka-mereka itu pula sudah membawa sekali ibu dan bapa mereka ke bandar supaya senang tinggal sebumbung, tidak payah untuk mereka berulang alik menjengah mereka di kampung. Untungnya mereka bila ibu dan bapa dapat membantu menjaga anak-anak mereka ketika mereka keluar bekerja. Sudah tentu mereka dapat bekerja dengan senang hati bila anak-anak mereka itu diletakkan di bawah penyeliaan ibu bapa sendiri. Yang tua-tua tu pun teringin juga melihat pembangunan negara. Setiap kali pilihan raya umum mereka akan keluar mengundi sama....tentu mereka rasa berhak untuk merasakan hasilnya.

Sebab itulah rumah-rumah di kampung itu sekarang ini semua sudah usang kerana ditinggalkan tanpa pemuliharaan. Pokok-pokok getahnya yang hanya beberapa batang sekeliling rumah itu terbiar tiada siapa yang menoreh susunya. Semak samun sudah mula sampai ke pinggang. Tetapi jika harga getah mula naik melambung, sudah tentu pokok yang tidak sampai sepuluh batang tadi habis dikerjakan.

"Tak payahlah..." aku cakap dengan emak bila ku raba di dalam beg kertas itu sudah tiada lagi surat di dalamnya. Tentu emak sudah buang, atau emak sengaja simpan setelah membacanya? Ingat tadi sambil berjalan menuju ke rumah Rozi bolehlah menyambung membacanya.

"Kenapa?" emak pula bertanya sambil menjengolkan kepalanya dari pintu bilik air.

"Malas pulak rasanya nak keluar ke rumah orang pagi-pagi ni...jauh pulak tu." Aku beri alasan yang munasabah.

"Kalau rasa perlu tu pergi ajelah...karang petang dah sibuk nak buat kuih pulak." Sahut emak dari dalam bilik air yang sedang mencangkung mencuci baju.

"Tak apalah mak...tak penting pun," jawabku yang sebenarnya merasa kecewa kerana tidak sempat hendak membaca surat itu semalam.

Hari ini aku akan mencari serata ruang dapur ini jika surat itu ada terlayang di mana-mana. Maka aku segera mencapai penyapu lidi. Keras kerus keras kerus serata lantai dan di bawah almari habis aku sapu namun kelibat surat itu tidak juga ku temui. Emak sudah membuangnya barangkali, fikirku.

Aku jengah dari tingkap dapur yang menghala ke lubang sampah sebelah sana rumah yang dikongsi dengan rumah Pak Yahya. Di tempat kami itu, perkhidmatan mengangkut sampah ini masih belum ada lagi. Kami di situ hanya membayar cukai tanah sahaja. Tiada cukai pintu atau cukai dari pihak Indah Water. Jadi kami orang-orang kampung yang tinggal hanya beberapa keluarga sahaja di situ terpaksa membuang sampah di dalam lubang besar yang digali oleh jentera back-hoe.

Kelihatan asap sudah mula berkepul menandakan sampah sudah siap dibakar. Bermakna kalau surat itu ada di situ, sudah tinggal abu ajelah. Aku menekur menghadap kepulan asap yang naik tinggi ke udara. Ini kalau di bandar sudah tentu kena saman.

"Apa yang kamu pandang tu?" tanya emak yang sudah siap membasuh kain.

"Tu..." aku menunjuk ke arah lubang sampah. "...pagi-pagi asap dah berkepul...siapa yang membakar sampah?" tanyaku pula tiba-tiba mahu ambil tahu.

"Emaklah tadi masa buang sampah tu. Tak kan nak mengharapkan Mak Melah dan Pak Yahya tu aje? Lambat sikit karang busuk sisa-sia makanan tu dan lalat pun cepat aje nak kerumun."

"Kalau kat Kuala Lumpur tu dah tentu kena saman mak," ujarku seolah bekerja dengan Alam Sekitar pula.


"Kuala Lumpur tu hutan batu...sini masih menghijau pokok-pokoknya. Ular sawa pun mampu jadi anakonda." Kata emak macam orang kerja dengan National Geography bunyinya.

"Nak buat sarapan apa mak?" soalku mengalih tajuk perbualan.

"Masak nasi ajelah terus...tak payah nak banyak-banyak kerja." arah emak yang sudah berada di laman menyidai kain basuhannya.

Walau tanganku sibuk mencuci beras, ingatan tetap tentang surat yang tidak sempat ku baca itu. Teringin sangat tahu akan isi kandungannya. Masakan aku hendak pergi berjumpa dengan pak cik Taufik bertanyakan padanya? Tentu sekarang ini pun dia sudah tidak akan datang lagi ke warung kerana anaknya yang meminati kuih karipap buatan emak itu sudah ke Kuala Lumpur untuk membuat persediaan belajar ke luar negeri. Tak apalah...dah tak ada rezeki, nak buat macam mana? Berkata hatiku hampa.

~bersambung ~


November 21, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 4

TIDAK tersuap nasi yang ku makan malam itu bila teringatkan waktu makan satay bersama emak untuk meraikan kejayaanku memperoleh 8A untuk PMR.

Pulang dari bandar, aku terus mengisi satay ke dalam pinggan tanpa memberitahu emak ada sepuluh cucuk diberi secara percuma dan dua biji ketupat itu disedekahkan oleh pak cik penjual satay tadi. Takut gila aku nak beritahu emak, kot dicampaknya, macam mana? Entah apa masalah emak yang tidak suka makan belanja orang, aku pun tidak tahu. Kira dosa ni aku tanggung sampai matilah...atau akan aku beritahu bila emak sudah lembut sikit hatinya nanti. Ya Allah! KAU ampunkanlah dosa hambaMU ini, dalam hatiku memanjat doa.

Aku tengok emak makan sikit-sikit aje, jadi aku pun tanyalah... "Mak! Tak makan ke? Banyak lagi ni..."

"Siti makanlah...nanti dah duduk asrama, siapa yang nak pergi belikan?" Kata emak sambil mengira duit baki dari berjimba-jimba ke bandar tadi. "Ini...emak beli dua pasang kain untuk Siti...esok emak upah kat Mak Melah suruh jahitkan baju kurung untuk Siti nak ke asrama tu." Emak menghulur bungkusan plastik kepadaku. "Siti suka tak corak kain tu?"

