~ sambungan ~
MAK ZAH cepat menerkam ke muka pintu apabila terdengar bunyi hon Nissan Vanette Pak Mail yang gaya pasar bergerak itu. Setiap hari Pak Mail akan sampai ke kawasan rumahnya itu sekitar jam 10.00 pagi. Jiran-jiran yang lainnya juga akan sama menerpa van Pak Mail berebut ikan dan sayur yang masih berbaki.
"Siapa yang datang ke rumah akak lepas Maghrib semalam?" Tanya Maimon tidak senang hatinya selagi tidak dapat cerita. Dia yang menjual burger pula di waktu malam di depan rumahnya itu dengan mudah dapat melihat siapa yang lalu lalang. Selama dia berjiran dengan Mak Zah, memang dia belum pernah nampak lagi ada kenderaan yang besar-besar datang ke rumah itu.
Mak Zah memang sudah mengagak, Maimon akan bertanya tentang hal itu. "Alaa...Pak Hussin drebar bos Wawa tu..." jawab Mak Zah cuba mengelak dari terbuka cerita yang masih belum pasti itu. Mak Zah buat muka bersahaja tidak mahu jiran-jiran yang lain yang sama ada membeli ikan dan sayur di van Pak Mail itu menjadikan cerita yang ditanya oleh Maimon itu sebagai bahan gosip mereka di taman perumahan itu nanti.
"Eh? Kalau Pak Hussin tu kan dia selalu datang dengan motosikalnya aje?" Soal Maimon lagi masih mahu tahu.
Tengok? Maimon pula yang lebih-lebih tahu apa yang berlaku selama ini di rumah Mak Zah. Mak Zah terdiam sekejap memikir apa yang patut dijawabnya. "Oo...dia jemput Wawa. Rumah Tan Sri buat kenduri doa selamat cucunya dah sihat. Itu yang datang dengan kereta."
"Amboi! Untung si Wawa siap datang berjemput dengan drebar Tan Sri," ujar Maimon lagi.
Jiran-jiran yang sudah mula mahu menapak pulang itu, semua berpaling memandang Mak Zah dengan pernyataan dari Maimon tadi. Ya lah...di kawasan perumahan kos rendah macam mereka itu jangankan Tan Sri...yang berpangkat Dato' berbini empat pun belum terdengar lagi berminat dengan anak-anak dara mereka.
"Orang kerja dengan Tan Sri...kenalah dijemput oleh drebarnya kalau diperlukan," sampuk Pak Mail sambil menutup pintu belakang vannya untuk bergerak ke destinasi seterusnya. Pak Mail berlalu dengan senyum yang melebar ke telinga. Kalau kisah di kawasan taman perumahan tempat dia selalu berjaja ikan dan sayur itu penuh di dalam sakunya.
Anak si polan berdating dengan anak si polan...Pak Haji yang sukakan Mak Janda...suami si polan yang gilakan isteri si polan...semuanya dia tahu. Tapi hendak dibuat apa dengan skandal itu semua? Selalunya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja. Dia ke situ untuk berniaga mencari rezeki untuk diberi makan anak dan isteri. Kalau dia hendak menyampaikan cerita-cerita itu kepada orang-orang yang tertentu, boleh sahaja. Tapi apa untungnya? Tidak pasal-pasal dapat dosa kering sahaja nanti. Kalau tidak pun tentu sudah lama dia dipelangkung oleh orang-orang yang tertentu itu.
Mak Zah yang biasa berkicau mulutnya macam murai tercabut ekor itu, kali ini hanya mendiamkan diri sahaja. Kata-kata Maimon tadi dikaji entah jujur entah perli. Sejak kebelakangan ini Maimon kalau bercakap tidak sedap langsung bunyinya. Mak Zah dapat merasakan itu. Sebelum ini Maimon itulah diantara jiran yang paling rapat dengannya.
Apa yang hendak dicemburukan oleh Maimon? Yang datang itu berurusan dengan anaknya Nur Najwa. Bukan Tan Sri itu datang hendak melamar Mak Zah?
"Ala Mon...cucu Tan Sri tu yang sukakan Wawa, itu yang mereka mungkin perlukan Wawa di rumah itu untuk melayan cucunya," kata Mak Zah masih cuba menyembunyikan cerita selagi boleh.
"Emak budak tu tak ada ke? Hari tu pun saya tengok bosnya datang sendiri aje?"
"Emak budak tu ada kat obersi kata Wawa," pendek jawab Mak Zah.
Kali ini Maimon mengangguk faham. Dia pernah juga dengar cerita isteri orang-orang kaya yang asyik makan angin keluar negeri. Untunglah! Bisik hati Maimon membandingkan dirinya yang hidup kais pagi makan pagi itu.
Kini...angin-angin kemewahan itu sudah sampai ke rumah Mak Zah pula. Mana dia nak senang duduk? Kalau setakat kerabat Pak Din dan Mak Zah tu memang dia sudah kenal benar. Maklumlah... mereka kan sudah lama tinggal berjiran? Sejak diserahkan kunci semasa perumahan itu sudah boleh didiami kot?
No comments:
Post a Comment