Kisah berikut ini adalah tentang asal usul mengapa dan kenapa aku sangat fobia dengan 'pak anjang' ni. Hari ni terpanggil pulak nak bukak cerita lama.
Aku ni walau bukan dari keturunan bangsawan, kaya raya atau apa pun yang seangkatan dengannya, namun aku membesar di tengah bandar. Walau pun waktu itu masih belum membangun Kluang tu. Tapi hidup memang boleh dikategorikan senang. Jalan kaki boleh sampai sini...jalan sikit boleh sampai sana. Tak payah nak berkereta bagai...
Tup tup aku akhirnya tinggal di dalam hutan...estate tu macam dalam hutan juga la bagi orang yang tidak tahu. Nampak dari luar memang macam masuk dalam hutan...tapi di sebelah dalamnya memang macam Taman Perumahan. Siapa sangka kan? Rumah yang disediakan untuk menjadi tempat tinggal kami tu kekadang dikelilingi pokok-pokok getah, ada sesetempat dikelilingi pokok-pokok koko tapi kebanyakannya ditanam dengan pokok kelapa sawit. Maka rumah kami ni sering menerima tetamu yang tak diundang.
Tetamu ni pun kemain...kalau datang tu masuk ikut suka. Sedar-sedar dia dah ada dalam rumah. Satu hari tu tetiba dia ada atas meja dapur...satu ketika pulak dia dah ada dalam bilik stor kami. Tapi yang paling best masa dia datang lepak-lepak dekat ruang tamu kami.
Pagi tu aku baru lepas berkemas rumah, siap vacuum lagi. Siap memasak, sementara menunggu anak-anak ku pulang dari Tadika dan suamiku pulang untuk makan tengahari, aku duduk menonton TV. Dari duduk aku terasa nak menegakkan urat saraf...aku campakkan sebiji kusyen ke bawah dan aku pun melengkar. Hurm...seronoknya dapat berbaring waktu-waktu gini...bisik hati ku.
Aku yang memang sedikit cerewet kalau berkemas rumah ni...cepat terpandang pada satu objek panjang yang sama melengkar macam aku.
'Eh? Bukan aku baru berkemas tadi ke? Siap vacuum lagi....mana datang pulak kayu tepi dinding tu?' Aku bercakap sensorang. Lalu aku bangun dan mendekati objek itu.
'Mak!!' Aku menjerit bila aku yang membongkok mahu mengutip objek yang serupa kayu sebatang itu bergerak. Objek itu terus bergerak perlahan menuju ke arah bilik tidur ku. Gila la...
Oleh kerana aku memang tidak berani dan tidak tahu bagaimana cara untuk mengusir objek itu, maka fikiran ku cepat teringat kepada adik ipar ku yang masih belum mahu meninggalkan bantal busuk dan tempat tidurnya.
'Tam!' Aku menjerit memanggil sambil mengetuk pintu biliknya sekuat hati. Isy! Kalau dia lepas masuk dalam bilik tu macam mana? Bermakna malam ni dia tidur bilik dan aku tidur luar ke?
Pak Tam yang masih lagi mamai itu segera membuka pintu. 'Ada apa?' Dia bertanya sambil menggaru kepala.
'Tolong cepat!' Aku menarik tangannya agar keluar dari biliknya itu. 'Tu tengok....dia dah nak masuk bilik.' Aku menunjuk ke arah objek yang sudah pun meleperkan badannya.
Tanpa berfikir panjang...Pak Tam terus mendapatkan objek itu dan menariknya. Nampak dia macam kena tarik kuat sikit memandangkan kepala objek itu telah lolos masuk ke dalam bilik. Isy! Hebat la dia... tak takut langsung, fikir ku. Selepas dia dapat menarik objek itu, Pak Tam menuju ke pintu utama. Dengan gaya pelontar cakra di satu pertandingan sukan, dia memusing-musing objek itu ke udara sebelum melemparnya jauh ke bawah bukit. Dia kemudiannya menggosok-gosok kedua tapak tangan tanda puas hati.
Sambil menapak ke arah biliknya untuk menyambung tidur, dia berpaling bertanya, 'Apa benda tu?'
Aku yang tersandar di dinding sambil menggigil geli geleman tadi membeliakkan mata... 'eh? tak tau ke?'
Dia hanya menggelengkan kepala.
'Ular la...' kataku perlahan. Gaya orang berbisik, padahal bukan benda alah tu ada kat situ nak mendengar.
Dia kemudian terus berjalan masuk ke biliknya sambil menggigil geli geleman.
Semenjak itu memang aku tak akan melengkar tanpa memeriksa keadaan sekeliling terlebih dahulu. Semenjak itu juga aku jadi fobia pada binatang itu. Dulu emak memang tak pernah sebut nama sebenar untuk binatang itu, entah kenapa. Jadi aku pun terikut-ikut menggelarnya dengan nama Pak Anjang.
No comments:
Post a Comment