April 30, 2011

Murderer In d'House...(part 3)

Satu petang waktu aku pulang dari sekolah, hari sudah menjenguk maghrib. Lambat sikit sebab singgah kedai Apek Jajan yang menjual air batu kepal.

Dari kejauhan di waktu rembang petang itu aku nampak sebuah kereta polis yang lampunya berpusing lip lap lip lap. Macam dekat depan rumah aku aje? Aku berjalan pantas mendekati. Jantung dah masuk tempo lagu arwah Michael Jackson, Thriller. Memang thrilled betul la...depan rumah aku!

Ada dua orang lelaki berpakaian biasa aje...

'Siapa Cu?' aku bertanya Pak Ucu aku yang berasal dari Rembau.

'Polis mato-mato.'

Ada apa ni?

Aku memepercepatkan langkah ku masuk ikut pintu belakang. Emak di kerusi dapur sot sat sot set menangis.

Aku dekati dia perlahan. Sambil memegang bahu emak aku bertanya,

'Kenapa mak?'

Emak tak menjawab, dia hanya geleng kepala sahaja.

Tidak lama kemudian, kereta polis tadi berlalu pergi meninggalkan aku dalam seribu pertanyaan.

Ayah yang masuk dari pintu depan terus terduduk di kerusi kayu, dia memicit dahi. Kemudian entah apa yang ayah dan Pak Ucu bualkan tidak menarik perhatian ku lagi.

Namun aku yang terasa sangat ingin tahu, masih tidak berani bertanya mengapa, kenapa, ada apa semua itu.

Malam itu aku terdengar emak dan ayah berbual berdua di dapur.

'Baru petang semalam si Senah tu lalu depan rumah ni...' emak terdiam mengingat. '...dia tanya kalau-kalau nampak anak sedaranya bermain di kawasan sini.'

'Kata keluarga dia, dia keluar lepas maghrib ke rumah sewa tunangnya pakai kereta bapak dia....tunggu sampai pagi tak balik-balik,' ayah beritahu apa yang polis sampaikan tadi.

'Pergi mana pulak?' Emak menggosok pelipis.

Mereka berdua di meja dapur, mencantum cerita.

Aku yang duduk di muka tangga, mendengar dengan penuh minat. Aku juga cuba mencantum cerita mereka. Petang semalam emak nampak Hasnah anak Penghulu Bakar lalu depan rumah kami mencari anak saudaranya. Lepas waktu Maghrib malam itu, dia memandu kereta bapanya ke rumah sewa tunangnya iaitu anak sedara ayah dan terus tidak pulang.

Oooo...maknanya polis tadi datang ke rumah aku mencari anak sedara ayah yang di syaki berada di rumah kami. Adakah mereka menghilangkan diri? Atau mereka bercadang kahwin lari? Atau... Eee..nauzubillah.

Malam itu ayah nampak masih rileks, sebaliknya emak yang ke hulu ke hilir menggaru kepala tak gatal.

                                                                                                         ~ bersambung ~

Murderer In d'House...(part 2)

Aku yang di bawah umur masa tu hanya memandang sahaja ruang tengah rumah yang dipenuhi oleh kawan-kawan emak yang sedang membuat gubahan hantaran majlis pertunangan mamat tu dengan Hasnah anak penghulu Bakar.

Pandai mak cik-mak cik tu mengubah, kalau sekarang ni kita orang panggil DIY la... dari bahan mentah seperti tuala mandi tu dilipat-lipat , digumpal-gumpal jadi kodok. Kain telekung pulak boleh jadi kapal. Sireh junjungnya tiga tingkat... ambik engkau! Siapa yang nak bawak masa berarak ke rumah pengantin perempuan itu nanti? Isy! Aku memang kagum la.

Emak sibuk di dapur menyediakan juadah untuk para teman yang bergotong-royong membantu dalam kerja-kerja menyiapkan dulang hantaran. Dulu, bukan ada butik-butik andaman yang boleh diupah untuk membuat itu semua.

Aku mengikut rombongan membawa dulang hantaran untuk dibawa ke rumah perempuan menjelang hari pertunangnan itu. Mamat tu entah ke mana...

Di rumah sebelah perempuan aku mengikuti kakak iparku masuk ke dalam bilik si perempuan kerana kakak iparku merupakan diantara kawan rapat si perempuan. Maka aku berkesempatan melihat si perempuan dari dekat. Cantik...memang cantik. Pakaian dia di majlis hari pertunangannya pun lain dari gadis-gadis di kampung itu ketika majlis pertunangan.

Dulang hantaran balasan dari pihak perempuan memenuhi bilik beliau. Dia yang berpakaian gaun labuh rona biru bersulam itu senyum di kerusi. Pandai dia pilih warna biru...tema kami sebelah lelaki kebetulan warna biru.

'Eh! Kenapa dia pilih tema putih ye? Reben yang mengikat barang hantaran semua berlilit reben putih. Hingga songkok pun dililit dengan reben putih macam orang berkabung aje gayanya.' Suara seorang mak cik membelah kesunyian.

Kini semua mata memandang ke arah songkok di dalam dulang hantaran yang berlilit reben putih.

Mak cik ni kalau tengok aje tak boleh ke? Mesti nak tegur itu nak tegur ini...mulut tak berinsurans langsung, bisik hatiku. Biarlah! Dia nak lilit dengan reben hitam pun...itukan majlis dia?

Majlis berjalan lancar dan kami menapak pulang dengan dulang hantaran dari pihak perempuan pula.

Sejak itu, aku memang jarang melihat mamat itu di rumah aku lagi...

'Mana anak sedara ayah tu mak?' aku bertanya emak satu pagi.

'Dia dah dapat rumah sewa kot?'

Aku mengangguk, dalam hati mengucap syukur. Pelik kan? Mana pergi entah emak ayah dia...sampai majlis pertunangan dia pun suruh emak dan ayah aku yang uruskan.

                                                                                                         ~ bersambung ~

April 29, 2011

Murderer In d'House...

'Siapa tu Yah?' aku bertanya ayah satu pagi bila melihat ada seorang lelaki handsome di dalam rumah ku.

'Sedara,' jawab ayah pendek.

Aku kerut kening mengingat...sedara yang belah mana pulak tetiba dah berpuluh tahun aku hidup ada yang datang ke rumah mengaku sedara.

'Atok dia dengan atok ayah sepupu...bla...bla...bla..' ayah membuka sejarah.

Namun aku langsung tak dapat nak mengaitkan tang belah mana bunyi sedara tu. Belah Islamnya barangkali...sedara sesama Islam. Tapi handsome la pulak mamat tu...serius!

Petang balik sekolah aku lihat dia ada di tangga rumah petik gitar. Abang-abang aku mana ada yang sibuk nak petik-petik gitar segala...mereka semua jenis yang main lumba-lumba kereta. Sebut F1...sebut Japan GT...rela menyimpan duit untuk beli tiket.

Mamat ni ala-ala berjiwa romantik nampak gayanya.

Aku menoleh ke arahnya sambil lepas lalu untuk mengikut pintu belakang. Tak kan lah saja-saja nak ikut pintu depan tu dah tahu dia tercongok dekat tangga.

Dia senyum. Aku pun senyum sambil sedikit menganggukkan kepala.

'Berapa lama dia nak tinggal kat rumah kita mak?' aku tanya emak yang sedang menggelek karipap untuk minum petang.

'Katanya nak cari kerja dekat sini,' emak beritahu.

'Lama lagi la tu,' aku bersungut.

Yalah...kalau ada orang lain dalam rumah tu selain adik beradik sendiri kan susah? Lelaki pulak tu! Dah biasa balik sekolah nak melengkar macam ular sawa pun tak boleh. Apatah nak berskirt dan berseluar pendek?

Emak pun faham sebab tu dia diam aje. 'Sediakan kuali, dah boleh goreng ni.' emak mengarah.

Selama mamat tu tinggal di rumah kami, nampak emak dan ayah suka padanya. Berbudi bahasa dan sopan bila bercakap dengan orang tua. Tapi aku memang tak berani lagi nak bertegur sapa. Biarlah...dah ayah cakap sedara dia, tak kan nak dihalau pulak?

Satu hari entah apa emak bebel-bebel di dapur dengan ayah. Mamat tu tak kelihatan.

'Eee...segan la aku nak ke rumah orang kaya tu..' terdengar emak bersuara.

Aku menapak perlahan ke dapur ingin mengetahui apa yang mereka berdua itu bualkan. Saja-saja nak pasang  telinga? Siap...mau kena baling dengan rolling pin yang dekat rak pinggan tu. Naya!

'Tak ada hidung ke?' bunyi suara ayah pula.

Nampak emak menjeling tajam.

'Pergi aje la...lepaskan hajat dia. Kalau orang kaya tu terima, alhamdulillah....'

'Macam-macam aje la...tak cermin muka dulu ke? Ada hati hendakkan anak orang kaya,' bebel emak lagi.

