~ sambungan ~
Nur Najwa masih di muka pintu kereta seakan menunggu seseorang.
Najmi mematikan enjin kereta apabila dia pasti dia boleh meletakan kenderaan di situ sekejap sementara Nur Najwa mengambil kain bajunya. Dia kemudian mendukung anaknya yang kelihatan tidak bermaya dan kurang aktifnya pada hari itu.
"Masuklah dulu encik, inilah rumah saya...kecik aje." Nur Najwa membukakan pagar rumah lebih lebar untuk lelaki yang mendukung anak itu dapat masuk dengan mudah. Maklumlah dia sudah biasa tinggal di rumah yang besar...kena yang sempit macam rumahnya ini...mesti dia lemas agaknya, fikir Najwa.
"Wawa?" Mak Zah terpacak di muka pintu.
"Emak, ni bos Wawa." Najwa memperkenalkan Najmi kepada emaknya.
"Silakan masuk bos," ajak Mak Zah yang melatah orangnya itu sama mengikut Najwa menggunakan panggilan bos.
"Ayah ada mak?"
"Dekat belakang sana..." jawab Mak Zah pendek. Mana mungkin depan tetamu yang tidak pernah datang bertandang ke rumahnya itu mahu diberitahu terus terang bahawa suaminya sedang membuat pelaburan?
"Baringkan adik tu dekat sini encik," Najwa mengarahkan agar si kecil dibaringkan di kerusi kembar tiga. "Encik duduklah dulu sementara saya ambil barang saya."
"Mummy!" Panggil si kecil terus menghulurkan dua tangannya minta dibawa sama.
Mummy? Mak Zah muka pelik. Budak kecil itu memanggil Najwa mummy? Atau anak yang kelihatan tidak sihat itu sedang meracau memanggil ibunya?
"Ada apa ni Wawa? Kereta kamu mana?"
Najwa memandang Najmi minta diberikan penjelasan.
Najmi mengerlipkan matanya tanda setuju. "Macam ni mak cik..." Najmi membuka kata.
Najwa cepat membuka langkah memanjat tangga untuk ke biliknya bersama si kecil di dukungan.
"...saya nak minta tolong Najwa jagakan anak saya untuk dua tiga hari ni sebab dia demam. Dia tak nak dengan orang lain mak cik, risau saya. Bila sedar aje...dia akan cari Najwa."
"Emak dia mana?" soal Mak Zah hairan.
"Dia tak nak ikut saya balik sini mak cik...saya dah tinggalkan dia di US sana." Najmi sedikit berbohong. Biarlah...masakan dia hendak bercerita terus dari A ke Z?
"MasyaAllah....dah lupa daratanlah tu....memang orang kita ni kalau dapat pergi Amerika ke...London ke...memang semuanya tak nak balik lagi. Entah apa yang sedap sangat agaknya tinggal di sana tu?" Mak Zah dah mula buka kitab. Dia memang macam tu...jangan aje diberikan topik baru, memang akan berjela ceramahnya untuk hari itu. Habis keluar semua hikayat dari hujung jalan sana, sampai hujung jalan sini. Peramah gila Mak Zah tu.
"Siapa yang pergi London?" Sampuk Pak Din yang datang dari arah dapur.
"Isy! Orang tua ni...tak tahu hujung pangkal, datang-datang menyampuk pulak dia," tegur Mak Zah. "..awak berbuallah pulak...saya ke dapur sekejap." Mak Zah angkat punggung dan berlalu ke dapur.
"Encik cari siapa?" Pak Din bertanya. Tadi isterinya lupa hendak memeperkenalkan lelaki itu kepada suaminya. Dah nak berakar punggung masih belum keluar secawan air pun. Mau berdarah tekak tetamu itu dibuatnya.
"Saya Najmi pak cik," ujar Najmi memperkenalkan diri sambil menghulur salam. "...hantar Najwa balik untuk mengambil bajunya.
Pak Din menoleh kiri dan kanan mencerna mindanya yang tadi tepu menunggu di dalam bilik termenung. Najwa ada balik? Mana pulak perginya...senyap aje dari tadi? Hati Pak Din bertanya sendiri.
"Ambil baju? Nak ke mana?" soal Pak Din kelam.
"Saya nak mintak dia jagakan anak saya untuk dua tiga hari ini kerana anak saya itu tidak berapa sihat badannya," terang Najmi.
"Orang gaji kamu lari ke?" Agak Pak Din kerana sekarang ini kalau pasangan suami isteri yang berkerja akan mengupah pembantu rumah. Memang susah nak dapat yang betul-betul komited dalam menguruskan rumahtangga ini. Sering pula didengar tentang anak majikan yang didera oleh pembantu rumah mereka dan ada pula yang dibawa lari.
"Begitulah lebih kurang pak cik." Najmi mengiakan aje. Malas hendak berpanjang cerita.
"Tak apalah...Wawa pun memang pandai jaga budak. Anak-anak abangnya semua sukakan Wawa. Encik jangan risau," terang Pak Din seakan menaikkan saham anak perempuannya.
Najmi mengangguk. Rancangan asalnya mengikut menghantar Najwa pulang tadi hendak melamar Najwa habis terlupa bila ayah dan emak Najwa ini nampak gayanya suka sangat bercakap atau dalam erti kata lain peramah sangat orangnya.
Kita baru buka tajuk, dia orang sudah melarat sampai ke Amerika dan London. Berbeza dengan keluarganya yang bercakap bila perlu sahaja. Jika si kecil Najwa tidak demam, barangkali dia seorang sahaja yang boleh melayan emak dan ayah Najwa ini.
No comments:
Post a Comment