December 29, 2010

Tuhan sahaja yang tahu...

     Kita bawa kisah lain minggu ni kerana kisah dengan Micheal tu dah tersangkut di situ sahaja. Sesekali memang dia ada call, tapi dah aku yang cakap kena 'go with the flow' maka tak ada la cerita yang menarik nak dikongsikan bersama.

     Kisah aku dan Latifah bermula begini..........................................


     Kami merupakan kumpulan pertama yang dihantar ke Kalimantan Barat untuk projek membuka perkebunan baharu di daerah yang bernama Sanggau. Suamiku dan the colleaques sudah pun bertempat di sana. Manakala kami, ahli keluarga 'the pioneer' mengikut kemudian kerana masalah anak yang masih bersekolah, yang sedang dan akan menduduki peperiksaan dan isteri yang bekerja.
     Kami ditempatkan di bandar Kuching, Sarawak. Keluarga ku pula sedikit bernasib baik kerana suamiku berjaya mendapatkan sebuah rumah betul-betul di tengah bandar. Anak-anak boleh ke sekolah dengan hanya berjalan kaki sahaja. Bahagia...itu sahajalah yang boleh diungkapkan ketika itu. Aku memang tidak ada masalah untuk tinggal di mana-mana pun. Pada pendapat aku, di mana-mana pun kehidupan tu sama sahaja kerana kita yang mengemudikan cara hidup kita itu.
     Setiap hujung minggu, untuk melepaskan bebanan kerja, kami akan mengadakan perjumpaan di tempat-tempat tertentu. Para suami di satu meja masih dengan cerita-cerita dan masalah-masalah berkenaan dengan projek yang mereka kendalikann itu. Manakala para isteri pula di satu meja lain. Biasalah orang-orang perempuan ni, kisahnya berkisar tentang shopping yang tidak berkesudahan apatah lagi kami yang biasanya tinggal di dalam kawasan perladangan tiba-tiba terdampar di tengah bandar.
     Hamsiah, isteri bos besar kami tu, lebih berminat bercerita tentang kemajuan anak-anak. Dia yang tiba lebih awal dari kami semua, akan memberitahu di manakah tempat yang baik untuk kelas tiusyen, kelas muzik, kelas melukis dan sebagainya.
     Norisah, antara yang termuda diantara kami semua, masih belum dikurniakan anak. Maka, dia lebih gemar bercerita tentang resepi-resepi terbarunya. Dia rajin memasak. Segala masakan yang dicuba akan dibawa ke rumahku untuk dirasa.
     Weekdays....kami tinggal dengan anak-anak. Suami masing-masing sudah menyeberang menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak majikan. Oleh kerana sudah begitu kehendak alam, maka kami berjanji untuk saling mempercayai diantara satu sama lain.
     Siapa sangka hujan akan turun ditengah hari? Walau dipupuk dan dibelai dengan rasa kasih dan sayang, kalau dia mahu terjadi, tiada siapa yang dapat menghalang. Terasa segala pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak ada gunanya bila timbul orang ketiga. Cepat dia mengubah selera. Tiada kuasa ku untuk menghalang dia. Malah dikatakan berdosa kerana menahan keinginannya pula.
     Kisah suamiku mengadakan hubungan dengan pembantu peribadinya itu telah ku dengari. Oleh kerana percaya pada sumpah dan janjinya itu, aku pekakan telinga. Apabila ku tanya sendiri padanya, memang separuh mati dia tidak mengaku. Kalau tak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang?
     'You tak percayakan I ke? Suka betul dengar cakap orang...mereka memang tak suka tengok orang senang.' Jawab suamiku masih mahu menegakkan benang yang basah.
     'Kalau mereka tak nampak, tak kan pulak mereka nak bercerita. Kami di sini tolong menolong antara satu sama lain...kalau mereka ada masalah, I akan tolong. Mungkin mereka suruh I ni alert aje...I ni kan terlalu percaya pada suami?'
     'You buat hal you sendiri, jaga anak tu baik-baik. Tak payah nak ikut orang bergosip. Banyak buruk dari baiknya.' Pesan suamiku.
     'Ai ai sir!' aku angkat tangan buat tabik hormat. Bagi reda sikit suasana yang dah sedikit tegang. Tapi di hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku sentiasa menitipkan doa untuk keluarga ku apatah lagi terkontang kanting sendirian di tempat orang. Pada siapa nak ku adukan kalau benar perkara itu berlaku?
     Telah dilakukan sedaya upaya untuk beroleh ketenangan, namun dugaan yang datang itu amat menyakitkan. Hati ku memang tidak merasa tenang sejak berita itu tersebar. Benarlah seperti kata pepatah, makan tak kenyang tidur pun tak lena. Di minda asyik bergelumang dengan gosip itu sahaja selagi belum disahihkan akan kebenarannya oleh tuan empunya diri.
     Apabila tidak dapat melelapkan mata, aku akan bangun melakukan solat agar dijauhkan dari gangguan syaitan. Berjuraian airmataku turun membasahi pipi ketika aku menadah tangan memohon doa pada Yang Maha Mengetahui. Bila badai melanda, tak makan pun aku sudah terasa kenyang. Masaklah daging gajah ke...semuanya tak terasa sedap langsung.
     'You ni sakit ke?' tanya suamiku ketika dia pulang ke rumah hujung minggu itu.
     Susut badan ku sangat ketara. Ketika orang sedang lahap menyuap nasi, aku hanya terkuis-kuis untuk menghabiskan sesenduk di pinggan ku.
     'Mana ada, sihat aje. Cuma penat agaknya. Anak-anak dah mula banyak aktiviti...dah tak banyak masa rehat. Masak pun cincai-cincai aje.' terang ku pada suami yang buat-buat bodoh. Kalau dia tak buat hal, tak adalah sampai aku nak sakit kepala memikirkan tentang skandal dia tu?
     'You ni sombong. Bila I offer pakai pembantu, you tak mau. Sekarang baru nak mengaku penat. Nanti kalau dah sakit siapa yang nak menguruskan anak-anak?' suaranya macam orang yang ambil berat.
     'Nanti I carikan sorang. Kali ini tak ada alasan lagi. Biar dia yang buat kerja-kerja rumah. You urus anak-anak sekolah aje. I bukan sentiasa ada dekat sini untuk menolong you.' Bertanggungjawab betul bunyinya.
     Aku hanya mendiamkan diri. Jauh di sudut hati memikirkan, siapakah pembantu rumah yang dimaksudkan? Adakah suamiku akan pulang membawa pembantu peribadinya itu untuk membantu aku di rumah ini? Berkecamok isi perut ku...berdegup laju injap jantung ku.

