February 12, 2011

Begitu kehendak Tuhan...Chapter 2

            Selepas solat subuh aku dah tak boleh nak tidur balik walau hari Sabtu memang tiada urusan untuk menghantar anak ke sekolah ke hapa...
            Setelah membancuh sekole Nescafe yang ditarik agak-agak tingginya...aku duduk sendirian di meja makan sambil menulis. Dulu masa anak kecil-kecil lagi memang tak menang tangan. Tidur tu aje la waktu yang benar-benar dinamakan rehat. Kalau nak menulis ni minta maaf awal-awal lagi. Itu pun masih mampu menjahit dan membuat kerja-kerja menyulam dan mengait. Masa tu masih muda dan mata pun masih terang lagi.
            Dari corong radio yang diletakan di atas peti sejuk di dapur...kedengaran berkumandang lagu Berhembus Angin Malam dendangan Broery Marantika, lagu kegemaran arwah suamiku. Liriknya lebih kurang begini:
            Berhembus angin malam
            Mencengkam. menghempas, membelai wajah ayu
            Itu lah kenangan yang terakhir denganmu


            diiring gemuruh angin
            meniup daun-daun
            alam yang jadi saksi
            ku serahkan jiwa raga


            angin tetap berhembus
            tak henti walaupun sampai akhir hidupku
            kini tak lagi kau berada di sisiku



            Suamiku dijemput Ilahi ketika berusia lima puluh dua tahun...akibat serangan jantung. Aku tiada di sisinya ketika itu. Jenazahnya dibawa terus dari Utara di kedinginan malam setelah siap dikafankan. Aku yang minta di bawa pulang ke Selatan untuk disemadikan. Kali ini dia pergi dan tak akan kembali lagi...kalau dulu dia pergi dan sesekali dia datang lagi. Ketika itu baru aku sedar yang berlaku itu benar belaka bukan khayalan dan bukan mimpi.
            Aku pandang seorang demi seorang anak-anakku....kasihannya mereka, telah menjadi piatu? Bagaimana akan ku teruskan hidup ini tanpanya? Memang aku dah terbiasa mengurus hidup tanpa suami, tapi tika itu dia masih ada untuk berkongsi beban dan berkongsi cerita. Nak mengadu pada siapa selepas ini? Nak dirujuk kepada siapakah untuk mengurus persekolahan anak-anak?
            Aku imbas kembali akan kisah hidupku dengannya. Apa yang berlaku seakan persediaan bagiku untuk melalui masa kini. Pernikahannya dengan seorang gadis warganegara Indonesia yang membantunya di pejabat tempat suamiku bertugas semasa di Sanggau, Kalimantan Barat, menjadi punca mengapa aku mengambil keputusan untuk tidak mengikutnya berpindah pada kali terakhir itu.
            Dia lelaki yang berkemampuan mempunyai isteri lebih dari satu. Aku faham dan akur akan apa yang ku pelajari dalam agama Islam yang ku anuti. Namun hidup bermadu itu memang pahit, perit dan sakit. Dari mata dia akan membawa ke hati yang menahan rasa dan membawa ke otak sehingga berdenyut menahan kesakitan. Rasa nak menjerit sekuat hati...disangka orang macam orang gila pula. Kalau disimpan rasa nak pecah dada dibuatnya. Hanya yang mengalami sahaja yang tahu akan rasanya.
           Sudah ku lakukan sedaya yang mampu untuk menahan segala rasa. Aku beralah dan aku mengalah. Namun seperti yang aku katakan tadi...mata menjadi saksi. Dia yang begitu cemburu melihat lelaki itu bermesra manja dengan perempuan lain. Mata memberitahu hati  betapa sakitnya dia memerhati. Hati pula menyampaikan berita ke otak,  perlukah dia bertindak?
           Ketika mereka bertiga ini sedang bermesyuarat, aku sendiri tak bisa melelapkan mata. Rasanya aku tidur dalam berjaga. Maka aku bangun untuk melakukan solat sunat untuk mententeramkan jiwa membersihkan minda. Aku bayangkan yang indah-indah belaka yang bakal aku terima di 'alam sana'. Aku percaya dan seketika menjadi begitu bangga kerana aku dipilih olehNYA diantara mereka yang bermakna DIA amat menyayangi aku hambaNYA.
           Aku bangkit untuk meneruskan hidup untuk kali kedua...dengan harapan dan cita-cita untuk terus membimbing anak-anakku sehingga berjaya. Kata-kata seorang teman yang prihatin: 'Kasih pada manusia, dia akan mati...kasihlah pada Allah yang kekal dan abadi' ~ menjadi perangsang hidup ku sehingga kini.

                                                                                                                                    ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...