April 25, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 16

MERCEDES C200 itu di parkir di tepi jalan di kawasan taman permainan. Nur Najwa yang mengikut itu tadi berpaling memandang Najmi.

           "Kata tadi nak ajak teman beli barang?"

           "Tak kan nak berbincang pasal urusan peribadi di shopping complex?" Jawab Najmi mematikan enjin kereta. "Jom adik!" Ajak Najmi yang sudah keluar membukakan pintu belakang untuk anaknya.

           "Adik nak naik swing daddy," ujarnya gembira dapat lepas bebas hari itu.

           "Okey," jawab Najmi gembira bila melihat anaknya bernyawa. Kesian anaknya itu yang banyak menangis dari bergembira selama dia membesar.

           Nur Najwa hanya mengekor dari belakang. Najmi mengejar anaknya yang berlari untuk merebut buaian. Nur Najwa membayangkan jika ibu kandung si kecil yang turut sama pada petang itu tentu nampak bahagia sungguh dengan hilai ketawa si kecil yang seakan gayat bila bapanya menghayun buaian sedikit laju.
           Dia kemudian membayangkan dirinya pula...jika Jalal masih hidup, tentu mereka juga sudah punya anak yang dapat menghiburkan hatinya.
           Nur Najwa melabuhkan duduknya di kerusi batu yang tersedia jauh di sudut taman. Dia hanya memerhati orang dua beranak itu. Dia sudah berfikir lebih sepuluh kali untuk tidak terlalu rapat dengan si kecil lagi kerana ibu kandungnya kini telah pulang untuk tinggal bersama.
            Pelik juga melihat anak yang tidak rapat dengan ibu kandung sendiri. Kenapa?

            Najmi yang menghayun anaknya itu memerhati Nur Najwa yang cuba memencilkan diri duduk di kerusi batu bersendirian. Terasa bersalah di dalam hatinya kerana semenjak kehadiran dia dan anaknya, hidup wanita itu berubah corak.
            Kini setelah ayahnya mencadangkan untuk dia menikahi wanita itu, bekas isterinya pula muncul. Apa yang harus dia katakan untuk memujuk hati wanita itu sekarang ini?



            "Adik main sendiri boleh?"

            "Where are you going daddy?"

            "Daddy nak ajak mummy datang sini."

            "Okey," jawab si kecil senang hati. Memang belum pernah dia dibawa ke taman permainan di waktu petang begitu.

            "Be careful, okay?" Najmi mengingatkan sambil melepaskan tali buaian.

            Anak yang keseronokan itu sudah tidak menjawab. Dia hanya menganggukkan kepalanya sahaja.

            Najmi mendekati Nur Najwa dan sama melabuhkan duduknya di kerusi batu itu. "Anak saya tak pernah dibawa ke taman permainan....seronok dia bila dapat ke sini," cerita Najmi sambil mata tegak memerhati anaknya.

            Nur Najwa tumpang gembira melihat si kecil itu gembira berayun di buaian petang itu. Dia juga tidak bersuara.

            "Saya nak minta maaf atas apa yang terjadi selama saya dan anak saya sampai ke mari..." Najmi memulakan mukadimahnya.

            Nur Najwa berpaling memandang wajah Najmi yang matanya masih tegak memerhati si kecil yang ditinggal sendirian di buaian.

            "Kami telah banyak menyusahkan hidup awak," tambahnya lagi. "Frankly speaking, saya bersedia menerima awak menjadi isteri saya...." ucap Najmi berpaling memandang Nur Najwa. "...jika Christine tidak datang pada malam itu."

            Nur Najwa faham. Dia kemudian menundukkan wajah memandang rumput di kaki.

            "Saya tak berani hendak menikahi dua orang sekali gus...saya tak mampu untuk berbuat demikian, walaupun Christine rela hidup bermadu. Saya tidak yakin saya dapat membahagiakan kedua-dua isteri saya dan saya tidak sanggup menjawabnya di akhirat nanti."

           Nur Najwa masih membisu. Dia memang tidak mahu berkata apa-apa berhubung hal itu. Mujur mereka belum terlajak melakukannya. Jika mereka sudah menikah dan kemudian Christine muncul, sudah tentu dia tidak boleh menarik diri dan terpaksa menerima keadaan. Hati mengucap alhamdulillah. Apa yang berlaku itu adalah ketentuan Allah.
           Nur Najwa redha walau hati tercuit juga rasa pilu dan sayu mengenang nasib diri. Tetapi dia percaya apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. 'Allah will not burden you more than you can bear' Nur Najwa teringat petikan dari surah Al-Baqarah ayat 286 yang dibaca ketika di rumah abang Ngahnya dulu. Ayat itu memang dapat memujuk hatinya. Ayat itu penyembuh laranya
            Kata-kata seorang teman selepas dia ditinggalkan pergi oleh Jalal buat selama-lamanya kini muncul di kotak memori. 'Past is experience, present is experiment and future is expectation. Use your experience in your experiments to achieve your expectations'.

            "Mummy!" Jeritan si kecil mengejutkan Nur Najwa dan Najmi yang terkhayal dibawa masalah hidup.

            Empat biji mata itu terus memandang ke arah suara yang menjerit.





         

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...