February 24, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 4

            PAK HUSSIN, pemandu Tan Sri sesekali mengerling cermin pandang belakang. Anak sulong Tan Sri Azizan ini tidak berapa ramah orangnya. Semenjak dia pulang ke tanahair dan memulakan kerjanya di sini,dia hanya memberi arahan sahaja. Macam hari pertama itu semasa Pak Hussin diarahkan oleh Tan Sri untuk ke hotel tempat dia menginap..........

            "Tolong hantarkan dua kotak ini ke pejabat. Suruhlah setiausaha ke, kerani ke atau sesiapa ajelah yang bertugas mengemas bilik pengurus tu....suruh dia kemaskan barang-barang saya ni."

            "Tuan tak ikut sekali?" tanya Pak Hussin cuba beramah.

            "Tak! Anak saya masih tidur lagi. Nanti saya datang sendiri dengan teksi."

            Keesokannya pula Pak Hussin masih ingat lagi dia dipanggil waktu sedang bersarapan minta dihantar ke pejabat kerana anaknya menangis mencari Puan Najwa. Puas berpujuk, sehingga Tan Sri sendiri pun sama jadi tidak tentu arah.

           Sampai sahaja di rumah, Najmi terus bergegas masuk mencari anaknya. Si kecil Najwa sedang elok berbaring di ribaan Nur Najwa si setiausaha merangkap 'the nanny' sekarang ini. Najmi mengurut dada. Lega melihat anaknya yang sudah kebah dari demamnya.

            "Hai sayang!" Najmi menegur sambil melabuhkan duduk di hujung sofa. "Feeling better?"

            Anaknya mengangguk.

            "Dah makan ubat?" tanyanya kepada Nur Najwa yang sama melangut menonton Tv sambil tangan membelai mengelus rambut si kecil.

            Nur Najwa membelek jam di lengan, "...tengahari tadi sudah, tunggu pukul lapan pulak nanti." Nur Najwa menerangkan memberitahu jadual pengambilan ubat untuk anak majikannya itu.

            Najmi angguk puas hati. "Mana ayah saya dan Mak Cu?" Tanya Najmi lagi kerana tadi dia tidak nampak kereta ayahnya dan juga kereta Mak Cu.

            "Tan Sri ke Kelab Golf. Mak Cu ada kelas sampai pukul sembilan nanti," terang Nur Najwa yang kini  bukan sahaja menjadi setiausaha di pejabat malah sudah melarat ke rumah pula.

         
 Najmi menyandarkan badannya. Tali lehernya dirungkai perlahan. Anak di sebelah langsung tidak peduli akan kehadiran bapanya. Amboi! Emak dia sangatlah tu konon, bisik hati Najmi cemburu. Alangkah bagusnya kalau dulu Christine juga pandai melayan anak sebagaimana Nur Najwa ini?
            Sepanjang perjalanan pulang tadi Najmi asyik memikir dan mempertimbangkan cadangan ayahnya agar dia mengambil sahaja Nur Najwa itu menjadi isterinya. Cakap memang mudah, cuma gerakan bibir atas dan bibir bawah sahaja. Tetapi fobia mengharungi hidup berumahtangga itu masih bersisa dalam dirinya. Mengapa dia tidak mendapat kebahagiaan sebagaimana pasangan yang lelainnya.
            Betapa dia merasa sangat susah melalui hidup berumahtangga bersama Christine. Hidupnya asyik mahu bersosial sahaja. Bila ditegur akan berlakulah perang mulut yang tidak berkesudahan. Ke mana dia mahu mengadu kalau itu memang pilihan dia sendiri?
            Untuk mengambil Nur Najwa ini sebagai isteri? Dia cuba menyelami perasaannya sendiri. Rasanya dia  masih belum bersedia untuk beristeri lagi....tetapi masalah anaknya Najwa yang sudah tidak boleh melepaskan Nur Najwa ini pergi, bagaimana hendak diatasi? Ayahnya pula sudah seakan merestui, bagaimana kalau dia memberanikan diri bertanya kepada tuan punya diri?

         
                     

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...