February 26, 2011

Lawatan dari Che' Em...

Bila bercerita tentang haiwan...asyik nak bercerita tentang haiwan aje la pulak. Tapi memang macam tu ...cuba tengok kalau di panggung tu, kalau mula dengan kisah cinta, semua producer nak buat kisah cinta. Bila mula buat kisah seram, semua nak keluarkan kisah seram. Sampai cerita lawak pun nak selitkan adegan seram.

Jadi hari ni aku sambung lagi kisah tentang lawatan haiwan ke rumah kami.

Semasa kami baru berpindah ke Batang Berjuntai di Selangor, kami memang tidak diberitahu apa-apa kejadian yang berlaku kepada setiap keluarga yang telah mendiami rumah itu. Mungkin tak adalah hebat sangat ceritanya, namun aku akan ceritakan juga lah buat bacaan dan hiburan kepada kalian dan anak-anak cucu yang membuat lintas langsung ke blog Tok Mummy mu ini. Anggap la membacanya seakan membaca buku cerita kanak-kanak.

Maka tersebut lah kisah satu pagi itu, secara kebetulan aje aku membuat 'jemput-jemput pisang'
( banana fritters ) ~ bahasa orang putihnya atau nak nama glamour. Setelah siap bersarapan, suamiku pun bertolak ke pejabat. Anak-anak pula ke sekolah dihantar oleh pemandu kami. Aku terus naik ke bilik bersiap untuk ke pasar pula. Oleh kerana rumah itu terletak di atas bukit, maka aku tanpa berfikir panjang terus membuka setiap tingkap yang berada di tingkat atas. Lagipun, rumah kami itu dikelilingi pagar dan ada Tukang Kebun yang sedang bekerja di laman.

Semasa aku pulang dari pasar, aku terasa lapar la pulak sebab semasa anak-anak dan suamiku bersarapan pagi tadi aku sedang sibuk mengemas dapur. Bila ku buka tudung saji, aku lihat piring yang berisi dengan jemput-jemput pisang yang masih berbaki tadi, sudah tidak ada sebiji pun.

'Siapa pulak yang balik?' Aku menapak perlahan menaiki tangga. Mana la tahu ada yang pulang kerana tidak mahu ke sekolah di tempat yang baru itu. Aku jengah masuk ke setiap bilik...tiada sesiapa di situ. Aku dah mula cuak...maklum la tempat baru kan? Aku kemudiannya berlari turun dan mendapatkan Tukang Kebun ku yang sedang menyapu di bawah pokok pauh yang rendang di belakang dapur rumah itu.

'Samy!' aku memanggilnya.

Dia berhenti dari menyapu dan menoleh ke arah ku.

'Tadi...ada orang balik rumah tak masa saya pergi pasar tadi?'

'Tak da orang la...tadi saya kerja depan...baru sekarang juga saya kerja belakang.' Ceritanya terperinci. 'Apa hal?' Dia bertanya lagi.

'Saja mau tanya.' Aku menjawab pelik. Memang tak nampak kesan orang balik ke hapa...cuma tu aje la yang buat aku bingung sekejap. Siapa yang diam-diam menghabiskan jemput-jemput pisang  yang aku sendiri belum menjamahnya? Aku pun kembali masuk ke dalam dan menyambung kerja-kerja yang patut dilakukan setelah pulang dari pasar tadi. Kini kejadian itu menjadi misteri yang sedang bermain di kotak fikiran ku.

                                                                                                         ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...