~ sambungan ~
MAK ZAH datang dengan kopi dan goreng pisang. Dia meletakkan dulang di atas meja. Kopi kemudiannya dituang ke dalam cawan satu untuk Najmi dan satu untuk suaminya.
"Jemputlah encik...orang kampung ni biasalah...minum petang kami ni dengan goreng pisang aje. Kalau orang besar-besar ni...entah apa Wawa selalu cakap tu..." Mak Zah menggaru kepala mengingatkan. "..apa bang yang Wawa selalu cakap tu? Kambing sula?"
Pecah ketawa Najmi tiba-tiba. Pelik betul. Belum pernah dia mendengar orang menyebut barbeque itu dengan nama kambing sula. Mungkin kerana seekor kambing itu dicucuk dari bahagian belakang tembus ke mulutnya untuk dipanggang, barangkali.
Nur Najwa di tengah tangga pertama kali melihat lelaki itu ketawa besar. Manisnya muka dia. Biasanya ketat dan cemberut saja. Apa yang ayah dan emak cakap sampai dia boleh ketawa besar begitu?
Mak Zah sedikit malu bila melihat Najmi ketawa sambil menekan perut. Kebetulan pula dia nampak Najwa sudah turun dengan sebuah beg di tangan, lalu cepat dia melemparkan pertanyaan.
"Apa nama Wa? Yang selalu kamu cakap tu...."
Najwa angkat kening bertanya kerana kurang mengerti cerita apa yang sedang diketawakan oleh Najmi itu.
"....alaaaa...kalau di restoran besar-besar dan hotel tu...orang suka makan apa?" tanya Mak Zah minta bantuan anaknya.
"Chicken chop? Steak? Barbeque?" Najwa menyebut satu-satu untuk mengingatkan emaknya.
"Bukan bulan puasa lepas kamu cakap keluar berbuka dengan abang ngah pergi makan kambing sula ke?" soal Mak Zah sedikit marah. Sudahlah dia ditertawakan oleh bos anaknya...malu tau?
"Barbequelah tu mak. Kambing tu dicucuk dari belakang tembus sampai ke depan dan dipanggang sekor-sekor. Takut emak tak faham, tu yang Wawa cakap kambing sula," terang Najwa. "Tapi apa yang lawak sangat?" Najwa bertanya balik kerana terlepas bahagian yang lawak sangat itu sampai Najmi terpaksa ketawa menahan perutnya.
Najmi angkat sebelah tangan sambil menggelengkan kepalanya. "Maaf mak cik...tak pernah saya ketawa macam ni. Lucu betul bunyinya bila mak cik sebut kambing sula tadi."
"Wawa yang cakap, mak cik ikut aje," jelas Mak Zah menutup malu.
"Mak! Wawa bawak bekal sikitlah goreng pisang ni," pinta Najwa bila dia nampak ada goreng pisang di atas meja.
"Nanti emak masukkan ke dalam bekas." Mak Zah bangun dan terus ke dapur.
Najwa mengekori emaknya sambil mendukung si kecil Najwa. "Adik nak makan tak?"
"Apa tu mummy?" tanya si kecil Najwa pula bila dia didudukkan di kerusi dapur.
"Ini nama dia goreng pisang...rasa sikit. Mummy buatkan adik milo nak?"
"Macam mana dia boleh jadi rapat dengan kamu Wa?" tanya Mak Zah yang hairan dengan panggilan mummy itu.
"Entahlah mak...muka Wawa ni ada rupa emak orang ke?" Najwa balik bertanya sambil tangan cepat menarik sebiji mug dari rak pengering untuk membancuh milo. Sebiji lagi mug kemudian dicapai dan dibawa ke singki. Milo yang panas itu ditarik agar cepat sejuk
Si kecil yang sedang mengunyah goreng pisang itu hanya memerhatikan sahaja apa yang dibuat oleh mummynya.
Apabila Najwa menoleh membawa milo tarik ke meja, dia kagum melihat si kecil yang tidak berselera makannya seharian tadi sedang elok mengunyah goreng pisang. "E...eh..pandainya dia makan...sedap tak?"
Si kecil hanya mengangguk.
"Nanti balik makan ubat ye?" Pujuk Najwa.
Si kecil mengangguk lagi.
"Siapa nama dia Wa?" Tanya Mak Zah yang sudah menyiapkan bekal yang diminta oleh anaknya.
"Najwa."
"Ai? Dia pun Najwa juga?"
"Ha ah. Itulah Wawa pun keliru mulanya," cerita Najwa sambil menunggu si kecil menghabiskan minumannya.
"Lama ke kamu dekat rumah dia tu?"
"Tunggu sampai adik ni sihat kut?"
"Habis tu...kamu tak kerja?"
"Dia ni kan anak bos Wawa..jaga dia pun kira kerjalah mak."
"Ya lah...baik-baik jaga diri dekat rumah orang. Tolong apa yang patut...jangan sampai emak dengar cerita yang bukan-bukan pulak."
"InsyaAllah mak...Wawa ingat pesan emak tu." Najwa kemudian ke singki membasuh mug. "Adik! Kita nak balik dah....salam nenek."
Si kecil menghulurkan tangannya.
Mak Zah pula terus mengangkat dan mencium pipi comel itu kiri dan kanan. "Hurm...cepat sembuh ye? Jangan takut makan ubat. Kalau tak nak makan ubat, nanti nenek babab mummy dia," ucap Mak Zah sambil menampar punggung anaknya Najwa.
Si kecil memandang pelik muka Mak Zah. Entah apa yang dibebelkan oleh orang tua itu bukan dia faham pun.
"Dah boleh geraklah..." ajak Najwa. "..nanti dah nak masuk maghrib pulak."
Najmi bangun. Dia menghulurkan tangan bersalam. "Saya mintak diri dulu pak cik, mak cik. Terima kasih kerana benarkan Najwa ikut saya balik."
"Tolong menolong....apa salahnya?" Jawab Pak Din pula.
No comments:
Post a Comment