'Dah...anak orang kaya tu pun sukakan dia, nak buat macam mana?' jawab ayah pula.

'Kerja tak berapa hari...kalau dia letak belanja yang bukan-bukan, ada duit ke?'

'Ada la tu...tu sebab dia berani suruh kita tanya.'

'Ye la...lepas maghrib nanti kita pergi,' jawab emak setuju.

Ooo...mamat tu nak suruh emak dan ayah pinang anak orang kaya. Hasnah anak Penghulu Bakar tu memang cun. Kurus tinggi...kalau tinggal di KL, tentu boleh jadi model. Mamat tu pun lebih kurang model la gaya dia cuma badannya tak jenis yang tegap ada six packs aje. Jadi model baju Melayu Tradisional untuk Butik Salikin Sidek rasanya sesuai.

Aku bayang-bayangkan wajah mereka berdua, memang macam pinang di belah dua. Sama cantik sama padan. Bila pulak mereka berdua berkenalan?

                                                                                                         ~ bersambung ~

April 25, 2011

Cekodok, Umpan Cencorot...

Tajuk hari ini aku dapat dari tajuk buku 'Cucur Bawang Kopi O' tulisan novelis lelaki Buku Prima, Hasrudi Jawawi. Aku yang sepatutnya ada bersama beliau semalam dalam sesi bertemu peminat pembaca novel, tidak berpeluang untuk mengenali beliau lebih dekat lagi kerana aku diberitahu semalam oleh Editor Tuan Haji Ali bahawa Diintai Rindu sudah kehabisan stok.

Oleh yang demikian, aku tidaklah perlu untuk duduk menunggu di situ bersama para penulis/novelis pada sesi tersebut. Maka aku ada banyak waktu senggang dengan anak-anak yang sama mengikut ke Pesta Buku pada hari itu.

'Rudy,' aku mendekati penulis Cucur Bawang Kopi O. 'Akak, Puan Junie Octovian...' aku beritahu dia sambil menunjukkan meja kosong di sebelahnya. '..kalau ada kawan-kawan akak datang cari, beritahu mereka akak dah balik ye? Buku dah habis la..'

'Okey...no problem,' jawabnya dengan senyuman manis menarik pinggir bibir.

'Thanks, good luck to you.' Aku berlalu dari situ dengan anak-anak.

'Siapa tu?' Angah yang mengikut aku pagi itu bertanya.

'Itulah penulis novel Cucur Bawang Kopi O yang tengah laris novelnya di pasaran sekarang. Bukunya dah diulang cetak masuk kali keempat.' Aku menerangkan.

'Oi terrernya? Bagus ke cerita dia?'

'Tak tau la...kata Encik Ali macam biasa-biasa aje...mungkin tajuknya menarik dan penulisnya lelaki barangkali.'

'Hah!' Angah petik jari. '...kalau macam tu lain kali kita buat tajuk yang gempak sikit kalau tajuk tu boleh melariskan penjualan buku.' Dia terangguk-angguk mencari idea.

Setelah mengunjungi booth MOY Publications bagi memuaskan hati kakak untuk bertemu kartunis Ujang, kami beredar untuk keluar dari situ. Akak dah senyum melebar ke telinga kerana dapat bertemu Oren, Chendol, Jakalll dan Sukun. Beg kertas dihayun bangga dengan tandatangan kartunis memenuhi depan dan belakang.

'Jom kita makan dekat foodcourt The Mall sanalah,' Angah mengarah.

Maka kami berlima menghayun langkah menyeberangi jalan. Di lorong pertama, terdapat polis trafik yang bertugas membantu pejalan kaki untuk menyeberang. Namun di lorong kedua kami harus menyeberang sendiri.

Adik yang tak biasa berjalan kaki mnyeberangi jalan, menjadi kecoh. 'Ma! Sebelah sini tak ada polis trafik la... macam mana ni?'

'Dekat sini, biar mama yang jadi polis trafik,' aku beritahu dia.

Dia mungkin tidak menyangka aku berani berbuat demikian.

Aku memerhati kereta yang datang dari sebelah kiri, bila kenderaan yang menghampiri itu hanya bergerak perlahan, maka aku mengangkat sebelah tangan menahannya sambil berjalan menyeberangi jalan diikuti yang lain-lain.

Adik kelihatan kagum melihat ku atau mungkin malu juga barangkali melihat tindakan emaknya ketika itu.
Aku apa ada hal...bukan buat kesalahan pun, kan? Kami kemudian meneruskan langkah ke Foodcourt di tingkat bawah.

'Apa kata kita buat tajuk Cekodok, Umpan Cencorot?' tanya Angah yang masih mahu bercerita tentang kisah tajuk novel tadi.

Kami gelak tergolek mendengarnya, mujur dah siap menjamu selera. Kebetulan semalam Angah memasang perangkap tikus di belakang dapur kerana terasa pelik melihat Kaka dan Ogy yang asyik benar menunggu lubang air mesin basuh.

Huda yang memasangkan perangkap pada petang itu meletakkan sisa cekodok yang digorengnya untuk sarapan pagi itu.

Pagi sebelum kami bergerak ke PWTC perangkap itu sudah mengena dan yang tertangkap itu ternyata seekor cencorot.

Junie Octovian: Mungkin akan datang aku akan menulis novel yang berbentuk humor pula, siapa sangka kan?

April 24, 2011

Puteri Syakira...

Ini kisah cucu Uda.

Aku beraya di rumah Uda di Taman Daya, Johor Baharu entah tahun bila. Cucunya yang sering dibawa menjenguk ku, memang terus mesra kerana telah saling mengenali.

Di meja makan, Uda menjamu mee goreng selain biskut-biskut tunjuk.

'Orang sekarang ni magic,' kata Uda. 'Pergi kedai, main tunjuk-tunjuk aje dah dapat apa saja biskut yang dikehendaki.'

Ya la...zaman kami dulu sampai naik berlendir biji mata menunggu oven membakar biskut raya ni. Tengah waktu berpuasa pulak tu. Lagi-lagi kalau emak sibuk nak buat rempeyek atau biskut gulung atau surat cinta tu. Pergh! Mau juling bila nak menunggu sampai waktu berbuka tu.

Pagi raya...masing-masing lengan semua bertanda kena oven, loyang panas atau percikan minyak panas.

Sekarang ini dah senang tambah senang. Bukan saja oven, malah ketuhar gelombang mikro lagi.



Ala...gambar Syakira tak ada dlm simpanan la...
tapi ni adik dia Syazwani...rupa lebih kurang je...kan adik beradik?

Aku hanya melemparkan senyuman kerana aku faham akan maksud Uda.

Syakira sama sibuk di meja makan macam dia juga tetamu. Tapi aku tak kisah kerana aku ni bukan sesiapa yang harus mendapat layanan VIP. Itu pun cucu aku juga. Irwan bapanya tu, semasa kecil dulu memang banyak aku yang bela.

Dia sibuk bercerita pada ku akan cerita Congkak yang baru ditonton melalui CD. Aku masuk mode kanak-kanak dan sama melayan ceritanya sebagaimana gaya dia bercerita.

Tapi versi aku siap dengan bulat mata dan aksi sekali. Suara pun berubah bila bab jadi nenek tu. Aku lihat Syakira tekun mendengar. Matanya juga tegak tepat merenung wajah ku. Dia menarik kakinya naik ke atas kerusi dan terus bersila.

Bila Uda siap menghidang minuman, dia mengarahkan cucunya agar turun untuk memberi tempat kepada anak-anak ku yang sama datang tadi.

Namun dia dah tak bergerak dari tempat duduknya dan masih merenungku.

'Syakira?' aku memanggil.

Dia masih tak bersuara dan keras di kerusinya.

'Kenapa tu?' aku bertanya hairan.

'Atok Andak pun...bercerita siap dengan mata, siap dengan gaya. Manalah cucu aku tak takut?' jelas Uda.

Ai? Bukan tadi dia yang mulakan ke? Mana la aku nak tau?

Apa yang Syakira tidak tahu waktu itu, Atok Andak dia ni memang pandai mengarang cerita. Kisah Congkak tu sikit aje aku yang tokok tambah bagi suspens lagi. Mana si cucu tak keras-kekun? Cerita yang ditonton dengan cerita yang aku sampaikan berbeza sekali, barangkali begitu hatinya berkata.

Junie Octovian: Nak bercerita dengan cucu ku Hana pulak.

Yaya oh Yaya...(part 2)

'Ada sesiapa nak ke Kluang?'

Ngah menelefon ku bertanyakan jika ada sesiapa diantara kami yang bercadang untuk ke Johor. Aku kan selalu membuat kunjungan ke Pondok Indah? Dia bercadang untuk menumpang turun di Kluang.

Selepas solat Jumaat, aku pun bergerak dan masuk ke Bangi menjemput Ngah yang berada di rumah Shasha, anak ketiganya.

