May 14, 2011

Dunia kanak-kanak & iklan...


Assalamualaikum...

Hari ini aku saja nak share iklan ni dengan tetamu blog. Sila layanz....

Semasa tahun berapa entah, masa iklan sabun serbuk berjenama DRIVE pertama kali diperkenalkan, setiap rumah diberi percuma sepeket untuk percubaan.
Aku cepat berlari masuk ke dapur dan membuka peket itu lalu ku taburkan ke atas lantai.
Aku kemudian meniarap sambil menjentik serbuk-serbuk berwarna biru diantara serbuk biasa yang berwarna putih. Puas aku menjentiknya, namun serbuk yang berwarna biru tadi tidak pula bergerak sebagaimana yang ditayangkan di dalam iklan di kaca TV.
Sebaliknya...
Aku terkejut bila ternampak kaki emak yang tegak berdiri memandangku yang sedang meniarap di lantai dapur. Emak baru pulang dari rumah Mak Mah Pak Yahya kerana mengambil upah menyucuk satay setiap hari.
'Buat apa tu?' 
Suara emak memang menaikkan bulu roma kerana emak memang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya.
Aku cepat bersila dan meraup sabun serbuk di lantai dan memasukkannya semula ke dalam kotak kecil tadi.
'Kenapa ditaburkan ke atas lantai tu?' 
Emak masih memerlukan jawapan apabila pertanyaannya tadi tidak dijawab.
'Tak bergerak pun serbuk biru tu? Dalam TV tu tunjuk, kalau jentik dia bergerak...' aku menjawab sedikit gagap kerana takut.
'Laaa....' emak garu kepala tak gatal. '...tu kan iklan aje?' beritahu emak sambil terus naik ke atas untuk menunaikan solat Zohor.
Cis! Tak pasal-pasal aku kena mop dapur pulak.

Kisah kedua terjadi pada Angah semasa kartun Thundercats sibuk ditayangkan.
Kami pula terpaksa mencarikan pedang yang diingininya.
Maka, pada suatu petang apabila kedengaran enjin kereta bapanya yang pulang dari pejabat itu, dia telah menyorok di belakang pintu dengan pedang di tangan.
Apabila bapanya menolak pintu rumah, Angah cepat melompat dengan satu jeritan....
'Thunder! Thunder! Thundercats!'
Bapanya yang memang tidak menyangka sama sekali akan mendapat kejutan sebegitu mengurut dada terperanjat beruk. 
'Mujur anak...kalau tidak dah kena terajang tadi,' omelnya padaku sambil tangan sempat mengambil sebiji cekodok bilis di dalam tapis yang baru sahaja diangkat dari kuali.

Kembali ke masa kini....
Aku bayangkan kalau Hana Sofya mahukan sut Darth Vader tu macam mana? 
Mampukah kami melayan kehendaknya?

Junie Octovian: Nasib baik masa Angah, pedang tu murah harganya....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...