Sayup-sayup kedengaran dendangan nasyid dari corong radio entah setesen mana subuh hari. Aku yang nak berbaring balik lepas solat tak jadi. Macam sedap je lagu tu.
Aku buka pintu bilik dan mendekati, namun lagu tadi makin sayup bunyinya. Mungkin jiran sebelah yang nak menghantar anak mereka ke sekolah membuka radio di dalam kereta barangkali.
"Ingat lima perkara...sebelum lima perkara...
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Sihat sebelum sakit
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati.........
Begitu la lebih kurang yang disebut dalam nasyid tu tentang lima perkara itu.
Kebetulan semalam berborak dengan emak di meja makan. Kami banyak menyentuh tentang kenalan dan orang yang rapat dengan kami yang telah pergi meninggalkan.
"Ni dah nak sambut Ramadhan...kalau di Kluang tempat emak tu orang dah sibuk buat kenduri arwah," katanya.
Aku hanya mendengar. Tak berani nak janjikan apa-apa takut dia mengharap.
"Anak Endon je dua orang dah meninggal...Mak Ji Minah dan menantunya Ali Jagung tu pun dah meninggal dalam tahun yang sama. Siapa sangka? Baru petang tu emak berbual dengan dia, esoknya orang beritahu dia dah meninggal."
Aku diam lagi...aku bukan kenal sangat pun jiran dan kenalan emak yang kiri kanan tu sebab asyik bertukar orang aje. Kelmarin aku balik, keluarga Cina yang menyewa...semalam pulak nampak macam keluarga Hindu. Tapi kalau keluarga Mak Endon tu memang kenal juga la...dia orang lama dekat situ. Cuma anak-anaknya sahaja yang aku tak berapa nak kenal sebab aku tak membesar dengan mereka.
Emak sekarang tak aktif macam dulu, dah tak kuat nak berjalan, nak duduk lama-lama. Dia banyak menghabiskan masa di dalam rumah aje. Dia suruh Lela ambil alih...ikut kumpulan Yasin, ke surau kalau ada ceramah agama dan membantu apa yang perlu kalau ada jiran yang hendak mengadakan majlis perkahwinan atau kenduri kendara. Emak hanya memantau dari jauh.
"Anak-anak Lela tu habis mak halau solat di surau bila maghrib. Biar dari kecik ni dia bercampur dan berjemaah di surau. Kalau kat rumah liat betul...nak ngadap TtttttV aje." Panjang emak menyebut TV tu.
Tapi bagus juga sebenarnya...mula-mula tu mungkin mengikut-ngikut aje, tapi lama kelamaan aku percaya akan menjadi rutin harian mereka dan tak payah bersuruh lagi. Untung Lela punya anak lelaki yang ramai. Kalau betul caranya...
InsyaAllah....
"Raya ni kita tinggal bertiga aje mak..." aku beritahu mengingatkan emak tentang keluarga kecilku yang dah semakin mengecil.
"Ha ah kan? Angah tak kan nak balik pulak? Abang Long raya mana?" Emak bertanya.
"Miri agaknya...tahun lepas dah raya sini. Lagipun nenek Miri dia dah uzur sangat, katanya."
"Habis tu? Korang nak beraya di mana?"
"Balik Pondok Indah dulu rasanya, kalau panjang umur la..." aku beritahu cadangan ku. "Nak ziarah pusara arwah. Lepas tu nanti baru turun Kluang, ye mak?"
Emak mengangguk faham.
Mudah-mudahan...dengan izin Allah sempat lagi kami berjumpa di Aidilfitri akan datang. Semenjak masing-masing dah punya keluarga sendiri ni, tak pernah nak dapat berkumpul serentak. Kalau keluargaku balik, Jude pulak beraya ke Pasir Mas. Keluarga Ngah pun payah nak dapat berkumpul lama sikit...kalau tak betul-betul kena cuti sekolah. Dia kan jauh....
Junie Octovian: Harapanku semoga kami adik beradik sempat berkumpul lagi sebelum ada yang menutup mata. Amin.
No comments:
Post a Comment