Aku yang sepatutnya turunkan Ngah dan terus bergerak ke Simpang Renggam, membatalkan niat. Aku sama bermalam di  Kluang pula.

Malam itu.......

'Yaya pergi mana ni...senyap je?' aku bertanya Lela yang sedang membancuh minuman panas.

'Perempuan kecik tu sekarang ni dah pandai dah Andak. Bila malam ajak ayah dia pergi nge'teh'. Tapi sampai sana bukan dia sibuk nak minum pun....saja nak ronda-ronda naik motorsikal tu.' Cerita Lela tentang anaknya.

Sedang kami sibuk berborak, pintu sliding ditolak buka. Yaya berlari masuk kedalam.

Untuk beberapa ketika semua mata tertumpu ke pintu besar itu.

'Ayah mana?' tanya Ngah hairan melihat Yaya pulang sendirian. Tadi Lela cakap dia pergi dengan ayahnya.

'Dia bertatap-tatap..' jawab Yaya pelat.

'Dengan lelaki ke perempuan?' tanya Ngah lagi.

'Pompuan,' Yaya menjawab yakin.

'Eh? Pergi panggil balik...mana boleh lelaki dan perempuan bertatap-tatap dah tengah malam ni?' Beritahu Pak Ngahnya.

'Biarlah dia...apalah Pak Ngah ni..' jawab si Yaya sambil terkeseng-keseng mencari riba kosong.

Si kecil Yaya ni memang suka beriba. Pantang nampak orang bersila...cepat dia bertenggek.

'Pergi tengok Lela,' perintah Ngah serius.

'Bukan bertatap Ngah...bercakap. Pompuan kecik ni pelat.' Jelas Lela.

'Ooo....'

Kami kemudian melambakkan ketawa.

Junie Octovian: Pesan orang tua, budak kecik ni jangan diberi makan pulut. Bila mula bercakap nanti pelat.

Yaya oh Yaya...

Sorry la...dah beberapa hari tak menjenguk blog. Bila idea datang aku sibuk menulis pula. Ni mesti Along Cik Nab dan Niena kecewa. Tapi nak buat macam mana...kadang-kadang tu ketandusan idea untuk menulis kisah yang dapat kita kongsi bersama. Aku banyak aje cerita.... tapi bimbang cerita itu bakal mengguris perasaan yang hidup kerana ceritaku memang berdasarkan kisah benar.

Tapi untuk mengisi blog ku hari ini aku coretkan beberapa kisah yang berlaku yang menjadi kenangan.
Pada satu hari di Kluang....

Biasanya kalau aku balik ke Kluang tu, bercerita macam esok dah nak kiamat. Entah apa-apa aje...dari meja depan sampai sambung ke meja dapur.

Malam itu kami di meja dapur. Anak lelaki Lela, entah yang mana satu sedang mandi dengan pintu bilik air yang sengaja dibiarkan tidak bertutup rapat. Keadaan itu agak kurang selesa bagi aku yang tidak biasa melihat keadaan yang begitu.

Jadi...sambil bercerita itu, sekejap-sekejap aku akan menoleh ke arah bilik air yang bunyi shower seakan dibiarkan terbuka tapi tidak pula mendengar bunyi orang sedang mandi. Maka, aku yang sedikit curious tu sibuk juga hendak tahu.

'Siapa yang mandi tu?' aku bertanya.

'Entah!' jawab Lela. 'Adalah entah Adam, Fiqhrie atau Fahmie.' Lela dah tak ambil peduli. Habis tu semua dah bujang kan?

Tapi peliklah kalau dah bujang-bujang tu mandi tak dikunci pintunya. Dalam hati aku mengira siapa. Kat depan tengah menonton TV tu ada siapa dan siapa yang tak ada?
Tiba-tiba si Fariha Aleeya aka Yaya melintas ke dapur. Aku pun membuka pertanyaan.

'Yaya! Siapa yang tengah mandi tu?'

'Tak tau!' spontan Yaya yang berusia tiga tahun ketika itu menjawab.

'Lamanya kat dalam tu, mandi ke berendam?' aku bertanya lagi. Aku yang sibuk pulak, mamanya rileks je.

Yaya memerhati sekeliling. 'Pat pat siku lipat...' tiba-tiba dia menyanyi.

'Aaaaaa!' yang di dalam bilik air tadi menjerit dan sekejapan dah melompat keluar. Nasib baik berbalut dengan tuala mandi, jika tidak mau aku pengsan di situ.

'Hah! Padan muka,' ujar si Yaya apabila sudah tahu siapa sebenarnya di sebalik pintu yang tidak rapat tutupnya tadi.

'Budak-budak ni memang macam tu Andak. Kalau berjalan sampai pukul satu pagi tu tak takut pulak. Tapi kalau dalam rumah....mandi pun takut nak kunci pintu.'

Ambik engkau!





Junie Octovian: Tak payah kunci la...takut jadi macam kisah si Kakak pulak kang.

April 20, 2011

PBAKL...

Di sini penulis nak uar-uarkan tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung di PWTC mulai 22 hb. April hingga 1 hb Mei nanti.

Kepada sesiapa yang berminat atau memang ulat buku bolehlah berkunjung ke sana untuk mendapatkan diskaun bagi harga-harga buku tertentu. Sudi-sudikanlah ye?

Kebetulan penulis akan berada di sana pada hari Ahad 24 hb April mulai jam 1.00 hingga 4.00 petang dalam sesi bertemu peminat pembaca novel di booth Karangkraf.

Bersama-sama ini penulis sertakan jadual penulis/novelis yang akan hadir sepanjang Pesta Buku tersebut:

Junie Octovian: Semoga kehadiran para pembaca peminat novel akan memeriahkan lagi Pesta Buku ini dan menambah bilangan rakyat yang suka membaca. Amin.

April 19, 2011

The Young Travellers...(part 2)

'Mama pergi aje la bawak adik-adik ni...Abang Long dengan Angah tinggal dengan Atok. Kita orang sekolah kat sini aje,' Abang Long mencadangkan pada satu hari apabila dilihat adiknya masih tidak pulih dari demam.

Hari tu becuti di Sandakan elok aje...melenting sana melenting sini. Lagi la duduk dalam hutan sawit tu. Ni dah balik buat hal lagi. Macam orang merana aje gayanya.

'Dia demam rindu ni...' Emak memberitahu. '...bawak la klinik mana pun memang menghabiskan duit aje.'

Aku di persimpangan dilema dibuat si anak. Tapi tak ada cara lain...tak kan bapanya asyik nak berulang alik menjenguk dia? Bukan dekat-dekat. Nak pos dia sorang-sorang kang, siapa pulak nak menjaga dia di sana? Akhirnya keputusan dibuat, aku terpaksa meninggalkan Abang Long dan Angah dengan Atoknya. Mudah-mudahan aje tak lama, hatiku memanjat doa.

Sejak itu setiap musim cuti sekolah, kami akan kirimkan tiket untuk mereka berdua beradik. Hatiku Tuhan sahaja yang tahu betapa kembang kempisnya nak melepaskan mereka sendirian menaiki pesawat merentas Laut Cina Selatan itu.

'Masa transit kat KK tu, jangan pergi mana-mana...dalam flight dari Senai tu dia orang akan beri makan kan?' Aku mengingatkan berdua beradik yang akan terbang sendirian masa cuti sekolah itu. Mereka dah tahu cara-cara check-in semasa di Lapangan Terbang semasa cuti lepas. 'Nanti terlepas flight ke Sandakan susah pulak.'

Aku dan adik-adik mereka memerhati pesawat yang mencecah landasan itu dengan hati yang girang. Bila nampak kelibat Abang Long dan Angah yang muncul dari perut pesawat itu segera kami turun ke tingkat bawah untuk menyambut mereka.

Tidak dapat nak digambarkan betapa bahagia dan gembiranya kami sekeluarga apabila dapat berkumpul semula.

Betapa pengalaman yang dilalui oleh mereka ketika ditinggalkan dan dipertemukan semula itu amat berharga dalam hidup ini. Begitulah seterusnya sehingga suamiku ditukarkan ke Kalimantan Barat dan akhirnya aku dapat membawa anak-anak tinggal bersama kerana kali ini aku tinggal menyewa di bandar Kuching demi menjaga kebajikan anak-anak yang sedang melalui alam persekolahan.

Pengalaman itu menjadikan mereka lebih dewasa. Apabila mereka harus meninggalkan keluarga untuk melanjutkan pelajaran, mereka sudah bersedia. Apabila mereka harus meneruskan hidup sendiri setelah pemergian bapanya kerana dijemput Ilahi, mereka sudah merasa cekal hati.

Walau tidak ku tahu apa yang melanda di dalam hati, namun aku pasti pengalaman tadi adalah hidayah Allah yang disampaikan sebagai persediaan di kemudian hari.

Junie Octovian: Mendoakan dari jauh.

April 15, 2011

The Young Travellers...