Aku terus menarik isi dari dalam bungkusan dan ku kirai kain yang dikatakan oleh emak itu. "Cantik tak Siti mak?" tanyaku sambil melilit kain itu ke badanku. Aku berpusing-pusing dan berjalan ke hulu ke hilir seakan model yang sedang memperagakan diri di atas pentas.

Emak senyum melihat gelagatku. "Pak cik Taufik kasi hadiah apa?" tanya emak ingin tahu kerana tadi dia sudah bertanya apa yang ku beli di dalam beg kertas yang ku jimbit.

"Haahlah...lupa pulak nak tengok." Aku terus duduk menarik beg kertas kecil itu. Ku amati isi kandungannya dan menarik kotak kecil yang berada di dalam.

"Bukaklah," pinta emak sama ingin tahu apa yang terkandung di dalamnya.

Aku membuka perlahan reben yang cantik disimpul dan kertas yang membungkusnya ada bertulis Congratulation. Cantik...sayang aku nak koyakkan begitu sahaja...maka aku membukanya dengan berhati-hati.

Emak sama memanjangkan leher hendak tahu apa isi di dalam kotak itu.

"Pen Parker mak!" ucapku gembira kerana tidak pernah seumur hidupku dapat pen semahal itu.

Emak sama senyum gembira. "Alhamdulillah!" ujar emak sambil meraup wajahnya. Aku hairan juga kerana emak tidak pula marah dengan hadiah yang diberi oleh pak cik Taufik sedangkan dia memang tidak suka kalau ada orang yang suka hendak belanja atau diberi makan percuma.

Malam itu aku tidur lewat dari emak untuk membaca surat yang disertakan di dalam beg kertas tadi. Aku tak berani nak cakap dengan emak pak cik Taufik tu ada sertakan surat sekali, aku tidak mahu dia hilang sikap ceria dan gembiranya hari itu. Sudahlah hanya kerana hendak meraikan aku, dia siap cuti satu hari bermakna esok emak tidak menghantar kuih dan nasi lemaknya ke warung. Itu sudah emak beritahu pada mamak Mydin, Pak Janggut dan Mak Minah pagi semasa menghantar jualannya.

Semenjak aku bertukar ke sekolah sesi pagi, aku siap berpakaian sekolah mengikut emak menghantar kuih. Aku disuruh tinggalkan sahaja bakul di situ kerana emak tidak mahu nanti baju sekolahku kotor kena sambal dan minyak.

Walau aku tidak banyak masa di waktu pagi untuk membantu emak mengemas rumah dan membersihkan segala pinggan mangkuk dan periuk belanga seperti dulu, namun aku masih dapat membantunya di sebelah petang. Telah aku pesan pada emak semenjak aku beralih ke sesi pagi supaya membiarkan kerja-kerja yang biasa ku lakukan itu untuk ku buat selepas balik dari sekolah nanti. Emak pun sudah mulai senang sikit kerana aku sudah pandai melakukan banyak perkara.

"Jangan tidur lambat-lambat sangat Siti," pesan emak sebelum dia masuk beradu.

"Ya mak!" jawabku sambil mengemas dan mencuci pinggan dan mangkuk yang diguna semasa menjamu satay.

Siap sahaja, aku mendekatkan lampu pelita dan membuka surat yang dikatakan pemberian dari pak cik Taufik tadi. Berderau-derau darahku kerana tidak pernah menerima surat dari sesiapa sebelum ini dan terasa sangat ingin tahu apa yang ditulis oleh lelaki itu. Tapi kenapa pak cik Taufik suruh budak lelaki itu yang menyampaikan hadiahnya? Siapakah budak lelaki itu dengannya?

Surat itu ku buka dan ku baca..........

Dear Siti,

Saya susun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kerana mengirim surat ini. First and foremost, saya kenalkan diri saya S..........

"Siti!" 


Cepat aku melipat kembali surat itu bila terdengar suara emak memanggil. Ku susupkan kembali ke dalam beg kertas tadi. Adoi! Aku gosok dada kerana terkejut. Buatnya emak dapat tangkap aku tengah baca surat tadi tentu haru dibuatnya. "Saya mak!" aku sahut panggilan emak.

"Bawakkan emak segelas air dan panadol dekat dalam beg emak tepi tingkat pinggan tu. Sakit kepala pulak...lupa mak tak boleh makan kuah kacang." 

Aku terus ke tingkat pinggan mencapai gelas dan menuangkan air dari dalam cerek atas dapur minyak tanah yang sudah suam-suam kuku itu. Beg emak yang tersangkut di tepi tingkat pinggan ku raba untuk mencari panadol. Aku kemudian bergegas menapak lima mata tangga kayu ke bilik di sebelah atas. Aku lihat emak sudah duduk bersila di atas katil.

"Ni mak," aku menghulurkan gelas yang berisi air dan mengeluarkan dua biji panadol. "Kenapa mak tiba-tiba sakit kepala?" tanyaku. Tadi semasa emak beritahu puncanya aku kelam kabut benar sehingga tidak mendengar apa yang dikatakan olehnya.

"Emak lupa...emak alah dengan kacang tanah. Tu yang terus menangkap kepala." Cerita emak setelah meneguk habis airnya.

"Mak baringlah, biar Siti picit-picitkan kepala mak," ujarku risau bila emak sakit. Dulu aku dah tengok masa nenek yang tidak pernah jatuh sakit itu tiba-tiba sakit dan terus membawa maut. Harap-harap janganlah sampai emak pun jadi macam itu sehingga harus meninggalkan aku hidup sendiri sekarang ini.

Aku selimutkan emak dan memicit kepalanya sehingga aku sendiri entah berapa kali menguap dan akhirnya tertidur di sebelah emak.


~bersambung ~






November 20, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 3

JENDELA bilik itu yang menghala ke Ufuk Barat memang tempat aku menekur melihat terbenamnya sang mentari. Cantik sungguh kejadian Allah ini...begitu ralit aku memandang sehingga azan Maghrib berkumandang, mengejutkan aku dari lamunan yang panjang. Daun tingkap ku tarik rapat dan ku kunci.

