April 4, 2011

Memancing...

Aku lihat aje gelagat suamiku petang itu yang pulang dengan sebatang joran dengan segala alat kelengkapan mengalahkan seorang kaki pancing...padahal dia mana pernah sempat nak memancing?

Aku yang sedang menyiapkan Kakak baru lepas dimandikan itu berkata sendiri di dalam hati...buang tebiat ke laki aku ni? Yang tiba-tiba sibuk nak memancing pulak ni kenapa?

Siap memasang jorannya, dia mendaki tangga ke tingkat atas.... dari atas dia melemparkan jorannya ke bawah gaya orang memancing di sungai. Lepas tu dia gulung seolah-olah dah dapat menangkap ikan. Aku di tingkat bawah sesekali mengerling buat tak tahu. Dalam hati dah bagai digeletek geli hati. Nasib baik si Angah tertidur depan TV petang itu, jika tidak dengan Angah sekali sama sibuk. Bujang sorang tu bukan boleh nampak aktiviti yang pelik sikit ni.

Keesokan paginya... 'Dapur arang kita tu ada lagi tak?' Suamiku bertanya dari arah belakang ketika aku sibuk menyiapkan sarapan pagi, pada hari minggu itu.

'Adaa..' aku jawab panjang. '...siapa aje yang nak curi. Orang sekarang dah pakai dapur gas.' Dapur arang itu sengaja dibeli untuk kegunaan membakar ikan dan segala bagai yang seangkatan dengannya.

'Lepas breakfast ni I nak pergi memancing. You siapkan dapur tu...nanti dapat ikan tinggal bakar je.' Pergh! Gila confident suami aku mengarahkan. Dia ingat senang agaknya memancing tu kan?

Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum itu, sungai yang mengalir deras airnya di depan rumah kami itu dipenuhi orang ramai yang sibuk mengutip udang galah yang dikatakan mabuk kerana air laut yang pasang bercampur dengan air sungai itu.

Aku yang tinggal hampir dengan sungai itu, haram tak tahu menahu. Gila ramai...macam ada pesta. Suamiku yang pulang untuk makan paginya itu ku tanya. Dia sendiri pun menggeleng kepala tidak tahu. Tidak lama selepas dia meninggalkan rumah selepas berehat pagi itu, dia kembali lagi dengan seplastik udang galah yang masih tercungap-cungap.

'Beli kat mana ni? Banyaknya?' aku bertanya pelik.

'Orang sibuk kutip depan rumah kita, I kutip dekat belakang opis je. Udang mabuk air masin.' Katanya memberitahu.

'Ada la pulak...' sahut ku sambil senyum sumbing. Rezeki.

'Jangan lupa tau?' Sergahan suamiku mengejutkan aku dari lamunan. '....siapkan dapur arang tu.' Arah suamiku yang kini sudah berpakaian lengkap dengan topi.

Aku yang sedang mendukung Kakak mengikut langkah suamiku ke muka pintu. Ai? Nak ke mana pulak dia ni? Suamiku hanya menapak ke arah sungai di depan rumah. Ingat tadi nak memancing ke mana aje la... kalau dilihat dari cara dia bersiap tadi gaya orang nak pergi mengikuti pertandingan.

Abang dan Angah sama terpacak di muka pintu memerhati bapanya yang sedang menghayun langkah ke arah sungai itu.

'Papa nak gi mana tu?' Angah yang kepoh bertanya.

'Tangkap buaya..' aku beritahu menakutkan dia. Kalau tak berbohong begitu, sudah pasti dia bekejar sama ke tepi sungai mengikut bapanya.

'Ooo...' tercopong mulut berdua beradik memandang kelibat bapanya. Mungkin ketika itu dia menganggap bapanya seorang Hero ala-ala Steve Irwin gitu.

Anak lelaki ku dua orang tadi sekejap bangun menjenguk, sekejap lagi memanjangkan leher menjenguk bapanya yang masih tekun menunggu di pangkal pokok rendang di tepi sungai itu yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah kami.

Aku memang tak ada masa nak menunggu kerana kerja rumah masih banyak yang hendak dibuat. Kalau hujung-hujung minggu itu biasanya aku akan menyiapkan kerja-kerja menggosok pakaian kerja dan anak-anak sekolah. Mana nak melayan si kecil Kakak lagi.

Akhirnya........

'Ek..eleh...' suamiku menutup kembali pintu bilik stor setelah menyimpan jorannya.

Angah dah mengikut bapanya ke depan ke belakang ingin bertanyakan kisah menangkap buaya tadi.

'Dapat pa?' dia mendongak bertanya.

'Takkk!' suamiku menjawap panjang tanpa memahami soalan si anak.

Angah kecewa dan kembali menghadap siaran TV petang itu.

'Kalau beli dekat pasar tadi, dah kenyang dapat makan. Buang masa je..' sungut suamiku yang pulang dengan perasaan hampa.

Aku ke singki dapur, manalah tau dia dapat sekor dua dan terus letakkan di situ? Hampeh betul. Seekor pun tak dapat selama berjam-jam dia menunggu? Kesiannya.....

Junie Octovian:  Mujur aku tak hidupkan api yang dipesan...kalau tidak mesti aku jadi macam peribahasa yang mengatakan ~ burung terbang dipipiskan lada ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...