April 11, 2011

Bertindik...

Aku dan Uda berbincang satu hari, bertahun dahulu. Oleh kerana Uda dah mula berkerja dan dah mula pandai bergaya, maka dia sibuk nak memakai subang/anting-anting yang ketika itu sudah mula keluar pelbagai design.

'Pakai yang sepit-sepit ni sakit telingalah,' kata Uda suatu hari sambil dia menelek cuping telinganya di depan cermin.

Aku di tubir katil hanya memerhati gelagat Uda.

'Kita pergi kedai emas tu....tindik telinga nak?' Uda berpaling bertanya.

Aku tak menjawab malah mengerutkan muka. Takut. Dah selalu tengok masyarakat India yang cocok sana cocok sini masa Thaipusam tu sedikit mengerikan dan mengilukan.

'Tak sakit la...kawan Uda cakap macam rasa kena gigit semut je.' Uda melabuhkan duduk di sebelahku.

Maka pada satu hari tu, kami berdua berjalan kaki ke bandar Kluang. Kami ke kedai emas di Jalan Station.

'Andak dulu,' Uda mengarahkan.

'Apa pulak? Uda yang nak sangat, Uda la dulu,' jawabku sambil menapak dua tiga langkah ke belakang.

'Okey la...' Uda mengalah.

Ketika itu tokeh kedai emas sedang menyediakan peralatan yang akan digunakan untuk menindik telinga kami berdua. Kemudian dia menyapu minyak apa entah dekat cuping telinga Uda. Seketul halia diletakkan di belakang cuping telinga sambil sebelah tangan menyocok anting-anting yang kelihatan sudah ditajamkan hujungnya.

'Sakit tak Uda?,'. aku bertanya apabila terdengar bunyi 'berderap' ketika jarum tadi mencecah halia.

Uda menggeleng.

Kini di telinga yang sebelah lagi pula. Aku tekun memerhati.

Tiba-tiba...............

Belum siap telinga yang sebelah itu ditindik, Uda dah terbalik dari kerusi. Aku yang terperanjat terus lari dari tempat kejadian tanpa memandang belakang lagi. Tiba di satu selekoh barisan rumah kedai, aku bertembung dengan dua orang lelaki. Dia cepat memaut lenganku. Alhamdulillah....kalau tidak dengan dia sekali terbalik sama di kaki lima kedai itu.

'Eh? Ni adik Juwita kan?' Seorang dari yang berdua itu bertanya.

Aku angguk sambil sedikit membongkok menahan penat berlari tadi.

'Kenapa?' Salah seorang dari mereka bertanya.

Aku yang masih tercungap itu hanya menunjuk ke arah kedai emas.

'Jom!' Mereka berdua memegang lenganku kiri dan kanan mengajak ke tempat kejadian.

Aku mengikut kerana terasa berani bila ada yang meneman.

Elok kami berjalan tak berapa langkah, Uda muncul sambil berjalan lemah. Dia kelihatan marah.

'Tak guna punya Andak...'

Kawan lelakinya yang berdua tadi hanya memandang.

Kami berdua pun hanya mendiamkan diri tak memberitahu kerana malu. Ek eleh....tindik telinga pun sampai boleh pengsan?

'Jangan cakap dengan emak tau?' Uda berpesan.

Aku geleng aje....rasa bersalah kerana meninggalkan dia yang terpengsan tadi. Sambil meneruskan langkah aku kerling Uda yang senyumnya dah melebar ke telinga. Tangan asyik memegang telinga yang ketika itu sudah pun bertindik.

Aku pula bagaimana? Apa yang nak dijawab bila emak bertanya?

'Andak tu penakut...dia lari masa tokeh kedai tu nak tindik telinga dia,' ujar Uda dengan perasaan bangga.
Kurang asam! Aku pulak yang kena?

Junie Octovian: Aku tindik masa dah ada alat tembak...itu pun sebab dah nak kahwin.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...