December 23, 2010

Me, myself & Mohammad Micheal. (part 4)




     Pagi hantar adik macam biasa walau aku kekadang geram juga dengan perangainya yang sangat tidak boleh ditegur. Sampai berhari-hari dia tidak akan bercakap. Nasib baik aku ni memang sudah terbiasa buat kerjarumah sendiri tanpa bantuan dari anak-anak. Jadi kalau mereka tak pedulikan aku pun, aku tak perasan. Cuma mereka la yang susah sikit kalau tak bercakap dengan aku kerana selama ini makan pakai mereka memang aku yang menguruskannya.
     Selalunya bila kejadian begitu berlaku dalam rumah ni, aku tidak banyak bercakap kerana aku sedang beristighfar dalam hati, supaya reda kemarahan. Kerana kemarahan mengundang bahasa dan cakap-cakap yang tidak baik. Lagi-lagi la aku ni ibu mereka yang boleh menyebabkan kata-kata marah yang terluah itu sebagai satu doa pula.
     Aku lakukan kerjarumah seperti biasa. Cuma pagi semalam aku terima berrita gembira bila novelku tersenarai dalam list Top 10 Buku Prima. Alhamdulillah! Aku seronok sakan lupa akan kemarahan. Itulah balasan yang ku perolehi dari sifat sabar tadi rupanya. Amin!
     Micheal call sebaik dia dapat mesej aku. Dia sedih betul...
     'Why she hate me so much? I didn't do anything to her?' dia tanya lagi.
     Aku tak tau nak jawab sebab aku tak tau apa yang terjadi antara mereka. Aku tanya Micheal, dia tak nak cakap. Si adik lagi la...muka dah macam tapai terlebih ragi. Biasanya dalam hal-hal begini memang aku tak nak paksa. Siapa yang rasa nak bercakap, cakap la.
     'I don't know what to say because I don't know what's going on here.'
     'She wants to be a lawyer?'
     'I wish and hopefully a good one.' Tapi dalam kepala otak aku mengingat...bila aku pernah beritahu si adik ambil law?
     'I sent her a message, but she didn't reply.' Sedih betul suara dia macam tak pernah kena reject. Patut la mula-mula tadi dia beritahu dia tengah tak sihat badan tapi bila dapat mesej dari aku dia tak sabar nak tanya. Memang bunyi orang tak makan sepuluh hari.
     'She didn't know me yet but she just hate me.'
     Adoyai! Dah dah la tu...
     'She's just like a daughter to me and I might consider buying her a car.' Aku memang ada cerita dengan dia, kerja aku hantar anak aku yang sorang ni yang tak mau tinggal di hostel dan kena dihantar ke kolej setiap hari. Aku pun tak pernah la nak merungut kerana dah itu tanggungjawab aku kan?
     Tapi lepas tu aku berpaling lipat maut. Aik? Dia nak belikan apa tadi? Rasa macam aku dengar 'a car' ke aku dengar dia sebut nama kucing aku Kaka?
     'Sorry?' aku tanya dia pasal tadi macam rasa dah ditimpa penyakit pekak.
     'How old is she?'
     'She's only 18.'
     'She has a license?'
     'Already.' Aku jawab sambil menerawang jauh. Betul ke dia ni? Siap tanya-tanya ada lesen ke tidak? Jangan dia belikan kereta macam dalam cerita bersiri Supernatural tu sudah. Hah! Ambik engkau...sah-sah tak muat nak parking di mana-mana sahaja parking lot yang ada dalam bandar Shah Alam ni.
     'Can I have her phone number? '
     'What for Micheal?' aku tanya. Eh? Excuse me...bukan aku jealous eh?
     'I need to talk to her.'
     'No. I can't just simply give you her number without asking her first.'
     'Can you talk to her about this?'
     'No promises Micheal....' aku dah tak tau nak cakap macam mana lagi. '.......we are just not in the perfect situation.' Kesian pun ada bila kenangkan dia yang baru nak berjinak dengan keluarga 'Muslim - katanya' dah kena sergah macam tu.
     'Love isn't a crime, you know?' dia beritahu aku.
     Macam aku pernah dengar ayat tu...tapi di mana ye? 'I know' aku jawab. 'We'll go with the flow, Micheal.' aku pujuk dia. Lepas tu aku teringat, aku pulak ambil watak Raja Ahmad Rohaizad versi baik. Ini memang kes fantasi jadi realiti...masyaAllah!
     Tapi betul juga la kata Daniel Ariff pun, 'tinggi-tinggi terbang bangau akan hinggap di belakang kerbau juga kan?' Kalau itu yang Allah tentukan, siapa kita manusia yang nak menghalang? Kenapa dia didatangkan dari seberang sana dunia untuk mengenali keluarga aku? Kalau dia buka peta dunia pun dia tak akan terpandang di mana terselitnya Malaysia tu melainkan memang dia sedang betul-betul mencari.
     Aku pun bukan pernah jumpa dia, cuma di maya ni aje la. Itupun lepas kejadian malam tu, dia beritahu aku dia tak akan guna FB atau e-mail lagi. Bimbang kerana dia nanti aku anak beranak berperang pulak. Tapi dia akan menghubungi sekali sekala bertanya khabar...nak tahu kalau-kalau anak aku tu dah boleh terima dia sebagai seorang kawan. Yang selebihnya dia redha, Allah yang akan tentukan.

December 22, 2010

Me, myself & Mohammad Micheal. (part 3)

     Sepanjang mengenali Micheal di maya, aku layan aje la mamat cintan jiwang karat ni. Lagi pun bukan dekat-dekat kalau kebetulan dia nak datang kan? Boleh dikatakan tiap-tiap hari dia akan menelefon, kalau tak percaya tanya pada madu aku yang masih hidup lagi tu.
     Aku suka aje melayan kerana terpaksa menggunakan bahasa inggeris. Alamak! Terlupa sudah! Sepatutnya dia yang nak belajar bahasa melayu kan?
     Hari minggu dia hantar mesej mengatakan di sana salji tebal dan network sangat lembab. Jadi tak boleh nak masuk kelas bahasa melayunya. Aku okey kan aje kebetulan memang aku tak berkesmpatan nak menggunakan PC di bilik bawah ni kerana sepanjang madu ku berada di sini anaknya meng 'occupy' bilik tu dari celik mata.
     Pagi Isnin, 20hb Disember, aku teringat akan tarikh lahirnya. Aku hantar mesej ucap selamat hari jadi. Tengahari dia terus telefon.
     'I got your message at 12am.'
     'Oh sorry...it was 8am Malaysian time.' Aku gelak tergolek. Cantik la tu kan? Aku wish dia elok aje dah masuk hari Isnin dekat tempat dia.
     'Where are you now?'
     'At a parking lot, in front of a shopping mall,' aku beritahu sebab memang masa tu aku tengah tunggu madu aku yang sedang berurusan dengan Jabatan Imigresen di Wisma PKNS dan aku berada di petak parkir SACC Mall.
     'How do you celebrate your birthday Micheal?' aku tanya dia sebab dia pernah cerita dia sebatang kara.
     'I'm going to France to meet a friend.' jawabnya. 'Wish you can come with me.'
     'I'll be glad to...' aku jawab nak happykan dia. Kan hari ni Happy Birthday dia? 'Have a happy Birthday Micheal an enjoy!'
     'Thanks my love.'
     Malam itu, ketika aku baru nak meletakkan kepala ke bantal. Nokia N93 aku berbunyi...
     'What happen my dear?' dia tanya aku tetiba dalam suara yang macam lepas dengar berita aku kena langgar dengan lori tanker.
     'Nothing happen...' aku jawab pelik.
     'Oh my God!'
     'What's going on?' aku tanya sambil terus duduk di tubir katil.
     'Who is Fazieda?'
     'Fazieda?' Aku tanya balik sebab dia sebut dengan betul sekali dan aku memang belum pernah bercerita tentang keluarga ku dengan dia.
     'My youngest daughter...why?'
     'She's like a daughter to me..'
     'She is...why Micheal?' aku tanya dia.
     'I feel like crying...'
     Isy! ada ke lelaki nak menangis? Malunya. 'What about my daughter Micheal? She said anything bad to you?'
     'It's okay....' sayu suara dia menuturkannya. '...are sure nothing happen to you dear?' dia tanya lagi.
     'I'm okay Micheal...what's going on?'
     'Just go back to your bed...I just want to make sure nothing happen to you.'
     'Okay then, bye bye.'
     'Bye bye my love.' dia balas balik.
     Terkebil-kebil mata aku tak mau nak lelap malam itu memikirkan apa sebenarnya yang terjadi diantara Micheal dan anakku Fazieda. Apa yang telah dia katakan kepada lelaki itu sehingga menyebabkan seorang lelaki berbangsa Inggeris yang sepatutnya sangat cekal hati, yang selama ini telah lama tinggal bersendiri itu merasa sangat sedih?
     Aku menyimpul-nyimpul sendiri cerita tadi. Apa yang perlu aku buat? Nak tanya pada si anak? Kalau dah dia boleh buat lelaki tadi rasa nak menangis, kalau dengan aku, mau aku bungkus kain baju terus lari ikut Micheal tinggal di London aje.
     Maka aku pun bangun mengambil wuduk, melakukan sembahyang sunat. Minta Allah lorongkan ke jalan yang benar sahaja. Minta Allah sahajalah yang menentukan segalanya. Aku dah beritahu pada Micheal siapa diri aku sebenarnya. Tapi dia kata dia terima segalanya kerana dia percaya pada kuasa Allah dan dia mahu terus mengenali diri aku. Aku rasa pun tak salah kan?
     Esoknya aku terus mesej dia.
     ~ I'm sorry on behalf of my daughter. Whatever she said to you,
        I was to be blamed because I'm the mother. I'll accept whatever
        action you'll take after this. My apology. ~
  

