Pondok Indah itu seindah namanya yang ku ambil bersempena pondok-pondok yang berada di dalam perkampungan yang asalnya dusun buah-buahan. Kebetulan orang lain hanya mendirikan pondok tempat menunggu buah...tapi kami membina banglo untuk kami tinggal di situ. Aku hendak juga letak nama Anggerik Villa ke...Villa Damai ke...nanti bunyi macam angkuh pulak.
Kini Pondok Indah itu bakal ditinggalkan lagi entah berapa lama pulak.
Emak dah membebel bising, 'Orang yang tak berumah sibuk nak cari rumah....korang ni yang dah dapat rumah sebesar ni pun asyik nak ditinggalkan aje.' Dia memang macam tak mahu nak faham mengapa rumah itu TERPAKSA kami tinggalkan. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang DIA telah rancangkan untuk kami.
Teringat betapa seronoknya ketika aku tinggal di situ. Rumah itu akan riuh rendah dengan suara anak-anak saudara yang datang berkunjung bersama ibu bapa mereka. Abang aku dari Sabah tu pun ambil kesempatan turun melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail di Senai untuk sama-sama berkumpul bertemu adik beradik. Waktu petang, laman depan tu dah jadi padang bola sepak yang dulunya arwah suamiku bercadang untuk dijadikan green tempat dia practice golf.
Anak Lela Fadlee, Fahmee, Fiqhree, Adam, Alif dan Azim. Anak Jude, Daniel, Yassier dan Jeffrie. Diketuai oleh pemain senior mereka anak lelaki aku dua orang, Firdaous dan Fairouz. Lantak la...dengan bebudak ni main redah aje...tak ikut term and condition pun...asalkan bahagia!
Kami yang duduk memerhati dari porch depan rumah sambil menikmati minum petang itu jadi tukang sorak...pom-pom mama dengan kain batik. Bukan pom-pom girls dengan skirt pendek. Sehingga azan maghrib berkumandang...
Pak Ngah si Tabligh tu dah suruh berhenti bermain macam gaya referee. 'Cukup-cukup! Dah azan tu...masuk rumah pergi mandi.' katanya mengarah anak buah.
'Maghrib ni setan semua keluar.' Tambahnya memberitahu yang kecik-kecik yang masih belum mahu berhenti kerana keseronokan tadi.
'Pak Ngah!' Jerit Yassier yang tak padan montel tapi sangat berminat dengan pemainan bola sepak itu.
Pak Ngah menoleh bila terdengar panggilan dari anak saudaranya itu. Dia berhenti menapak untuk bersaing masuk dengan Yassier.
'Kalau kita tunjuk macam ni...' Yassier menunjukkan jari hantunya tegak ke muka Pak Ngah. '...setan takut tak?' Tanyanya serius.
Pak Ngah dah juling mata nak menjawab. Ada ke anak saudara tunjuk jari macam tu pada dia?
'Jude!' Pak Ngah memanggil nyaring.
Jude dari dalam yang sibuk mahu mengambil wuduk datang mendapatkan Ngah di ruang tamu.
'Kenapa?'
'Tengok anak engkau ni dia buat apa?' Tanya Ngah pada Jude yang dah macam rupa nak gelak tergolek. Tapi maintain je la...segan kan depan Ngah.
'Isy! Mana boleh tunjuk macam tu pada orang tua.' Kata Jude pula pada anaknya ala serius.
Yang hairan tu kami semua diam sahaja waktu Ngah berada di rumah tu dengan kami. Menghormati dia yang tua dan orang yang kuat agamanya barangkali.
Bila kami ulang kembali cerita itu tanpa Ngah bersama...kami semua ketawa macam nak pecah perut. Si Niena anak Lela, yang memang kalau bab ketawa ni...volumenya tak dapat nak dikawal... ketawa sampai bergolek bawah meja. Sehingga Kak Misah jiran yang tinggal dalam jarak lima puluh meter di depan rumah kami tu menyangkakan ada sesuatu di rumah itu yang dahulunya senyap sunyi.
Namun...selama ditinggalkan dan kami pulang lagi, kami sentiasa dilindungi. Tiada makhluk Allah yang tidak dapat kami lihat dengan mata kami menganggu kedamaian kami. Mereka pun pakat-pakat setuju dan tumpang sekaki dengan cerita lawak kami agaknya. CUMA...makhluk yang berkepala hitam itu sahaja yang sibuk berhasad dengki. Kami gelar mereka dengan nama PAK CHOR!
~ bersambung ~
No comments:
Post a Comment