Semasa suamiku berpindah ke Sabah, anak sulongku di Tahun Enam, persekolahannya. Maka, aku dan anak-anak tinggal untuk melepaskan dia yang akan menduduki peperiksaan UPSR.

Kami di Jasin, Melaka waktu itu dan aku bercadang untuk pulang ke Johor sahaja selepas Abang Long habis periksa. Kalau di daerah aku sendiri memang dah senang sangat. Aku tahu aje selok belok, selekoh semua tu...jadi aku tak perlu menyusahkan dan meminta pertolongan orang.

Namun si Adik, selepas beberapa lama tidak melihat bapanya itu sering pula demam.

'Adik nak papa....adik nak papa...' rengeknya yang ketika itu beusia dua tahun.

Aku tak tahu nak dipujuk yang macam mana, jadi aku main tunjuk aje la semua lelaki yang melintas lalu di depan rumah kami itu.

'Hah! Tu papa dah balik...' aku kira dia kecil lagi...tak berapa nak mengenali bapanya.

Rupanya...bukan merengek lagi, dia semakin menangis menjerit kerana menyangka dia diperbodohkan.

Abang Long yang memandang merasa terharu.

'Adik ni kenapa ma?'

'Dia nak papa...dah lama tak jumpa agaknya,' aku beritahu.

'Lepas Abang Long habis UPSR, kita pergi sana kan?'

'Ha ah...tapi papa cakap sekolahnya jauh la..' aku terdiam memikir. Kesian anak-anak nak kena keluar awal pagi. Balik pula tak tahu nak sampai rumah pukul berapa.

'Kita balik Kluang aje la...sekolah dekat sana,' aku beritahu rancanganku.

'Habis Adik?'

'Tak apa kot? Kalau dia berkawan dengan anak-anak Mak Ucu kat sana nanti, tentu dia lupa.'

Abang Long merenung jauh...pertama kali tidak tinggal serumah dengan bapanya. Selalu tu out-station juga, tapi lepas seminggu balik lagi. Kali ini dah masuk tiga bulan sejak Julai....

                                                                                                                    ~ bersambung ~

April 14, 2011

Salah pengertian...

'Ma...ayam gaduh!' jerit anak sulongku yang ketika itu menginjak usia tiga tahun.

'Okey...tengok aje, jangan dekat tau?' aku jerit dari dapur kerana sedang sibuk menyiapkan makan pagi papanya yang bakal pulang jam 10.30 nanti.

'Ma...ayam gaduh!' dia menjerit lagi memberitahu.

Aku yang menyangka dia memanggil untuk sama melihat itu hanya menyahut dari dapur.

'Biarkan aje...jangan dekat nanti kena cakar.'

Kemudian dia dah tak panggil lagi dan aku yang sedang sibuk itu menyangka dia mengerti akan arahan yang diberi.

Tidak lama kemudian, terdengar bunyi suamiku pulang. Aku meneruskan sahaja tugas yang hampir selesai. Tak payah nak bersambut di depan pintu kerana dia juga tahu aku sedang sibuk menyediakan juadah untuknya. Lagipun pintu depan tu ku biarkan tidak berkunci.

'Laaaa...'

Terdengar suara suamiku seakan mengeluh, namun aku masih tak mempedulikannya.

Dia masuk ke dapur. 'Kenapa biarkan dia menyonteng dinding tu?'

'Conteng dinding?' aku berpaling lipat maut.

'Tengok la..'

Aku mengekor suamiku ke ruang makan. 'Laaaa....

Dinding ruang makan tu dah dibuatnya tempat melukis. Aku pandang wajahnya yang merenung kami berdua minta pujian barangkali.

'Ayam gaduh,' dia beritahu sekali lagi.

Aku angguk sambil memandang suamiku. Ini bukan ayam gaduh....ini nak suruh mama dan papa dia bergaduh.

Suamiku masuk ke bilik dan kemudian keluar dengan kertas lukisan dan pensil warna kepunyaannya.

'Sini!' dia memanggil anaknya. '...lain kali kalau nak lukis ayam gaduh kat sini.' Dia menunjukkan kertas lukisan itu dan melakar dengan pensil warna bentuk yang menyerupai ayam. 'Dekat sana....' dia menunjuk ke arah dinding tadi, '...tak boleh tau?'

Anak yang di ribaan itu memandang wajah garang bapanya sambil menganggukkan kepala tanda mengerti.

Semenjak dari hari tersebut, kami sentiasa bekalkan dia dengan drawing block dan pensil warna atau crayon. Dia memang pandai melukis sejak berusia tiga tahun.

Junie Octovian: Lukisan pertamanya aku framekan...mungkin masih ada di stor Pondok Indah. Wallahualam.

Green fingers...(sambungan)

Aku memerhati Angah yang mengikut segala arahan sambil tertonggeng-tonggeng menutup lubang setelah memasukkan biji benih jagung tadi.

'Ma...akak nak juga?'
Kakak datang tiba-tiba, mungkin teruja mendengar suara aku dan Angah di luar rumah.

'Uh..uh..uh..uh..' Angah bersuara sambi menggeleng laju kepalanya.

'Kenapa?' aku yang tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Angah itu bertanya.

Dia tak bercakap malah membuat gaya Charlie Chaplin pula sambil menunjukkan ke mulutnya.

'Kenapa?' aku bertanya lagi.

Angah kelihatan marah kerana aku masih tidak memahami.

Lama aku merenungnya cuba memahami. Apa hal pulak tak reti nak bercakap? Rupa orang bisu je?

'Ohhh!'

Baru aku faham. Angah tidak mahu si Kakak sama menanam, takut nanti isi jagungnya rongak.

'Tak apa la...dia nak cuba juga,' aku memujuk Angah membenarkan. '...cepat Kak.' Aku memanggil. Karang si Kakak merajuk pulak kerana melayan Angah aje.

'Tutup mulut rapat-rapat. Tanam jagung ni tak boleh bercakap tau? Kena buat muka serius. Kalau tidak nanti jagung yang akak tanam, isinya rongak,' aku beritahu petua yang sama macam Angah tadi.

Kakak menadah tangan meminta benih jagung dari Angah.

Angah pula memerhati muka Kakak untuk melihat samada si adik ni boleh berwajah serius atau tidak. Ketika itu dah rupa ayam nak bersabung pun ada. Aku dah tergelak dalam hati.

Angah memberi tiga biji benih jagung tanpa bersuara.

Kakak pula memandang Angahnya merasa tak puas hati....sikit sangat, barangkali begitu maksudnya. Mereka berdua kan tak boleh nak bercakap kerana sedang mengikut petua?

Aku jadi jurubahasa, '...satu lubang tu tiga biji aje kak,' aku beritahu.

Kakak berpaling mencari lubang yang masih kosong.

Begitulah seterusnya sehingga semua lubang habis diisi dan ditimbus semula.

'Dah boleh cakapkan?' Angah bertanya.

'Dah siap, boleh la...'

'Bila boleh keluar buahnya?' tanya Angah tidak sabar.

'Baru je tanam....kena rajin siram, nanti dia cepat besar.'

Angah keseronokan. Sejak hari itu, kerja menyiram memang dah jadi rutin hariannya pagi dan petang. Ketika anak-anak benih menampakkan pucuknya dia jadi tambah gembira. Secara kebetulan pula, semua benih yang ditanam itu tumbuh dengan galaknya.

Maka Angah seakan menghitung hari menunggu bila pokok itu akan mengeluarkan buahnya.

Alhamdulillah....sampai hari dan masa, pokok itu mengeluarkan bunga dan akhirnya bertukar menjadi buah-buah jagung.

Kebetulan juga, pokok-pokok yang tak sampai dua puluh batang itu menghasilkan buah-buah jagung yang cantik dan rapat isinya.

Angah dan Kakak kegembiraan dengan hasil yang diperolehi.

'Betul cakap mama...' dia bersuara sambil mengongges isi jagung yang siap direbus petang itu bersama Abang Long dan Kakak di kerusi laman.

Aku yang sedang mendukung adiknya di muka pintu dapur itu tersenyum bangga dengan pujian si anak.

Junie Octovian: Petua orang-orang lama ni, ikut tak salah kan?

Green fingers...

Ketika kami tinggal di Devon Estate, Jasin, Melaka.....waktu itu Angah tengah suka bermain cangkul. Dia akan jadi mandor tak bergaji bercekak pinggang memerhati si tukang kebun membuat kerja.

Aku yang rimas itu sekejap-sekejap memanggil, 'Angah! Jangan kacau.'

'Tak!' dia menyahut. 'Angah tengok aje....'

Kakak yg sama menyibuk....
Melihatkan itu, aku jadi terfikir bagaimana hendak mengatasi  masalah anak sorang yang tak tau duduk diam. Abang Long tu elok aje boleh duduk diam melukis? Kakak pulak asyik dengan mainan Lego yang dah siap dibina dirobohkan balik dan dibina lagi. Tak pandai jemu pun?

