~ sambungan ~
SEMENTARA di rumah agam Tan Sri....
"Mana perginya semua orang ni Cik Tipah?" Tanya Noor Azizah yang baru pulang dari Gunung Ledang malam itu. Nampak gaya macam dulu juga. Ingatkan abang Jimi dah balik sini bolehlah riuh sikit suasana di dalam rumah itu.
Cik Tipah datang dari dapur dengan sos cili nasi ayam. "Nanti Tan Sri balik, Cu tanyalah sendiri. Cik Tipah tak pandai nak cerita sebab tak dengar sendiri."
"Apa halnya ni? Abang Jimi gaduh lagi ke?" Noor Azizah masih mengorek cerita. Dulu tu dia tak berapa nak ambil kisah pasal abangnya Najmi kerana dia sedang sibuk belajar. Ada juga ayah bercerita sikit-sikit apa yang berlaku dengan abang Jiminya di California kerana ayah yang sering ke sana melawat anak lelakinya itu. Terasa rugi bila satu-satu abang yang dia ada berumahtangga dengan orang barat. Apatah lagi perkahwinannya pula tidak direstu oleh mama, maka mereka memang tidak rapat dan tidak mengenali diantara satu dengan yang lain.
Cik Tipah hanya geleng kepala.
"Ayah ada cerita dengan Cu dulu....tapi masa tu Cu tak habis marah dengan abang Jimi lagi. Cu geram. Sebab dia mama sampai kena darah tinggi dan serangan jantung. Cakap dengan mama belum nak kahwin, tapi bila ayah hantar dia kerja di sana...tak sampai tiga bulan dengar dia dah menikah," cerita Noor Azizah sambil seronok meratah timun dan daun salad yang dicolek dengan sos cili buatan Cik Tipah.
Cik Tipah yang tekun mendengar hanya memandang Noor Azizah yang sedang berselera itu. Berderap derup bunyi timun yang diratahnya itu.
"Eh? Cik Tipah tak makan sama?" Baru Noor Azizah teringat hendak pelawa sedangkan nasinya sudah habis separuh pinggan.
"Dah tadi...lepas maghrib. Cik Tipah ingat tak ada orang nak balik makan dah....tu yang Cik Tipah awal dah makan."
"Hurm....Cu tadi kena hantar kawan sorang tu balik. Dia datang hari tu dengan teksi...kesian pulak dah malam-malam ni nak biarkan dia balik dengan teksi. Perempuan pulak tu..."
"Cu nak tambah nasi ke?"
"Supnya ajelah Cik Tipah," pinta Noor Azizah.
Cik Tipah ke dapur dan kembali lagi dengan sup tambah untuk Noor Azizah.
"Cik Tipah tengok isteri abang Jimi tu macam mana?"
"Eh! Bagus orangnya Cu....pandai buat kerja, masak memasak semua ni. Yang Cik Tipah suka tu dia pandai melawak. Kalau dia bercerita siap dengan aksi sekali. Nak pecah perut Cik Tipah ketawa dengar dia bercerita. Tapi kan?...."
Noor Azizah mengangkat wajahnya dari menghirup sup ayam memandang wajah Cik Tipah yang tadi bukan main tak cukup mulut bercakap tiba-tiba tersenyap pulak dia. "Tapi kenapa?"
Cik Tipah teangguk-angguk mengingat. "Patutlah...dia orang ni macam sedang perang dinginlah Cik Tipah tengok. Puan tu asyik dengan anaknya aje...makan minum Jimi tu dia urus juga, tapi Cik Tipah tengok memang dia tak melayan. Pasal masa pagi tu....Jimi mintak makan dengan Cik Tipah sedangkan bininya ada di luar sana menyiram pokok. Haram dia tak menoleh semasa Jimi datang mencari anaknya."
Gosip mereka terhenti bila terdengar kereta Tan Sri memasukki halaman.
"Cu makanlah...biar Cik Tipah ke belakang."
"Assalamualaikum..." Tan Sri yang nampak Honda City anaknya berparkir di garaj memberi salam. Anak daranya yang seorang ini nama aje jadi Tutor Kolej...tapi ke sana ke mari macam kerja dengan National Geographic. Yang lelaki pulak tak berapa nak aktif...kalau tak sibuk membaca, asyik menghadap PC atau komputer ribanya.
"Waalaikumsalam," jawab Noor Azizah dari meja makan.
