April 24, 2011

Yaya oh Yaya...(part 2)

'Ada sesiapa nak ke Kluang?'

Ngah menelefon ku bertanyakan jika ada sesiapa diantara kami yang bercadang untuk ke Johor. Aku kan selalu membuat kunjungan ke Pondok Indah? Dia bercadang untuk menumpang turun di Kluang.

Selepas solat Jumaat, aku pun bergerak dan masuk ke Bangi menjemput Ngah yang berada di rumah Shasha, anak ketiganya.

Aku yang sepatutnya turunkan Ngah dan terus bergerak ke Simpang Renggam, membatalkan niat. Aku sama bermalam di  Kluang pula.

Malam itu.......

'Yaya pergi mana ni...senyap je?' aku bertanya Lela yang sedang membancuh minuman panas.

'Perempuan kecik tu sekarang ni dah pandai dah Andak. Bila malam ajak ayah dia pergi nge'teh'. Tapi sampai sana bukan dia sibuk nak minum pun....saja nak ronda-ronda naik motorsikal tu.' Cerita Lela tentang anaknya.

Sedang kami sibuk berborak, pintu sliding ditolak buka. Yaya berlari masuk kedalam.

Untuk beberapa ketika semua mata tertumpu ke pintu besar itu.

'Ayah mana?' tanya Ngah hairan melihat Yaya pulang sendirian. Tadi Lela cakap dia pergi dengan ayahnya.

'Dia bertatap-tatap..' jawab Yaya pelat.

'Dengan lelaki ke perempuan?' tanya Ngah lagi.

'Pompuan,' Yaya menjawab yakin.

'Eh? Pergi panggil balik...mana boleh lelaki dan perempuan bertatap-tatap dah tengah malam ni?' Beritahu Pak Ngahnya.

'Biarlah dia...apalah Pak Ngah ni..' jawab si Yaya sambil terkeseng-keseng mencari riba kosong.

Si kecil Yaya ni memang suka beriba. Pantang nampak orang bersila...cepat dia bertenggek.

'Pergi tengok Lela,' perintah Ngah serius.

'Bukan bertatap Ngah...bercakap. Pompuan kecik ni pelat.' Jelas Lela.

'Ooo....'

Kami kemudian melambakkan ketawa.

Junie Octovian: Pesan orang tua, budak kecik ni jangan diberi makan pulut. Bila mula bercakap nanti pelat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...