Aku menapak keluar ke bilik mandi, berwuduk untuk menunaikan rukun Islam kedua. Usai solat aku menarik Yasin dari hujung katil dan ku baca ku sedekahkan untuk ayah, nenek dan emak. Kini orang-orang yang ku sayang semua telah pergi meninggalkan aku. Pada siapa lagi tempat aku mengadu? Yang tinggal hanyalah kenangan hidup susah dan senang bersama emak yang terpahat kukuh di dalam ingatanku.

"Siti sekolah dekat sini ajelah mak."

Aku suarakan pada emak malam itu bila sudah ku fikir seribu kali untuk tidak menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh.

"Kenapa?" tanya emak garang. "...dekat sini dah ada boyfriend?"

Aduh! Jauh tersasar tembakan emak itu. aku sebenarnya tidak mahu meninggalkan dia sendirian. Siapa yang akan membantu dia membuat kerja-kerja itu semua?

"Mak ni...ke situ pulak."

Emak cepat angkat muka dari kerjanya mengelap daun pisang bila mendengar aku seakan sudah berani bersuara.

"Nanti sapa nak tolong emak buat kuih semua ni? Dekat sini pun sekolah juga...dapatlah Siti temankan emak hari-hari." Jawabku pula tanpa memandang wajahnya. Tanganku ligat menggelek karipap. Sekarang ini, setelah lebih tiga tahun berkecimpung dengan kerja-kerja membuat kuih jualan, aku sudah mengambil alih kerja membuat karipap. Memang inti dan dohnya itu masih emaklah yang memasak dan mengulinya....tapi emak sudah percaya menyerahkan kepada aku untuk membuatnya.

"Emak dah macam orang nak mati ke?" 

Ada ke situ perginya...aku tambah pening kepala. Orang cakap lain, emak jawab lain pula."Kalau Siti tak ada, emak macam mana?"

"Emak dah terima tawaran Mak Minah tu untuk memasak di warungnya...Siti tak payah risau. Orang lain semua suka bila anak mereka dapat masuk sekolah asrama, Siti pulak dah dapat tawaran tu nak ditolak." Leter emak.

Masa Mak Minah buka cerita untuk mengambil emak jadi pembantunya di warung itu, aku ada sama mendengar. Mak Minah cakap dia sudah tidak kuat lagi berdiri lama-lama jadi dia perlukan seseorang untuk membantu dia di situ. Sayang nak tutup warung tu, kata Mak Minah kerana sudah ramai pelanggannya yang menunggu setiap hari.

Dengan persetujuan emak itu, aku mati kata-kata. Bermakna emak sudah mendahului aku di dalam membuat keputusan.

"Encik Taufik kirim salam kat Siti...dia ucap tahniah." 

 Encik Taufik tu adalah pak cik yang sering membeli karipap buatan emak.

"Anak lelaki dia yang suka makan karipap tu pun tengah tunggu nak keluar negeri. Dapat ke UK, katanya...buat engineering." Tiba-tiba emak berhenti menggunting kertas yang hendak dibuat lapik daun pisang itu.

Aku sama memandang wajah emak. Kenapa?

"Tengok! Orang senang pun tak tolak tawaran. Lagilah dia kena belajar keluar negeri meninggalkan emak dan ayahnya. Ini dah dapat sibuk nak tolak...nak sangat hidup susah macam emak ni sampai tua ke?"

Aku diam tak terkata. Memanglah dia suka nak pergi luar negara sebab ayahnya ada ibu yang menjaga. Tapi kalau aku pergi, sudah tentu emak tinggal sendiri.

"Pergi aje...bukan lama sangat. Masa cuti sekolah nanti baliklah."


Aku perolehi 8A untuk keputusan PMR dan ditawar ke Sekolah Menengah Sains. Emak gembira sangat bila aku pulang memberitahu dia akan keputusan peperiksaan yang aku terima. Petang itu dia mengajak aku keluar ke bandar untuk membeli satay. Aku terharu sungguh dengan penerimaan emak. Kalau sahaja aku dapat kongsikan kegembiraan itu dengan ayah dan nenek, tentu bagus.

Emak mengarahkan aku menunggu pak cik yang sedang membakar satay untuk dibawa pulang petang itu, manakala emak pula beritahu ada barang yang hendak dibelinya. Tiba-tiba ada suara memanggil aku dari belakang.

"Siti!"

Aku menoleh ke belakang. Lelaki itu senyum dan menghulurkan sebungkus barang yang berisi di dalam beg kertas kepadaku.

"Apa ni?" tanyaku cuak. Sekarang ni jangan suka-suka nak terima barang pemberian orang, ada kemungkinan dia hendak mengenakan kita.

"Hadiah untuk awak. Tahniah kerana berjaya dapat 8A." Kata lelaki itu.

"Siapa yang beri ni?" tanya aku lagi tak puas hati. Kenapa tiba-tiba ada hadiah dari orang yang tidak aku kenali?

"Pak cik Taufik," jawab lelaki itu. "...ada surat dalam tu, baca tau?" katanya dan terus meninggalkan aku di situ.

"Ooo...nak celebratelah ni ye?" boleh tiba-tiba pak cik yang sedang membakar satay itu berkata. "Tahniah!" katanya lagi sambil membungkus satay pesanan emak sebanyak tiga puluh cucuk dan dua biji ketupat. "Pak cik kasi free sepuluh cucuk lagi sebagai hadiah." Dia menghulurkan bungkusan satay itu kepadaku.

Aku terpinga-pinga kerana tidak tahu mahu cakap apa. Takut emak marah pula kerana emak tidak suka orang belanja, bahaya katanya. Tetapi pak cik itu sudah membungkusnya sekali dengan pesanan dari emak tadi.

"Berapa pak cik?" tanyaku sambil mengira duit yang emak beri tadi. Maklumlah hasil duit kuih, jadi duitnya berbentuk dalam helaian satu ringgit.

"Secucuk tiga puluh sen...tadi emak awak cakap dia nak tiga puluh cucuk, jadi semuanya sembilan ringgit. Ketupat tu tak apalah...pak cik sedekah aje."

Free lagi? Adoi! Mati aku nak menjawab dengan emak nanti...

"Eh! Jangan takutlah...pak cik ikhlas ni. Pak cik tumpang gembira dengan kejayaan anak ni....pak cik doakan anak akan terus berjaya." Ujar pak cik itu yang melihat muka takutku bila dia nak bagi sedekah ketupat itu tadi.

