February 21, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 3

           

~ Bahagian 2 ~


           NUR NAJWA melangkah masuk ke pejabat sambil menyanyi perlahan. Dia sangat pasti bahawa dia datang seperti biasa. Namun ketika dia melintas di depan bilik pengurus, kelihatan Najmi sudah berada di biliknya. Najwa menelek jam di lengan. Aik? Cepatnya dia? Baru 8.45 minit pagi.

           Najmi yang terpandang Najwa cepat melambaikan tangan memanggil.

           Najwa menekan brek kakinya dan mengundur beberapa tapak ke belakang. Pintu bilik itu dikuak perlahan dan dia menjengolkan kepala ke dalam. "Ya encik?" Matanya tertancap ke arah sekujur tubuh kecil yang berada di atas ribaan Najmi. Sebelah tangan Najmi menepuk bahu si kecil yang nampaknya sedang tidur.

           Najmi memuncungkan mulutnya dan meletakkan jari telunjuk ke bibir.

           Najwa mengangguk faham.

           "Buatkan saya kopi, " pinta Najmi.

           "Encik nak kopi apa? Sin Seng two in one, Nescafe three in one?" Najwa bertanya berbisik. "...atau kopi Tongkat Ali?"

           Najmi sedikit menjeling. Banyak ceritalah mak cik sorang ni. "Apa-apa ajelah asal ada rasa kopi," ujar Najmi.

           "Yes boss," jawab Najwa pula sambil menutup perlahan pintu bilik. Apasal la bos aku ni..datang kerja bawak anak. Dia kena halau dengan Tan Sri ke? Dia dah nak balik ke US ke? Najwa berteka teki sendiri dalam hati.

           Sampai di pantry, Najwa mencari kopi Sin Seng two in one. Ni bagus kalau pagi-pagi, bagi mood dia baik sikit. Mug yang bertulis BOSS dicapai dari rak pengering dan satu uncang kopi tadi dimasukkan ke dalam. Air panas dituang dan dia mencapai sebatang sudu kecil sebelum berpusing untuk kembali ke bilik pengurusnya bila dia melanggar seseorang yang entah bila berada sama di dalam pantry tersebut.

       
 "Oo..emak engkau!" Najwa terjerit melatah bila mug yang berisi kopi panas tadi menyimbah pak cik yang masuk ke situ tak beri salam.

            "Ouch!" Najmi terkitai-kitai kepanasan, Habis kemejanya yang pagi itu berwarna putih bertukar ke warna hitam.

            Terkejut badak Najwa jadinya. Masakan tidak? Yang disimbahnya dengan kopi panas itu bos tadi yang mengarah dia untuk membuatnya. Yang dia pun satu...dah suruh orang buat tu tak payahlah nak datang buat spot-check pulak. Macam kita ni nak letak serbuk apa-apa agaknya. Najwa cepat meletakkan mug ke atas kaunter. Dia menarik kitchen roll dan mengelap mana-mana yang patut.

            "Itulah encik, dah suruh orang buat tu, tak payahlah nak datang sini buat spot-check pulak. Dah lah tak beri salam? Mana saya tahu ada orang di belakang saya?" Leter Najwa panjang lebar. Takut pun ada sebenarnya tu. "Nak dibuat macam mana ni?" soalnya lagi bila melihat Najmi kaku macam budak kecil yang sedang dibersihkan oleh emaknya.

            "Tak apalah...saya pun memang nak kena balik hantar anak saya tu," jawab Najmi sambil sama membelek bajunya.

            "Kenapa pagi-pagi encik bawak dia ke sini?"

            "Sebab dia cari awaklah..."

            "Cari saya?" Najwa memandang Najmi dengan muka yang berkerut. "Encik ingat saya tidur dekat pejabat ke?"

            "Tak adalah...habis tu awak ingat saya tau ke kat mana rumah awak?"

            Najwa mencapai minyak gamat yang memang tersimpan di dalam emergency kit yang tergantung di dalam bilik pantry itu. Lengan baju Najmi diselak hingga ke siku. Minyak itu dituang sedikit ke tapak tangan  dan kemudian disapukan ke tangan lelaki itu.

            "Ei? Minyak apa ni?" Najmi bertanya terkejut.

            "Minyak gamat...minyak ni memang bagus kalau kena-kena air panas ni encik. Dekat US tak ada jual ye?" soal Najwa macam mak nenek. Habis kedua-dua lengan lelaki itu disapunya. "Yang diperut tu encik sapu sendiri," katanya lagi sambil menghulurkan minyak tersebut.

            "Tangan awak yang dah berminyak tu, sapulah sekali," arah Najmi yang sedang membuka butang baju kemejanya.

            "Eh! Mana boleh?" Najwa baru perasan. "Bukan muhrim....dosa..." ujarnya perlahan.

            "Bantu orang yang tercedera pun nak kira ke?"

            Najwa berpaling ke singki membasuh mug tadi dan membuatkan yang lain pula.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...