"Ei? Baru nak makan? Lambatnya?"
"Baru balik....ayah dah makan?"
"Dah tadi dengan Jimi dekat kedai makan sebelah hospital tu...."
"Sedap sangat ke sampai pergi makan dekat sana?"
"Habis....itu aje yang dekat. Pergi tempat jauh-jauh karang, kalau si kecik tu terjaga tak ada orang sebelahnya, mau meraung pulak." Tan Sri yang bercerita itu terlupa bahawa anak perempuannya tak tahu apa-apa.
"Anak abang Jimi masuk hospital? Kenapa ayah?"
Tan Sri menarik kerusi di meja makan menghadapa anaknya. "Oh! Kamu tak tau cerita ye?"
Noor Azizah menggelengkan kepala. Tangan meletakkan mangkuk sup di atas pinggan nasi yang telah kosong. Gelas yang airnya tinggal separuh itu dibawa ke mulut.
"Tipah!" Tan Sri memanggil Cik Tipah yang ternampak kelibatnya ke hulu ke hilir di dalam dapur memasak itu.
Cik Tipah bergegas datang. "Tuan nak makan ye?"
"Tak payahlah....saya dah makan dengan Jimi tadi. Buatkan saya kopi aje."
"Baik tuan!" Cik Tipah meninggalkan mereka dua beranak di meja makan. Tadi tu sengaja dia mundar mandir nak dekat-dekat sikit biar dengar cerita. Kalau tidak apa yang nak dibuatnya dalam dapur tu? Nak kata masak....Nasi Ayamnya tu pun masih bersisa lagi dalam periuk.
"Najwa tu merindukan Najwa..." ujar Tan Sri bunyi orang bersajak pulak.
Noor Azizah kerut dahi. "Ayah ni dah kenapa?"
"Betullah...pandai abang kamu beri nama anaknya Najwa. Kalau kamu dengar mungkin sepadan dengan namanya Najmi. Tapi sekarang ini....anaknya dah merindui seorang yang juga bernama Najwa. Macam mana tu?" Tan Sri seperti memberi teka teki.
"Najwa mana pulak tu? Orang yang menjaga dia di sana dulu ke?"
"Tekalah!" Tan Sri mengangkat kening menyuruh anaknya meneka.
"Kalau betul....bawak ajelah Najwa tu ke mari. Mungkin dia dah sangat mesra dengan Najwa ni dari emaknya sendiri?"
"Abang Jimi dah bawak dah..."
"Ya ayah? Habis tu....apa masalahnya sekarang?"
"Abang Jimi kamu tu berat mulut....egois orangnya. Tak mau mengaku apa yang tertanam di dalam hatinya. Tak kan orang perempuan tu yang nak terkeseng-keseng mencari dia?"
Noor Azizah bulat mata mendengar. Patutlah kata Cik Tipah isteri abang Jimi tu macam tidak melayannya...cemburulah tu. "Isy! Ayah ni....biaslah....mentang-mentang ayah pun lelaki, ayah nak menangkan abang Jimi pulak. Habis bini dia tu tak ada hati? Tak ada perasaan? Nak tengok aje suaminya dengan perempuan lain oleh kerana anaknya itu sangat sukakan the so-called Najwa?" Noor Azizah geram. Dia memang pantang kalau dengar orang lelaki bercadang nak pasang lebih dari satu. Tak pedulilah ayahnya ke, abang sendiri ke?
"Eh! Awak ni...apasal ayah pulak yang kena marah ni?"
"Dah tu...macam mudah aje Cu dengar ayah cakap pasal nak senangkan hati abang Jimi. Dah tak ada cara lain ke?"
"Itu ajelah cara yang paling mudah." Tan Sri sengaja membakar hati anak gadisnya. "Kalau dia kahwin dengan Najwa tu, Najwa anaknya akan sihat dan senang hati. Mana Cu hendak?"
"Ala ayah...tak payahlah sampai nak kahwin-kahwin apa bagai ni. Ambil aje Najwa tu tinggal sini jadi nanny si Najwa anaknya. Tak boleh ke macam tu aje?"
"Hukum Islam tidak membenarkan orang yang bukan mahram tinggal se rumah tanpa ikatan yang sah." Tan Sri cepat meneguk kopinya dan berlalu pergi meninggalkan anak gadisnya yang masih terkulat-kulat memahami keadaan.
No comments:
Post a Comment