Aku ke Pasar Malam bersama Kakak. Dah lama tak beli sayur kampung, teringin nak makan pucuk ubi masak tempoyak. Tak ada tempoyak pun, celur aje colek dengan sambal kacang ala-ala pecal. Hmm... makan tak hengat dunia. Tapi mungkin aku lewat keluar malam itu, apa yang dihajatkan itu tidak ada. Kacang panjang, kacang buncis, terung, kobis semua tu masih banyak. Mak ai! Bayam pun tak ada?
'Kalau ada bayam pun tak apa..' aku mengomel.
'Nak sayur bayam ke?' tanya si Kakak.
'Ha ah... boleh masak rebah bangun untuk Hana esok.'
Kakak menoleh merenung ku pelik. 'Masak rebah bangun tu macam mana?'
'Alaa... macam sup sayur tu la.' Suara ku sedikit marah. Rebah bangun pun tak tahu...nasib baik dapat emak macam aku ni yang tak pandai membebel. Kena Atuk Emak di Kluang tu...siap engkau!
'Dah! Emak nak pergi dah ni...' Emak memberitahu Jude dan Lela yang tak bersekolah pada suatu hari bertahun yang lalu.
Emak memang aktif masa mudanya. Hari itu dia sebagai Ketua Kumpulan Yaasin di kawasan itu akan dijemput untuk ke satu majlis. Jude di suruh memasak. Lela pula ambil bahagian mengemas.
Emak merupakan seorang ibu yang paling cerewet dalam segala hal. Dari menjemur pakaian, melipat dan menyusun ke dalam almari.
Tika itu aku dah berumahtangga dan tinggallah adik aku yang dua orang itu bersama Emak dan Ayah. Namun mereka pun bukan kecil lagi. Kalau sorang tingkatan 5, yang sorang pula dalam tingkatan 4. Kami adik beradik waktu dulu memang takut dengan Emak...jadi, kerjarumah ni memang tak payah bersuruhlah.
'Nak masak apa ni Mak?' tanya Jude yang sedang menyiang sayur bayam di meja dapur.
'Panas-panas ni masak rebah bangun je,' pesan Emak yang dah menunggu di pintu depan.
Semasa aku sampai di rumah Emak tengahari itu, Lela sedang sedap tidur di dalam timbunan kain baju yang tidak siap berlipat.
'Ya ampun! Ni kalau perompak Kassim Baba masuk, dengan dia orang sekali kena bawak lari.' Aku merungut sendirian kerana dah beri salam bagai nak berdarah tekak tak siapa yang menyahut.
Aku menapak ke dapur, nampak periuk yang sedang menggelegak. Apa yang dimasak ni sampai nak kering airnya? Hatiku berkata-kata sambil aku menapak menyelak kain langsir yang menutup pintu bilik belakang yang berdekatan dengan dapur masak.
'Jude...' aku menggoyangkan bahu adik ku yang tidur mengalahkan orang kena pukau dalam rumah tu. Kelibat Emak pula tak kelihatan. 'Jude!' kali ini suaraku sedikit tinggi.
Jude yang terkejut bangun terus keluar dari bilik. 'Makkkk!' dia menjerit menekap kepala dengan dua tangan.
Aku yang kehairanan tadi mengekornya dari belakang. Apabila aku mendengar dia menjerit, aku yang sama terkejut itu bertanya... 'kenapa?'
Lela yang tertidur di ruang tengah depan TV itu sama terjaga dan berlari ke dapur.
'Mati la kita Andak...' dia bersuara sambil tangan menutup api dapur. 'Kita lupa tutup api dapur.'
'Rebus apa tu sampai sempat tidur?' aku bertanya pelik.
'Emak suruh masak rebah bangun je...kita dah rebah, tak bangun-bangun.' Jude beritahu ketakutan.
'Laa...awak ikut sangat resepi dia tu kenapa?' aku dah gelak tergolek. Ada ke patut masak tu pun sempat merebahkan diri? Maksud Emak tadi, bila kuahnya menggelegak aje, masukkan bayam, tutup periuknya dan tutup juga api dapurnya. 'Tak apa la..ni Andak balik...kita goreng cakap dah habis dimakan. Tentu dia tak marah.'
Alhamdulillah! Emak balik lewat petang itu tak bertanya apa pun.
'Emak dah makan?' aku bertanya dulu nak tengok reaksi Emak.
'Dah! Tak larat pun...rumah DO, lauknya macam-macam.' Emak bercerita memberitahu. 'Awak dah makan?'
Emak bertanya ku balik sambil meriba anak sulungku.
'Dah!' Aku mengajuk cakap Emak tadi sambil mata mengerling Jude di depan TV. 'Tapi dah habis Mak lauk tu... Firdaous suka betul makan bayam masak rebah bangun.'
'Bagus la...tu Jude yang masak,' Emak memberitahu dengan bangganya.
Jude yang mendengar, senyum sampai ke telinga.
Ek eleh! Boleh senyum pulak dia? Mujur aku balik hari itu dengan cucunya. Bila dia ralit melayan cucu, yang lain dia tak peduli dah. Selamat Jude hari itu.
Junie Octovian: Kami dah tukar resepi tu dengan nama Rebah tak bangun-bangun.
No comments:
Post a Comment