"BILA si Wawa ni nak balik Zah?" Tanya Pak Din yang sedang menyuap nasi malam itu.
Mak Zah sedang mengelap daun pisang untuk buat membungkus nasi lemak permintaan Soon Seng si tokeh kedai perabut. Untung juga baik dengan Soon Seng tu, masa hendak mengadakan majlis perkahwinan anaknya Nur Najwa kelmarin, set bilik pengantin siap dapat discount lagi. Lepas tu Soon Seng beri percuma bantal tidur empat biji dan sebiji bantal guling. Semenjak itu, Mak Zah tak berhenti dapat pesanan nasi lemak setiap kali Soon Seng buat jamuan.
"Baliklah tu tak lama lagi....tak kan dia juga nak menetap di sana?" Jawab Mak Zah. "Kenapa bang?"
"Pak Hussin tanya masa siang tadi jumpa dekat simpang tiga nak ke warung Pak Ya tu," ujar Pak Din sedap mengesip tulang ikan cencaru yang disumbat tengah belakangnya.
"Eh? Dia tak tahu ke Wawa dah berhenti kerja?"
"Mana dia tau aih! Dia yang mendengar pun terkejut," cerita Pak Din.
"Oh ye..." Mak Zah baru teringat, kan anaknya Najwa berhenti kerana hendak sembunyikan diri dari Dato' apa ke namanya tu? "Wawa cakap jangan beritahu sesiapa dia pergi ke Sabah. Awak ada beritahu Pak Hussin ke?"
"Dahlah...habis awak tak cakap awal-awal itu rahsia...mana saya tahu?"
"Laaa...kalau Dato' tu tahu tentu dia ke sana cari Wawa pulak..." suara Mak Zah risau.
"Dato' mana pulak? Bukan Tan Sri ke yang cari dia pasal cucunya itu sakit teruk sampai masuk hospital nak kan Wawa?"
"Ai? Tak sihat lagi ke budak tu? Kesiannya."
"Meracau, kata Pak Hussin...Tan Sri pun dah naik bimbang. Dia cuba contact Wawa guna nombor hensetnya tak berangkat. Tak ada line ke dekat tempat Nazri tu?"
"Duduk tengah bandar, tak ada line apa ke bendanya? Wawa call saya boleh aje?"
"Cuba awak call Wawa, beritahu pasal cucu Tan Sri tu...manalah tau, ada belas kesian dia nanti dia balik?"
"Budak tu rindukan Wawa ke?"
"Tan Sri beritahu Pak Hussin macam tulah. Dah puas berubat kat hospital...macam tu juga. Dah naik cengkung, kata Pak Hussin."
"Ya ke?" Tanya Mak Zah pelik. Macam mana budak kecil tu boleh sayang sangat dengan Nur Najwa anaknya? "Jom kita gi melawat budak tu bang?" Ajak Mak Zah yang sudah pernah melihat cucu Tan Sri itu.
"Bila?" Soal Pak Din bunyi terkejut atas permintaan isterinya itu.
"Eh? Esok-esoklah.." jeling Mak Zah melihat suaminya tekun menghadap cencaru sumbat itu dah habis dua ekor dia seorang sahaja. Ingatkan dah kenyang menebeng di warung Pak Ya tu....rupanya pandai pulak lapar. Nasib baik Mak Zah tu rajin melayan masak makannya. "....tak kan tengah malam ni pulak?"
"Boleh juga," jawab Pak Din menolak pinggan ke tengah meja. Dia bangun ke singki mencuci tangan.
No comments:
Post a Comment