"SAYA dah hantar dia ke PERKIM untuk mempelajari dan mendalami agama Islam. Kalau niatnya betul, insyaAllah dia akan dapat bertahan lama dan baru saya akan menikahi dia," terang Najmi.
"Alhamdulillah...baguslah macam tu," ujar Mak Zah setuju dengan tindakan Najmi. "...macam mana dengan penyakitnya?" Mak Zah baru teringat Nur Najwa ada memberitahunya bahawa wanita itu sedang bertarung dengan barah payudara.
"Itu hanya Allah sahaja yang mengetahui mak cik, buat masa ni memang dia terpaksa terus menerus akan mendapatkan rawatan."
Mak Zah angguk faham. "Kesiannya..." sempat dia menuturkan.
Pak Din tidak menyampuk kerana bahagian kisah bekas isteri Najmi yang baru sampai dari Amerika itu, dia memang tidak tahu.
"Saya nak mintak izin bawa Najwa keluar kejap boleh tak? Ada barang rumah yang hendak dibeli, tapi saya tidak berapa pandai memilih," ujar Najmi minta izin untuk membawa Nur Najwa keluar.
"Cuba tanya dia sendiri?" Suruh Pak Din. "Najwa!" Anaknya dipanggil. Masakan Najmi hendak ke dapur mencari Nur Najwa pula? Entah mahu entah tidak Najmi memijak dapur rumahnya yang hanya berlantaikan simen biasa sahaja itu dan dialas dengan tikar getah untuk mencorakannya.
Nur Najwa datang dengan si kecil. "Ada apa ayah?"
Pak Din berpaling memandang wajah Najmi minta dia sendiri mempelawa Nur Najwa untuk dibawa keluar. Pak Din mengangkat keningnya mengarah.
"Can we go out for a while...I'd something to discuss," ujar Najmi.
Nur Najwa memandang ayahnya.
Pak Din angguk walaupun dia tidak faham biji butir yang dituturkan oleh Najmi tadi.
Mak Zah juga menganggukkan kepala memberi kebenaran. Setakat 'go out' dan 'discuss' yang dituturkan Najmi itu Mak Zah sudah mengerti. Ada benda yang hendak dibincangkan oleh Najmi dengan Nur Najwa.
Tanpa bersuara, Nur Najwa memimpin si kecil menaiki tangga ke biliknya untuk menyalin pakaian.
"Are you coming home with me, mummy?"
"Adik kan dah ada Christine?"
"She's leaving us again."
"Don't worry...she'll be back. Dia akan jadi mummy adik yang sangat baik," pujuk Nur Najwa.
"How do you know?"
"Your daddy's sending her away to learn to be a good mummy."
"But I want you."
Nafas Nur Najwa sesak kembali. Payah betul si kecil ini hendak mengerti. Bagaimana hendak difahamkan kepadanya tentang erti hidup berkeluarga? Tentang kasih dan sayang yang perlu ada.... tentang ikatan yang harus dipatri untuk membolehkan mereka hidup bersama?
Sekarang ini, Nur Najwa dan Najmi percaya diantara mereka sudah terasa ada kasih dan sayang hasil dari sentuhan kasih anaknya. Namun kehadiran Christine seolah menyekat perjalanan mereka untuk membina keluarga yang bahagia.
Nur Najwa tidak mahu hidup bermadu sebagaimana yang disarankan oleh Tan Sri. Najmi pula belum memberi kata putus dalam hal ini dan Nur Najwa juga tidak mahu membebankan Najmi dengan tanggungjawab yang tidak akan terpikul olehnya. Melainkan mereka bertiga bekerjasama untuk mencari kebahagiaan itu. Mampukah dia? Mahukah Christine? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment