~ sambungan
NAJMI yang datang ke pejabat sendiri tadi terus melabuhkan punggungnya sambil membetulkan sandar. Kedua tangan dibawa ke belakang kepala mendongak memandang siling putih yang sudah siang hari pun masih berpasang lampunya.
Dia cuba membuat kerja, namun dia tidak dapat hendak menumpukan fikirannya. Hendak dibuat macam mana dengan anak yang seorang itu? Masakan si Nur Najwa itu hendak menerima kalau ditawarkan untuk menjadi 'nanny' Najwa anaknya? Sudah seminggu ini Nur Najwa terpaksa menunggu anaknya hingga tertidur. Di pelawa tinggal di rumah itu, Nur Najwa pula tidak mahu.
Sekarang ini anaknya sudah demam pula. Bertambahlah payah urusannya. Tentu malam nanti merengek tidurnya. Buatnya tengah-tengah malam dia sedar minta mummynya...mana hendak dicari? Makanya Mak Cu pula sudah balik dari lawatan bersama pelajarnya ke Bandung. Tentu dia hairan kalau dia nampak Nur Najwa balik waktu tengah malam. Mau disalahsangkakan mereka bergaduh dan Nur Najwa melarikan diri pula. Adoi! Najwa....Najwa....
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk....
"Masuk!" arah Najmi.
"Bos! Najwa tak masuk kerja ke?" tanya Tina si penyambut tetamu sebab pagi tadi dia nampak Najwa ada datang ke pejabat dan keluar breakfast sama-sama dengan bosnya.
"Hari ni dia cuti," jawab Najmi pendek. Tapi kemudian dia terfikir untuk bertanya. "Kenapa?"
"Ada orang cari dia...dah dekat sepuluh kali call."
"Siapa?"
"Dato' Khairy."
"Dato' Khairy?" Najmi cuba mengingat nama itu kalau-kalau ada berurusan dengan projek yang dikendalikan olehnya sekarang. "Ada apa dia cari Najwa?"
"Pasal Projek Bina Ceria tu agaknya...Dato' Khairy ada beli sederet tiga pintu rumah kedai untuk dijadikan pejabat barunya. Hal ini cuma Najwa aje yang tahu sebab dia yang handle sebelum bos datang hari tu," jelas Tina. Memang Tina tahu sedikit sebanyak pasal projek itu sebab banyak panggilan masuk yang diuruskan olehnya semasa Najwa mengambil alih tugas.
Dato' Khairy yang berminat dengan kawasan perumahan yang baharu itu terus datang bertemu dengan Najwa untuk memilih lokasi. Mungkin juga sama berminat dengan Najwanya barangkali...itu yang asyik datang walaupun urusan jual beli itu sudah selesai.
Sehingga Najwa sendiri perasan dengan keadaan itu dan mengadu dengan Tina betapa dia tidak sabar menunggu kedatangan bos barunya untuk mengambil alih tugas.
"Betul ke Najwa cuti?"
Najmi mengangkat wajah memandang Tina di muka pintu. "Kenapa awak sibuk bertanya pasal dia?"
"Tak adalah...takut dia berhenti kerja pulak pasal takutkan Dato' tu." Tina yang sedikit menggumam itu merapatkan daun pintu dan berlalu pergi.
Takutkan Dato'? Apa yang Dato' itu sudah lakukan sampai Najwa takut dan hendak berhenti kerja? Najmi merasa tidak puas hati dengan penjelasan Tina tadi lalu keluar mendapatkan Tina di meja depan.
"Tina! Beritahu saya...kenapa Najwa takutkan Dato' tu?"
Tina mengulum senyum. Betullah dia ada affair dengan Najwa. Kak Masitah yang hendak ke pantry pagi itu memberitahu dia nampak Najwa dan Najmi di dalam bilik itu di dalam keadaan yang mencurigakan. Najwa pula macam lari dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau. Najwa cakap dia tidak suka dengan Dato' itu kerana dia sudah beristeri. Habis Encik Najmi ini pula....sah-sah sudah ada anak dan siap dibawa ke pejabat lagi....kenapa dilayannya pula?
"Dato' tu sukakan dia bos..."
Belum habis cerita Tina, Najmi bertanya lagi...
"Dato' bujang ke Dato' yang dah beristeri?"
"Lebih kurang macam boslah...dah kahwin." jawabnya perli.
"Tapi bukan Najwa tu pun dah kahwin?" Najmi cuba perangkap, padahal dia sudah tahu cerita bahawa suami Najwa itu sudah meninggal dunia.
"Najwa tu janda berhiaslah bos...suaminya meninggal kemalangan semasa pulang dari lepas majlis ijabkabulnya."
Najmi berkerut dahi mendengar penjelasan dari Tina. Kesiannya!
"Bos pun sukakan dia ke?" Tembak mulut yang tidak berinsurans itu.
Amboi! Tak sayang mulut perempuan sorang ni. "Mana ada?" Jawab Najmi sambil cepat melangkah pergi.
Tina sempat mencebikkan bibir bila Najmi membelakangkannya. Ya lah tu!
Najmi masuk balik ke biliknya. Kini di kepala sudah bertambah lagi satu fail baru. Kisah Najwa si janda berhias yang dicari dan diminati oleh Dato' Khairy. Siapa pula Dato' yang dimaksudkan ini? Kisah Najwa anaknya masih belum selesai sudah timbul kisah baru. Tidak secara langsung kisah baru itu mengganggu kerjanya. Adoyai!
No comments:
Post a Comment