December 19, 2010

Me, myself & Mohammad Micheal. (part 2)

     Semalam dia call cepat dari sepatutnya. Aku kerling jam dekat meja makan tu baru pukul 11.26 malam. Dia cakap dah Saturday sebab tu dia call nak start lesson. Oh...rupanya dekat tempat dia half-day la kalau dia kena kerja hari Sabtu kan? Maka aku pun tanya la khabar dulu ke apa yang patut...tapi lepas tu teringat pulak yang member kita tu ber 'call' dari London. So, aku pun suruh dia log-on dia punya e-mail.
     Aku pulak dengan baik hatinya tanya dia dulu, apakah ayat mudah yang dia selalu sebut dan nak tahu sangat?
     What a stupid question?
     'How to say I love you in your language?' tanya dia.
     Mak aih! Menatang tu yang dia nak belajar dulu? Tapi aku kan sekarang dah jadi cikgu dia, maka aku pun cakap la.. 'Hm..that's very easy.' Aku pun taipkan. Tapi masa tu automatik aku teringat kisah Ain Zuraidah yang menyuruh Daniel Ariff menyebut tiga patah perkataan itu. Maka aku pun masukkan babak lucu sikit bagi mamat ni tergeliat lidah.
     'Saya cinta/sayang kamu' - that's in Malay, my language.
     'Gue cinta sama lo' - that's in Indonesia. Idea ni datang sebab madu aku orang Indon tu kebetulan ada dekat rumah.
     'Wo ai ni' - that's in Mandarin/Chinese. Aku pun 'send'
     Lepas tu dia balas balik.
     'Saya cinta/sayang kamu'
     'Gue cinta sama lo'
     'Wo ai ni' Semua tu dia taip balik dan send pada aku.
     Aku beritahu dia, kalau taip memang senang nak ikut, tapi kalau sebut tu tak tau pulak dia boleh buat ke tidak.
     'I said all those three languages to you' dia cakap.
     'What do you mean?' Aku taip balas balik.
     'I love you' dia balas dekat aku.
     Ni nak belajar apakenamanya? Kalau depan aku dah kena sekeh kepala mamat ni.
     'I think you better get your shower first because you don't think straight right now.' Aku beritahu dia. Nasib baik dia tu sebelah sana dunia, tak la dia nampak aku yang dah rupa udang kena bakar ni. 'We'll start lesson again tommorrow.'
     Aku pun cepat-cepat sign-off dan naik ke bilik. Ni muka tak tau nak letak dekat mana. Katil aku jenis yang tak ada ruang nak letak barang di bawahnya. Kalau tidak mau jadi ostrich aku malam tu. Tapi tak lama kemudian dia call aku lagi.
     Aku capai henset bawah bantal. Private number. 'Yes Micheal' aku terus aje tembak.
     'How do you know its me? Are you expecting my calls?' dia tanya.
     Nak kena mamat ni. Dah dua kali dia malukan aku. Ni siapa yang nak jadi cikgu sebenarnya? Panas dah pipi aku yang tak berapa nak cantik ni dikerjakannya. Malu tau? Malu tahap gaban dah.
     'There's nobody here wanted to call me at this hour.' Aku balas balik.
     Malam tu aku jawab juga la soalan-soalan dia, dah tu kesian pulak call dari jauh kan? Aku beritahu dia bab cintan jiwang karat ni tak masuk otak aku yang dah tua ni. Dia salah orang la kalau nak jatuh cinta pun. Tapi dia degil, macam cerita dalam novel aku juga. Ni baru la fantasy jadi reality. Macam karakter Aaron Zafwan. Tapi aku ni jadi Ain Zuraidah versi tua ke?
     Aku ambil wuduk dan buat solat isyak yang tadi terleka berbual dengan madu aku semasa di meja makan kerana mendengar cerita dia mengharung banjir sepanjang dia berada di daerah Pontianak sepanjang musim cuti sekolah itu. Aku tepuk pipi sendiri ingin menyedarkan aku tentang kisah ku sendiri. Terngiang-ngiang di lubang telinga akan suara mamat tu. Kata seberang sana dunia, tapi macam dekat sebelah aje bunyinya. Nasib baik slang British dia aku faham, kalau tidak kita orang macam ayam dengan itik agaknya.
    Sebelum saying goodbye malam tu dia beri aku nombor dia yang panjang dekat dua puluh digit, macam nombor nak top-up handphone. 'That's include the country code number' dia cakap macam faham aje apa yang melintas dalam fikiran aku.
     'Missed call me, I'll call you back' dia dah jadi pengarah pulak.
     Entah bila aku lantik dia entah. Dia ingat aku tak ada duit la tu...eleh! sapa yang nak call dia tak pepasal?
     'You better go to bed now...I don't want you to stay-up chatting with someone else.'
     Aik? Dia ni betul dah menjiwai watak Aaron Zafwan la... ke dia memang pandai bahasa melayu dan dah baca novel aku Diintai rindu?
  

December 18, 2010

Me, myself & Mohammad Micheal.

