KEDATANGAN Mak Zah dan Pak Din disambut baik oleh Najmi yang sedang menunggu anaknya di wad hospital.
"Macam mana dia sekarang bos?" Tanya Mak Zah ramah.
"Macam tulah mak cik, sekejap baik...sekejap lagi panas balik suhu badannya," jelas Najmi yang sudah tidak rupa orang gayanya. Misai janggut semua dah tak sempat nak bercukur. Jambangnya dah hitam di pipi. "Ni asyik menangis aje....dah kena asthma pulak."
Menurut Pak Hussin, semenjak anaknya masuk hospital, dengan dia sekali tak pernah balik ke rumah. Pak Hussin itulah yang jadi tukang hantar barang-barang keperluannya.
"Kesiannya...." ujar Mak Zah yang mengelus perlahan wajah comel yang sudah mulai cengkung dan kelihatan sangat pucat itu.
"Najwa tak nak datang tengok ke mak cik?"
"Dia mana tau hal ni..." kata Mak Zah yang rasa kecewa pula dengan keadaan yang berlaku. Sebagai orang tua, dia faham anak itu amat merindui Nur Najwa anaknya. Kalau demam biasa-biasa sahaja sudah tentu sudah lama pulihnya. Masakan Tan Sri hendak membiarkan sahaja cucunya terlantar di katil wad itu?
"Ayah saya dah cuba hubungi dia, tapi tak berjawab mak cik. Dengar cerita dia dah ke Sabah? Dia dapat kerja di sana ke?" Najmi yang risau akan keadaan anaknya itu bertanya macam polis penyiasat pula.
"Dia cakap nak pergi bercuti aje....tak pulak cakap sampai nak cari kerja dekat sana," terang Mak Zah sama risau.
"Kalau dia ada call mak cik, tolong beritahu pasal anak saya ni. Kata ayah dia demam rindu, itu yang tak kebah-kebah demamnya. Kalau dapat jumpa Najwa mungkin dia boleh pulih agaknya," terang Najmi pula. "Nasib baik saya ni kerja dengan syarikat ayah...kalau kerja dengan Kerajaan dah lama kena berhenti." tambah Najmi minta simpati.
"Nenek!" Si kecil tiba-tiba bersuara.
"Hai sayang..." Mak Zah yang sedang mengurut perlahan badan si kecil tadi terkejut dengan suara itu. "Kesian cucu nenek demam ye?"
"Nenek! Where's my mummy?"
Mak Zah bingung bila disoal oleh si kecil dalam bahasa Inggeris. Bukan dia tidak faham, cuma dia tidak tahu hendak membalas balik. "Mummy....go...holiday..." kata Mak Zah sebutir-sebutir gaya ayam patuk beras.
"I wanna go with mummy, daddy..." ujar si kecil yang menggagahkan diri berpaling mencari wajah ayahnya.
"You can go...no problem," sahut Mak Zah bangga kerana si kecil memahami bahasa yang digunakannya tadi.
"Sure sweetheart! We'll find mummy..." sambut Najmi dengan merah mata menahan sedih bercampur gembira melihat anak yang sudah mula membuka mata dan mahu bercakap itu. "Get well...daddy will take you to see mummy." Najmi mengucup dahi anaknya. Air mata sama merembes keluar tanpa tertahan dan tanpa rasa malu dan segan dengan Mak Zah yang sama berada di situ. Tidak tersangka si kecil seakan terubat dengan hanya mendengar suara Mak Zah.
"Promise?" Si kecil mengunjukkan kelingkingnya.
Najmi memandang Mak Zah. "Promise," jawab Najmi sama mengaitkan kelingkingnya.
"Can I go home now, daddy?" Kata si kecil sambil berusaha untuk bangun.
Najmi beliak mata memandang. "Not yet, sayang."
"Tomorrow?"
"I'm not sure...depend on you."
"I'm okay now daddy...I wanna go home to see mummy."
Najmi sudah tidak tahu hendak cakap apa. Dia menapak ke tingkap menggaru kepala yang tidak gatal. Berjanji bermakna harus ditepati. Hendak dibawa anaknya ke sebelah mana Sabah untuk mencari Nur Najwa? Ditelefon pun tidak berangkat, macam mana hendak pergi mencarinya di sana? Bukan kecil negeri Sabah itu? Makanya masih dipenuhi dengan hutan pula....haisy!
"Adik rehat dulu ye sayang? Kalau tak sihat nanti mummy tak nak jumpa," pujuk Mak Zah pula. Bantai ajelah cakap Melayu pun.
"Okay nenek...can I have something to eat?"
"Opkos!" jawab Mak Zah dalam pelat Melayu/Inggeris. Biasa dia dengar Nur Najwa berborak dengan anak abang Longnya begitu, Mak Zah pun sudah pandai mengajuk. Mak Zah mengeluarkan Bubur
Ayam yang dibawanya dari rumah.
Mak Zah sama keseronokan. How amazing! Kata orang putih. Mana tidaknya? Kebetulan dia datang petang itu, si kecil sudah mahu membuka mata dan kini minta makan pula.
Najmi berpaling memandang anaknya yang duduk bersandar dan sedang mengangakan mulutnya minta disuap bubur yang dibawa oleh Mak Zah itu. Nampak berselera benar pula makannya. Memang selama berada di hospital itu dia tidak mahu menjamah makanan. Terpaksa pihak hospital menggunakan cara yang lain pula.
No comments:
Post a Comment