~ sambungan ~
MAK ZAH sedang menyiang ikan di singki dapur bila dia terpandang kelibat Nur Najwa yang pulang mengikut pintu belakang.
"Kenapa Wa?" Tanya Mak Zah merasa pelik. Kalau ikut apa yang diberitahu oleh Tan Sri padanya malam itu, Nur Najwa akan tinggal di rumah Tan Sri. Tetapi baru semalam pergi, tengahari ini sudah pulang sendirian.
Kalau Nur Najwa mengikut pintu belakang dengan berjalan kaki sudah pasti dia pulang dengan menaiki bas. Tapi mengapa tidak dihantar oleh Pak Hussin?
Nur Najwa tidak menjawab pertanyaan emaknya itu, dia terus masuk dan menarik kerusi di meja dapur. Tangannya meyelak tudung saji yang bertutup di tengah meja. Kemudian dia bangun mengambil pinggan, sudu dan sebiji mug.
Mak Zah hanya memandang gelagat anaknya itu yang masih belum mahu bercakap. Matanya memerhati segala gerak laku anaknya itu yang kelihatan lapar benar.
Pon! Pon! Terdengar bunyi hon dari arah depan rumah mereka pula.
"Siapa pulak tu?"
"Mak! Kalau siapa-siapa tanya Wawa...cakap Wawa tak ada..." pesan Nur Najwa sambil menyuap lapar Nasi Goreng Kampung yang berbaki dari sarapan pagi Mak Zah dan Pak Din tadi.
Mak Zah faham...ini mesti berkaitan dengan kisah semalam. Mungkin Nur Najwa tidak setuju hendak dinikahkan dengan anak Tan Sri yang matanya sepet itu atau si sepet itu yang tidak mahu dinikahkan dengan Nur Najwa, Mak Zah mengagak cerita sambil menapak ke depan.
Kain langsir tingkap diselak untuk memastikan samada hon yang dibunyikan tadi memang di depan rumahnya atau mungkin rumah Mak Hendon di sebelah depan atau mungkin juga untuk orang sebelah kiri atau kanan.
"Eh...Pak Hussin Wa.." beritahu Mak Zah perlahan.
"Cakap Wawa tak ada mak," pesan Nur Najwa lagi.
"Ada apa Sin?" Tanya Mak Zah yang membuka sedikit daun pintu cukup untuk meloloskan kepalanya sahaja.
"Nak jumpa Puan Wawa," jawab Pak Hussin.
"Eh? Bukan dia semalam ikut kamu dan Tan Sri ke?" Tanya Mak Zah pura-pura dengan suara yang diperlahankan bimbang karang jiran tetangga memasang telinga.
"Kak...saya ada nak cakap sikit dengan akak ni," ujar Pak Hussin.
"Pak Din tak ada kat rumah...akak tak dapat nak pelawa kamu masuk ke dalam," sahut Mak Zah pula.
"Tak apa kak...depan pintu tu ajelah. Tak kan saya nak terjerit-jerit dari sini?"
Nur Najwa yang mendengar cepat berlari naik ke biliknya, bimbang kelibatnya dilihat oleh Pak Hussin pula nanti.
"Masuklah..." ajak Mak Zah membenarkan Pak Hussin sedikit hampir di depan pintu rumahnya.
Pak Hussin menarik selak pagar dan mendekati Mak Zah di pintu rumah.
"Ada apa Sin?" Tanya Mak Zah yang memang ingin sangat tahu apa yang telah berlaku diantara anaknya dengan keluarga Tan Sri itu. Kalau nak tunggu Nur Najwa menjawabnya, mungkin minggu depan pun belum tentu lagi dapat cerita.
"Macam ni kak........
No comments:
Post a Comment