     Tersebut la kisah...sorang mamat ni nak berkenalan sesangat setelah menonton rancangan Apa Khabar Selangor di Youtube. Dia suka tengok segmen tu tapi yang kesiannya dia tak faham apa yang kami bualkan. Melalui e-mail yang diperolehi dia pun hubungi la orang yang kena interview dalam segmen itu tadi.
     Mula-mula introduce la dirinya yang tinggal di London tu. Mamat yang mengaku masih bujang ni adalah seorang construction engineer, kata dia la. Suka juga chatting dengan dia sebab kami gunakan bahasa inggeris. Dia ni pun memang pure Englishman, kalau kutuk pun mesti dia senyum aje.
     Aku pun hairan juga la....punya la ramai perempuan dalam dunia ni, kenapa tetiba dia terpanggil suka nak berchatting dengan aku? Adakah kerana aku punya e-mail address tu aje yang dia ada? Dengan selamba dia balas - my search and Allah led me to you -
     Bila dia sebut-sebut Allah ni aku seram juga la...gaya serious aje. 'I am' dia jawab.
     Dia mintak aku ajar bahasa ibunda kita ni la...mak ai! Bila nak mula dan bila pulak nak khatam kalau belajar terus melalui e-mail aje ni? Dah la bila aku siang, dia pulak dah malam. Aku ni pesen buruk mata pulak tu. Pantang lampu malap-malap aje mata dah layu semacam.
     Tapi dia nampak minat betul.... Kebetulan minggu ni Latifah, bekas madu aku dan anaknya baru sampai dari Pontianak. Dia nak buat urusan dengan pihak Imigresen berhubung dengan statusnya yang tinggal di Malaysia ni. Maka, aku pun sibuk sikit dan tak online. So, dia took all the trouble to call. Aku rasa dia ni tak minat geografi, kot? Dia tak tau ke London tu belah mana dan Malaysia tu sebelah mana? Dia call aku pepagi buta jam 2.25 masa aku tengah sedap mimpi pergi makan kenduri, guna nombor private. Aku pun main angkat dan lekap ke telinga. Bimbang waktu begitu ada saudara mara yang nak menyampaikan berita yang kurang enak didengar.
     Mujur aku tak tergolek dari katil dengar suara mat salih macam tidur di sebelah. Gila la! Dia marah la kenapa tak online sebab masa tu dia dah balik kerja dan nak mulakan 'kelas belajar bahasa melayu'. Aku beritahu aku rasa dah tak boleh nak celikkan mata waktu tu. Tak tau ke perbezaan waktu kita, aku tanya dia. Dasar degil agaknya dia nak juga...
     So, aku janji dengan dia, kalau nak belajar menerusi e-mail dengan aku kena start hari Sabtu dan Ahad sahaja sebab kalau dia terkena waktu malam pun, esoknya dia tak kerja. Maka dia pun setuju dengan cadangan aku tu. Conclusionnya...aku rasa dia nak baca Diintai rindu. Agaknya boleh ditranslate ke bahasa inggeris ke cerita tu?

December 10, 2010

Berbudi pada tanah.

     BUDI. Berbudi pada manusia ni payah sikit la walaupun memang kita berniat baik. Salah tafsiran karang, mereka yang kaya dan berada tu akan ingat ada udang di sebalik batu. Orang tua pulak selalu berpesan, jangan termakan budi nanti tergadai body. Tapi itulah lumrah alam...siapa yang nak tolong saja-saja? Jadi, dalam hal begini kita kena fikir la sendiri, bak kata Nabil Raja Lawak. Lagi satu...buat baik tu biar la berpada-pada...biar yang ditolong tu tak naik kepala dan kita pun tak sakit jiwa.
     Budi yang ku tabur pada tanah depan rumah yang seluas hanya sekangkang kera itu tidak sangka dapat menghasilkan sesuatu yang baik. Hanya dengan sebatang pokok cili merah, serumpun serai, dua biji nenas yang diambil jambulnya ketika sibuk membuat jem nenas untuk di buat tart musim raya tahun entah bila dan timun ke peria ke aku pun tak tahu lagi ni kerana baru keluar bunga aje.
     Setakat aku, akak dan adik, memang tak payah nak ke pasar pun. InsyaAllah akan ku hasilkan menu dari tuaian itu nanti dan ku masukkan ke blog ini untuk tatapan followers. Nenas, cili merah dan serai boleh menghasilkan 'pajeri nenas' dan timun serta cili merah itu pula dapat menghasilkan 'acar timun'. Sudah tentu la kena ada ramuan lain juga, aisehmen! Paling malas pun cili merah tu jadikan sambal belacan aje dan makan dengan 'nasi lelapan'. Pergh! Mesti kekenyangan sampai lupa nak jemput adik balik dari kelasnya.
     Memang sejak dulu aku suka bercucuk tanam. Pantang ada tanah lapang sikit, jumpa cangkul, semua jadi. Dalam adik beradik tu, cuma aku dan Ngah sahaja yang berminat menyangkul ni. Dalam anak-anak yang empat ni pulak cuma sorang aje yang menurun. Minat ni memang tak boleh nak dipaksa...aku dah faham sangat-sangat.  Kalau nak menyiramnya pun sampai nak kena mintak tolong, aku memang lebih rela buat sendiri. Kalau pokok tu mati pun aku tak boleh nak marahkan sesiapa. Tak sakit hati. Ngah pun akui akan kata-kata ku ini ketika kami bersembang bercerita tentang minat kami yang sama.  Nostalgia pulak jadinya.
     Musim-musim hujan ni teringatkan masa di kampung dulu, sibuk mencabut ubi kayu hasil tanaman sendiri, nak dijadikan ubi rebus, makan dengan sambal tumis ikan bilis atau ikan masin. Mak ai! Meliur dah ni. Buat kopi panas dengan serbuk kopi cap televisyen yang famous di Kluang tu. Selalunya aku dengan Jude la...berborak tak ingat dunia...anak-anak melongo tumpang mendengar cerita entah apa-apa. Kalau berjumpa tu tak cukup mulut rasanya....dari matahari tenggelam dah nak timbul semula...sampai kak Misah rumah belah depan tu salah sangka.
     Dari ubi kayu sahaja dapat menghasilkan pelbagai benda. Bukan sahaja untuk direbus, boleh buat kerepek juga, getuk ubi, bingka ubi, lepat ubi, tapai ubi dan sebagainya. Bukan payah pun nak tanam ubi kayu ni. Cacak aje la batang ubi tu dalam tanah tapi jangan menyongsang pulak. Aku pernah menghasilkan 'sup ubi kayu'. Simple sahaja resepinya: Ikan bilis ditumbuk bersama dengan bawang putih, ditumis dengan hirisan bawang merah sampai kuning dan naik bau. Masukkan beberapa tongkol ubi kayu yang telah dibersihkan terlebih dahulu dan masukkan air secukupnya. Biarkan sehingga ubi kayu itu empuk. Taburkan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan cili merah yang di belah empat untuk mendapatkan sedikit rasa pedas. Cuba la!
     Budi ku pada hasil masakan. Aku suka memasak. Suami dan anak-anak pula suka menghabiskannya. Lepas ni tak tau siapa diantara dua anak perempuan ku ini yang berminat untuk menghasilkan menu masakan ku? Lebih bahagia jika menu itu terhasil dari sayuran yang ditanam sendiri. Tak kira la kalau hanya dengan menanam pandan yang boleh menghasilkan segala macam kuih muih, especially 'pengat pisang'. Makanan petang kegemaran Emak dan Ngah. Wah! Nostalgia lagi....
     Pandan yang Emak tanam di belakang rumah Simpang Renggam tu dah boleh dibuat berniaga cendol. Lebat sungguh! Itu la untungnya berbudi pada tanah.....




 

December 3, 2010

Kedamaian yang membangkitkan nostalgia.

