Tan Sri Azizan yang mendukung cucunya itu mengekor dari belakang. Pak Hussin menutup pintu Rexton setelah Tan Sri melabuhkan duduknya. Kenderaan itu kemudiannya bergerak keluar dari dalam garaj dan terus ke pintu pagar perkarangan rumah agam itu.
Najmi buat muka pelik. Nak ke mana tu? Kenapa ayahnya tidak memberitahu atau mengajak dia sama?
"Dah naik bengkak mata cucu saya ni. Itulah tinggi sangat ego dia tu sampai anak yang jadi mangsa," leter Tan Sri elok kenderaan itu masuk ke jalan besar.
"Nak dihantar suruh Puan Najwa jaga ke Tan Sri?"
"Tak aih! Saya nak heret aje Puan Najwa tu balik ke rumah saya. Nak dinikahkan aje mereka berdua tu. Baru selesai kes ni. Kalau tak sama menyusahkan saya tak apa..." marah Tan Sri.
Bunyi heret itu meremangkan bulu roma Pak Hussin. Biar betul Tan Sri ni....nak heret-heret aje anak orang. Kalau dia orang ti tak suka kenapa nak dipaksa?
"Budak-budak sekarang ni Sin...nama aje belajar tinggi. Tentang mengatur hidup berumahtangga ni bodoh betul!" Tambah Tan Sri lagi yang macam faham aje apa yang ada di benak Pak Hussin tadi. "Bukan saya tak tahu mereka berdua tu memang dah suka sama suka....cuma ego masing-masing tu tinggi sangat. Malu nak mengaku. Patah agaknya batang hidung dia orang tu kalau mengaku perasaan sendiri?"
Pak Hussin yang tekun mendengar itu rasa dah nak gelak tergolek bila Tan Sri keluar cakap 'patah agaknya batang hidung'. Bayangkanlah....kalau cakap 'I Love You' tu batang hidung boleh patah dengan sendirinya? Memang orang tak kan cakaplah...main signal macam Charlie Chaplin atau macam pasangan bisu.
"Hendak ke Puan Najwa tu Tan Sri?" Tiba-tiba Pak Hussin bertanya kerana Nur Najwa yang dimaksudkan itu bukan budak kecil yang nak main heret-heret...dah boleh jadi emak orang.
"Tu sebab saya bawak cucu saya ni....biar hatinya lembut sikit."
Pak Hussin memandu perlahan memasukki jalan ke rumah Nur Najwa. Dia yang memberitahu Tan Sri Azizan bahawa Nur Najwa sudah pulang setelah mendapat berita dari Pak Din semasa dia singgah di Warung Pak Ya petang semalam. Namun Kelisa Nur Najwa yang diparkir di pinggir jalan memudahkan pencarian Pak Hussin.
"Tan Sri tunggu kat dalam dululah...biar saya pergi panggilkan Puan Najwa," ujar Pak Hussin menghormati majikannya.
"Tak payah Sin...biar saya sama keluar baru dia ada rasa malu sikit. Kalau hanya kamu aje karang, banyak pulak dalihnya," bangkang Tan Sri.
Pak Hussin cepat membukakan pintu Rexton di bahagian belakang untuk Tan Sri yang sedang memangku cucunya yang tidak bermaya itu.
Mak Zah yang sedang bersila mengopek ikan bilis itu cepat bangun apabila mendengar bunyi kenderaan berhenti betul di depan rumahnya. Dia tambah teruja apabila bunyi pintu kenderaan itu ditutup dan suara derapan tapak kasut mendekati pagar mata punai separas pinggang yang menjadi pintu pagar rumahnya itu. "Siapa pulak ni?" Bebel Mak Zah yang agak payah hendak bangun kerana sakit lutut. "Semenjak dua menjak ni macam-macam rupa kereta yang datang ke rumah ni," bebelnya terus setelah menyelak sedikit kain langsir dan nampak sebuah pacuan empat roda yang agak besar menutup ruang masuk ke rumahnya itu.
"Assalamualaikum!" Jerit Pak Hussin sedikit berlagu.
"Eh! Hussin? Ada apa Sin?" Tanya Mak Zah yang memang sudah kenal benar dengan driver Tan Sri itu. Lelaki itu sudah tiga empat kali datang ke rumahnya kerana berurusan dengan Nur Najwa.
"Tan Sri nak jumpa dengan Puan Najwa kak," beritahu Pak Hussin.
"Tan Sri?" Tanya Mak Zah di sebalik daun pintu yang dibuka hanya lepas untuk menjengolkan kepalanya sahaja.
"Assalamualaikum," suara Tan Sri memberi salam.
"Waalaikumsalam," jawab Mak Zah gagap. Bimbang pula ada hal apa sehingga Tan Sri sendiri datang ke rumah mencari Nur Najwa? "Wawa!" Mak Zah berteriak dari bawah kerana Nur Najwa sejak pulang bertapa terus di biliknya. Tanya satu pun dia tidak mahu manjawab. Geram! Rasa hendak dipelangkung pun ada. Ini mesti sudah melakukan kesalahan besar sampai Tan Sri menurut sampai ke rumah, bisik hati Mak Zah.
Pak Din pula dari Asar tadi ke surau, belum lagi balik-balik ke rumah. Mesti melepak di Warung Pak Ya main dam haji dengan kawan-kawannya. Kalau main dam, dah beratus kali hajinya. Dia sendiri pun belum lagi samapai ke Tanah Suci itu. Bebel hati Mak Zah lagi tentang perangai suaminya. Tapi masih mampu bertahan di dalam hati sahaja.
No comments:
Post a Comment