"YA LAH...kalau Wawa buat keputusan untuk tarik diri, emak ikut ajelah," kata Mak Zah yang sekerat hari mendengar cerita anaknya. "Habis tu, jadi ke nak kerja balik kat situ?" Mak Zah yang sudah mula menapak untuk keluar dari bilik itu berpaling menanya.
"Kerja ajelah mak....nak cari kerja lain susah sekarang ni. Pandailah Wawa nanti nak buat macam mana," jelas Nur Najwa yang bercadang untuk meneruskan kerjanya di Mega Bina Holdings itu seperti yang telah ditawarkan oleh Tan Sri.
Rugi pula rasanya kalau hanya kerana Najmi dia terus berhenti. Kalau masih bekerja, sekurang-kurangnya dapat juga dia membantu membayar bil-bil di rumah emaknya itu.
Mak Zah angguk dan terus menapak keluar bilik.
"Mak!"
Mak Zah berpaling bertanya.
"Hari ni Wawa nak masak...emak pulak rehat ya?"
Mak Zah berkerut muka pelik. Ya sangatlah tu...karang Pak Din mulalah komplen...kuah cairlah...tak ada rasa garamlah...nasi keraslah...
Tapi dah anaknya offer diri untuk memasak hari itu, tak kan Mak Zah nak tolak pulak? Esok-esok dia langsung tak ingin nak ke dapur.
"Boleh mak?"
"Ya boleh....tapi cepat turun. Dah pukul berapa ni...perut mak dah nyanyi lagu Micheal Jackson," jawab Mak Zah sayup di mata tangga.
Pecah ketawa Nur Najwa di bilik mendengar kata-kata emaknya. Biasanya kalau lapar, perut akan mengalunkan irama keroncong, tapi perut emaknya mendendangkan lagu Micheal Jackson pula. Ini tentu kes sudah lapar benar.
BURP! Kedengaran sendawa Pak Din petang itu. Dia menolak kerusi ke belakang dan bangun meninggalkan meja dapur.
"Alhamdulillah," ujar Pak Din sambil melabuhkan duduknya di sofa menghadap TV pula.
"Ayah tak makan dessert ni?" Tanya Nur Najwa dari dapur. Tadi dia sempat membuat Puding Karamel untuk minum petang.
"Bawak ajelah ke mari," kata Pak Din yang tidak biasa dijamu dengan makanan gaya barat itu. Kalau kuih ketayap ke...kuih keria ke, dia memang sudah biasa.
"Nanti Wawa buatkan kopi sekali," sahut Nur Najwa yang mengambil alih kerja di dapur hari itu.
Mak Zah yang sedang melipat kain baju hanya memerhati dan mendengar perbualan anak dan bapak itu. Dia sendiri pun pelik dengan perubahan yang berlaku pada diri anak perempuan tunggalnya itu. Kalau dari dulu dia sudah menunjukkan kerajinannya itu, sudah tentu Mak Zah beruntung kerana dapat banyak berehat.
"Ada tamu ke tadi?" Pak Din menanya Mak Zah kerana hari ini dia dijamu dengan Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah, macam pergi makan kenduri pula gayanya.
"Tamu mana pulak?"
"Tu yang masak gaya makan kenduri rumah orang kahwin?" Sangka Pak Din tentu Tan Sri atau anaknya ada datang menghantar Nur Najwa pulang. Sebab itu isterinya beria-ia memasak agak istimewa berbanding dengan hari-hari biasa.
"Wawa yang masak hari ni...saya dah beli ikan selar nak masak pindang aje tadi, tiba-tiba dia sibuk nak memasak," adu Mak Zah.
Pak Din angguk. Hati berbunga bangga kerana anak perempuan tunggalnya itu sesekali ke dapur, tapi memasak masakan istimewa pula.
"Awak ada cerita dengan sesiapa ke pasal cadangan Tan Sri dulu yang saya cakap?"
"Belum sempat lagi...kalau nak cepat, nanti masa solat Maghrib saya tanyakan Tok Imam di surau tu."
"Tak payah bang....cancel aje," arah Mak Zah.
"Apasal pulak?"
"Wawa tak nak."
Pak Din cepat berpaling mencari kelibat Nur Najwa. Patutlah dia dah balik, dia tak setuju rupanya. "Kenapa?" Sempat Pak Din bertanya.
"Wawa cakap dia tak nak bermadu dengan isteri orang putih Najmi tu."
Pak Din berkerut muka tidak memahami cerita. Kalau anak Tan Sri itu sudah ada isteri, kenapa masih hendak meminang Nur Najwa? "Habis tu...kenapa selama ini budak kecik tu macam tak ada emaknya aje?"
"Panjang ceritanya bang, tanyalah anak awak tu kalau nak tahu kisah sebenar dia," ucap Mak Zah sambil mengangkat kain baju yang berlipat diletakkan di mata tangga. Nanti sesiapa yang hendak naik ke bilik masing-masing, bawa sekali bahagian mereka.
Mak Zah memang sudah tidak kuasa hendak turun naik, turun naik. Kepala lututnya sudah rasa hendak tertanggal mengurus rumah dua tingkat itu selama ini. Sekarang pun masa siangnya banyak dihabiskan di tingkat bawah sahaja.
No comments:
Post a Comment