March 19, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 9

            SEMENJAK Kelisa Nur Najwa ada di rumah, dah makin jauh rayau Pak Din. Dulu masa pakai motosikal Honda cabuk tu, ada aje bersidai di warung Pak Ya.
            Mak Zah yang mencari dah naik geram. Kalau dia pandai bawak motosikal yang ditinggalkan oleh suaminya itu, tidaklah penat sangat dia menapak ke warung Pak Ya yang selang dua blok dari rumah teresnya. Ditelefon tak berjawab. Orang yang memandu ni telefonnya disambung dengan handsfree, macam Nur Najwa anaknya selalu buat kalau nak kepejabat pagi-pagi tu. Ini pakai henset tiga tiga sekupang tu nak handsfree ke bendanya?

            "Dari mana tu Kak Zah?" Jerit si Maimon yang sedang menggoreng keropok lekor depan rumahnya yang dipasang dengan payung besar. Maimon isteri Talib yang bawak bas awam tu memang rajin membantu suaminya mencari duit sampingan.

            "Cari Pak Din kamulah," jawab Mak Zah yang sama menghayun langkah masuk ke kawasan rumah Maimon.

            "Kat warung Pak Ya dah cari?" Maimon pula mengajar kerana di kawasan itu kalau nak cari laki yang hilang, carilah di warung Pak Ya. Memang mereka rajin ramai-ramai berlonggok di situ lepas Asar dan Isyak.

            "Aku ni dari sanalah. Dah call tak jawab. Penat aku menekan butang telefon rumah tu...sampai dah nak tenggelam punatnya....tak berangkat. Entah ke mana ajelah orang tua ni..." ujar Mak Zah yang menarik sila di atas pangkin depan rumah Maimon itu.

            "Ada mustahak ke Kak Zah?" Soal Maimon lagi yang merenik peluh di dahi menghadap kuali besar dengan minyak yang panas penuh menggoreng keropok setiap petang menunggu anak-anak yang pulang dari sekolah.

            "Nak ajak cari blender kat kedai letrik di bandar tu....blender akak, motornya dah terbakar agaknya. Esok Soon Seng tokeh kedai perabut tu mintak buatkan nasi lemak lima puluh bungkus. Ada jamuan apa entah dekat kedainya?"
            Mak Zah memang orang dah kenal lama akan nasi lemak buatannya di kawasan perumahan itu. Pagi-pagi Pak Din akan menghantar lima puluh bungkus ke warung Pak Ya. Mak Zah akan terima sahaja tempahan kalau ada yang mahukan nasi lemaknya. Dapat juga duit poket untuk dirinya sambil-sambil melakukan kerja-kerja rumah. Mereka semua sukakan sambal tumisnya. Kadang-kadang kalau ada yang minta buatkan kuih muih, Mak Zah terima juga. Alah! Dia bukan ada anak kecil yang nak menyibuk mengacau. Sekarang ni, nak ajak Pak din keluar beli barang, entah dah ke mana pulak? Hari dah semakin petang.

            "Ni kak...air sirap aje....minumlah dulu, basahkan tekak," pelawa Maimon.

            "Susah-suah aje kau Mon, akak ni saja singgah nak lepaskan tension, kata orang putih. Kalau tak lepaskan geram ni, nanti Pak Din kamu tu tak sempat masuk ke rumah aku kerjakan," marah Mak Zah sambil meneguk perlahan air sirap.

            "Tadi akak tak cakap dengan dia awal-awal..."

            "Mana sempat nak cakap? Masa akak solat Zohor dia dah keluar..." Cepat Mak Zah menjawab belum habis ayat Maimon. "Eh? Sambunglah kerja kau Mon, akak ni mengacau aje ye?"

            "Tak adalah kak, Mon gorengkan sikit untuk abang Zahar tu. Dia beritahu nanti dia ambil masa lalu jemput anaknya dari sekolah agama," jelas maimon yang sudah pun mematikan api dan sama melabuhkan duduk di pangkin bersama Mak Zah.

