April 19, 2011

The Young Travellers...(part 2)

'Mama pergi aje la bawak adik-adik ni...Abang Long dengan Angah tinggal dengan Atok. Kita orang sekolah kat sini aje,' Abang Long mencadangkan pada satu hari apabila dilihat adiknya masih tidak pulih dari demam.

Hari tu becuti di Sandakan elok aje...melenting sana melenting sini. Lagi la duduk dalam hutan sawit tu. Ni dah balik buat hal lagi. Macam orang merana aje gayanya.

'Dia demam rindu ni...' Emak memberitahu. '...bawak la klinik mana pun memang menghabiskan duit aje.'

Aku di persimpangan dilema dibuat si anak. Tapi tak ada cara lain...tak kan bapanya asyik nak berulang alik menjenguk dia? Bukan dekat-dekat. Nak pos dia sorang-sorang kang, siapa pulak nak menjaga dia di sana? Akhirnya keputusan dibuat, aku terpaksa meninggalkan Abang Long dan Angah dengan Atoknya. Mudah-mudahan aje tak lama, hatiku memanjat doa.

Sejak itu setiap musim cuti sekolah, kami akan kirimkan tiket untuk mereka berdua beradik. Hatiku Tuhan sahaja yang tahu betapa kembang kempisnya nak melepaskan mereka sendirian menaiki pesawat merentas Laut Cina Selatan itu.

'Masa transit kat KK tu, jangan pergi mana-mana...dalam flight dari Senai tu dia orang akan beri makan kan?' Aku mengingatkan berdua beradik yang akan terbang sendirian masa cuti sekolah itu. Mereka dah tahu cara-cara check-in semasa di Lapangan Terbang semasa cuti lepas. 'Nanti terlepas flight ke Sandakan susah pulak.'

Aku dan adik-adik mereka memerhati pesawat yang mencecah landasan itu dengan hati yang girang. Bila nampak kelibat Abang Long dan Angah yang muncul dari perut pesawat itu segera kami turun ke tingkat bawah untuk menyambut mereka.

Tidak dapat nak digambarkan betapa bahagia dan gembiranya kami sekeluarga apabila dapat berkumpul semula.

Betapa pengalaman yang dilalui oleh mereka ketika ditinggalkan dan dipertemukan semula itu amat berharga dalam hidup ini. Begitulah seterusnya sehingga suamiku ditukarkan ke Kalimantan Barat dan akhirnya aku dapat membawa anak-anak tinggal bersama kerana kali ini aku tinggal menyewa di bandar Kuching demi menjaga kebajikan anak-anak yang sedang melalui alam persekolahan.

Pengalaman itu menjadikan mereka lebih dewasa. Apabila mereka harus meninggalkan keluarga untuk melanjutkan pelajaran, mereka sudah bersedia. Apabila mereka harus meneruskan hidup sendiri setelah pemergian bapanya kerana dijemput Ilahi, mereka sudah merasa cekal hati.

Walau tidak ku tahu apa yang melanda di dalam hati, namun aku pasti pengalaman tadi adalah hidayah Allah yang disampaikan sebagai persediaan di kemudian hari.

Junie Octovian: Mendoakan dari jauh.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...