April 25, 2011

Cekodok, Umpan Cencorot...

Tajuk hari ini aku dapat dari tajuk buku 'Cucur Bawang Kopi O' tulisan novelis lelaki Buku Prima, Hasrudi Jawawi. Aku yang sepatutnya ada bersama beliau semalam dalam sesi bertemu peminat pembaca novel, tidak berpeluang untuk mengenali beliau lebih dekat lagi kerana aku diberitahu semalam oleh Editor Tuan Haji Ali bahawa Diintai Rindu sudah kehabisan stok.

Oleh yang demikian, aku tidaklah perlu untuk duduk menunggu di situ bersama para penulis/novelis pada sesi tersebut. Maka aku ada banyak waktu senggang dengan anak-anak yang sama mengikut ke Pesta Buku pada hari itu.

'Rudy,' aku mendekati penulis Cucur Bawang Kopi O. 'Akak, Puan Junie Octovian...' aku beritahu dia sambil menunjukkan meja kosong di sebelahnya. '..kalau ada kawan-kawan akak datang cari, beritahu mereka akak dah balik ye? Buku dah habis la..'

'Okey...no problem,' jawabnya dengan senyuman manis menarik pinggir bibir.

'Thanks, good luck to you.' Aku berlalu dari situ dengan anak-anak.

'Siapa tu?' Angah yang mengikut aku pagi itu bertanya.

'Itulah penulis novel Cucur Bawang Kopi O yang tengah laris novelnya di pasaran sekarang. Bukunya dah diulang cetak masuk kali keempat.' Aku menerangkan.

'Oi terrernya? Bagus ke cerita dia?'

'Tak tau la...kata Encik Ali macam biasa-biasa aje...mungkin tajuknya menarik dan penulisnya lelaki barangkali.'

'Hah!' Angah petik jari. '...kalau macam tu lain kali kita buat tajuk yang gempak sikit kalau tajuk tu boleh melariskan penjualan buku.' Dia terangguk-angguk mencari idea.

Setelah mengunjungi booth MOY Publications bagi memuaskan hati kakak untuk bertemu kartunis Ujang, kami beredar untuk keluar dari situ. Akak dah senyum melebar ke telinga kerana dapat bertemu Oren, Chendol, Jakalll dan Sukun. Beg kertas dihayun bangga dengan tandatangan kartunis memenuhi depan dan belakang.

'Jom kita makan dekat foodcourt The Mall sanalah,' Angah mengarah.

Maka kami berlima menghayun langkah menyeberangi jalan. Di lorong pertama, terdapat polis trafik yang bertugas membantu pejalan kaki untuk menyeberang. Namun di lorong kedua kami harus menyeberang sendiri.

Adik yang tak biasa berjalan kaki mnyeberangi jalan, menjadi kecoh. 'Ma! Sebelah sini tak ada polis trafik la... macam mana ni?'

'Dekat sini, biar mama yang jadi polis trafik,' aku beritahu dia.

Dia mungkin tidak menyangka aku berani berbuat demikian.

Aku memerhati kereta yang datang dari sebelah kiri, bila kenderaan yang menghampiri itu hanya bergerak perlahan, maka aku mengangkat sebelah tangan menahannya sambil berjalan menyeberangi jalan diikuti yang lain-lain.

Adik kelihatan kagum melihat ku atau mungkin malu juga barangkali melihat tindakan emaknya ketika itu.
Aku apa ada hal...bukan buat kesalahan pun, kan? Kami kemudian meneruskan langkah ke Foodcourt di tingkat bawah.

'Apa kata kita buat tajuk Cekodok, Umpan Cencorot?' tanya Angah yang masih mahu bercerita tentang kisah tajuk novel tadi.

Kami gelak tergolek mendengarnya, mujur dah siap menjamu selera. Kebetulan semalam Angah memasang perangkap tikus di belakang dapur kerana terasa pelik melihat Kaka dan Ogy yang asyik benar menunggu lubang air mesin basuh.

Huda yang memasangkan perangkap pada petang itu meletakkan sisa cekodok yang digorengnya untuk sarapan pagi itu.

Pagi sebelum kami bergerak ke PWTC perangkap itu sudah mengena dan yang tertangkap itu ternyata seekor cencorot.

Junie Octovian: Mungkin akan datang aku akan menulis novel yang berbentuk humor pula, siapa sangka kan?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...