MERCEDES C200 itu menjalar depan gate rumah teres Mak Zah. Cermin gelapnya tidak membenarkan orang luar melihat yang di dalam. Mak Zah tertinjau-tinjau dari tingkap rumah. Rasanya tak ada pulak kenalan atau saudara mara yang diketahuinya sudah memakai Mercedes seperti itu.
"Bang!" Mak Zah menjerit memanggil suaminya Pak Din. "Kawan awak ke yang datang depan rumah tu?"
"Tengokkanlah....saya baru nak ke tandas ni..." sahut Pak Din dari arah dapur.
Isy! Tak sudah lagi rupanya orang tua ni. Dari tadi suruh ke kedai, dia kata nak ke tandas. Kalau pergi dulu tadi dah balik agaknya. Mak Zah bersungut. Geram! Kalau balik kerja tu mengalahkan budak kecik, asyik menghadap TV aje. Cerita entah apa-apa semua habis ditonton.
Mak Zah terus memerhati dari dalam rumah.
Pak Ya ke? Eee...tak kanlah Pak Ya yang setakat menjual nasi lemak dan sedikit kuih muih di warung kopinya itu dapat pakai Mercedes? Atau si Ali Rojak? Siapa lagi kawan karib Pak Din yang selalu lepak dengannya main dam haji bila lepas balik dari surau tu? Mustahil Ali yang cuma jual rojak pakai motosikal itu sudah dapat memakai kereta pula....Mak Zah merangka cerita.
Tapi kalau dia orang tu menang loteri ke....kena ekor ke...tentu tidak mustahil. Hisy! Mak Zah menggeleng laju kepalanya membuang prasangka buruk terhadap kawan-kawan Pak Din.
Abaikan ajelah....kalau dia betul hendak mencari seseorang, mesti dia akan keluar bertanya, hati Mak Zah berkata.
Aik? Najwa? Mak Zah sedikit cemas bila anaknya Nur Najwa pulang agak awal petang itu dengan menaiki kereta mewah entah siapa. Kenapa? Dia kemalangan ke? Di mana kereta Kelisanya?
No comments:
Post a Comment