April 13, 2011

Experiment...

Anak keduaku memang dah menunjukkan bakatnya dalam bidang elektrik ni sejak kecil. Dia dah buat bermacam-macam experiment yang menyebabkan beberapa kemalangan kecil cuma mujur aje rumah yang kami diami itu tidak terbakar.

Satu daripada experiment Angah ...................

'Ma...ada kotak tak?' Angah bertanya suatu hari selepas pulang dari sekolah.

'Nak buat apa?' aku tanya balik.

'Ada la.........' Angah jawab sambil melintas depan bilikku.

'Dalam stor belakang....' aku beritahu kerana sedang sibuk menggosok baju. '.......jangan buat serak tau?'

'Yes mem...' dia jawab sambil beri tabik hormat.

Lepas tu aku dah tak ambil peduli kerana suasana senyap itu tidak menganggu kerja rumahku. Yang kecil dah tidur, Kakak dengan Abang Longnya tak tau buat apa dekat depan. Menonton barangkali. Biasanya macam tu la.....

'Angah!' suara Abang Long menjerit memanggil. '.....Rude Dog dah start!'

Rude Dog tu siri kartun kegemaran Abang Long dan Angah dalam tahun awal sembilan puluhan dahulu. Angah akan rakam dan mainkannya semula bila-bila dia suka.

Angah yang tadi entah apa dibuatnya di bilik berlari keluar bila dipanggil.

Aku ketika itu di dapur menyediakan makan malam sebelum menjelang azan Maghrib. Setelah siap menghidang aku tutup dulu dengan tudung saji sementara mengerjakan solat dan menunggu suamiku pulang dari bermain golf.

Melintas di ruang tamu rumah yang berbentuk 'L' itu, aku nampak anak-anak yang bertiga tekun menonton dengan suara dari TV yang diperlahankan menghormati waktu Solat Maghrib. Adik yang baru beberapa bulan sahaja usianya ketika itu dan sedang nyenyak tidurnya, aku letak di tengah-tengah mereka.

'Mama nak solat...jangan bising tau? Tolong tengokkan Adik.'

Abang Long dan Angah sama mengangguk.

Aku menapak ke bilik melalui bilik tamu sebelum sampai ke bilik Angah yang dikongsi bersama Abang Long.
Di situ aku dah menghidu bau asap. Hidungku makin kembang kempis mencari punca kerana tadi aku yakin aku dah menutup api dapur. Ni bau asap dari mana pula?

Rupanya..........

Kepulan asap putih keluar dari bawah pintu bilik Abang Long/Angah. Aku berkejar ke situ dan memulas tombol pintu.

Astaghfirullahalazim! Api merah dah mula memakan permaidani hijau di lantai. Kotak besar yang digunakan untuk experiment Angah dah mula roboh.

'Angahhh!....apa yang terbakar ni!?'

Cepat aku membuka pintu bilik air di biliknya itu dan menjirus api yang sudah mula mahu menjulang.

Angah sama berkejar ke bilik. Mukanya pucat lesi bila melihat api dan keadaan biliknya.

Mulutku mula mengicau, '....Angah bakar apa ni? Papa balik nanti kena marah tau?' sambil tangan cepat menyimbah lantai bilik untuk memadamkan api.

Dia dah terdiam kaku.

Aku berkemas menghilangkan bahan-bahan bukti sebelum papanya pulang. Pintu tingkap ku buka untuk mengeluarkan bau asap yang pekat tadi.

Tidak lama kemudian, nampak lampu Volvo menyorot masuk ke porch bahagian depan. Abang Long yang sama terkejut dengan kejadian tadi berbaring semula dengan menyilangkan kaki gaya senang hati. Angah, ku suruh duduk di biliknya sementara menunggu reaksi papanya yang baru pulang itu.

Sebaik pintu depan ditolak buka, hidung suamiku kembang kempis terhidu bau asap.

'Apa yang terbakar ni?'

Aku yang sudah berwudhuk tadi pura-pura menjengolkan kepala dari pintu bilik memberitahu, 'Angah tengah buat experiment kat bilik dia!'

Suamiku cepat menanggalkan kasut dan pantas menapak ke bilik Angah.

'Sampai terbakar? Mana Angah?' dia melilau mencari Angah yang memang dah terkenal dengan 'firestarter'. Pantang jumpa mancis...

'Dah la tu...Maghrib ni,' aku bercakap dengan suara yang lembut agar reda kemarahannya di waktu Maghrib itu. '.......I dah marah, tak kan you pun balik nak marah juga? Tak sengaja....nama pun experiment kan?'

Mungkin kerana tempat kejadian tadi sempat dibersihkan, maka tak adalah nampak teruk sangat. Cuma permaidani kesayangannya sejak dari bujang itu sudah melopong di bahagian hujung.

Semenjak itu suamiku sentiasa mengadakan aktiviti 'barbeque' di hujung minggu untuk melepaskan rasa ghairah Angah yang suka bermain api.

Junie Octovian: Mudah-mudahan dia berjaya membawa pulang gelaran Doktor Fairouz dalam bidang Power Electrical empat tahun lagi, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...