"MANA abang Jimi?" Tanya Tan Sri elok mereka sampai malam itu.
Noor Azizah memandang wajah ayahnya silih berganti dengan Nur Najwa. "Kak Long bawaklah adik masuk tidur, Cu ada benda nak cakap sikit dengan ayah," beritahu Noor Azizah yang masih terus berbahasa memanggil Nur Najwa sebagai Kak Long.
Nur Najwa sudah terasa tidak sedap hati, namun dia mengambil si kecil dari dukungan Tan Sri dan membawanya naik ke bilik.
Tan Sri dan Noor Azizah hanya memerhati Nur Najwa dan si kecil sehingga hilang kelibat mereka.
"Ada apa ni Cu?"
"Abang Jimi pergi jemput bekas isterinya di airport," beritahu Noor Azizah perlahan.
"Christine tu?"
Noor Azizah angguk.
"Ah! Sudah..." Tan Sri tepuk dahi. "Ayah baru buat rundingan dengan family Najwa tadi nak uruskan majlis nikah mereka secepat mungkin." Tan Sri menyandarkan badannya ke sofa. Tangan kanannya masih melekap di dahi. "Abang Jimi ada cakap apa-apa?"
"Cu tak tau pasal rancangan ayah...jadi Cu suruh abang Jimi pergi jemput dia. Perempuan tu bukan pernah datang sini, karang sesat barat pulak. Tadi pun abang Jimi tak nak...Cu yang pujuk dia," jelas Noor Azizah.
"Tak apalah...dia datang nak tengok anak dia sebab hari tu abang Jimi ada beritahu dia semasa Najwa dimasukkan ke hospital."
Noor Azizah sama lega. "Bila ayah cadang nak buat majlis untuk abang Jimi ni?"
"Tunggu jawapan dari emak dan ayah Najwa...ayah suruh mereka pilih tarikhnya."
"Baguslah...Cu harap sangat lepas ni abang Jimi hidup bahagia."
"Ayah pun macam tu juga...kalau dia senang, ayah pun tumpang senang," ujar Tan Sri lagi. "Cu tak nak buat sekali?" Sempat Tan Sri masuk jarum.
"Isy! Ayah ni...sempat pulak dia." Noor Azizah menjeling marah. "Ayah dah Maghrib ke ni?"
"Dah tadi...ajak Pak Hussin singgah solat di surau."
Serentak itu lampu kereta menyorot masuk ke perkarangan rumah agam itu. Tan Sri dan Noor Azizah sama berpandangan.
Si kecil yang sudah dimandikan itu terasa lapar perutnya. "Mummy...adik laparlah."
"Jom turun...mummy suapkan makan," ajak Nur Najwa. Tangan si kecil dipimpin dan dibawa keluar bilik. Sampai di mata tangga, Nur Najwa terpandang Najmi yang mengheret satu beg besar bersama seorang wanita berbangsa Inggeris di sebelahnya. Jantungnya bagai nak luruh walau dia dan Najmi belum sama duduk berbincang mengesahkan perasaan masing-masing. Nampak gaya apa yang dirundingkan oleh Tan Sri bersama emaknya tadi tidak akan menjadi kenyataan.
"Who's she?" Nur Najwa bertanya kepada si kecil.
"Christine."
Nur Najwa merenung wajah si kecil dengan panggilan yang digunakan olehnya itu.
No comments:
Post a Comment