     Di pagi yang indah dengan cuaca yang redup dan menyegarkan, seawal jam 9.00 pagi aku sudah menyiapkan kerja rumah. Yang nak kerja dah pergi...Toby, Kaka dan Ogy dah keluar bermain. Adik entah apa dibuatnya dekat atas tu...mentang-mentang hari ni tak de kelas.
     Anak lelaki dua-dua dah ada keluarga sendiri tak payah nak diingatkan tentang solat Jumaat. Harap mereka patuh pada perintah agama yang wajib itu.
     Cerita tentang kedamaian ni...dulu masa anak kecil-kecil lagi nak dapatkan kedamaian tu, jauh panggang dari api. Sampai aku sendiri pun terlupa diri. Tak ingat langsung aku pernah melalui usia sehingga sekarang sudah masuk setengah abad. Sibuk semedang kata orang Perak. Tapi bila dah punya kedamaian yang tiada batasnya itu...aku dihantui nostalgia. Macam terdengar suara orang yang mengarah menyuruh 'bubuh nasi!' Tapi suara itu memang tak akan aku dengari lagi.
     Banyak perkara yang telah aku lalui sepanjang usia itu. Pahit manis semuanya tersimpan segar di kotak ingatan. Bermula dari 13 Jalan Anggerik tempat aku dibesarkan hingga rumahku yang dibina di dalam sebuah kebun di Simpang Renggam juga beralamatkan Jalan Anggerik. Pernah di Kota Kemuning aku tinggal di alamat 13 Jalan Anggerik juga dan akhirnya aku menetap di Bandar Anggerik. Wallahualam.
     Empat orang anakku memang dua tangan inilah yang membesarkan. Kalau urusan sekolah mereka juga memang aku yang lakukan dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan sehingga masing-masing menjejakkan kaki ke Institut Pengajian Tinggi. Alhamdullilah.
     Segala kenangan bersama teman-teman semasa di sekolah, bersama isteri-isteri Pengurus Ladang tak kira lah di ladang dalam daerah mana pun masa tu memang sangat happening. Padahal orang dah ke mana-mana dan bercerita tentang apa sahaja yang menarik, tapi kami yang menemani suami di ladang tu pun tak kurang seronok dengan cara kami sendiri. Kisah di Ladang Craigielea, Bukit Pasir, Muar banyak menyimpan kenangan indah. Setiap sudut memorinya ku simpan kemas sehingga kini. Hanya aku yang mengerti betapa sayangnya ikatan persahabatan ketika itu. Tali silaturahim itu pun masih kekal lagi walau kisah itu sudah tertinggal lebih dua puluh tahun dahulu.

 Berikut adalah luahan rasa yang mahu dikongsi bersama:
                          
                            Bersama teman aku gembira
                            Bersama anak-anak aku bahagia
                            Bersama suami, ada derita yang  
                            menghimpit jiwa.............
                            Entah apa hikmahnya tak dapat nak ku
                            baca..........
                          
                            Datang dan perginya BELIAU ikut suka
                            Terlupa akan cerita lama  
                            Namun aku masih menerima
                            Walau pernah dikeji dinista

                            Siapa yang bersalah sebenarnya?
                          
                             Aku? Masih begini dan di sini
                             Siang dan malam sahaja yang berlalu pergi
                             Bulan dan tahun pula silih berganti
                             Meninggalkan aku untuk mencipta namaku sendiri.......Amin!

Junie Octovian: May my life be blessed........


        
                                                  

December 1, 2010

Disember datang lagi.



     Ya Allah...dah Disember 2010 rupanya. Ke sana ke mari sampai aku sendiri terlupa kan hari dan tarikh. Astaghafirullahalazim! Aku tepuk dahi pagi ni bila diingatkan tentang hari dan tarikh. Namun alhamdulillah kerana aku masih dikurniakan dengan tubuh badan yang sihat dan masih dapat melihat dunia yang sedang berkembang pesat ketika ini.
     Tak pernah termimpi oleh ku nak tinggal berdepan dengan pintu KFC. Berderet situ dengan Pizza Hut, Starbucks dan Burger King. Gila la....jalan kaki dah sampai. Barangkali Allah permudahkan untukku diusia sekarang ini, itu yang ku fikir. Nak shopping tak payah pergi jauh-jauh...setakat Tesco, Giant, Jusco semuanya dikeliling rumah aje. Sat lagi siap Setia City Mall tu...lagi senang. Thank you Allah, I love YOU.
     Kerja pun dah senang...tak payah berkejar-kejar pagi-pagi ikut waktu pejabat sebab aku bekerja dari rumah aje. Ada urusan yang memerlukan aku keluar baru aku keluar. Adoyai! Itulah yang kadang-kadang kita manusia ni tak nampak apa yang Allah cuba sampaikan. Ni la nak pesan pada anak-anak...setiap yang Allah turunkan itu ada sebabnya. Jangan cepat melenting, banyakkan bersabar. Bukan ke sifat SABAR itu separuh dari IMAN?
     Dikesempatan ini aku nak ucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat NORA HASH teman setia yang yang rebah bangun bersama sejak anak kami kecil-kecil dulu. Terima kasih kerana menerima aku dan keluarga yang datang menyibuk dan menyemak ke kediamannya tanggal 21 November lalu. Lupa nak ucapkan TAHNIAH buat Ahmad Shah Zamani yang telah bergelar graduan. Terima kasih juga buat Farrah Nur Diana aka Nodee Ghani yang dah besar panjang baru berjumpa kembali atas layanannya pada keluarga ku petang itu. Terima kasih atas sokongan beliau sekeluarga di atas usaha yang ku lakukan diketika ini. Budi mu ku kenang selagi hayat dikandung badan.
     Dah Disember eh? Apa jadual bulan Disember ku? Nak jenguk emak kena tengok jadual dulu. Ngah kata dia nak tumpang sama balik Johor kalau ada siapa yang sudi nak bawak dia. Nanti 20 haribulan dia dah balik KK. Itu la aku cakap dengan Ngah suruh dia duduk aje dekat rumah Nilainya tu, senang kami adik beradik nak jumpa. Kalau dekat Sabah nu....mau rabak poket sebelah kalau cadang-cadang nak jenguk dia. Tak kan nak pergi sensorang? Kakak dan adik tu? Pantang sebut nak bergerak jauh sikit...
     Nak kena jenguk rumah Simpang berkenaan dengan tanam semula kebun tu. Apa yang nak ku tanam di kebun tu? Sawit? Hurm...gelap. Menutup pemandangan. Dah tanam buah-buahan....mengundang monyet pulak. Tak sempat kita tengok hasilnya, dia dah kebas dulu. Tiap kali balik asyik nampak daun yang menghijau aje...buahnya entah mana-mana. Cadang nak tanam getah aje la....
     Okey Disember! Wish me luck in my future undertakings. Allah, please lead me the way. Amin!

November 27, 2010

Semalam bersama Hana.