"Terima kasih pak cik, saya juga doakan semoga perniagaan pak cik akan terus maju," jawabku terharu dengan rezeki yang ku peroleh petang itu. Nenek cakap rezeki ni datang dengan bermacam dan berbagai cara...bukan semata-mata duit sahaja. Jadi yang ini dianggap sebagai rezekilah juga, kan?

"Terima kasih dan sama-sama." Jawab pak cik itu setelah menerima wang kertas satu ringgit sembilan helai dariku.

Kesian pak cik tu...dia jual satay, tapi badannya kurus aje. Kalau aku jadi anak dia tentu sambil bakar tu sambil ngap agaknya...hehehe


~ bersambung ~





November 19, 2012

Mentari di Ufuk Barat ~ part 2

sambungan......

AKU mengatur langkah yang laju bila melepasi jambatan sungai yang memisahkan antara bandar dan kampung kawasan tempat tinggalku. Ramai yang tinggal sebelah kampung ini ke sekolah berbasikal, dihantar dengan motosikal ataupun menaiki bas sekolah.

Aku mana ada basikal...siapa yang hendak menghantar dengan motosikal dan naik bas sekolah tu memang jauh sekali. Jadi aku memang berjalan kaki sejak dahulu. Semasa emak belum sibuk membuat jualan kuih, dia akan menunggu aku di seberang sungai kerana di situ sedikit sunyi apatah lagi aku yang bersekolah di sebelah petang itu akan sampai di situ ketika mentari sudah sampai di ufuk Barat. Emak bimbang juga barangkali, sebab itu dia menunggu aku di situ.

"Dah habis sekolah tu, terus balik aje...jangan nak melilau sana sini. Orang lain semua ada kenderaan." Macam tu emak selalu pesan.

Tetapi semenjak dua tiga hari ini ada seorang budak lelaki berbasikal yang ada bersama aku setiap petang. Tapi dia tak pakai baju sekolah pun? Ke mana dan dari manakah budak lelaki itu? Aku meneruskan perjalanan pulangku walau di hati ingin menoleh dia yang mengekor aku dari belakang dengan berbasikal berjarak hanya sepuluh meter jauhnya itu. Selepas masuk ke simpang jalan yang menuju ke rumahku, bunyi basikal itu sudah tidak kedengaran lagi. Maka aku menoleh ke belakang dan nyata, budak lelaki itu sudah tiada lagi mengekori aku.

Malam itu seperti biasa aku akan membantu emak dengan kerja-kerja mengelim karipap. Setelah siap, emak  menyambung kerja menumis sambal tumis untuk nasi lemak pula. Dari siang tadi semasa aku ke sekolah, emak telah siap menggiling cili yang ku gunting. Sementara aku akan meneruskan dengan kerja-kerja menggentel kuih keria.

Esok paginya aku mengikut emak lagi macam biasa. Semasa aku di warung Mak Minah sedang mengatur kuih masuk ke dalam bekas, seorang pak cik yang segak berpakaian untuk ke pejabat mendekati aku.

"Kuih ini emak awak yang buat ke?" 

Aku memandang wajah yang bertanya lalu menganggukkan kepala. Bimbang juga bila tiba-tiba ada orang yang bertanya. Tak sedap ke? Ada yang tak kena ke? Emak pula di warung Pak Janggut sedang menunggu duit kuihnya.

"Anak pak cik pesan beli karipap dari warung ni sebab dia sukakan intinya."

Aku melemparkan senyum bangga. Memang emak pandai memasak inti karipap walau hanya menggunakan ubi keledek sahaja. Ada sesetengah orang menggunakan ubi kentang dan ada juga yang menggunakan sardin sebagai inti karipap. Tapi emak cakap, kentang dan sardin tu mahal, nak kena besar belanjanya. Jadi emak besarkan sikit karipap tu sebab menggunakan inti keledek sahaja.

"Hari tu pak cik dah beli kat sana..." pak cik itu menunjukkan warung Pak Janggut. "...dia tak nak sebab intinya sardin." Pak cik yang ramah itu memberitahu.

"Emak saya pun ada hantar kat warung tu," aku yang bangga tadi cuba memberitahu. "tapi kuih keria dan nasi lemak aje." Aku jadi promoter untuk memperkenalkan hasil air tangan emak.

"Oo...ni kuih keria emak awak jugalah ye?" soal pak cik itu yang sedang memasukkan karipap ke dalam plastik. "Awak ni tak sekolah ke?" tambah pak cik itu lagi kerana melihat aku dengan pakaian biasa di waktu pagi begitu.

"Saya sekolah petang pak cik."

"Rajin tolong emak...untung pak cik kalau dapat anak perempuan macam awak." Kata pak cik itu pula.

Aku hanya memandang kelibatnya yang melangkah ke depan untuk membayar harga karipap yang dibelinya tadi sehingga dia melangkah pergi. Kesian pak cik ni tiada anak perempuan barangkali atau anak perempuannya suka bangun meninggi hari? Aku bermonolog sendiri mengatur cerita dari apa yang dinyatakan oleh pak cik itu tadi.

Setelah selesai, aku beritahu emak untuk pulang. Semalam cikgu ada memberi kerja-kerja sekolah yang harus aku siapkan kerana malam semalam memang tidak larat aku hendak membuatnya. Kalau siang ni terang sikit berbanding malam yang menggunakan lampu pelita untuk menerangi rumah kami itu. Emak cakap rumah nenek tu usang sangat, jadi orang TNB tak berani nak salurkan letrik ke situ melainkan setelah dibaiki. Tapi manalah emak ada duit yang banyak untuk membaikpulih rumah nenek itu?

"Itulah....Siti kena belajar pandai-pandai. Esok dapat kerja yang baik, boleh bina rumah batu dan masukkan letrik." Macam tu emak beritahu setiap kali aku timbulkan soal letrik.

Bila ada cerita menarik di TV, Mak Melah akan beritahu. Emak malas juga nak menebeng tumpang menonton di rumahnya. Tetapi kadang-kadang tu nak ambil hati Mak Melah, emak ajak aku ke sana. Sekarang ini pula, banyak kerja yang nak kena buat waktu malam, jadi kami memang tak berkesempatan untuk tumpang menonton TV.