Maka aku adakan aktiviti bercucuk tanam pada sebelah petang, khas untuk Angah.

Mula-mula tu kami pilih tempat yang bersesuaian......agak-agak dekat dengan paip air supaya senang nak menyiramnya nanti.

'Sini aje la....' aku berhenti sambil menghentak-hentak cangkul. '....nanti Angah senang nak siram.'

Angah mengangguk setuju.

Aku mula menyangkul membina batas yang lebih kurang dua meter panjangnya. Angah memerhati tidak sabar.

Kemudian aku suruh Angah yang dah gatal tangan nak rasa memegang cangkul itu supaya mengemburkan tanah yang siap ku cangkul tadi sementara aku menggali tanah bakar untuk dicampurkan.

Untuk step seterusnya, aku jadi mandor pulak. Sambil bercekak pinggang aku mengarah.........

'Campurkan tanah bakar yang dalam pongkis tu sampai rata....' macam belajar memasak bunyinya.

Beria-ia Angah melakukannya. Habis tu dah terlebih aktif, aku gunakan la untuk kebaikan dia juga kan? Bukan mendera tu......

Aku hulurkan batang kayu mop yang dah tak ada mopnya itu kepada Angah.

'Ni....buatkan lubang...' sambil aku menapak mengira langkah untuk membuat lubang seterusnya. 'Sini pulak.'

Angah menurut sahaja sehingga habis.

'Masukkan biji jagung ni...' aku hulurkan mangkuk kecil yang berisi biji-biji benih jagung yang dah ku rendam terlebih dahulu. '...dua tiga biji cukuplah untuk satu lubang tu. Buat muka serius...gigi ketap rapat-rapat. Kalau bercakap atau ketawa semasa menanam jagung, bila berbuah nanti isinya rongak.' Aku beritahu Angah petua yang aku perolehi dari ayah.

                                                                                                               ~ bersambung ~

April 13, 2011

Experiment...

Anak keduaku memang dah menunjukkan bakatnya dalam bidang elektrik ni sejak kecil. Dia dah buat bermacam-macam experiment yang menyebabkan beberapa kemalangan kecil cuma mujur aje rumah yang kami diami itu tidak terbakar.

Satu daripada experiment Angah ...................

'Ma...ada kotak tak?' Angah bertanya suatu hari selepas pulang dari sekolah.

'Nak buat apa?' aku tanya balik.

'Ada la.........' Angah jawab sambil melintas depan bilikku.

'Dalam stor belakang....' aku beritahu kerana sedang sibuk menggosok baju. '.......jangan buat serak tau?'

'Yes mem...' dia jawab sambil beri tabik hormat.

Lepas tu aku dah tak ambil peduli kerana suasana senyap itu tidak menganggu kerja rumahku. Yang kecil dah tidur, Kakak dengan Abang Longnya tak tau buat apa dekat depan. Menonton barangkali. Biasanya macam tu la.....

'Angah!' suara Abang Long menjerit memanggil. '.....Rude Dog dah start!'

Rude Dog tu siri kartun kegemaran Abang Long dan Angah dalam tahun awal sembilan puluhan dahulu. Angah akan rakam dan mainkannya semula bila-bila dia suka.

Angah yang tadi entah apa dibuatnya di bilik berlari keluar bila dipanggil.

Aku ketika itu di dapur menyediakan makan malam sebelum menjelang azan Maghrib. Setelah siap menghidang aku tutup dulu dengan tudung saji sementara mengerjakan solat dan menunggu suamiku pulang dari bermain golf.

Melintas di ruang tamu rumah yang berbentuk 'L' itu, aku nampak anak-anak yang bertiga tekun menonton dengan suara dari TV yang diperlahankan menghormati waktu Solat Maghrib. Adik yang baru beberapa bulan sahaja usianya ketika itu dan sedang nyenyak tidurnya, aku letak di tengah-tengah mereka.

'Mama nak solat...jangan bising tau? Tolong tengokkan Adik.'

Abang Long dan Angah sama mengangguk.

Aku menapak ke bilik melalui bilik tamu sebelum sampai ke bilik Angah yang dikongsi bersama Abang Long.
Di situ aku dah menghidu bau asap. Hidungku makin kembang kempis mencari punca kerana tadi aku yakin aku dah menutup api dapur. Ni bau asap dari mana pula?

Rupanya..........

Kepulan asap putih keluar dari bawah pintu bilik Abang Long/Angah. Aku berkejar ke situ dan memulas tombol pintu.

Astaghfirullahalazim! Api merah dah mula memakan permaidani hijau di lantai. Kotak besar yang digunakan untuk experiment Angah dah mula roboh.

'Angahhh!....apa yang terbakar ni!?'

Cepat aku membuka pintu bilik air di biliknya itu dan menjirus api yang sudah mula mahu menjulang.

Angah sama berkejar ke bilik. Mukanya pucat lesi bila melihat api dan keadaan biliknya.

Mulutku mula mengicau, '....Angah bakar apa ni? Papa balik nanti kena marah tau?' sambil tangan cepat menyimbah lantai bilik untuk memadamkan api.

Dia dah terdiam kaku.

Aku berkemas menghilangkan bahan-bahan bukti sebelum papanya pulang. Pintu tingkap ku buka untuk mengeluarkan bau asap yang pekat tadi.

Tidak lama kemudian, nampak lampu Volvo menyorot masuk ke porch bahagian depan. Abang Long yang sama terkejut dengan kejadian tadi berbaring semula dengan menyilangkan kaki gaya senang hati. Angah, ku suruh duduk di biliknya sementara menunggu reaksi papanya yang baru pulang itu.

Sebaik pintu depan ditolak buka, hidung suamiku kembang kempis terhidu bau asap.

'Apa yang terbakar ni?'

Aku yang sudah berwudhuk tadi pura-pura menjengolkan kepala dari pintu bilik memberitahu, 'Angah tengah buat experiment kat bilik dia!'

Suamiku cepat menanggalkan kasut dan pantas menapak ke bilik Angah.

'Sampai terbakar? Mana Angah?' dia melilau mencari Angah yang memang dah terkenal dengan 'firestarter'. Pantang jumpa mancis...

'Dah la tu...Maghrib ni,' aku bercakap dengan suara yang lembut agar reda kemarahannya di waktu Maghrib itu. '.......I dah marah, tak kan you pun balik nak marah juga? Tak sengaja....nama pun experiment kan?'

Mungkin kerana tempat kejadian tadi sempat dibersihkan, maka tak adalah nampak teruk sangat. Cuma permaidani kesayangannya sejak dari bujang itu sudah melopong di bahagian hujung.

Semenjak itu suamiku sentiasa mengadakan aktiviti 'barbeque' di hujung minggu untuk melepaskan rasa ghairah Angah yang suka bermain api.

Junie Octovian: Mudah-mudahan dia berjaya membawa pulang gelaran Doktor Fairouz dalam bidang Power Electrical empat tahun lagi, insyaAllah.

April 12, 2011

Gohed, gostan...

Selain Pak Tam, Jude memang jadi pengunjung tetap aku dan anak-anak yang tinggal di dalam estate. Bila cuti semester aje, dia akan beritahu dan kami akan menjemputnya.

Uteh membuat kunjungan lagi waktu cuti semester entah tahun berapa semasa kami tinggal di Pagoh Estate, Alor Gajah...kawasan yang sekarang ini telah menjadi A'Famosa. Masa tu Pak Tam dah join navy yang dikatakan kena post ke Labuan.

Aku yang masih belum mempunyai lesen memandu waktu itu mengajak Uteh ke pekan Tampin. Tampin adalah yang paling hampir dengan tempat tinggal kami berbanding Alor Gajah itu sendiri.

'Jude, petang ni kita bawak budak-budak ni ke Tampin nak?' aku ajak Uteh yang dah punya lesen memandu ketika itu.

'Kita tak pandai jalan dekat sini la....' dia beritahu ku pula.

'Tak apa...awak jadi driver, andak tunjukkan jalannya.'

'Kalau macam tu okey la,' jawab Uteh.

Maka selepas Solat Zohor, aku pun menyiapkan anak-anak untuk ke pekan Tampin. Anak-anak dah kegembiraan dan sekali gus merasa bangga mungkin, kerana kali ini Uteh yang akan memandu.

Aku serahkan kunci Volvo 244 kepunyaan suamiku kepada Uteh sambil sebelah tangan menarik tali pinggang keledar.

Uteh yang dah siap menarik tempat duduk sedikit ke depan ~ Uteh ni rendang je macam pokok bonsai ~ dia membetulkan cermin pandang belakang dan cermin sisi. Dengan lafaz bismillah, Uteh menghidupkan enjin kereta.

'Ahhh!' kedengaran suara anak-anak di belakang yang lega kerana Uteh telah berjaya menghidupkan enjin kereta tersebut.