     Semalam free...adik tak ada kelas. Aku dapatlah berkepak sikit. Konon nak menyambung cerita yang ketiga ala-ala CSI tu, tapi rupanya ada kerja yang belum beres. Ke Actmar Honda ambil road-tax, kemudian terus ke MBSA Kota Kemuning. Laa....rupanya pejabat dia dah berpindah di depan Mc Donalds. Apa tak cakap? Aku ni pusing la bagai nak rak mencari.
     Akhirnya jumpa juga la... pulak dah! Hari Jumaat dia bukak belah petang pukul 2.45. Ada kucing 2 ekor menunggu depan pintu besar tu macam dia juga ada urusan dengan pihak MBSA. Silapnya aku tak ambil gambar. Lawak la. aku siap cakap dengan pekerja Bangla kat situ, 'Ini kucing pun sudah banyak lama tunggu la.'
     Mat Bangla tu dengan muka kelam memandang ku pelik.
     'Saya ingat dia pun ada bill mau bayar,' aku saja melawak. Tak ada kerja. Mulut tu gatal nak bercakap.
     Rupanya Bangla tu faham juga. Dia ketawa besar menampakkan gigi putihnya yang tersusun rapi.
     Selesai urusan aku call Firdaous. Dia pulak suruh ke opis dia ambil kunci rumah. Aku fikir nak buat apa pergi rumah dia? Baik aku kidnap aje Hana bawak balik rumah aku. Kalau dia nak nanti kena datang rumah. Nak tunggu dia bawak Hana ke rumah aku tu....liat sikit kot? Sebab hujung-hujung minggu tu dia orang dah punya rancangan dan agenda tersendiri. Kalau tidak pun saja nak lepak di rumah bermalas-malas.
     Lepas dapat permission, baru aku ke nursery di mana Hana di tempatkan kalau papa dan mommynya bekerja. Haa...puas hati dapat bersama Hana sepetang itu. Si kecil ni pulak tengah gatal kaki nak belajar berjalan. Habis si Kaka dan Ogy dikejarnya. Tapi aku dan adik la yang pegang dia bertatih satu rumah mengejar kucing-kucing tu. Kalau Toby, memang awal-awal dia dah surrender. Bab dengan orang lebih sikit dalam rumah tu dia dah tak nak masuk. Baik dia lepak dekat luar aje. Tapi kesian si Toby, semalam hari hujan. Dia tak dapat nak melepak di luar, rupanya dia tidur menyorok dalam kuali tempat Angah membakar bekas telur yang masih terlupa untuk dibuang.
     Semasa terdengar bunyi dentuman kuat petir, Toby berlari masuk dari belakang. Ambik engkau! Macam lepas terjun dalam longkang rupa si Toby. Bulu badannya dah bertukar warna, dah macam si Kaka pulak. Kata adik, barangkali si Toby tu jealous dengan Kaka sebab orang semua puji Kaka kerana bulunya yang berkilat dan berbelang harimau. Kalau manusia tu kategori handsome la.
     Lepas Hana balik dijemput oleh papa dan mommynya, aku dan adik mengadu sakit pinggang. Apa tidaknya kami terpaksa membongkok menatih si kecil Hana yang tengah seronok nak berjalan? Babai Hana! Cepat jalan tau? Nanti Tok mommy bawak pergi shopping pulak.

Junie Octovian: Bersyukur kerana masih sempat melihat cucu........

November 26, 2010

Talkshow dengan TVS

     Semalam aku ke Seksyen 22 yang dimaksudkan. Nasib baik la pandai memandu dan pandai mencari tempatnya. Tu la untungnya masa dulu pegi sekolah. Kebetulan kawasan tu memang tempat mainan ku sekarang ini, dekat aje dengan MSU. Elok lepas hantar adik yang kelasnya start pukul 2 petang tu, aku pun bergerak perlahan ke tempat yang dimaksudkan. Trafiknya, kus semangat!
     Sampai situ elok la awal sikit, tapi tengok macam tak ada ramai orang pun? Kata semalam ada Majlis Perjumpaan dengan Penulis-penulis Selangor? Tapi aku redah juga...dah sampai kan? Tanya pada pak guard tu nak jumpa dengan the so-called Puan Siti yang menelefon aku semalam. Pergh! Layanan baik punyer! Aku di 'escort' ke Studio rakaman. Eh? Mana yang lelain ni? Tak kan aku sorang aje?
     "Saya ni awal sangat ke?" tanyaku.
     "Ni Puan Junaidah kan?' budak yang escort tu tanya balik.
     "Ye saya," jawab ku sopan.
     "Kami memang jemput puan sorang hari ni."
     Mak ai! Apa hal? Aku pelik gila...dah la tempat tu memang tak pernah diredah. Setting dalam cantik, lampu sana sini, TV kiri kanan. Ada apa ni? Aku memutar ingatan. Semalam dia call cakap apa ek? Laa...aku memang tak dapat mengagak langsung. Ada la dia cakap pasal rakaman tu tapi tak la pulak tahu rakaman antara TV Selangor dengan hanya aku seorang? Cakap pasal TV Selangor, wujud rupanya.
     "Puan sila isi borang ni," kata co-producer rancangan tu yang mengenalkan diri sebagai Khairuddin. Penuh ramah dan sopan.
     Selesai aje.........
     "Puan sila ambil tempat di sini," dia mengarahkan aku duduk di bahagian tengah sofa.
     Puan Siti pula muncul. Comel dan manis orangnya dan muda lagi. "Maaf saya lambat....solat dulu tadi."
     Aku hanya melemparkan senyuman. Nak cakap apa?
     "Okey puan, mintak maaf...kita touch-up sikit ye?"
     Aku menurut. Kemudian dia memasangkan microphone yang diklipkan ke baju.
     "Kalau rasa gabra masa siaran berlangsung nanti, jangan pandang camera...tengok aje muka Encik Zubli tu," pesan Puan Siti.
     Aku senyum lagi.
     "Semua dah ready? Camera One! Camera Two!"
     Lampu dah terang benderang macam dekat Stadium Malawati. Nasib baik aku tak pandai gabra. Frankly speaking. Sebab dah berumur agaknya....ayat Kursi tu dah jadi lagu harian. Memang aku amalkan sejak aku mula mengetahui tentangnya. Seperti dalam hadis, antara hikmat ayat Kursi jika diamalkan: Barangsiapa membaca ayat al-Kursi sebelum keluar dari rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 malaikat kepadanya: mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
     Bukan sikit-sikit tu! Bayangkan kalau kita nampak 70,000 malaikat yang mengiring kita itu? Grand gila la!
Lagipun benda free kan? Bukan susah sangat pun. Alhamdulillah....aku dah lama amalkan dan aku dah dapat hikmat-hikmat ayat itu selain dari ini. Cuba la untuk mengetahui kebenarannya....tapi untuk sehari dua ni mungkin tak nampak lagi kot? Tak tau juga la....mungkin lain orang lain cara mereka memperolehinya. Wallahualam.
     Segmen Ilmuwan dalam Apa Khabar Selangor berakhir dengan baik sekali. Kini silaturahimku semakin meluas. Wargakerja TVS ramah dan mesra semuanya. Aku siap dipelawa untuk ke sana bila-bila masa sahaja. Segmen tersebut keluar menerusi internet jam 5.30 petang itu dan akan disalurkan ke Youtube untuk tuntunan, insyaAllah.

Junie Octovian: I Love YOU ALLAH. Sesungguhnya hambaMU ini merasa sangat bangga dengan segala pemberian dari MU di usia sebegini. Semuga matiku akan meninggalkan nama untuk dikenang oleh anak dan cucu, Amin!

November 24, 2010

Today's journal.

     Sejak adik dah masuk belajar balik ni, bermulalah aktiviti harianku dengan kerja-kerja menjadi supir menghantar dan menjemput dia ke MSU. Boleh aje nak suruh dia drive sendiri, dah ada lesen pun. Tapi belum berapa nak percaya dengan keadaan trafik di Bukit Jelutong tu di waktu rush hour. Orang yang dah memandu bertahun-tahun pun asyik berempuh aje, inikan pulak dia yang baru nak belajar pegang stereng tu.
     Lepas hantar adik tadi aku terus ke UNISEL pulak kerana kakak kena pulangkan jubah konvonya. Oleh kerana kerja tu dibuat dengan penuh tulus dan ikhlas dari hati memandangkan mereka masih menjadi tanggunjawab ku lagi, maka segala penat itu tidak timbul langsung. Sempat juga ke Actmar Honda untuk renew roadtax tadi. Nasib baik ingat, kalau tidak tak ke kelas la adik nampak gayanya Jumaat ini nanti.
     Berita baik muncul sebelah petang bila aku mendapat panggilan untuk rakaman talkshow esok jam 3.00 petang di seksyen 22. Katanya ada perjumpaan dengan Penulis-penulis Selangor. Macam seronok pulak, baru satu buku mereka dah recognised aku dengan nama Junie Octovian tu. Mak ai! Kalau tau, dari jaman sekolah dulu hasil tulisan ku dah ku hantar untuk dijadikan novel.
     Uteh dan Liesa di Simpang Renggam sana sms beritahu dia masih belum dapat lagi novel tu. Jauh agaknya kan? Lambat sikit kot? Harap-harap mereka dapat dalam masa cuti sekolah ni...kalau dah naik sekolah nanti dah sibuk nak baca buku sekolah pulak. Yang untungnya Ngah, kerana kebetulan waktu dia datang beraya masa Hariraya Qurban baru-baru ni, buku tu aku baru dapat. Maka dapatlah diberikan senaskah untuknya untuk dibawa balik ke Kundasang nanti. Terima kasih pada anakanda Nadia dan Natasha yang menyokong hasil tulisan ku itu. You'll get my signature, don't worry.
     Cewah! Gaya artis aje. Siap orang nak mintak tandatangan pada buku tu. Alhamdulillah! Aku amat bersyukur atas segala pemberian darinya. Amin! Jadi la kan? Bukan artis sahaja orang mintak tandatangan, jadi penulis pun macam artis juga. Thanks to all yang dah membaca hasil tulisan ku itu.