            "Seronok berniaga ni ye Mon? Kang bebudak balik semua singgah sini beli airlah, beli keropoklah. Berapa batang sehari ais krim Malaysia yang engkau buat Mon?" Tanya Mak Zah yang memang tahu Maimon buat ais krim sendiri yang dimasukkan ke dalam plastik panjang dan hanya dijual dua puluh sen sebatang. Ada perisa jagung, laici, asam boi, nenas dan cincau. Laku gila kalau musim panas ni...kadang-kadang tu sampai tak cukup.

            "Ada dekat seratus batang kak...tapi tulah...kalau dah diisi dengan menatang tu, ikan, ayam semua tak bertempatlah. Nasib baik ada Pak Mail tu, saya tak pernah beli simpan. Kalau beli hari-hari terus aje masak," cerita Maimon.

            "Ha ah...lagi fresh," Mak Zah mengiakan. "...simpan lama-lama pun, tak sedaplah Mon. Akak pun buat macam tu aje. Bukan kita tinggal dalam estet ke, dalam hutan ke yang nak kena beli simpan banyak-banyak."

            "Wawa ke mana kak? Mon tengok kereta dia ada aje depan rumah akak dah seminggu ni?"

            "Cuti...pergi rumah Nazri. Dah lama tak jumpa dengan abang Ngah dia, katanya."

            "Akak tak ikut sekali pulak?"

            "Kuasa akulah Mon. Dia nak pergi sampai dua tiga bulan, tak mana Pak Din tu hingin nak mengikutnya lama-lama."

            "Lamanya?" Tanya Maimon agak pelik. Bercuti sampai dua tiga bulan? Kena tukar kot? Mak Zah salah dengar ni.

            "Entah! Wawa cakap tiketnya mahal...tak kan nak pergi sehari dua?"

            "Betul juga kak. Tapi hari tu saya nampak ada kereta besar putih depan rumah akak tu sapa?"

            "Kereta putih?" Mak Zah berkerut kening mengingat.

         
           "Ala....ada lelaki Cina datang dukung anak tu?"

            Lelaki Cina datang dukung anak? siapa pulak si Maimon nampak ni?

            "Yang balik dengan Wawa tulah kak?"

            "Ooo...yang itu...tu bos baru Wawalah..."

            "Dia nak apa kak?" Nak kata datang beraya bukan bulan raya. Raya Cina pun tidak kalau kata datang nak hantar limau Mandarin.

            "Anak dia demam. Mintak Wawa tolong jagakan di rumahnya sana. Budak tu tak nak dengan orang lain," jelas Mak Zah.

            "Isy! Kak Zah ni....boleh dibiarkan aje si Wawa tu ikut orang Cina balik ke rumahnya?" Beliak mata Maimon menegur Mak Zah.

            "Melayulah Mon....bila pulak akak nak biarkan si Wawa tu ikut orang Cina...gila apa ke nama?"

            "Eh? Biar betul kak. Mon tengok sebiji macam orang Cina."

            "Entah! Akak pun tak perasan Mon, tapi baguslah tak sombong. Sudi datang ke rumah orang macam akak ni."

            "Hah! Tu dia!" Tegak telunjuk Maimon menunjuk ke arah Kelisa yang baru melintas lalu. Nampak terang dan jelas Pak Din yang memandu sebab Pak Din turunkan cermin tingkapnya.

            "Nak kena orang tua tu...siap dia," kata Mak Zah sambil turun menyarung seliparnya. Tadi cantik dia berayun kaki tanpa selipar masa sedang seronok bercerita. "Akak balik dulu Mon...nak ke bandar ni. Karang lambat nak menyiapkan sambal nasi lemak Soon Seng tu."

            "Kak! Mon kirim beli plastik ais krim dengan laici dua tin!" Jerit Maimon yang melihat Mak Zah dah berjalan pantas rupa itik pulang petang mengejar Pak Din.

            "No hal!" Mak Zah pun sama menjerit tanpa menoleh ke belakang lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...