"EH? Bukan hari tu Najwa kata nak tema warna pink ke?" Tanya Mak Zah kepada wedding planner yang datang menghantar tujuh dulang berisi barang hantaran yang siap digubah bertema putih dan silver.
"Dia dah mintak tukarlah mak cik...dia tak cerita pada mak cik ye?" jawab Salman sambil mengeluarkan barang-barang itu dengan berhati-hati sekali dari Kia Carnivalnya.
"Kenapa putih?"
"Entahlah...saya kan cuma diupah untuk membuatnya aje. Kenapa? Tak cantik ke mak cik?"
"Cantik," jawab Mak Zah perlahan. "Tapi bukan pasal tu..." Mak Zah diam memikir apa yang telah berlaku dua tiga hari ini. Hatinya terasa tidak begitu enak. Macam ada yang tak kena aje dengan tema yang dipilih oleh anaknya Najwa.
Salman terpaksa keluar masuk rumah Mak Zah, mengurus sendiri barang-barang tadi kerana Mak Zah sudah tidak bergerak dari sofa.
"Warna orang berkabung ni...." ujar Mak Zah yang melihat dulang berisi songkok yang berlilit dengan reben putih dan silver itu. "...tak baik, macam ada orang mati pulak," rungutnya sendirian.
"Ala...tak ada apa-apalah mak cik. Sekarang ni memang trend orang nak bertema kan? Hitam dengan putih, hitam dengan emas pun saya pernah buat. Doakan yang baik aje sudahlah," kata Salman yang kini sama duduk di sofa menghadap Mak Zah menunggu wang upahnya.
"Mudah-mudahan..." jawab Mak Zah sambil meraup wajahnya.
Jam 10.00 pagi esok akan diadakan majlis pernikahan anaknya, Nur Najwa binti Sallehuddin dengan pasangan yang dikenali sejak zaman persekolahan, Abdul Jalal bin Ibrahim. Pada mulanya hendak diadakan waktu selepas solat Zohor tetapi Tok Kadi yang telah dilantik untuk menikahkan pasangan itu, telah ditempah lebih awal oleh dua pasangan lain.
Apabila Pak Din, bapa Najwa mencadangkan agar di buat sebelah malam selepas Isyak pula, Tok Kadi berkenaan ada ceramah agama yang harus dihadirinya. Mak Zah mula tidak sedap hati. Banyak pula percanggahan yang berlaku di saat-saat akhir.
Petang itu pula, barang hantarannya telah bertukar warna tema.
Majlis persandingan yang sepatutnya menjadi majlis gilang gemilang untuk anak bongsu dan pasangannya telah bertukar menjadi majlis tahlil. Pengantin lelakinya ditimpa kemalangan sekali gus membawa maut di tempat kejadian selepas majlis ijabkabul pagi itu. Kereta yang membawa mempelai itu telah dirempuh dari belakang dan keretanya kemudian merempuh pula lori yang berada di hadapan.
Mercedes 200C yang siap dihiasi dengan reben, remuk sama sekali dengan empat orang penumpang di dalamnya termasuk pengantin lelaki.
Nur Najwa yang dikhabarkan dengan berita itu, rebah tidak sedarkan diri.
Mak Zah yang mendengar sama terduduk. Dia mengucap sambil mengurut dadanya. Semacam sudah ada petanda akan berlaku perkara yang tidak diingini itu sejak semalam semasa Salman menghantar barang hantaran yang telah ditukar warna temanya. 'Aku dah agak dah,' bisik hati Mak Zah dengan lelehan air mata mengenangkan anak gadisnya kini automatik bergelar 'janda berhias'.
Sehingga kini, keluarga sebelah arwah suami Najwa masih tidak dapat menerima kenyataan. Maklumlah ...arwah merupakan anak sulong mereka lepasan ijazah luar negara. Sebelum kejadian keluarga tersebut sangat menyayangi Najwa, tapi selepas kejadian, Najwa dianggap sebagai gadis membawa malang pula.
Lapan bulan telah berlalu...baru dua tiga minggu ini, Nur Najwa kelihatan kembali ceria. Itupun kata Mak Zah puas dia berubat sana sini minta dipuluhkan semangat anaknya itu yang dahulunya merupakan seorang yang rajin menyakat dan membuat lawak. Selepas kejadian, masanya banyak dihabiskan di pejabat, seolah tiada eosk baginya.
Kebetulan pengurus cawangan tempat dia bekerja itu meletakkan jawatan dan Tan Sri pula telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menguruskan syarikat itu sementara dia melantik seorang pengurus baru.
Memang Mak Zah naik risau melihat Nur Najwa yang tidak mengenal akan erti penat itu. Namun Pak Din, suaminya menasihatkan agar dibiarkan sahaja kerana mungkin dengan menyibukkan diri begitu, Nur Najwa dapat melupakan kejadian yang telah menimpa di hari bersejarah dalam hidupnya itu.
Panggilan telefon dari Nur Najwa yang memberitahu dia akan lewat pulang ke rumah lagi membuatkan hati Mak Zah tidak senang.
"Bang!" Jerit Mak Zah memanggil suaminya yang tekun menonton Cinetron petang itu.
Pak Din berpaling. "Ada apa?" Tanyanya sedikit marah kerana telah mengganggu konsentrasinya.
"Cuba awak ke pejabat Wawa tu...intip dia buat apa? Dia kerja apa? Sampai anak bos pun dia nak kena jaga?"
"Eh! Pandailah dia...nanti dia balik nanti awak tanya sendiri. Tak ada kerja saya nak disuruh intip pulak." Marah Pak Din lagi. Macam tak percaya dengan anak sendiri pulak.
"Awak tu kalau dah menonton drama Indon tu...memang tak boleh disuruh. Tekun betul," marah Mak Zah pula. Dia bangun mengangkat besen yang berisi ubi parutnya tadi ke dapur. Tadi dia pun sama juga menonton drama Putri Yang Ditukar itu, entah siri yang keberapa. Sudah berbulan lamanya masih belum ada rupa nak tamat lagi ceritanya.
No comments:
Post a Comment