April 16, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 15

~ sambungan ~


NUR NAJWA sengaja menyibukkan diri untuk menghilangkan rasa tekanan yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini. Semasa di rumah abang Ngahnya pun dia macam itu juga. Tetapi di rumah abang Ngah memasak kerana mendapat tempahan. Di rumah emaknya pula, kalau asyik masak, siapa yang hendak menghabiskannya?
           Nur Najwa siap membancuh seteko kopi dan dibawa ke depan. Puding Karamel tadi diletakkan di hadapan Pak Din minta dikomen akan rasanya. Melihat ayahnya yang macam acuh tak acuh itu Nur Najwa bertanya, "...ayah tak suka ke?"

           "Kenyang lagi...." jawab Pak Din sambil menggosok perutnya. "...sedap pulak makan nasi kenduri kahwin ni sesekali di rumah," katanya mengelak dari dipaksa oleh Nur Najwa merasa Puding Karamelnya itu.

           "Mummy!"

           Jeritan di luar pagar rumah membuatkan Mak Zah bertiga beranak yang sedang menonton petang itu berpandangan diantara satu dengan yang lain. Suara yang melaung itu macam sudah sinonim dengan cuping telinga masing-masing terutama Nur Najwa.

           "Macam suara cucu Tan Sri aje tu?" Mak Zah mendahului bersuara kerana dia tahu suaminya memang kelam sikit dan Nur Najwa mungkin rasa terkedu tidak menyangka anak itu akan datang mencarinya di rumah. Tapi dengan siapa? Mak Zah bangun menuju ke tingkap. Langsir yang menutupi jendela itu diselak ke tepi. "Wa..." Mak Zah memanggil perlahan dengan mulut masih terlopong tidak percaya. "...si Sepet tu datang dengan anaknya," beritahu Mak Zah sambil melambai-lambaikan tangan ke arah Nur Najwa untuk sama mendekatinya di  jendela itu.

           "Eh! Bukaklah pintu," arah Pak Din.

           "Mummy!" Suara anak kecil itu memanggil lagi.

           Pak Din bangun dan menapak ke muka pintu. Daun pintu dibuka lebar dan sebuah kereta putih dilihat menjalar menutupi jalan masuk ke rumahnya. Seorang kanak-kanak terkial-kial cuba membuka pagar rumah yang hanya diselak itu. Lelaki sepet yang dikatakan oleh isterinya tadi menyandar di kereta sambil berpeluk tubuh menunggu.



           Pak Din yang sudah sangat mengenali lelaki dan anak itu cepat menyarung selipar dan menapak ke pintu pagar untuk membukanya.

           "Atok! Is my mummy home?" Tanya anak kecil itu.

           Pak Din mengangkat wajah memandang lelaki bermata sepet itu minta pertolongan.

           "Maaf pak cik....anak saya nak jumpa Najwa," kata lelaki bermata sepet itu.

           "Jom masuk!" Ajak Pak Din ramah. "Jom tuan!" Panggilnya lagi. Pak Din memang payah hendak mengingat nama yang pelik pada pendengarannya.

           Nur Najwa melarikan dirinya ke dapur. Mak Zah terpacak menunggu di pintu rumah.

           "Nenek!" Tegur si kecil yang terkedek-kedek datang mendekatinya. "I want to see mummy," kata si kecil.

           "In the kitchen, go!" Jawab Mak Zah dalam bahasa Inggeris yang dipelajari menerusi menonton TV dan belajar dari anak cucunya.

           "Mummy...gotcha!" Si kecil keseronokan dapat berjumpa dengan Nur Najwa. Mereka terus berpelukan.

           Nur Najwa tidak bersuara. Malu dengan lelaki itu tidak dapat hendak dihuraikan yang bagaimana. Ke mana lagi dia hendak melarikan diri? Berbuat begitu bermakna dia menyusahkan diri sendiri. Mulai sekarang dia harus cekal dan keras hati. Dia harus hadapi ujian ini.

           "Sepanjang hari dia mencari Najwa mak cik," ujar Najmi setelah melabuhkan duduk. "Cik Tipah dah tak tahu nak cakap apa. Saya di pejabat pun tak senang nak bekerja."

           "Eh! Kata Wawa, emak omputihnya dah balik sini," ucap Mak Zah lurus bendul sambil menuangkan kopi yang siap ada di atas meja tadi.

           "Kalau dia hendak dengan emak dia dari dulu, tentu saya pun tak balik ke Malaysia ni mak cik," terang Najmi. Mudah-mudahan Nur Najwa sama mendengar penerangannya itu.

           "Habis tu...emaknya sekarang ni di mana?" Tanya Mak Zah yang sedikit musykil dengan kedudukan cerita.

         


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...