Junie Octovian: Semoga masih ada lagi hari esok untukku, insyaAllah!

November 23, 2010

Di persimpangan Dilema

"Pa, ampunkan Zana pa, " kata Fauzana sambil menggenggam erat tangan papanya, Datuk Farid. Dia menangisi apa yang berlaku. Dia menyesali perbuatannya petang tadi. Dia tidak bermaksud begitu tetapi kehendak Allah tiada siapa yang tahu. Dia tidak menyangka papanya akan diserang sakit jantung. Fauzana cuma ingin mencuri perhatian kerana kehausan kasih sayang.

Fara Fauzana Datuk Farid, anak hartawan yang hidup dalam kemewahan. Dia diasuh dan dijaga oleh Mak Su Timah, merangkap pembantu rumah agamnya. Datuk Farid serta isterinya, Datin Suraya sering ke luar negara kerana urusan perniagaan. Mak Su Timahlah yang diarah untuk menjaga segala kebajikan Fara Fauzana.

Semenjak usianya meningkat dewasa, Fauzana terasa dirinya tidak dipedulikan oleh kedua-dua orang tuanya. Dia teringin mencium tangan mama dan papanya sewaktu dihantar ke sekolah. Fauzana cemburu dengan rakan sekelasnya Nur Linda yang dihantar ke sekolah oleh bapanya, walaupun dengan hanya menunggang motosikal. Dia juga cemburu dengan Haryati yang sering ke sekolah dengan membawa bekal yang disediakan oleh ibunya.

Manakala, Fauzana pula ke sekolah dihantar oleh Pak Musa, suami Mak Su Timah yang menjadi pemandu Datuk Farid. Pak Musa dan Mak Su Timah mempunyai seorang anak lelaki yang bersekolah sama dengan Fauzana, cuma Mahathir berada di tingkatan lima, manakala Fauzana pula berada di tingkatan tiga.

Dari kecil mereka membesar dan bermain bersama-sama tetapi apabila meningkat dewasa, Datuk Farid melarang mereka daripada bergaul rapat. Kini, Fauzana membesar sendirian. Abangnya, Fazley, sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Fazley memang bijak dalam pelajaran. Dia menjadi kebanggaan mamanya, Datin Suraya. Apatah lagi dia merupakan anak lelaki tunggal mereka yang bakal mewarisi harta dan mengambil alih segala urusan perniagaan papanya. Seminggu sekali Datin Suraya akan membuat panggilan jauh, menelefon anaknya bertanya khabar. Perhatian lebih yang diberikan kepada Fazley membuatkan Fauzana tambah cemburu.

"Zana tak nak makan dulu? Nanti Mak Su Timah sediakan makanan,' beritahu Mak Su Timah sebaik melihat Fauzana melangkah masuk dari pintu dapur.

"Tak pe la Mak Su Timah, kalau Zana lapar nanti, Zana ambik sendiri," jawab Fauzana penuh sopan bernada lesu.

"Kenapa Zana tu bang? Sejak Datuk dan Datin keluar negara kali ni, berubah benar perangainya," mengadu Mak Su Timah pada Pak Musa, suaminya yang baru mengunci Mercedes 280 milik Datuk Farid.

"Manalah aku tau? Anak dara....datang bulan agaknya," sambut Pak Musa sedikit melawak.

"Eh orang tua ni?  Orang tanya betul-betul !" suara Mak Su Timah meninggi sambil menampar bahu suaminya. Bukan main lagi guraunya ye?

Seketika kemudian, skuter Mahathir sampai. Pak Musa mengarahkan isterinya menyiapkan makan tengahari mereka.

Sementara Fauzana pula, menghabiskan waktu tengahrinya itu di bilik merasa bosan. Dia terasa kesunyian dan kesepian. Sesekali dia bangun dari baringnya dan menjenguk keluar. Dari jendela biliknya jelas kelihatan laman belakang rumah, tempat abangnya, Fazley sering bermain bola keranjang bersama Mahathir, semasa dia masih belum menyambung pelajarannya keluar negara. Kadang-kadang tu Pak Musa pun turut sama. Tak padan orang tua tu...boleh tahan juga tenaganya. Fauzana tesenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu.

Kini yang tinggal hanya kenangan. Hatinya merasa geram dan marah. Apa yang perlu dia lakukan untuk menarik perhatian mama dan papanya? Fauzana mundar mandir di biliknya mencari idea.

"Baik baik dik!" kedengaran panggilan manja Mak Su Timah untuk anak tunggalnya. Terdengar pula skuter Mahathir yang menderum pergi.

Fauzana tahu, di waktu petang begini, Mahathir akan ke kelas tambahan Fauzana, walaupun akan menduduki peperiksaan juga, telah dikecualikan kerana awal-awal lagi papanya telah mendaftarkan anak perempuannya itu ke kelas tiusyen. Ingatannya tiba-tiba beralih pada anak Pak Musa. Walaupun lelaki itu hanya anak seorang 'driver', Mahathir kemas berpakaian. Agak kacak juga orangnya. Dia mempunyai senyuman yang manis.

Nama Mahathir menjadi sebutan ramai pelajar perempuan di sekolahnya. Pernah juga dia dan Mahathir berbalas senyuman, namun larangan daripada Datuk Farid menyebabkan masing-masing hanya memendam perasaan.

Mahathir....Mahathir....Yes! Aku dah dapat. Fauzana memetik jari kesukaan. Mahathir akan menjayakan rncangannya, bisik hati Fauzana. Inilah satu-satunya cara untuk menarik perhatian mama dan papanya. Larangan papanya untuk tidak rapat dengan Mahathir akan menjayakan misinya.

"Apa hal dengan Fauzana tu?" tanya Datuk Farid kepada isterinya.

Semenjak dia dan isterinya pulang dari luar negeri kali ini, dia sering terpandang Fauzana di bawah pergola membuat kerja-kerja sekolah bersama Mahathir. Datuk Farid memang tidak hairan kalau si Mahathir yang mengulangkaji di situ, tapi mengapa anak daranya sama berada di situ juga? Macam tak ada meja belajar di biliknya untuk digunakan.

"Kenapa pulak?" tanya Datin Suraya hairan.

"Mesra semacam aje saya tengok dia dengan si Mahathir tu semenjak kita balik dari London?"

"Alah...biarlah bang, budak-budak. Lagipun Mahathir tu bukan orang lain, anak Pak Musa. Kan mereka tu membesar bersama? Mahathir tu saya lihat baik budaknya, bersopan santun, berbudi bahasa dan hormat orang tua," beritahu Datin Suraya panjang lebar.

