April 14, 2012

Sentuhan Kasih ~ Bab 14

~ sambungan ~

NUR NAJWA membawa si kecil sama ke laman kerana si kecil tadi tidak mahu berenggang dengannya. Najmi hanya mengekor dari belakang.

           Nur Najwa melabuhkan duduknya menghadap Tan Sri yang duduk bersilang kaki menunggu sejak dari tadi lagi.



           "Eh? Cucu Tok Ayah tak tidur lagi?"

           Si kecil menggeleng.

           "Pergi naik tidur dengan daddy ye?" Pujuk Tan Sri yang mahu berbincang empat mata dengan Nur Najwa. Kalau ada Najmi sama karang bimbang Nur Najwa malu hendak bercakap.

           "Dia tak nak ayah....Jimi dah ajak tadi," beritahu Najmi yang sama duduk memangku anaknya. Tetapi tangan si kecil masih memaut lengan Nur Najwa di sebelah.

           "Huh...tak apalah. Bagus juga dia dengar, biar dia faham apa sebenarnya yang berlaku sekarang ini." Tan Sri memandang wajah cucunya. Kemudian beralih kepada Nur Najwa dan anaknya Najmi. "Semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Atas kita manusia hendak dibuat bagaimana," Tan Sri memulakan mukadimahnya.
           Dia sendiri pun tidak menyangka setelah dia mengambil keputusan untuk menikahkan Nur Najwa dengan Najmi, Christine yang ditunggu lama sejak si kecil sakit di hospital lagi muncul pula dengan berita yang membuat orang semua berada di dalam dilema.
           "Saya nak tanya pendapat kamu sendiri Najwa, mahukah kamu hidup bermadu dengan Christine?"

           Nur Najwa mengangkat wajahnya memandang Tan Sri dengan pernyataan yang menjerut leher sendiri itu. Perempuan manakah yang mahu hidup bermadu? Biasanya pada mula tu memang sanggup apa saja. Tetapi lama kelamaan sifat cemburu itu akan menguasai diri. Siapa yang beralah pula akan makan hati.
         
            "Christine menghidap kanser payudara...dia berjanji untuk menghabiskan sisa hidupnya ini untuk mendalami agama Islam bersama Najmi dan anaknya. Kalau kamu juga ada sama untuk membimbingnya ke arah menjadi seorang Islam yang mulia, tentu besar pahalanya," terang Tan Sri memujuk.

            Bunyi macam senang, hendak melakukannya itu yang berat. Sudah pasti banyak tumpuan diberikan untuk Christine dan mampukah dia menghadapi keadaan itu? Baik sangatkah hatinya untuk melalui saat itu?

            "Saya tarik dirilah Tan Sri, saya rasa saya bukan malaikat yang sanggup melihat suami saya membelai wanita lain di depan saya nanti..." ujar Nur Najwa.

            "Bagaimana dengan adik ni? Sekarang ini pun saya lihat dia tidak mahu dipisahkan dengan awak," kata Tan Sri sambil menunjukkan tangan comel itu yang masih memaut lengan Nur Najwa.

            "Tak apa...sedangkan ibunya yang sudah menjadi buluh itu pun mahu merubah diri, inikan si kecil yang masih rebung," jawab Nur Najwa yang membawa maksud yang sangat dalam itu.

            "Baiklah...." Tan Sri pun faham maksud yang tersirat itu. "...saya offer kamu kerja balik di pejabat itu," tukas Tan Sri sebagai tanda terima kasihnya kepada Nur Najwa kerana sejak kehadiran anak dan cucunya itu, wanita itu sama diheret dengan masalah keluarganya.

            Nur Najwa sedikit mengerling Najmi di sebelah. Sanggupkah dia memandang wajah lelaki itu lagi? Mampukah dirinya berhadapan setiap hari dengan Najmi? Ya Allah, Kau tunjukkanlah aku ke jalan yang Engkau redhai. Ya Allah peliharalah aku dan bimbinglah aku.....








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...