AKU di rumah sedang membuat kerja-kerja sekolah semasa emak pulang dari membeli barang-barang keperluan untuk membuat kuih jualannya. Kerja-kerja rumah, membasuh periuk dan kuali semua sudah ku bereskan. Tinggal menunggu untuk kerja-kerja membantu emak mengopek ikan bilis, menggunting cili kering dan juga mengopek kulit keledek yang akan dijadikan inti karipap. Bila aku membantu kerja-kerja itu, emak tinggal menyiapkannya sahaja. Tengahari nanti semasa aku ke sekolah, emak dapatlah melelapkan mata dan merehatkan badannya pula.

"Ni roti canai yang Siti nak sangat semalam." Emak mengeluarkan bungkusan roti canai dari dalam bakul. "Emak tak suka mamak Mydin tu nak beri Siti makan percuma, bahaya!" 

Macam tu aje emak kata dan aku terus tidak berani bertanya kenapa. Aku terus bangun dari menjalar di atas tikar dapur itu ke tingkat pinggan. Plastik yang berisi roti canai itu ku buka. Ada dua keping di dalamnya dan sebungkus kuah dal. Pasti yang sekeping lagi itu untuk emak, fikirku.

"Kenapa tak habiskan tu?" tanya emak yang melihat masih ada sekeping lagi berbaki di dalam pinggan.

"Itu untuk emak...Siti dah makan satu," jawabku yang sudah mulai bersila untuk mengopek ikan bilis.

"Makan jelah...Siti kan nak ke sekolah nanti? Emak ni kat rumah kang boleh je makan apa-apa yang ada. Lagipun hari ni emak ada beli sekor ayam."

Aku pandang wajah emak. Ini mesti emak dapat pulangan yang lumayan dari hasil jualannya semalam. Tapi aku tidak berani pula hendak bertanya. Selalunya emak beli ayam kalau hari nak raya tapi hari ini ada majlis dan sambutan apa?

"Esokkan harijadi Siti...emak nak masak pulut kuning dan buat rendang ayam." Emak memberitahu bila aku tidak bertanya mengapa dan kenapa.

Aku terus senyum melebar ke telinga. Sukanya hati macam tak sabar-sabar nak beritahu kawan-kawan esok harijadi aku dan emak dengan berbesar hati akan memasak pulut kuning dengan rendang ayam. Pasti akan menjadi bualan semasa ke kelas mengaji itu nanti kerana biasanya ibu-ibu akan memasak pulut kuning dan dihantar ke rumah tempat mengaji untuk dibacakan doa selamat. Adoi! Seronoknya.

` bersambung ~


November 18, 2012

Mentari di Ufuk Barat...

SELIMUT, ku tarik rapat ke dada. Cuaca Subuh itu begitu sejuk sekali seolah menggigit ke tulang hitam.  Padahal rumah kampung itu bukan ada kipas pun. Mungkin kerana kawasan kampung itu masih dipenuhi dengan pokok-pokok getah dan belum ada hutan batu yang dapat memberikan persaingan barangkali menyebabkan sekitar kampung itu sejuk sungguh menjelang pagi.

Sayup-sayup kedengaran alunan suara Bilal di surau membacakan Tarhim. Meski mata masih rapat  bertutup, telingaku mampu melayan suara lunak Bilal yang mengalunkan dengan penuh khusyuk. Diantara ayat-ayat yang dibaca di dalam Tarhimnya.......

"Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikanalah) sembahyang Subuh. Sesungguhnya sembahyang Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya). Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padaNYA, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. Ayat 78 - 79 Surah al-Isra'

Tiba-tiba....
Pintu bilik itu terus ditolak dan cahaya dari luar itu membuatkan aku sedikit silau.

"Dah! Bangun...gantikan emak goreng karipap kat dapur tu...emak nak sembahyang, dah masuk waktu."

Oo! Emak. Ingatkan aku sedang bermimpi tadi. Tapi begitulah rutin harianku. Apabila emak hendak menunaikan solat Subuhnya, dia akan datang mengejutku untuk mengambil alih tempatnya. Selepas itu baru giliran aku pula. Jadi sementara menunggu emak bersiap setelah usai solat Subuhnya, aku akan menyusun kuih-kuih masuk ke dalam bakul.

Kami harus bergerak awal untuk menghantar kuih-kuih dan nasi lemak ke warung yang berkenaan sebelum bas kilang itu bergerak menghantar pekerja-pekerja itu ke kilang-kilang. Semenjak ada kilang didirikan di daerah itu, emak mendapat tempahan kuih dan nasi lemak yang banyak dari tuan punya warung yang membuka warung berdekatan dengan setesen bas itu.

Emak suka kerana dia memperoleh wang masuk hari-hari. Tetapi berbaloi juga dengan kerjanya yang tidak berhenti dari awal pagi. Aku yang bersekolah sebelah petang mengikut emak menghantar kuih dan nasi lemak ke warung tersebut kerana mana emak mampu membawa kesemuanya itu sendirian?

Mamak Mydin tu dapat warung corner, maka puaslah dia mengatur kerusi dan meja untuk para pelanggannya. Mamak Mydin tu cuma menjual roti canai di waktu pagi, jadi segala kuih muih dan nasi lemak emak, dia mahu sahaja. Manakala sebelah tenghari dan petang dia akan menjual mee goreng dan rojak pula. Huisy! Kaya mamak Mydin tu...duit boleh buat tilam agaknya. Tapi itulah...dia bekerja keras di sini, anak bininya dikatakan masih bermastautin lagi di India sana, entah belah mana.

Manakala Pak Janggut yang membuka warungnya di corner sebelah sana pula hanya menjual segala macam air, panas dan sejuk. Pak Janggut juga mahukan kuih dan nasi lemak yang banyak. Warung Mak Minah di sebelah tengah pula ada menjual pelbagai jenis sarapan pagi, jadi dia cuma mahukan kuih-muih sahaja.

Selesai membantu emak menyusun kuih di warung Mak Minah tadi, kami terus berpecah membawa haluan. Aku akan terus pulang ke rumah. Emak pula akan terus ke pasar untuk membeli barang-barang yang diperlukan untuk membuat nasi lemak dan kuih muih untuk keesokannya pula.

