Aku memerhati Angah yang mengikut segala arahan sambil tertonggeng-tonggeng menutup lubang setelah memasukkan biji benih jagung tadi.
'Ma...akak nak juga?'
Kakak datang tiba-tiba, mungkin teruja mendengar suara aku dan Angah di luar rumah.
'Uh..uh..uh..uh..' Angah bersuara sambi menggeleng laju kepalanya.
'Kenapa?' aku yang tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Angah itu bertanya.
Dia tak bercakap malah membuat gaya Charlie Chaplin pula sambil menunjukkan ke mulutnya.
'Kenapa?' aku bertanya lagi.
Angah kelihatan marah kerana aku masih tidak memahami.
Lama aku merenungnya cuba memahami. Apa hal pulak tak reti nak bercakap? Rupa orang bisu je?
'Ohhh!'
Baru aku faham. Angah tidak mahu si Kakak sama menanam, takut nanti isi jagungnya rongak.
'Tak apa la...dia nak cuba juga,' aku memujuk Angah membenarkan. '...cepat Kak.' Aku memanggil. Karang si Kakak merajuk pulak kerana melayan Angah aje.
'Tutup mulut rapat-rapat. Tanam jagung ni tak boleh bercakap tau? Kena buat muka serius. Kalau tidak nanti jagung yang akak tanam, isinya rongak,' aku beritahu petua yang sama macam Angah tadi.
Kakak menadah tangan meminta benih jagung dari Angah.
Angah pula memerhati muka Kakak untuk melihat samada si adik ni boleh berwajah serius atau tidak. Ketika itu dah rupa ayam nak bersabung pun ada. Aku dah tergelak dalam hati.
Angah memberi tiga biji benih jagung tanpa bersuara.
Kakak pula memandang Angahnya merasa tak puas hati....sikit sangat, barangkali begitu maksudnya. Mereka berdua kan tak boleh nak bercakap kerana sedang mengikut petua?
Aku jadi jurubahasa, '...satu lubang tu tiga biji aje kak,' aku beritahu.
Kakak berpaling mencari lubang yang masih kosong.
Begitulah seterusnya sehingga semua lubang habis diisi dan ditimbus semula.
'Dah boleh cakapkan?' Angah bertanya.
'Dah siap, boleh la...'
'Bila boleh keluar buahnya?' tanya Angah tidak sabar.
'Baru je tanam....kena rajin siram, nanti dia cepat besar.'
Angah keseronokan. Sejak hari itu, kerja menyiram memang dah jadi rutin hariannya pagi dan petang. Ketika anak-anak benih menampakkan pucuknya dia jadi tambah gembira. Secara kebetulan pula, semua benih yang ditanam itu tumbuh dengan galaknya.
Maka Angah seakan menghitung hari menunggu bila pokok itu akan mengeluarkan buahnya.
Alhamdulillah....sampai hari dan masa, pokok itu mengeluarkan bunga dan akhirnya bertukar menjadi buah-buah jagung.
Kebetulan juga, pokok-pokok yang tak sampai dua puluh batang itu menghasilkan buah-buah jagung yang cantik dan rapat isinya.
Angah dan Kakak kegembiraan dengan hasil yang diperolehi.
'Betul cakap mama...' dia bersuara sambil mengongges isi jagung yang siap direbus petang itu bersama Abang Long dan Kakak di kerusi laman.
Aku yang sedang mendukung adiknya di muka pintu dapur itu tersenyum bangga dengan pujian si anak.
Junie Octovian: Petua orang-orang lama ni, ikut tak salah kan?
No comments:
Post a Comment