Bahagian 2 ~
SEJAK sampai tadi tidak menang tangan Najwa melayan anak majikannya itu. Mulut macam bertih digoreng, pot pat pot pet bercakap bertanya itu dan ini tanpa henti. Seronok dengan kehadiran 'mummy'nya petang itu. Macam tidak cukup tanah dia mengejar mendapatkan Najwa ketika kereta Kelisa itu berhenti di hadapan rumah agam itu.
Najmi pula yang macam patung cendana melihat anak sendiri yang buat macam tidak mengenali. Orang lain yang tidak ada kena mengena yang disambutnya pula.
Najwa dipimpin masuk ke rumah tanpa sempat wanita itu berkata bertanya sepatah pun.
Tan Sri Azizan di muka pintu tersenyum memandang. "Kamu dah kenapa?" Tanya Tan Sri kepada anak sulongnya itu. "....dah tak reti nak masuk rumah?"
Najmi yang sudah lama tidak balik ke situ, terasa malu. Arwah ibunya dulu mahu dia menikahi anak perempuan kenalannya. Mereka sudah lama merancang akan hubungan itu tetapi Najmi tidak bersetuju dengan pilihan ibunya. Maka apabila ayahnya bercadang menghantar dia atas urusniaga dengan rakan kongsinya di California, Najmi tidak berfikir dua kali untuk menerimanya.
Puan Sri Normah tambah sakit hati bila mengetahui kemudiannya, Najmi menikahi gadis Inggeris di sana tanpa meminta izin dan restu darinya. Lalu ibunya jatuh sakit sehingga membawa kepada kematian tidak lama selepas itu.
Tan Sri Azizan pula menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Lama dia memikirkan hikmah di sebalik apa yang terjadi. Kalau itu dan kalau ini. Tapi bahagiakah jika Najmi dipaksa oleh isterinya untuk menikahi anak kenalannya itu? Tapi sekarang setelah berkahwin dengan gadis pilihannya, dia masih juga tidak bahagia.
Sebab itu setelah mendapat tahu Najmi sudah berpisah dengan isterinya itu, Tan Sri Azizan dengan segera mengarahkan anaknya itu agar pulang ke tanahair untuk menguruskan cawangan yang memang sedang amat memerlukan tenaganya.
"Jimi! You are not going to stand there all night, are you?" Tegur Tan Sri Azizan cuba memujuk anak sulongnya untuk masuk ke rumah yang sudah lama dia tinggalkan.
Dia mengagak anaknya itu mungkin malu dan sedang menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak mengikut kehendak ibunya dahulu. Mungkin dia juga merasa bersalah kerana tidak sempat menatap wajah ibunya buat kali terakhir. Hanya pusara yang masih merah itu sahaja yang sempat diziarah seminggu selepas itu.
Najmi menapak ke muka pintu.
Tan Sri Azizan cepat merangkul bahu Najmi dan mereka seiring melangkah masuk. "Cu! Abang Jimi dah balik!" Jerit Tan Sri memanggil anak bongsunya.
"Bang!" Noor Azizah di tengah tangga melaung memanggil. Rindu pada abang sulong bukan kepalang. Abang Jiminya sahaja yang mungkin sudah lupakan adiknya ketika sedang berbahagia hidup di sana. Dia menerpa mendapatkan abangnya tanpa segan silu. Abangnya itu dipeluk erat. "Cu rindu abang," ucap Noor Azizah memberitahu.
"Abang rindu Cu juga," jawab Najmi sama memeluk adiknya.
"Bohong!" Noor Azizah memukul lengan abangnya.
"Eh? Tak kan abang nak jerit-jerit cakap abang rindu pada Cu dan ayah semua?"
"Ayah cakap kali ini abang balik for good."
Najmi memandang ayahnya yang sudah menarik kerusi di meja makan. "If there's still a room for me," tanya Najmi.
"There's more than enoughlah bang," jawab si adik pula. Matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang berpimpin tangan dengan anak saudaranya. "Laaa....kenapa tak kenalkan dengan Cu? Ini wife abang Jimi ye?"
Noor Azizah terus mendapatkan Nur Najwa dan meraih tangan wanita itu. Tangan itu dikucup mesra dan dia terus menarik Nur Najwa ke dakapan. Tiba-tiba dia teringat, dulu mama cakap, abang Jimi kahwin dengan orang putih. Itu sebab mama marah sangat dan terus bersungut dan membebel sehingga menyebabkan dia yang memang ada penyakit darah tinggi itu terus jatuh sakit.
Kesian mama....tak usul periksa dah tuduh melulu.
"Abang ajaklah kak Long ke bilik atas. Tadi Cu dah suruh Cik Tipah kemaskan bilik lama abang tu. Najwa bilik yang Mak Cu tunjukkan siang tadi tau?" Noor Azizah mengarah memberitahu.
"Adik nak tidur dengan mummylah Mak Cu," pinta si kecil.
"Eh! Mana boleh....dah besar kena tidur sendiri," tegur Noor Azizah.
"Mummy!" si kecil menarik tangan Najwa yang kini sudah keras kaku di situ. "....adik tidur dengan mummy, boleh kan?"
Najwa hanya menganggukkan kepala.
No comments:
Post a Comment