Setakat nak bersarapan mewah di luar tu boleh sangat, mamak Mydin tu selalu nak beri aku roti canai free...Pak Janggut juga nak buatkan aku Milo upah penat tolong emak, katanya...tetapi emak cepat melarang dan suruh terus sahaja pulang. Banyak kerja di rumah yang perlu diuruskan, katanya. Memang pun, aku harus mengemas dapur, menyimpan segala perkakas dan peralatan yang dikeluarkan semasa kerja-kerja membungkus nasi lemak dan menggoreng segala macam jenis kuih tadi.

Ku atur langkah kecilku satu persatu. Tiada apa yang dapat membuatkan aku takut ketika itu kerana tugasan yang telah ditetapkan sejak emak mula mengambil keputusan untuk menerima pelawaan peniaga-peniaga di warung itu untuk menghantar kuih dan nasi lemak setiap pagi ke warung mereka. Mungkin juga aku tidak terdedah kepada berita-berita yang keluar saban hari dengan kes rogol barangkali. Maklumlah, rumahku itu mana ada letrik hendak beli TV dan radio? Nak beli akhbar pun berkira juga walau harganya tak mahal mana.

Aku tinggal dengan emak sahaja di rumah itu selepas nenek menghembuskan nafas terakhir tiga tahun yang lalu. Kalau ada nenek, emak tidak susah sangat mencari rezeki kerana nenek pandai mengurut orang dan mendapat upah dengan menjadi bidan di kampung itu. Emak hanya melakukan kerja-kerja rumah sambil membantu nenek menyediakan ubat-ubatan bagi orang yang dalam berpantang.

"Nanti emak upah duit belanja," kata emak yang memang berharap aku dapat membantunya.

Aku angguk. Siapa tak suka kalau diberi duit belanja setiap hari? Malah aku semakin mendoakan agar kuih-muih dan nasi lemak itu habis setiap hari, jadi banyaklah wang yang emak bakal perolehi.

"Lagipun, emak tak payah nak susah-susah sediakan sarapan," tambah emak lagi gembira kerana sejak kilang yang didirikan entah di sebelah mana daerah itu, rezeki emak ada di situ.

Aku angguk faham. Saki baki dari yang dibawa untuk dijual tadi, boleh dijadikan sarapan aku dan emak. Bukan ada sesiapa lagi di dalam rumah itu. Cukup sampai ke petang kalau emak tidak mahu masak lagi pun.

"Mak! Boleh tak belikan Siti roti canai sekeping? Siti teringinlah nak makan roti canai tu," pintaku pada emak sambil menggentel dan membentuk kuih keria malam itu.

Emak merenungku pelik. "Dah jemu makan kuih yang kat rumah ni ke?" soal emak berbunyi marah.

Aku diam. Aku memang tidak berani menjawab walau aku anak tungal emak. Emak memang tidak pernah menjamu aku dengan kemewahan. Anak tunggal ke, anak manja ke, kerja tetap kerja.

"Dah siap tu, tutup dengan saji. Lepas tu pergi tidur!"

Walau aku baru berusia dua belas tahun, aku sudah mampu membantu emak membuat kuih muih. Kalau emak menggelek karipap, aku akan isikan inti dan mengelimnya sekali. Kalau emak buat kuih keria, aku bahagian membentuk menjadi gegelangnya. Kalau emak hendak membuat sambal nasi lemak, aku bahagian mengopek bilis dan menggunting cili keringnya. Setakat menggoreng karipap dan kuih keria tu aku memang dah pass with flying colors, kata orang putih.

Emak cerewet orangnya, tak padan tinggal di dalam rumah kampung yang usang peninggalan nenek itu. Kalau menyapu bukan sahaja di lantai tetapi harus juga di dinding-dinding papan itu kerana di situ selalu terdapat sesawang lelabah. Maklumlah kami tak ramai, jadi lelabah itu pun sama tumpang tinggal dengan kami. Apatah lagi kami masih menggunakan dapur arang yang ditempatkan di dapur bahagian belakang dan dapur minyak tanah itu diigunakan di sebelah dalam untuk keperluan di waktu tengah malam atau musim hujan. Maka dapur itu juga sama menyumbang sesawang yang bukan sedikit.

Mujurlah nenek tidak menjual tanah pusaka bahagiannya, sampai sekarang ini dapat aku dan emak tumpang berteduh. Tanah itu sekarang telah menjadi milik emak pula. Kata nenek, adik beradiknya semua sudah menjual tanah bahagian mereka yang telah dibahagi-bahagikan dulu kerana mahu berpindah dan tinggal di kota pula. Anak-anak nenek yang asalnya ada lima orang itu, kata nenek mati sewaktu kecil kerana diserang polio. Lepas jajahan tentera Jepun dulu, susah nak jumpa beras walau duit ada berkarung. Terpaksalah makan ubi kayu walau nenek sedang dalam berpantang pun. Entah macam mana emak yang merupakan anak bongsu nenek itu dapat pula bertahan nyawanya hingga sekarang ini.

Dulu, semasa nenek masih ada, dia sering bercerita kisah Jepun menjajah Tanah Melayu. Bagaimana dia dan datuk dikahwinkan ketika masih berusia enam belas tahun untuk menyelamatkan nenek dari dibawa lari oleh tentera Jepun. Itu sebab kalau emak memarahi aku, nenek selalu back-up.

"Budak besar tu, kau dah suruh buat macam-macam...biarlah dia nak bermain dengan kawan-kawannya?"

Teringat nenek selalu menyebelahi aku semasa hayatnya dulu.

"Engkau ingat ni zaman emak dulu...anak perempuan tak payah ke sekolah?"

Kembang hati aku masa tu. Tapi sekarang nenek sudah tiada, aku harus mendengar cakap emak sahaja kerana tiada siapa lagi tempat aku menumpang manja. Tapi bila diingatkan....emak pun sama juga...dia juga tidak punya sesiapa tempat bermanja kerana ayah, sudah lama pergi menyahut seruan Ilahi. Masa tu aku belum sekolah lagi. Kata emak, ayah jatuh dari pokok kelapa semasa hendak mengambil daun untuk membuat sarung ketupat sebagai persiapan untuk menyambut Hari raya. Ayah patah tulang belakangnya, dia lumpuh dan terus tidak dapat bangun lagi sehingga membawa kepada ajalnya tidak lama selepas itu.

~ bersambung ~






November 17, 2012

Angah on TV...

Greetings to all.......

