~ sambungan ~
MAK ZAH yang berlenggang pulang dari jemputan kahwin itu mengetuk cermin kereta. "Kamu dah tak reti masuk rumah?"
Terkumat kamit mulut emaknya hanya diperhati dari dalam kereta. Nur Najwa mengangguk-anggukkan kepala. Setelah keluar dari perut kereta, Nur Najwa cepat menekan remote mengunci Kelisanya. Begnya dijimbit mengekor langkah emaknya.
"Dah sihat ke si kecik tu?" soal Mak Zah.
Nur Najwa yang menunggu di belakang emaknya yang sedang membuka pintu rumah itu hanya membatu.
Mak Zah geram. Orang tanya tak menjawab...payah sangat ke nak bukak mulut tu? "Kamu ada buat salah ke ni?"
Nur Najwa mengiakan dalam hati. Memang! Hari ni bos sombong yang angin satu badan tu kena tengking dengan aku. Orang dah elok-elok duduk rumah dia ajak keluar, lepas tu tak nak jadi drebarlah pulak.
"Wawa! Cuba cakap dengan emak, kamu dah buat apa dekat rumah Tan Sri tu?" Mak Zah berpaling bertanya anaknya. Dia sudah faham benar dengan perangai anaknya itu. Mungkin betul juga kata arwah emak Mak Zah dulu, anak nombor tiga ni memang kepala batu. Nak ikut cakap dia aje.........
Mak Zah melabuhkan duduk sambil mengipas muka dengan hujung selendang.
"Mana ada orang buat apa-apa?" Jawab Nur Najwa tidak mengaku.
"Habis tu, cepat pulak kamu balik? Kata bos kamu hari tu nak suruh tunggu dua tiga hari?"
Nur Najwa yang masih terpacak di mata tangga itu merenung wajah emaknya. "Emak! Wawa rasa nak berhenti kerja dekat situlah."
"Nak berhenti kenapa pulak?" Mak Zah tidak melenting mendengar permintaan anaknya itu. Mungkin kerana jawatan setiausahanya kini telah disalah gunakan sehingga Nur Najwa terpaksa menjadi pengasuh kepada anak bosnya yang demam itu membuatkan Nur Najwa bosan.
"Habis tu...kamu nak buat apa? Dah dapat kerja lain ke?" Soal Mak Zah lagi kerana bimbang juga kalau Nur Najwa tidak bekerja siapa yang hendak membantu dia membayar bil-bil di rumah itu?
Melihat emaknya yang bersuara lembut bertanya, Nur Najwa memberanikan diri mendekati emaknya. Beg bajunya ditinggalkan di tepi tangga.
"Lagipun kan mak..." Nur Najwa duduk di sebelah Mak Zah dan memeluk lengan wanita itu minta simpati. "...ada sorang Dato' ni asyik je kacau Wawa kat opis tu...."
Belum sempat Nur Najwa habis bercerita, Mak Zah cepat memangkah. "Dato' mana pulak ni?"
"Dato' Khairy tu...yang Wawa ada cerita dia beli rumah kedai tiga pintu nak dijadikan opis dia tu?" terang Nur Najwa mengingatkan.
"Hah! Dia nak apa lagi asyik datang ke opis tu cari kamu?"
"Dia ajak keluar makanlah...nak ajak tengok wayanglah. Wawa takut nanti mak datin bininya tu datang opis serang Wawa, macam mana?"
"Yang kamu dah tau dia tu dah berbini, kamu pergi layan buat apa?"
"Mana ada..."
Mak Zah terdiam mengingat. Kalau anaknya suka dia tak kisah juga, tapi kalau anaknya sendiri mengadu tidak sukakan situasi itu, dia harus menerima keputusannya.
"Ya lah...kalau itu yang terbaik untuk kamu Wa, emak tak kisah."
Nur Najwa menarik senyum. Tetapi sebenarnya dia sudah ada rancangan lain. Dia tidak mahu tinggal dengan emak dan ayahnya buat sementara ini, takut ada yang datang mencarinya.
"Mak! Kalau Wawa cakap emak jangan marah tau?"
Mak Zah berpaling. "Apa?"
"Wawa dah call Abang Ngah, Wawa nak ke KK rumah Abang Ngah sebulan dua ni, boleh?"
"Amboi! Lamanya?"
"Laaa...KK tu kan jauh mak. Mahal tambang nak ke sana tu. Pergi sehari dua buat apa? Buang duit aje."
"Kamu nak ke sana cari apa? Sini pun boleh cari kerja Najwa," tegur Mak Zah.
"Bukan pasal kerjalah mak...ni pasal Dato' tu. Wawa dah cakap macam-macam tapi dia tak reti bahasa. Kelmarin dia call bos cari Wawa...nasib baik Wawa dekat rumah bos jaga anak dia. Kalau Wawa ada dekat sini, nanti dia boleh cari. Biarlah Wawa hilang dua tiga bulan ni...bagi dia lupa, ye mak?"
Mak Zah cepat merangkul bahu anaknya. "Ya lah....tapi jangan sampai tak ingat nak balik pulak. Penat emak bela dari kecik, dah besar semua nak lari duduk jauh-jauh," pesan Mak Zah.
Nur Najwa angkat sebelah tangan. "Wawa janji dengan mak... Wawa mesti balik lepas tu."
Mak Zah mengucup dahi anaknya. Najwa...Najwa....
Najwa mengucap syukur dalam hati. Biarlah emak dia tidak tahu tentang masalah dia dengan anak Tan Sri itu. Tetapi alasan yang dia berikan tadi itu memang benar pun.
No comments:
Post a Comment