Kita beri laluan untuk sambutan Hari Ibu. Di sini penulis bertuah kerana ketika sambutan Hari Ibu pada tahun ini kebetulan ibu penulis berada bersama dalam rangka lawatan pendeknya ke rumah anak-anak. Alhamdulillah.
Meraikan Hari Ibu setiap tahun adalah sebagai penghormatan dan tanda kasih sayang kepada insan yang bergelar ibu. Masing-masing ingin melahirkan rasa sayang terhadap ibu mereka dengan cara tersendiri. Ada yang meraikan dengan memberikan hadiah, mengirim kad ucapan atau dibawa keluar makan bersama di tempat-tempat tertentu.
Namun, diharap ia tidak disalahertikan kerana Islam mengajar bahawa penghormatan dan melahirkan kasih sayang mahupun ucapan terima kasih kepada ibu, tidak sepatutnya bermusim.
Banyak firman Allah di dalam al-Quran dan hadis sabda Rasullah SAW yang menyentuh tentang kewajipan mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Panjatkan doa kudus buat ibu...
"Ya Allah...ampuni dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku ketika kecilku..." Amin.
Ketika amal-amalnya terputus setelah kematiannya, doa anak-anak yang soleh adalah satu daripada tiga perkara yang menjadi amal berterusan. Betapa Allah amat menghargai hamba-Nya yang bernama ibu bapa ini.
Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14:
Maksudnya ~ Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapa mereka. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian, bersyukurlah kepada Ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku. Akulah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan."
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
Bermaksud ~ Keredaan Allah terletak pada keredaan ke dua ibu bapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa."
Muawiyah bin Haidah al-Qusairi telah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik?"
Baginda menjawab ~ "Ibumu."
Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?'
Baginda menjawab ~ "Ibumu."
Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?"
Baginda masih menjawab ~ "Ibumu."
Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?"
Baru baginda menjawab ~ "Bapamu, seterusnya orang yang paling hampir denganmu."
Menurut maksud hadis tersebut, pengulangan lafaz ibumu menunjukkan tentang ketinggian mertabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat tanggungjawab seorang ayah.
Seketika penulis terkenang waktu majlis persandingan anak sulong penulis yang diadakan di Mega Hotel Miri, Sarawak pada 4 Julai 2009. Pihak perempuan sempat menjemput seorang ustaz dari negara seberang, salah seorang para jemputannya untuk memberikan ceramah percuma sementara menunggu ketibaan pasangan mempelai.
Beliau telah menyentuh tentang kisah ini yang menyebabkan para jemputan pada malam itu merembeskan air mata.
Maka itu marilah kita mengambil iktibar dari peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi SAW iaitu kisah seorang pemuda yang bernama al-Qamah yang lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akibatnya, ketika saat kematiannya, al-Qamah tidak mampu untuk mengucap kalimah syahadah sehinggalah ibunya memaafkan kesalahan beliau. Kemudian barulah al-Qamah dapat menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenteram.
Mahukah peristiwa tersebut terjadi kepada diri kita? Semoga kita tidak termasuk daripada golongan yang menderhakai kedua ibu bapa kita.
Junie Octovian: Kerana aku juga seorang ibu........
No comments:
Post a Comment