Semalam sambutan Maal Hijrah di Malaysia bersamaan cuti am bagi kakitangan kerajaan. Hari Selasa cuti perayaan Deepavali, Rabu kerja balik dan Khamis cuti lagi...hehehe :D

Aku Whatsapp angah di Brisbane beritahu dia jadual cuti di Malaysia ini, dia cakap dia sibuk kena sambut TPM yang akan datang melawat pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana. Oleh kerana dia sekarang ini sudah dilantik sebagai Ketua Pelajar di University of Queensland, maka dia harus berada sama menyambut kedatangan TPM dan Menteri Pelajaran Tinggi Malaysia, Dato Seri Khaled Nordin di Sheraton Mirage, Goldcoast Australia.

Jadi semalam seharian tiada Whatsapp dari angah menghantar berita dan gambar anaknya Maryam dari sana. Tiba-tiba pada jam 19.05 tu dia Whatsapp...

Hari ni makan semeja dengan TPM
Pastu TV3 dan RTM interview pulak...

Aku balas........
Nanti kita org tengok berita mlm ni....


Angah...


Malam tu kami tunggu Berita Perdana TV3 jam 8.00 malam. Sebab Angah cakap yg interview tu stesen TV3.

"Wah Angah la!" jerit Kakak yang duduk bersila di depan TV dengan Samsung S3nya merakam apa yang dicakapkan oleh abangnya.

Lepas tu mesej dan Whatsapp masuk berdedai-dedai memberitahu pasal tu. Bukan apa...dah lama tak jumpa dengan Angah...jadi famili dan sanak saudara yang berada jauh di Selatan tu gembira sungguh dapat melihat Angah di kaca TV.

Esoknya keluar disegala paper...Along anak cik Nab yang berada di Simpang Renggam dah tag aku di pesbuk dengan gambar Angah bersama pelajar-pelajar Malaysia yang bertemu dengan TPM di Goldcoast.



bertemu TPM dan Dato Seri Khaled Nordin di Sheraton Mirage...


Terima kasih Along (Norshuhada Hada). Along tu anak teman baikku semasa aku tinggal di Simpang Renggam. Dia orang lama di situ. Minta tolong apa sahaja, dia sedia membantu. Semasa aku sudah berhijrah ke Shah Alam, Angah yang bertugas di UTHM, ku jadikan sebagai wakilku di atas segala urusan di sebelah sana.

Ala...bukannya senang nak dapat bertemu muka dengan TPM kan? Itu yang menyebabkan kami jadi seronok malam itu. Makan di hotel yang berbintang-bintang kata Angah. Kemudian disahihkan oleh abang sulongnya yang pernah dihantar ke situ untuk majlis persidangan syarikatnya.

Alhamdulillah! Semua itu rezeki dari Allah. Jangan sampai lupa diri...nauzubillah!

Junie Octovian: Tuah ayam nampak di kaki...tuah manusia siapa yang tahu?



November 15, 2012

Salam Maal Hijrah 1434H...

Assalamualaikum to all........

Alhamdulillah......bertemu lagi kita di tahun baru masihi 1434 Hijrah yang membawa tema 'Wasatiyyah
Tonggak Kesatuan Ummah'





Aku pun terpening lalat kejap dengan ayat Wasatiyyah yang pertama kali muncul dalam kamus bahasa. Selama di sekolah dulu belum keluar lagi ayat tu. Maka ku rajinkan diri menggoogle maksud ayat...kang orang cerita kita sibuk nak bercerita tapi apa maksud sebenar Wasatiyyah itu kita tak tahu pula.

Maka menurut Imam Mohamed Baianonie, istilah Arab, wasat, membawa tiga makna, iaitu to be moderate, to be in the middle and to be the best. Therefore when Allah s.w.t describes the Muslim Ummah as a nation that is Wasat, Allah means that we are moderate, we are an Ummah that is in the middle and that we are the best nation. Atawasoot in an Islamic sense means that the Muslim should try his best to be moderate in all of his affairs and he should keep away from extreme practices and making extreme statements.

Firman Allah (maksudnya):

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (Umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

Perkataan al-wasatiyyah dalam bahasa Arab adalah dari perkataan al-Wasat yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Fahaman mudahku yang juga membawa maksud berpada-pada. Dulu ayah selalu mengingatkan aku agar baik berpada-pada, jangan sampai kena pijak kepala, jangan sampai bertunggu tangga nanti buruk padahnya (should keep away from extreme practices). Ayah memang tidak menggalakkan kami anak-anaknya yang sudah berkeluarga tinggal sebumbung dengannya untuk mengelak sengketa.

Emak kata: Biar banyak periuk, jangan ramai seperiuk. Aku faham maksud mereka itu kerana manusia ni  rambutnya sama hitam tetapi hati lain-lain. Itu semua adalah untuk menjaga dari berlakunya terguris hati dan tersinggung perasaan di dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

Di sini aku tekankan maksud ayat itu mengikut di dalam pentadbiran keluarga, jika ditekankan ke dalam konteks seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, tentu maksudnya lebih besar dan mendalam lagi. Maka itu untuk memulai tahun baru 1434 Hijrah ini, sama-samalah kita hayati maksud Wasatiyyah yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan dalam membentuk Ummah yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Wallahualam.

Junie Octovian: Biar rebah jangan berubah...biar terbuang terus berjuang!





November 12, 2012

Sekadar Peringatan...

Assalamualaikum to all........

Sumber ini ku petik dari SINI. Tiba-tiba hari ini terasa nak update N3 dengan pelajaran ini pula. Suka ku kongsikan dengan pembaca sekalian untuk dijadikan peringatan. Semoga kita dapat menilai diri kita sendiri, adakah kita merupakan wanita-wanita yang disenaraikan di bawah ini? Nauzubillah.

6 JENIS PEREMPUAN YANG WAJIB DIJAUHI...

Lelaki digalakkan untuk mencari isteri solehah. Tetapi, jauhilah jenis perempuan-perempuan di bawah untuk dijadikan isteri, nescaya kamu akan bahagia:

1.  Al-Anaanah: Banyak keluh kesah. Diberi rumah tidak cukup, diberi motor tidak cukup, diberi kereta tidak cukup...tidak redha dengan penberian yang diberi suami. Asyik ingin memenuhi kehendak nafsu dia sahaja tanpa menghiraukan perasaan suami. Tidak ada perasaan hormat pada suami apalagi berterima kasih pada suami. Bukannya hendak menolong, malah apa yang diberi pun tidak pernah merasa puas.

