PAGI itu Nur Najwa di meja makan sedang bersarapan Nasi Goreng. Emaknya yang datang dari dapur membawa seteko kopi dah pot pat pot pet dari awal pagi membebel kerana tidak faham dengan jadual kerja anaknya itu.
Masuk kerja elok macam biasa jam 9.00 pagi...semenjak dua menjak ni dah pandai balik lewat malam. Semasa Najwa sibuk mengambil alih tanggungjawab pengurus yang telah meletakkan jawatan itu pun pukul 6.00 petang atau sebelum Maghrib dah sampai rumah. Ini dah ada pengurus baru kena balik lewat-lewat malam pulak?
Hampir seminggu berlalu, macam sudah jadi rutin harian Nur Najwa pula selain di pejabat, dia akan ke rumah Tan Sri setiap pulang dari kerja untuk meneman si kecil Najwa sehingga dia tertiddur sebelah malamnya. Sabtu dan Ahad nanti bagaimana? Adakah dia masih akan ke rumah Tan Sri untuk mengasuh anak majikannya itu?
Mak Zah tu bukan apa....orang sekeliling dah sibuk bercakap bertanya tentang anaknya yang sekarang dilihat sering pulang lewat malam. Sudahlah dia tu ada title 'J'. Naik kematu lubang telinga Mak Zah mendengar. Dah naik jemu jelak hendak menjawab segala soalan yang diajukan semasa dia menunggu van sayur Pak Mail yang memang lalu di jalan depan rumahnya itu.
Kalau dia pandai bawak motosikal atau pandu kereta, tentu sudah lama dia ke pasar untuk membeli ikan dan sayur. Ini hendak diharapkan siapa lagi? Kalau hari siang tu bukan ada sesiapa di rumah. Terpaksalah dia sama menunggu van Pak Mail yang diibaratkan bagai pasar bergerak oleh penduduk taman perumahan di situ.
Pak Mail pun sudah lama berkhidmat dengan orang kampung berdekatan dan penduduk taman perumahan yang macam cendawan tumbuh itu. Dari basikal yang bercarrier besar di belakang, kemotosikal yang ada bakul besar sehingga sekarang sudah mampu membeli sebuah van Nissan Vanette. Kaya orang tua tu hanya dengan menjual sayur dan ikan sahaja.
"Banyak lagi ke kerja yang tak siap tu Wa?" Tanya Mak Zah sambil menuangkan kopi ke dalam cawan di depan anaknya.
"Tak taulah mak...bos baru ni teliti sangat. Dia nak tengok fail-fail yang tak siap tu dari awal. Tanya itu, tanya ini...naik kering air liur Wawa menjawab."
"Muda ke orangnya?" Mak Zah menarik kerusi setentang dengan Najwa dan melabuhkan duduk.
Najwa hampir tersedak bila emaknya bertanyakan soalan itu. Kenapa? "Baru anak sorang.." jawab Najwa. "Kenapa?"
Mak Zah hanya menggeleng. Agaknya kalau Najwa panjang jodohnya dulu, tentu dia sekarang ini sudah bakal menjadi seorang nenek. Mungkin kalau ada cucu menemankan dia sekarang ini, tidaklah rasa bosan sangat bila ditinggalkan sendirian sepanjang hari.
"Dah! Makan cepat," arah Mak Zah yang sempat melamun membayangkan dia sedang menimang cucu. "...kalau boleh cakaplah dengan bos kamu tu...tak payah balik lambat-lambat sangat. Tak elok...orang keliling semua dah bercerita."
"InsyaAllah mak. Wawa pergi dulu," katanya sambil tunduk mengucup tangan tua itu.
"Hati-hati bawak kereta Wa," pesan Mak Zah.
"Ya mak," sahut Najwa pula.
No comments:
Post a Comment