Kami menunggu untuk bergerak keluar dari porch rumah. Lama. Anak-anak di belakang dah mula berdiri melihat Uteh yang masih terkial-kial mencari gear. Jangan tanya akulah...aku memang tak pernah pegang Volvo tu. Kalau di suruh tolak tu adalah...(ini kisah yang berlainan yang akan ku isi kemudian).

'Kenapa Jude?' aku bertanya.

'Dah masuk gearnya, tapi dia gostan pulak...'

'Masa belajar hari tu macam mana?'

'Macam ni la...tolak ke tepi sikit, masuk gear satu, baru lepaskan handbrake,' jelas Uteh.

'Tak masuk kot? Cuba tekan kuat sikit....Volvo ni berat,' aku cuba terangkan.

Uteh cuba beberapa kali...Volvo dah bergerak keluar dari porch tapi bergerak ke belakang. Tukang kebunku yang sedang memberi makan satu-satunya kuda yang kami ada waktu itu hanya mengerling dengan ekor mata. (Kuda tu dibeli selepas kejadian di Kemunting dulu).

Anak-anak yang menunggu dah berpeluh rejat. 'Kenapa gerak ke belakang ma?' tanya Abang Long.

'Entah la...rosak agaknya,' aku beritahu anak-anak yang dah mengharap. '...tunggu keluar dengan papa aje la, eh?' aku cuba pujuk.

Mereka tak banyak cakap bila aku membuka pintu kereta belakang, semuanya turun.

'Tak apa la Jude...' aku beritahu Uteh. Kesian dia dah puas memulas gear tu, tapi masih tak mahu bergerak ke depan.

Aku serahkan kunci kepada si tukang kebun. 'Bala...itu kereta tak boleh jalan la. Awak tolong tolak masuk, lepas tu kasi kunci, eh?'

Bala mengikat Poly si kuda padi dan mendekati aku mengambil kunci kereta. Tiba-tiba.....

Vroooooom!

Kami  berlima semua berkejar ke belakang. Ketika itu elok je si Bala memandu kereta masuk ke dalam porch. Setelah mematikan enjin, dia keluar dan menguncinya. Sambil menyerahkan kunci kepada ku dia memberikan senyuman bangga.

Poly sama tergelak masa tu....malu siot!

Junie Octovian: Malu tahap gaban.

April 11, 2011

Hutang budi...

Assalamualaikum.........

Di entry hari ini aku nak minta maaf banyak-banyak pada teman dan pengunjung blog kerana telah membisu buat beberapa hari. Terutama pada Along Cik Nab yang rajin berkunjung.

'Patut la...Along check pagi tak ada, petang pun tak ada.' Cerita Along semasa aku ketemu dengannya di warung Cik Nab petang itu.

'Maxis lembab la dekat situ,' aku beritahu.

'Dia selalu cerita bila balik rumah,' beritahu Nab pula.

'Minggu ni sibuk sikit...nanti Andak isi dua tiga sekali, eh?'

Along angguk senyum.

Nab sekeluarga dah ku anggap macam sedara sepusat sepusing, cuma emak bapak je lain-lain. Dia pun tak rasa canggung langsung bila datang ke rumah ku. Dia memang ringan tulang......tak payah bersuruh kalau dia datang ke rumah ku. Apa saja yang ada sebagai bekalan tu habis digunakan. Tiba-tiba dah tersedia meehoon goreng...tiba-tiba dah siap hidangan tengah hari. Aku memang kenang budinya.

Dulu aku memang suka lepak dekat rumah Nab semasa menunggu anak-anak pulang dari sekolah. Anak sulungku dulu ke sekolah pun menumpang kereta suami Nab sampai ke Kluang sana. Rumah Nab tu jadi tempat transit kami. Setakat makan minum, Nab memang tak berkira.

'Nanti Along kahwin 29 Oktober ni datang tau?' pinta Nab.

'InsyaAllah...nanti ingatkan aku la.'

'Tema biru tau Dak?'

'Okey,' jawabku sambil menyuap nasi goreng ayam.

'Bila nak terbang?' Nab bertanya tentang tarikh Angah yang nak berangkat ke Brisbane.

'InsyaAllah 2 Mei nanti,' jawabku.

Nab angguk. 'Andak tak nak duduk sini ke?' sempat dia bertanya.

'Aku ni sorang Nab....anak-anak semua dekat sana,' aku menberitahu mengingatkan. '....tengok la, kalau aku nak cari idea menulis nanti, aku balik sini.'

Minggu tu aku happy sebab dapat jumpa Jude dan anak-anaknya yang gembira melompat berkejar bermain bola keranjang di depan rumah. Jude seperti biasa di dapur dengan Huda menggoreng meehoon. Berhenti berehat mereka berjamu selera untuk terakhir kalinya. Entah bila jumpa lagi.

Malam tu, Jude balik dengan anak-anak lelaki aje. Aku tahan Liesa bermalam denganku kerana aku nak mintak tolong dia upgrade blogku.

Akhirnya..........
Apa yang anda lihat sekarang ini, adalah sentuhan dari tangan Liesa Azemi. Thanks Liesa!

Junie Octovian: Hutang emas boleh dibayar...hutang budi dibawa mati.

Bertindik...

Aku dan Uda berbincang satu hari, bertahun dahulu. Oleh kerana Uda dah mula berkerja dan dah mula pandai bergaya, maka dia sibuk nak memakai subang/anting-anting yang ketika itu sudah mula keluar pelbagai design.

'Pakai yang sepit-sepit ni sakit telingalah,' kata Uda suatu hari sambil dia menelek cuping telinganya di depan cermin.

Aku di tubir katil hanya memerhati gelagat Uda.

'Kita pergi kedai emas tu....tindik telinga nak?' Uda berpaling bertanya.

Aku tak menjawab malah mengerutkan muka. Takut. Dah selalu tengok masyarakat India yang cocok sana cocok sini masa Thaipusam tu sedikit mengerikan dan mengilukan.

'Tak sakit la...kawan Uda cakap macam rasa kena gigit semut je.' Uda melabuhkan duduk di sebelahku.

Maka pada satu hari tu, kami berdua berjalan kaki ke bandar Kluang. Kami ke kedai emas di Jalan Station.

'Andak dulu,' Uda mengarahkan.

'Apa pulak? Uda yang nak sangat, Uda la dulu,' jawabku sambil menapak dua tiga langkah ke belakang.

'Okey la...' Uda mengalah.

Ketika itu tokeh kedai emas sedang menyediakan peralatan yang akan digunakan untuk menindik telinga kami berdua. Kemudian dia menyapu minyak apa entah dekat cuping telinga Uda. Seketul halia diletakkan di belakang cuping telinga sambil sebelah tangan menyocok anting-anting yang kelihatan sudah ditajamkan hujungnya.

'Sakit tak Uda?,'. aku bertanya apabila terdengar bunyi 'berderap' ketika jarum tadi mencecah halia.

Uda menggeleng.

Kini di telinga yang sebelah lagi pula. Aku tekun memerhati.

Tiba-tiba...............

Belum siap telinga yang sebelah itu ditindik, Uda dah terbalik dari kerusi. Aku yang terperanjat terus lari dari tempat kejadian tanpa memandang belakang lagi. Tiba di satu selekoh barisan rumah kedai, aku bertembung dengan dua orang lelaki. Dia cepat memaut lenganku. Alhamdulillah....kalau tidak dengan dia sekali terbalik sama di kaki lima kedai itu.

'Eh? Ni adik Juwita kan?' Seorang dari yang berdua itu bertanya.

Aku angguk sambil sedikit membongkok menahan penat berlari tadi.

'Kenapa?' Salah seorang dari mereka bertanya.

Aku yang masih tercungap itu hanya menunjuk ke arah kedai emas.

'Jom!' Mereka berdua memegang lenganku kiri dan kanan mengajak ke tempat kejadian.

Aku mengikut kerana terasa berani bila ada yang meneman.

Elok kami berjalan tak berapa langkah, Uda muncul sambil berjalan lemah. Dia kelihatan marah.

'Tak guna punya Andak...'

Kawan lelakinya yang berdua tadi hanya memandang.

Kami berdua pun hanya mendiamkan diri tak memberitahu kerana malu. Ek eleh....tindik telinga pun sampai boleh pengsan?

'Jangan cakap dengan emak tau?' Uda berpesan.

Aku geleng aje....rasa bersalah kerana meninggalkan dia yang terpengsan tadi. Sambil meneruskan langkah aku kerling Uda yang senyumnya dah melebar ke telinga. Tangan asyik memegang telinga yang ketika itu sudah pun bertindik.

Aku pula bagaimana? Apa yang nak dijawab bila emak bertanya?

'Andak tu penakut...dia lari masa tokeh kedai tu nak tindik telinga dia,' ujar Uda dengan perasaan bangga.
Kurang asam! Aku pulak yang kena?

Junie Octovian: Aku tindik masa dah ada alat tembak...itu pun sebab dah nak kahwin.

April 4, 2011

Memancing...

