Terasa berbaloi sungguh penat aku apabila rumah yang telah lebih dua puluh tahun ditinggalkan itu dapat ku pulihkan keadaannya lebih baik dari mula dulu. Anak-anakku memberi kerjasama yang sangat baik. Mereka pun macam setuju aje mengikut cadangan ku untuk tinggal di situ.
Setiap pagi akan ku peruntukkan selama dua jam untuk mengemas kawasan keliling rumah sebelum masuk ke dapur untuk menyediakan makanan tengahari. Kebetulan Adik sekolah sesi petang dan perlu mengisi perut sebelum ke sekolah. Dia ni macam orang tak berhidung...nak ke kantin cari makan pun segan...entah kenapa.
Aku berazam untuk mempersiapkan rumah itu sebelum kepulangan suamiku lagi sekali. Biar dia lihat sendiri apa yang ku katakan itu memang aku kotakan. Tak duduk diam aku selagi kerja-kerja mengemas dan mencantikkan rumah itu belum siap. Buat la sikit-sikit...bila penat tu berhenti rehat...siapa yang nak marah, rumah kita sendiri kan?
Semenjak suamiku berpindah ke utara, kami memang jarang berjumpa kerana suamiku hanya akan pulang bila ada cuti atau kebetulan dia ada urusan kerja di sebelah selatan. Tapi sejak jarang berjumpa, perangainya menjadi berlainan benar. Walau dia balik hanya sehari, masa itu akan dipergunakan sebaiknya. Setiap kali dia bercadang untuk pulang, dia akan menelefon memberitahu apa agendanya untuk kami. Kami akan diarah untuk bersiap jika dia bercadang membawa kami makan di luar. Walau bagaimana ketat masa yang ada, dia mahu semua anak-anaknya ada sama. Mungkin bila dah berjauhan itu terasa benar rindunya pada kami yang telah lama hidup berulit dengannya.
'Kenapa mama tak nak ikut papa pindah?' tanya Angah yang pulang hujung minggu itu untuk membantu kerja-kerja menanam rumput carpet yang masih bersisa.
Aku yang sedang meratakan pasir di bahagian sebelah sini laman menoleh dengan pertanyaan Angah itu. Bukan kelmarin dah beritahu kenapa dan mengapa ke? Dia tanya lagi pulak. Karang kalau aku ikut...dia juga yang payah nak jumpa. Dah la tempat tu nun jauh ke utara....takat cuti sehari dua tu dah tentu tak mungkin dia akan dapat nak balik berkumpul. Tak tau la apa yang ada dalam fikiran dia...tapi aku pilih untuk tidak mengikut suamiku, salah satunya sebab anak-anak. Suamiku dah tentu ada isteri lain bersamanya...aku dan anak-anak pulak ada siapa lagi selain kami sesama sendiri?
'Tak payah la...tahun ni kan Kakak nak ambil SPM?' aku menjawab juga untuk menyenangkan hatinya. 'Ala...dah tinggal berapa tahun je lagi...esok-esok dia pencen, kita dah tak susah-susah nak cari rumah lagi.'
Kali ini giliran dia pulak senyap. Memikir akan kata-kataku tadi agaknya.
Nak dikatakan bahagia tanpa suami tu tidak juga la...rindu tu tetap ada. Cuma tak sakit mata dan tak susah hati aje. Akulah ibu dan akulah bapa sekarang ini. Aku bertanggungjawab untuk mengembirakan hati mereka dengan cara ku. Aku boleh juga membawa mereka berhibur waktu cuti...kiranya aku boleh la nak melayan apa yang mereka mahu kerana aku dah mohon peruntukan dari papanya. Suamiku pun tak boleh nak marah bila aku usulkan pendapatku itu padanya. Dia dah sedia maklum bila dia pilih untuk membuka cawangan baru, dia tak dapat nak memenuhi keperluan cawangan yang lain seperti masa sebelumnya. Masa itulah baru aku nampak bahawa 'wang' memainkan peranan besar dalam mengendalikan segala urusan.
Hidup memang memerlukan 'wang'. Siapa yang boleh hidup dengan cinta sahaja tanpa perlu 'wang'? Dengan 'wang' kita dapat mengendalikan segala urusan dengan mudah sekali. Cakap aje apa yang nak kita lakukan....sebab itu aku berani hidup tanpa suami asalkan aku dibekalkan dengan 'wang'. Kalau suami di sisi pun tapi tak ber'wang'...bagaimana tu? Tanya mereka yang mengalami masalah itu...
Dari pemantauan aku sepanjang hidup ini...seorang ibu bisa menjadi ibu dan bapa sekali gus. Namun seorang bapa tidak akan mampu mengambil alih tugas sebagaimana yang sering dilakukan oleh seorang ibu. Memang aku belum nampak lagi sepanjang hayatku ini...wallahualam.
~ bersambung ~
No comments:
Post a Comment