Eh? Aku terkejut pagi itu bila bangun dia ada tercongok di tangga arah ke dapur berkain pelikat dan memetik gitar. Bukan kata emak dia dah kahwin lari dengan tunangnya ke?
Zamani, anak sedara ayah menegur ku pagi itu. Aku nampak mukanya lebam dan bercalar balar. Apa hal dia ni? Kena belasah dengan bakal mertuanya ke? Aku sesekali mengerling memandang wajahnya sambil berfikir mencari cerita di sebalik kejadian kehilangannya dan Hasnah malam kelmarin.
Pagi itu pula, kami dikejutkan dengan berita tentang penemuan mayat yang rentung dalam sebuah kereta yang hangus terbakar di dalam sebuah ladang sawit. Berita itu menjadi tajuk utama setiap akhbar. Mayat yang rentung itu dipercayai mayat Hasnah, gadis yang dilapurkan hilang oleh keluarganya. Mayat itu dikenal pasti menerusi bangkai kereta dan cincin yang ditemui. Memang brutal pembunuhnya...dahsyat!
Akibatnya...semua saksi menuding ke arah Zamani...kebetulan malam kejadian, Hasnah memberitahu ibu bapanya dia hendak keluar menonton bersama Zamani.
Zack juga mengiyakan cerita dengan mengatakan dia dan Wira nampak mereka berdua melepasi warung Mak Munah malam itu. Wira terpaksa mengangguk...bimbang akan diheret sama ke balai polis untuk memberi kenyataan. Bukan kes biasa pulak tu...mau dia tak takut? Takut tahap gaban. Lagipun dia bukan tahu apa-apa...sampai sudah dia tak berani munculkan diri untuk bercerita kisah dia sama mengikut Zack dengan motosikal ke ladang sawit itu. Siapa yang membunuh dan membakar kereta dengan Hasnah di dalamnya itu dia memang tidak tahu menahu.
Zamani, anak sedara ayah menjadi tertuduh kelas pertama dalam kes pembunuhan itu yang berlaku di awal tahun tujuh puluhan. Di ketika kaedah DNA belum ditemukan. Sebelah pihak Hasnah sudah tentu memandang serong kepada keluarga kami kerana Zamani yang mengaku anak sedara ayah dan tinggal bersama kami seketika sebelum dia menemui rumah sewa.
Sementelah, kejadian berlaku tidak lama selepas mereka ditunangkan dan keluarga kami iaitu emak dan ayah pula yang menjadi wakil meminang ke rumah keluarga orang kaya Tok Penghulu Bakar waktu itu. Kesnya dihadapkan ke mahkamah...sehingga akhir Zamani tidak mengaku melakukan pembunuhan itu. Dia juga tidak tahu siapa yang tidak berhati perut sehingga tergamak membunuh dan membakar gadis tunangnya itu.
Adakah Zack sanggup berbuat demikian? Adakah dendam Zack yang hanya ditolak peminangannya sanggup bertindak sekejam itu? Hanya Allah sahaja yang tahu....
Ayah hanya menerima takdir Allah, walau emak pot pat pot pet juga mulutnya hampir setiap pagi mengenangkan peristiwa yang berlaku.
Zamani, memang tidak kelihatan lagi sejak itu. Mengapa dia tidak ceritakan tentang pembiayaan majlis pertunangannya dengan Hasnah itu? Adakah kerana dia sudah termakan budi Zack? Ada ke sesiapa yang saja-saja nak tolong kalau tidak ada udang di sebalik batu? Atau adakah Zamani akhirnya belot bila dia sendiri sudah sangat menyayangi tunangnya itu?
Akhirnya...Zamani diputuskan bersalah dan dihantar ke penjara di Pulau Jerejak. Sejak itu kami tidak lagi mendapat khabar berita. Namun, satu pagi aku menerima sepucuk surat darinya yang sedang melalui hukuman di penjara tersebut. Dia minta dihalalkan makan dan minum selama dia menumpang hidup di rumah kami. Isi kandungan khabar yang dikirim itu ditapis dahulu oleh pihak penjara dan aku yang membalas juga tidak bertanya banyak. Cuma emak dan ayah minta disampaikan salam, semoga dia tabah melalui harinya yang sudah ditakdirkan.
Menurut ayah, di dalam surat yang ku tulis, jangan pernah merasa takut jika bukan dia yang melakukan kerana Allah sentiasa berada di pihak yang benar. Sesuatu yang kita suka itu, mungkin tidak baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya kerana Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang DIA lakukan ke atas hambaNYA. Wallahualam.
Junie Octovian: Cuba membongkar rahsia semalam...
No comments:
Post a Comment