Aku lihat aje gelagat suamiku petang itu yang pulang dengan sebatang joran dengan segala alat kelengkapan mengalahkan seorang kaki pancing...padahal dia mana pernah sempat nak memancing?

Aku yang sedang menyiapkan Kakak baru lepas dimandikan itu berkata sendiri di dalam hati...buang tebiat ke laki aku ni? Yang tiba-tiba sibuk nak memancing pulak ni kenapa?

Siap memasang jorannya, dia mendaki tangga ke tingkat atas.... dari atas dia melemparkan jorannya ke bawah gaya orang memancing di sungai. Lepas tu dia gulung seolah-olah dah dapat menangkap ikan. Aku di tingkat bawah sesekali mengerling buat tak tahu. Dalam hati dah bagai digeletek geli hati. Nasib baik si Angah tertidur depan TV petang itu, jika tidak dengan Angah sekali sama sibuk. Bujang sorang tu bukan boleh nampak aktiviti yang pelik sikit ni.

Keesokan paginya... 'Dapur arang kita tu ada lagi tak?' Suamiku bertanya dari arah belakang ketika aku sibuk menyiapkan sarapan pagi, pada hari minggu itu.

'Adaa..' aku jawab panjang. '...siapa aje yang nak curi. Orang sekarang dah pakai dapur gas.' Dapur arang itu sengaja dibeli untuk kegunaan membakar ikan dan segala bagai yang seangkatan dengannya.

'Lepas breakfast ni I nak pergi memancing. You siapkan dapur tu...nanti dapat ikan tinggal bakar je.' Pergh! Gila confident suami aku mengarahkan. Dia ingat senang agaknya memancing tu kan?

Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum itu, sungai yang mengalir deras airnya di depan rumah kami itu dipenuhi orang ramai yang sibuk mengutip udang galah yang dikatakan mabuk kerana air laut yang pasang bercampur dengan air sungai itu.

Aku yang tinggal hampir dengan sungai itu, haram tak tahu menahu. Gila ramai...macam ada pesta. Suamiku yang pulang untuk makan paginya itu ku tanya. Dia sendiri pun menggeleng kepala tidak tahu. Tidak lama selepas dia meninggalkan rumah selepas berehat pagi itu, dia kembali lagi dengan seplastik udang galah yang masih tercungap-cungap.

'Beli kat mana ni? Banyaknya?' aku bertanya pelik.

'Orang sibuk kutip depan rumah kita, I kutip dekat belakang opis je. Udang mabuk air masin.' Katanya memberitahu.

'Ada la pulak...' sahut ku sambil senyum sumbing. Rezeki.

'Jangan lupa tau?' Sergahan suamiku mengejutkan aku dari lamunan. '....siapkan dapur arang tu.' Arah suamiku yang kini sudah berpakaian lengkap dengan topi.

Aku yang sedang mendukung Kakak mengikut langkah suamiku ke muka pintu. Ai? Nak ke mana pulak dia ni? Suamiku hanya menapak ke arah sungai di depan rumah. Ingat tadi nak memancing ke mana aje la... kalau dilihat dari cara dia bersiap tadi gaya orang nak pergi mengikuti pertandingan.

Abang dan Angah sama terpacak di muka pintu memerhati bapanya yang sedang menghayun langkah ke arah sungai itu.

'Papa nak gi mana tu?' Angah yang kepoh bertanya.

'Tangkap buaya..' aku beritahu menakutkan dia. Kalau tak berbohong begitu, sudah pasti dia bekejar sama ke tepi sungai mengikut bapanya.

'Ooo...' tercopong mulut berdua beradik memandang kelibat bapanya. Mungkin ketika itu dia menganggap bapanya seorang Hero ala-ala Steve Irwin gitu.

Anak lelaki ku dua orang tadi sekejap bangun menjenguk, sekejap lagi memanjangkan leher menjenguk bapanya yang masih tekun menunggu di pangkal pokok rendang di tepi sungai itu yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah kami.

Aku memang tak ada masa nak menunggu kerana kerja rumah masih banyak yang hendak dibuat. Kalau hujung-hujung minggu itu biasanya aku akan menyiapkan kerja-kerja menggosok pakaian kerja dan anak-anak sekolah. Mana nak melayan si kecil Kakak lagi.

Akhirnya........

'Ek..eleh...' suamiku menutup kembali pintu bilik stor setelah menyimpan jorannya.

Angah dah mengikut bapanya ke depan ke belakang ingin bertanyakan kisah menangkap buaya tadi.

'Dapat pa?' dia mendongak bertanya.

'Takkk!' suamiku menjawap panjang tanpa memahami soalan si anak.

Angah kecewa dan kembali menghadap siaran TV petang itu.

'Kalau beli dekat pasar tadi, dah kenyang dapat makan. Buang masa je..' sungut suamiku yang pulang dengan perasaan hampa.

Aku ke singki dapur, manalah tau dia dapat sekor dua dan terus letakkan di situ? Hampeh betul. Seekor pun tak dapat selama berjam-jam dia menunggu? Kesiannya.....

Junie Octovian:  Mujur aku tak hidupkan api yang dipesan...kalau tidak mesti aku jadi macam peribahasa yang mengatakan ~ burung terbang dipipiskan lada ~

Rebah bangun?

Aku ke Pasar Malam bersama Kakak. Dah lama tak beli sayur kampung, teringin nak makan pucuk ubi masak tempoyak. Tak ada tempoyak pun, celur aje colek dengan sambal kacang ala-ala pecal. Hmm... makan tak hengat dunia. Tapi mungkin aku lewat keluar malam itu, apa yang dihajatkan itu tidak ada. Kacang panjang, kacang buncis, terung, kobis semua tu masih banyak. Mak ai! Bayam pun tak ada?

'Kalau ada bayam pun tak apa..' aku mengomel.

'Nak sayur bayam ke?' tanya si Kakak.

'Ha ah... boleh masak rebah bangun untuk Hana esok.'

Kakak menoleh merenung ku pelik. 'Masak rebah bangun tu macam mana?'

'Alaa... macam sup sayur tu la.' Suara ku sedikit marah. Rebah bangun pun tak tahu...nasib baik dapat emak macam aku ni yang tak pandai membebel. Kena Atuk Emak di Kluang tu...siap engkau!

'Dah! Emak nak pergi dah ni...' Emak memberitahu Jude dan Lela yang tak bersekolah pada suatu hari bertahun yang lalu.

Emak memang aktif masa mudanya. Hari itu dia sebagai Ketua Kumpulan Yaasin di kawasan itu akan dijemput untuk ke satu majlis. Jude di suruh memasak. Lela pula ambil bahagian mengemas.

Emak merupakan seorang ibu yang paling cerewet dalam segala hal. Dari menjemur pakaian, melipat dan menyusun ke dalam almari.

Tika itu aku dah berumahtangga dan tinggallah adik aku yang dua orang itu bersama Emak dan Ayah. Namun mereka pun bukan kecil lagi. Kalau sorang tingkatan 5, yang sorang pula dalam tingkatan 4. Kami adik beradik waktu dulu memang takut dengan Emak...jadi, kerjarumah ni memang tak payah bersuruhlah.

'Nak masak apa ni Mak?' tanya Jude yang sedang menyiang sayur bayam di meja dapur.

'Panas-panas ni masak rebah bangun je,' pesan Emak yang dah menunggu di pintu depan.

Semasa aku sampai di rumah Emak tengahari itu, Lela sedang sedap tidur di dalam timbunan kain baju yang tidak siap berlipat.

'Ya ampun! Ni kalau perompak Kassim Baba masuk, dengan dia orang sekali kena bawak lari.' Aku merungut sendirian kerana dah beri salam bagai nak berdarah tekak tak siapa yang menyahut.

Aku menapak ke dapur, nampak periuk yang sedang menggelegak. Apa yang dimasak ni sampai nak kering airnya? Hatiku berkata-kata sambil aku menapak menyelak kain langsir yang menutup pintu bilik belakang yang berdekatan dengan dapur masak.

'Jude...' aku menggoyangkan bahu adik ku yang tidur mengalahkan orang kena pukau dalam rumah tu. Kelibat Emak pula tak kelihatan. 'Jude!' kali ini suaraku sedikit tinggi.

Jude yang terkejut bangun terus keluar dari bilik. 'Makkkk!' dia menjerit menekap kepala dengan dua tangan.

Aku yang kehairanan tadi mengekornya dari belakang. Apabila aku mendengar dia menjerit, aku yang sama terkejut itu bertanya... 'kenapa?'

Lela yang tertidur di ruang tengah depan TV itu sama terjaga dan berlari ke dapur.

'Mati la kita Andak...' dia bersuara sambil tangan menutup api dapur. 'Kita lupa tutup api dapur.'

'Rebus apa tu sampai sempat tidur?' aku bertanya pelik.

'Emak suruh masak rebah bangun je...kita dah rebah, tak bangun-bangun.' Jude beritahu ketakutan.

