May 4, 2011

Murderer in d'House...(part 8)

Jalan yang diarah oleh Zack sunyi sepi di waktu malam. Kiri kanan dipenuhi dengan kebun-kebun getah dan kebun kelapa sawit yang sudah tinggi menjulang menyerupai Hutan Hujan Tropika.

'Encik...' Hasnah yang memandu merasa nyawanya sudah di hujung tanduk.

Zack berpaling dengan wajah yang masih bertutup dengan full-faced helmetnya. Nampak dah kelabu-kelabu berkabus dalam cermin topi keledarnya itu, namun kerana desakan syaitan tadi dia tidak terasa rimas pulak.

'Hah! Masuk depan lorong situ!' bentak Zack mengarah dengan telunjuk tegak menuding ke arah kanan. Mujur tak tercucuk mata Hasnah yang sedang ketakutan itu.

'Nak ke mana ni? Kan jalan tu gelap...bukan ada rumah orang dalam sawit ni?' Hasnah sudah berani bertanya bila arah yang ditunjuk itu sangat pelik untuk dilalui di waktu malam hari.

Orang yang empunya kebun, yang sangat mengetahui akan keadaan dalam ladang sawitnya itu pun tak bekerja di malam hari. Ini dia tak pasal-pasal disuruh memandu masuk ke situ nak cari apa kalau bukan ada perkara tak baik yang menjadi agenda utama si pengarah yang tak bertauliah ini.

Akalnya cepat mengajar agar melawan. Apa-apa pun lebih baik melawan dari mengikut telunjuk manusia yang dah bertopengkan syaitan, bisik hatinya. Dengan kudrat yang ada dia memutar stereng kereta mengelak dari masuk ke haluan yang diarahkan.

Zack di sebelah terkejut bukan kepalang. Tak tersangka minah kurus keremping itu tidak mahu mengikut arahan. Pandai pulak dia melawan. Memang nak kena penangan...dah la dia lama menahan sabar dek tolakan peminangan, enak-enak lagi dia lalu lalang depan mata teman tu dengan tunangan. Huisy! Geram tahap gaban.

Sepantas kilat dia sama memaut stereng yang dah terbabas dari laluan arahannya.

Hasnah yang gamam memijak brek mengejut.

Zack yang dah menggelegak panas hatinya itu, menampar kuat pipi Hasnah. 'Paaaaaaaaaaang!' ambik engkau. Mau bertemu pipi kiri dan kanannya malam itu. Tak sempat merasakan kesakitan dia dah terkulai ke cermin pintu.

Zack membuka pintunya dan keluar ke pintu pemandu. Hasnah ditarik keluar dan dipikul masuk ke tempat duduk bahagian belakang. Dia pula mengambil alih pemanduan dan sesuka hati boleh ke mana sahaja yang dia mahu malam itu.

Wira yang patuh mengekori dengan motosikal dari belakang sedikit ketinggalan waktu itu. Ketika dia sama tiba di tempat kejadian, dia mendapati Zack pula yang memandu ke arah dalam kebun sawit itu. Dia yang merasa adegan semakin pelik menonggang motosikal melepasi kereta dan menahan Zack di laluan tanah merah itu.

Cermin  topi yang menutup bahagian muka diangkat. 'Hei! Kau nak buat apa ni?' dia bertanya sambil mengetuk cermin kereta bahagian pemandu.

Zack menurunkan cermin kereta. 'Jangan banyak songeh la...ikut aje.'

'Woh..ho...ho..' Wira sedikit menapak ke belakang. 'Mintak maaf ye...aku tak nak terlibat dengan perkara macam ni. Kalau kau nak buat, kau buat la sensorang.' Wira cepat menapak meninggalkan Zack yang sudah kerasukan itu tanpa memandang ke belakang lagi.

Tiba-tiba.........

                                                                                                         ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...