"Saya tak suka. Beritahu Zana yang saya nak dia jauhkan dirinya dari anak lelaki Pak Musa tu.....kalau tidak saya akan ambil tindakan," keras arahan dari Datuk Farid yang bercakap tanpa mengangkat wajahnya dari suratkhabar di tangan.

Datin Suraya memang tidak rajin mahu berdebat dengan suaminya yang sudah dikenali dengan sifatnya yang tegas. Petang itu, Datin Suraya  mengajak Fauzana ke taman di halaman rumah mereka. Sambil minum-minum petang, Datin Suraya memberitahu apa yang disuarakan oleh papanya tengahari tadi.

Fauzana dengan perasaan marah bangun dan terus menjawab, "Mama dengan papa ni apa yang Zana buat semuanya salah! Itu tak boleh, ini tak boleh. Mama tau tak? Zana dah bosan duduk dalam rumah ni sorang-sorang. Mama dan papa  tak pernah ada masa untuk Zana. Pada siapa Zana nak mengadu?  Selama ini hanya keluarga Pak Musa aje yang ada dengan Zana yang boleh Zana jadikan tempat menumpang kasih, mencurah perasaan....."

Belum sempat Fauzana habis meluahkan kata-kata, Datuk Farid menjerkah dari belakang. "Dari dulu papa dah larang Zana jangan rapat dengan Mahatihir tu. Zana kena tahu taraf mereka dengan kita tidak sama,"

"Balik-balik taraf, balik-balik taraf. Itu sahaja yang papa tahu. Zana tak peduli....Zana dah buat keputusan. Whether you like it or not, Zana tetap sukakan Mahathir," bentak Fauzana. Lebih kepada mengugut mencuri perhatian.

Terbeliak mata Datuk Farid melihat tingkah anak gadisnya. Sakitnya hati mendengar jawapan yang diberikan. Tidak tersangka nak gadisnya kini sudah pandai menjawab dan melawan perintahnya. Selama lima belas tahun tidak pernah dia meninggikan suaranya terhadap anak gadisnya itu. Namun, petang itu dia hilang sabar, kumat kamit mulut gadis itu menaikkan darahnya. Ringan sahaja tangannya mahu diayun ke mulut celopar anak gadisnya itu. Belum sempat tangannya menyambar pipi Fauzana, tiba-tiba Datuk Farid terus kaku dan sebelah tangan lagi menekan dada kiri.

"Abang!," jerit Datin Suraya. "Pak Musa tolong! Mak Su Timah! Tolong saya!" semua nama yang terlintas diingatan ketika itu dipanggil untuk membantu Datuk Farid yang hampir rebah ke tanah. "Tolong panggilkan ambulans," arah Datin Suraya apabila nampak kelibat Mak Su Timah yang berlari keluar dari pintu dapur mendapatkan dia di laman.

Fauzana yang tadinya sangat petah menjawab, berdiri terkedu. Tidak disangka rancangan asalnya hanya untuk menarik perhatian mama dan papanya itu berakhir dengan kecelakaan. Dia terus terpaku di situ sehingga ambulans membawa pergi papanya.

Mak Su Timah memeluk Fauzana.

Pak Musa menemankan Datin Suraya mengikut ambulans ke hospital.

"Sabar Zana," pujuk Mak Su Timah. "...doakan papa Zana selamat," sambungnya lagi.

Usai solat maghrib itu, Fauzana mengangkat dua tangan berdoa, memohon ampun ke hadrat Ilahi akan dosanya kepada orang tua yang selama ini telah membesarkannya. Walaupun tanpa cukup perhatian, namun siapa boleh mengagak akan kasih sayang mereka sebenarnya?

"Ya Allah...KAU selamatkanlah papaku...aku tak berniat untuk menyakitkan hatinya," kata Fauzana dalam tangisan.

Malam itu Fauzana minta agar Pak Musa mambawanya ke hospital untuk melihat sendiri akan keadaan papanya. Dengan langkah yang longlai, Fauzana menapak ke bilik di mana Datuk Farid ditempatkan. Tadi, semasa dalam perjalanan ke hospital, Pak Musa telah memberitahunya bahawa Datuk Farid dalam keadaan koma.

"Zana cakap la apa aje...dia boleh mendengar, cuma dia tidak dapat bercakap," terang Pak Musa.

Fauzana menarik kerusi merapati katil papanya. Dia merenung wajah papanya. Dia menyesali diri kerana mungkin kali ini dia akan terus kehilangan kasih yang dicari. Dia benar-benar di persimpangan dilema. Surah Yaasin dibuka dan dia terus membaca mencari keadilan yang maha esa.

November 5, 2010

My first book.



   At the age of 51, baru aku berjaya menghasilkan sebuah novel. Bangga tak terkira sebab tak tersangka dapat berbuat demikian. Suatu ketika dulu tulisanku pernah juga terbit dalam majalah sekolah, masa tu pun dah seronok gila. Ini kan pula bila dapat menghasilkan sebuah novel yang nak menyiapkan makan masa hampir dua tahun. Dari awal tahun 2008 sejak tinggal di Setia Alam, sempat la sampai anak sulong aku berkahwin, lepas tu menguruskan anak kedua pulak.

   Tapi aku rasa berpuas hati la dengan segala yang aku usahakan itu. Memang aku suka melakukan kerja-kerja terus dari rumah sahaja. In between house chores la kata orang putih pun. Sambil menyelam minum air, kata bidalan melayu pulak. Sambil-sambil mengurus rumahtangga tu sempat juga melakukan kerja-kerja yang kita suka.

   Masa zaman sibuk-sibuk mengurus anak sekolah, asyik baca novel orang aje. Bila aku mula cuba untuk menghasilkan sendiri, baru aku rasa jerihnya untuk menyiapkan sebuah novel. Bila idea tu datang memang rasa tak nak berhenti. Tapi bila ketika blank...diperah macam mana pun dia tak datang. Cubaan yang pertama ini pun penat juga nak memikirkan untuk diubah dari cerita asal yang berakhir dengan kematian kepada happy ending.

   Nasib baik ramai yang memberi galakan untuk meneruskan usaha.
Terima kasih diucapkan pada Encik Ali dari Buku Prima yang sudi menerima cerita ku itu. Walau dia juga yang mencadangkan agar dibuat perubahan menjadikan cerita itu ala-ala Hindustan. Kena banyak konflik dan berakhir dengan happy ending, katanya.

   Sekarang ini aku cuma mahu menanti komentar dari para pembaca peminat novel. Sejauh ini yang aku tahu, dari pemerhatian ku yang rajin ke MPH dan popular mencari novel keluaran terbaru, hampir sembilan puluh peratus bilangan remaja yang meminati novel. Barangkali sebab itu la Encik Ali menyarankan aku membuat perubahan kepada hasil karya pertama tadi.

   Mereka akan lebih berminat kepada buku-buku yang mempunyai kulit yang menarik. Jalan cerita tentulah berkisar tentang cinta dan nama-nama yang digunakan dalam cerita tersebut juga perlulah yang sedap didengar dan bahasa yang mudah difahami.

   Dari pemantauan tersebut, maka akan ku hidangkan beberapa lagi cerita yang masih dalam proses untuk mencari jalan penutup. Semoga, pembaca sekalian dapat memberikan komen yang bernas untuk Diintai Rindu. Insya Allah...akan ada lagi yang bakal menyusul. Jika diizinkan Allah, Amin!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...