'Laa...awak ikut sangat resepi dia tu kenapa?' aku dah gelak tergolek. Ada ke patut masak tu pun sempat merebahkan diri? Maksud Emak tadi, bila kuahnya menggelegak aje, masukkan bayam, tutup periuknya dan tutup juga api dapurnya. 'Tak apa la..ni Andak balik...kita goreng cakap dah habis dimakan. Tentu dia tak marah.'

Alhamdulillah! Emak balik lewat petang itu tak bertanya apa pun.

'Emak dah makan?' aku bertanya dulu nak tengok reaksi Emak.

'Dah! Tak larat pun...rumah DO, lauknya macam-macam.' Emak bercerita memberitahu. 'Awak dah makan?'
Emak bertanya ku balik sambil meriba anak sulungku.

'Dah!' Aku mengajuk cakap Emak tadi sambil mata mengerling Jude di depan TV. 'Tapi dah habis Mak lauk tu... Firdaous suka betul makan bayam masak rebah bangun.'

'Bagus la...tu Jude yang masak,' Emak memberitahu dengan bangganya.

Jude yang mendengar, senyum sampai ke telinga.

Ek eleh! Boleh senyum pulak dia? Mujur aku balik hari itu dengan cucunya. Bila dia ralit melayan cucu, yang lain dia tak peduli dah. Selamat Jude hari itu.

Junie Octovian: Kami dah tukar resepi tu dengan nama Rebah tak bangun-bangun.

April 3, 2011

Love + Hate = Hlovate


Apakah itu? Atau siapakah itu? Oleh kerana Hlovate ini seorang penulis maka kita guna pakai 'siapakah' itu Hlovate.

Aku mengenali Hlovate pertama kali menerusi novelnya aA + bB. Tajuk je dah macam bunyi buku cerita bebudak kan? Tapi aku layan juga la pada awal tahun 2009 tu. Otak ku dah kelaparan minta diisi dengan bahan bacaan. Dulu aku layan juga segala bagai majalah ni. Tapi semenjak dua menjak tu pula tak berapa nak gemar dengan gosip-gosip artis ni.

Si Kakak yang membeli novel tersebut tertinggal di atas meja biliknya. Dia masa tu dah balik ke Unisel. Aku yang mengemas biliknya terpandang novel tersebut terus mengambilnya dan menyelak tanpa membaca sinopsis yang tertulis di belakang. Dari awal bacaan aku ingatkan macam buku Ain Maisarah. Lepas membaca dari satu bab ke satu bab, aku yang berdiri menyandar tadi terus melurut ke bawah.

Kini aku bersila pula...mata mengerling jam di dinding. Kerjarumah tak siap lagi...kejap lagi nak kena jemput Adik balik dari sekolah pulak. Tapi aku ni jenis yang tak boleh start membaca...kalau kena ceritanya memang sampai tak makan pun tak apa. Kalau boleh nak habiskan dengan sekali baca sahaja...tak kira la..sehari ke, dua hari ke.

Aku pergi jemput Adik...aku bawa dia singgah di kedai makan kerana tadi memang aku tak masak pun. Di situ, aku biar dia order dan makan sebab aku masih melayan bacaan. Aku membaca dan terus membaca dan berhenti untuk menunaikan solat sahaja. Anak-anak dah faham....

Hlovate yang menulis dalam bahasa santai itu membuatkan aku senang memahami. Macam budak-budak yang gemarkan majalah Ujang...lebih kurang begitu la. Tak perlu bahasa yang bersastera dan bombastik bagai.

Selepas habis membaca satu novel itu...aku memikir. Senang aje pun nak buat novel, asalkan ada cerita. Maka, cerita yang aku ada tersimpan sekian lama tu aku keluarkan dan dibaca semula dan buat sedikit pertambahan dan pengubahsuaian di sana sini sebelum aku memberanikan diri menghantar manuskrip pertama ku itu.

Bila cerita pertamaku diterima untuk dijadikan novel, aku rasa berterima kasih kepada Hlovate kerana tulisannya memberi aku inspirasi untuk menulis seterusnya. Namun, tiada siapa yang mengenali penulis ini. Dia begitu berahsia. Semenjak itu aku mengikuti semua tulisan Hlovate.

Kalau pengunjung blog peminat Hlovate, aku sarankan agar mambaca Tunas dulu, baru aA + bB kerana di Tunas bermula Addin dan Benz. Schubert's Serenade ~ Gurindam Jiwa ~ ada Ju'a yang berkait dengan Trisy dalam Rooftop Rant. Dalam Rooftop Rant pula ada Lekiu Lokman adik Jebat Iskandar dalam 5 Tahun 5 Bulan. Ked's Story dalam Pelangi ada kaitan dengan Versus.

Aku pun pada awal pembabitan memang tak mahu didedahkan. Tapi apa salahnya kan? Bak kata Encik Zubli Zainordin di TVS dulu tu, sepatutnya aku kena merasa bangga pada usia sebegini masih mampu menulis. Alhamdulillah...... kalau Hlovate tulis Rooftop Rant, aku kena tulis Granny's Rant, kot? Hehehe.........

Junie Octovian: Harapan ku satu hari nanti, kami akan dapat mengenali penulis yang memakai nama Hlovate ini.

April 1, 2011

April Fool...

Aisehmen...April already la...
Sejak kebelakangan ni aku asyik ketinggalan hari dan waktu aje...mungkin tak sekolah lagi agaknya. Dulu masa di sekolah, tugasku mencatit haribulan di papan hitam. Jadi aku sentiasa alert anytime, everyday.  Aku have all the time to prepare for any occassion.

Setakat April Fool ni, aku dah ready seminggu lebih awal. Mengumpul segala cicak kering yang mati tersepit di celah pintu atau tingkap. Aku bungkus elok-elok...macam orang bungkus ikan terubuk masin dari Sarawak tu la lebih kurang. Lepas tu masukkan dalam envelope bersama mesej 'APRIL FOOL' yang ku tulis sebesar alam di atas kertas yang bersaiz A4.

Selalunya, orang yang menjadi target aku tu akak aku sendiri la. Aku dah dapat mengagak berapa hari surat yang ku kirim padanya akan sampai. Jadi aku kirim la sehari dua lebih awal, agak-agak sampai pada tarikh 1 April tu.

Uda yang pulang hujung minggu masa tu dah mengejar aku pusing keliling rumah. 'Kurang asam engkau Andak..'

Emak yang tak tahu hujung pangkal beliak mata memerhati anak dara dia dua orang bekejar keliling rumah. 'Kenapa kamu berdua ni? Tak malu... dah boleh kawin, masih dok main kejar-kejar lagi.'

'Andak ni...' Uda berhenti di tingkap di mana Emak menjengolkan kepalanya menunggu dengan senduk kayu di tangan. '...ada ke dia kirim cicak kering?' Uda mengadu pada Emak sambil tercungap-cungap. Ada hati dia yang berbadan gempal tu nak mengejar aku yang comel loteh masa tu. Silap orang la...aku kan pelari jarak jauh masa zaman sekolah dulu? Cross-country? Road relay? Tiga ribu meter - yang berkeliling padang entah berapa round tu?

'Kirim cicak kering?' Emak berkerut dahi bertanya.

Aku yang mendengar dah berhenti jauh di pinggir jalan...agak-agak Emak keluar dari dapur tu nak kejar dengan senduk kayu, aku sempat la lari. Uda tu kan anak perempuan kesayangan dia?

Tiba-tiba...pecah ketawa Emak di tingkap dapur tu.

Uda dan aku berpandangan. Susah nak tengok Emak ketawa mengekek macam tu. Muka dia selalunya ketat aje. Uda jadi geram kerana aduannya tak laku petang Sabtu itu.

'Emak ni....ketawakan pulak dia.' Uda dah muncung sekaki.

Emak masih di tingkap menahan perut gelihati.

Ayah yang datang dari melawat reban ayamnya di belakang menegur Emak. 'Apa yang lawak sangat ni?'

Emak hanya menunjuk ke arah ku dengan senduk kayu. Tawanya masih bersisa.

'Andak tu Ayah...dia pos surat kat Ita, siap ada cop URGENT message inside, pulak tu. Ingatkan apa yang urgent sangat, rupanya cuma cicak kering. Habis satu Maybank tu budak gelakkan.' Uda mengadu pada Ayah pulak.

Dia ingat mementang dia anak Ayah...Ayah nak back-up dia...rupanya Ayah pun sama gelak sampai keluar air mata.

Aku yang masih menunggu reaksi Emak dan Ayah dari pinggir jalan tu dah senyum melebar. Ahh! Selamat tak kena marah. Apa la Uda ni...kan dah tulis April Fool?

Junie Octovian: Aku memang tau, Uda tu penakut dengan cicak. Mujur aku tak kirim cicak yang hidup kan? Cuba bayangkan kalau dia bukak envelope tu, cicak tu melompat keluar? Heheheh....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...