2. Al-Manaanah: Suka mengungkit. Kalau suami melakukan perkara yang dia tidak berkenan, maka akan diungkit segala hal tentang suaminya itu. Sangat mudah hendak membicarakan perihal suami. Tidak mengenang budi, tidak bertanggungjawab, tidak sayang dan macam-macam lagi walaupun suaminya sudah memberikan perlindungan padanya.

3. Al-Hunaanah: Ingin kepada suami yang lain atau berkenan kepada lelaki yang lain. Sangat suka membanding-bandingkan suaminya dengan suami/lelaki lain. Tidak redha dengan suami yang ada.

4. Al-Hudaaqah: Suka memaksa. Bila hendak sesuatu maka dipaksa suami untuk melakukannya. Tidak kira masa, asyik menekan suaminya sahaja. Adakalanya dengan berbagai ancaman. Ingin lari, ingin bunuh diri dan ingin buat malu suami. Suami dibuat seperti orang suruhannya, bukan sebagai pemimpinnya. Yang dipentingkan adalah kehendak dia sahaja.

5. Al-Hulaaqah: Sibuk bersolek atau tidur atau santai-santai hingga lali dengan ibadah-ibadah asas seperti solat berjemaah, wirid zikir, mengurus rumahtangga dan berkasih sayang dengan anak-anak.

6. As-Salaaqah: Banyak bergosip. Tidak kira pagi petang, siang malam asyik bergosip. Apa saja yang suami kerjakan selalu tidak benar di matanya. Di zaman sekarang ini bergosip bukan sahaja berbicara di depan suami, tetapi menerusi telefon juga. Melalui SMS, internet dan macam-macam cara yang lain. Yang jelas, isteri itu asyik menyusahkan suami dengan kata-katanya yang menyakitkan.

Oleh itu, kaum Hawa, berhati-hati dengan sikap anda. Seperti kata orang-orang tua, wajah yang buruk itu pemberian Allah, kita manusia tidak dapat mengubahnya. Namun perangai dan sikap yang buruk itu boleh diubah jika individu itu berusaha untuk ke arah kebaikan, In shaa Allah.



Junie Octovian: A successful marriage requires falling in love many times, always with the same person ~ Mignon McLaughlin.



November 1, 2012

Alhamdulillah...

Greetings to all.....

Aku senyum sepanjang hari ini kerana tidak tersangka manuskrip yang ku hantar baru-baru ini terus diterima.

Pandai mama tulis, tak reject langsung. Aku Whatsapp Angah. Puji diri melambung-lambung. Sebab Editor tu pernah beritahu dia akan reject manuskrip yang tidak bersesuaian dengan citarasa pembaca. Bermakna kalau kita sabar, kita akan baiki apa yang perlu tetapi jika kita cepat mengalah, maka penulisan kita akan berakhir di situ.

Alhamdulillah. Balasnya dari seberang sana.

Alhamdulillah, aku sama mengucapnya dalam hati. Sampai juga hajatku agar namaku ada sebaris dengan novelis-novelis yang bukunya memenuhi ruang koleksiku. Nak setanding dengan JK Rowlings tu memang tidaklah....

Sekurang-kurangnya aku ada buku dengan nama aku sendiri...hehehe :) Kisah semalam masih berlegar di minda, macam mana anak muda itu boleh mengeluarkan kata-kata yang dahsyat menusuk jiwa? Cis! Bak kata orang, 'cakap tak serupa bikin'. Kalau dia pernah mengeluarkan novel-novel seperti yang dimaksudkan dan meletop di pasaran, aku mungkin tidak hairan. Ini dia hanya meluahkan rasa kebenciannya kepada penulis-penulis novel wanita yang menghasilkan novel-novel cinta ilusi, katanya.

"Kenapa tak nak buat conflict intrapersonal yang lebih dalam dekat situ? Sebab apa, sebab novelis cinta Melayu pemalas. Semuanya convenient, come in handy, tak payah berusaha."

Hamboi! Enaknya dia berkata-kata. Tak pandang kiri dan kanan pun, mengalahkan ADUN yang merebut kerusi di Parlimen gamaknya.

Tahukah dia untuk melepaskan satu novel untuk satu orang anak Melayu di Malaysia ini pun payah? sesedap oren dia cakap kami ni pemalas.Untung juga aku yang sudah bercucu ni mahu duduk menulis dari membuang masa bersembang di anjung rumah bersama jiran tetangga sebagaimana biasa dilakukan oleh Tok Wan dan Opah di kampung.

Kisah pemuda budak U ini didebatkan di dinding Komuniti Karyawan Buku Prima sepanjang malam semalam. Ada ke orang nak baca kalau kita letak nama sepertimana yang dicadangkan oleh beliau itu? Dah memang nama anak-anak muda sekarang ini memang begitu gayanya, kan? Siapa lagi yang ada di tahun 2012 ini yang nak beri nama anak dia Kuntum?

"Tak boleh ke bubuh nama yang common macam Izati ke, Laili ke, Salmah ke, Fatimah ke, Sarimah ke, Kuntum ke. Nak nampak moden sangat ke letak nama macam nama planet?

Yang laki tak boleh ke letak nama Daud ke,Shuib ke, Idris ke? Apa, kalau letak nama-nama common macam tu akan jadi tak hensem ke?"

Begitulah petikan kata-kata yang ku ambil dari blog beliau yang dapat ku kongsikan di sini untuk refresh memory kalian. Pedih kan?

Kesimpulannya....tepuk dada tanya selera. Jangan jadi anjing yang menyalak bukit, pandai bercakap sahaja tapi abuk pun tak ada. Kami sebenarnya suka menerima komentar kalian, tetapi aku kasihan juga dengan novelis-novelis tanahair yang dipertikaikan akan kebolehan mereka itu.

Jangan putus asa teman-teman seperjuangan semua. Kita sahut cabaran anak muda itu. Kalau dia tidak suka baca novel Melayu tak apa...masih ada anak-anak remaja di luar sana yang masih berminat untuk membeli dan membacanya.

Junie Octovian: Shoot for the moon. Even if you miss, you'll land among the stars ~ Les Brown 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...