~sambungan~
TAN SRI AZIZAN masuk ke pejabat pagi itu menggantikan anaknya Najmi. Kakitangan yang sibuk sok sak sok sek bergossip itu tadi semua balik ke tempat masing-masing menyambung kerja.
"Mana Tina?"
"Dia ikut bos, Tan Sri," cepat Mashita menjawab kerana tadi dia telah diamanahkan menjaga pejabat semasa ketiadaan bosnya.
"Nur Najwa?"
"Entah..." Mashita angkat bahu. "...hari ni memang kami semua tak nampak pun kelibat dia, Tan Sri."
"Cuba call dia...tanya kenapa?"
"Baik Tan Sri."
Tan Sri Azizan terus melangkah masuk ke bilik pejabat dan menutup rapat daun pintu. Blind yang ditutup rapat itu habis ditarik naik semuanya. Dari bilik pejabat yang bercermin kaca itu jelas kelihatan keadaan di luar. Sekarang ini orang di dalam boleh nampak orang di luar dan orang di luar pun boleh nampak orang di dalam. Siapa yang berani hendak angkat muka?
Mashita datang mengetuk pintu bilik.
"Masuk!"
Mashita memulas tombol dan menjengolkan kepala. "Tan Sri....Nur Najwa tak adalah...emak dia cakap dia dah letak jawatan. Semalam dia dah berangkat ke KK."
"Berangkat ke KK?" Tan Sri merenung wajah Mashita.
Mashita angguk. Dia pun tak bertanya lebih lanjut, KK di mana tu? Main ikut aje apa yang Mak Zah beritahu.
"Najmi tak beritahu saya pun Najwa letak jawatan?" Tan Sri macam tercari-cari sesuatu di atas meja. Kemudian dia menggaru pelipis. Ini mesti ada yang tidak kena pada petang Sabtu lepas. Najmi pun bukan boleh percaya sangat. Angin satu badan!
"Hurm...tak apalah...pergi buat kerja awak."
"Baik Tan Sri."
Tina pulang ke pejabat dihantar oleh Pak Hussin. Mashita yang terpandang cepat melambai ke arah Tina ingin tahu cerita tentang keadaan anak bos mereka. Memang tak sabar-sabar mak cik sorang tu kerana dah terbiasa bergossip...rasanya kalau yang tengah panas tu memang enak untuk didengar apatah lagi kalau belum ditapis dari mulut ke mulut.
"Macam mana Tina?" Sempat Mashita melemparkan pertanyaan kerana dia tahu walaupun Tan Sri boleh nampak mereka di luar dengan jelas, tetapi dia tidak mungkin mendengar apa yang mereka bicarakan.
Tina mengembangkan lima jari kanannya. Dia terus menuju ke bilik pejabat Tuan Pengurus yang kini dihuni oleh Tan Sri Azizan. Pintu bilik diketuk perlahan.
"Masuk!"
Tina terus menolak daun pintu apabila kebenaran diperolehi. "Assalamualaikum, Tan Sri."
"Waalaikumsalam," jawab Tan Sri Azizan sambil mengangkat wajah dari kerjanya.
"Encik Najmi suruh beritahu..." Tina menahan cungap dengan menekan dada dengan tangan kanannya. Dia kemudian berdehem beberapa kali membetulkan kerongkongnya yang terasa kering. "....dia kena tinggal di hospital menunggu anaknya."
"Ooo..key..." Lambat Tan Sri Azizan hendak memahami cerita Tina. Mungkin dia memikir betapa seriusnya demam si cucu sehingga terpaksa ditahan di wad hospital. "Macam mana keadaan cucu saya tu?"
"Demamnya teruk...dia asyik meracau aje Tan Sri," adu Tina lagi.
Tan Sri menelek jam di lengan. Sudah masuk waktu makan tengahari, patutlah si Tina berdehem-dehem kering tekak hendak bercakap. "Awak ajak Mashita keluar lunch dulu sementara saya ada di pejabat ni," arah Tan Sri.
"Terima kasih, Tan Sri," ucap Tina dengan senyum yang melebar ke telinga.
Tina terus keluar mendapatkan Mashita. "Jom! Keluar lunch."
"Mana?"
Tina berpaling menjeling. "Mana lagi?"
"Oo...okey." Ingat tadi Tan Sri nak belanja makan ke? Mashita segera bangun dan mencapai beg tangannya. Mereka berjalan beriringan menuju ke Restoran Sinaran Pagi, tempat makan yang digemari oleh pekerja dan kakitangan pejabat di sekitar kawasan itu.
Masuk waktu tengahari, mereka sudah terpaksa berbaris untuk memilih lauk kegemaran mereka. Setelah mendapat apa yang mereka mahukan, mereka terpaksa pula mencari tempat duduk. Mujur sudah tidak ada ruang lagi untuk dibentangkan tikar, kalau tidak di situ pun sudah pasti ada yang sudah bersila menyuap nasi.
No comments:
Post a Comment