April 5, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 13

           "MASIH dengan perintah berkurung ke anak awak tu?" Tanya Pak Din pagi itu semasa menghadap sarapan pagi.
           Dia bukan tahu apa-apa. Mak Zah pun malas hendak bercerita memberitahu tentang kedatangan Tan Sri ke rumahnya malam itu menjemput Nur Najwa. Entah apa dibuatnya bertunggu tangga di Warung Pak Ya tu? Pak Ya dah tentunya ada hasil masuk, yang dia tu menunggu situ buat apa? Tolong tutup kedai ke?
           Mak Zah mengucap panjang dalam hati. Sabar ajelah. Kalau tidak sudah tentu semasa Pak Din balik tengah malam, malam tadi dia dah buka kitab tak berbaris. Baru kematu cuping telinga Pak Din mendengar ceramah yang tidak bertitik dari mulut Mak Zah. Bukan Pak Din tak kenal isterinya itu, namun dia macam dah kebal dengan bebelan Mak Zah pula.

            Mak Zah yang sedang menyenduk Nasi Goreng Kampung itu berpaling memandang suaminya. "Mana dia ada di rumah?" Jawab Mak Zah marah.

            Pak Din beliak mata. Namun tangan kanan mencapai pinggan berisi nasi goreng yang dihulur oleh isterinya. "Ke mana pulak?" Nur Najwa dah melarikan diri ke? Patutlah bininya dilihat tension aje pagi ni.

            "Tu lah awak...asyik bertunggu tangga di Warung Pak Ya tu...anak dilarikan orang pun tak tahu." Gimik Mak Zah menakutkan suaminya.

            "Dato' tu larikan Wawa?" Pak Din terus menembak rambang. Siapa lagi yang suka sangat dengan Nur Najwa sehingga anaknya itu menyorok dan melarikan diri ke rumah abangnya di KK dulu?

            Mak Zah yang sedang mengunyah nasi goreng tersedak. Dia mengurut dada...air kopi di atas meja yang baru dituang itu masih berasap nipis...lalu dia cepat bangun mencari air kosong. "Dato' mana pulak?" Tanya Mak Zah sedikit confused kerana tiba-tiba suaminya menyebut Dato' sedangkan yang datang semalam berpangkat Tan Sri.

            "Bukan Dato' Kay yang Wawa cakap dah berbini dua tu?"

            "Ini Tan Sri lah Pak Din oi!"

            "Tan Sri mana pulak?" Pak Din pula confused. "Kalau yang berpangkat Dato' pun dah berbini dua, yang berpangkat Tan Sri tu tentu yang usianya sebaya saya atau lebih. Apa nak jadi dengan si Wawa ni..." Pak Din menumbuk permukaan meja makan. Sudu yang diletak di tubir pinggan terpelanting terkejut barangkali dengan tindakan Pak Din pagi itu.




            Mak Zah menarik kerusi dan melabuhkan duduknya. Bimbang dengan tindakan suaminya. Manalah tahu tiba-tiba mengamuk pula tengah sedap bersarapan itu. "Semalam Tan Sri Azizan, bos besar Wawa dulu tu datang dengan Pak Hussin...melamar Wawa untuk anaknya..." Mak Zah berkerut muka dan menggaru kepala yang tak gatal mengingat nama anak Tan Sri yang disebut penuh semalam. "...entah! Lupa pulak saya nama anak Tan Sri tu."

            "Kenapa tak call saya?" Cewah! Gaya businessman aje Pak Din menjawab. Dalam hati bangga juga kerana anaknya dipinang oleh anak Tan Sri.

            Mak Zah menjeling. Orang dekat rumah ni dah naik sejuk kepala lutut melayan tetamu yang datang, ada hati nak suruh call dia pulak. "Duduklah lagi kat warung tu...lain kali bawak aje tikar bantal," perli Mak Zah.

            "Nak dibuat apa ada telefon kat rumah ni kalau tak tahu nak digunakan?" Pak Din sama tak mahu kalah. Marah betul dia bila isterinya siap suruh bawak tikar bantal. "Habis tu awak cakap apa?"

            Mak Zah terdiam. Baru dia sedar, memang dia tidak menjawab sebutir haram pun. Kelu lidahnya dengan kepetahan Tan Sri berhujah malam semalam. Macam tak ada apa yang mahu dibantahnya. "Saya ikut ajelah...dia buat cara yang betul. Tan Sri kirim salam dengan awak aje...dia suruh pilih tarikh yang sesuai untuk buat majlis nikahnya di masjid kawasan perumahan kita ni."

             Pak Din merenung isterinya. "Cepatnya? Kita dah ada duit ke?"

             Kali ini Mak Zah menarik senyum. "Tan Sri cakap, semua urusan dia yang tanggung."

             Pak Din menghembus nafas perlahan. Lega rasanya. Ya lah...nak berbesan dengan Tan Sri ingat boleh nak buat kenduri biasa-biasa makan Nasi Ambeng tu ke? Paling tidak nak kena sediakan beras Basmathi Faiza yang panjang-panjang tu untuk jamu Nasi Beryani.

             "Tan Sri cakap nanti Pak Hussin akan selalu datang sini buat urusan...dia mahu secepat mungkin kerana cucunya dah tak mahu dipisahkan dari Wawa."

             "Ditanggung beres..." jawab Pak Din senang hati. Rezeki datang bergolek tu.







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...