March 31, 2011

Jujur ke Amanah?

Semalam lepas bertelefon dengan Angah nun di selatan tanahair tu...aku duduk menyandar di kerusi urut. Banyak betul kenangan semasa membesarkan dia sorang ni. Jenis budak nakal...yang tak tahu diam. Perbuatannya sama cepat dengan mulut. Sambil bertanya itu dan ini, tangannya bergerak aje membuat kerja.

'Lama ke mama nak ikut Angah tu?' Si Kakak bertanya ketika aku sibuk melamun mengenangkan kisah Angah dari kecilnya.

'Empat tahun, kot?' Aku terus aje menjawab.

'Hah!' Akak dan Adik sama terkejut. 'Macam tu kita orang pun nak ikut jugak!'

Aku yang mendengar pernyataan mereka berdua tu, berpaling terkejut bila mereka mengatakan mahu mengikut sama. 'Nak buat apa? Dia kan pergi belajar...bukan makan angin?'

'Habis tu...mama yang cakap empat tahun. Kalau mama ikut Angah sampai empat tahun, baik Adik buat Law dekat sana aje.'

Ohh! Pasal ikut angah tu rupanya. 'Kejap je la...nak jumpa Persatuan Peladang tu, pasal tanam semula. Angah suruh mama ke Pejabat Tanah sign apa entah.'

Lepas tu dua beradik tu diam...sorang meniarap di depan TV melayan K-pop. Seorang lagi di bilik PC...download lagu.

Aku menyandar semula...menyambung kisah yang tergendala.......

'Ma! Angah dah bagi-bagi pun tak cukup ma.' Tanya Angah pada suatu hari selepas Tuan Haji yang datang berbincang sesuatu dengan suamiku itu bergerak pulang. Suami ku pun bergerak sama ke pejabat.

'Apa bendanya?' Aku yang sibuk mengemas meja makan bertanya dia balik.

'Duit ni...Tuan Haji kasi sepuluh ringgit. Dia pesan bagi bertiga.' Angah yang baru masuk sekolah Tahun Satu itu baru nak mengenal duit.

'Ha...dah tu? Bagi je la.' Aku yang tak memandang tadi hanya menjawab tanpa periksa dan memahami soalan.

'Tak bolehhh...' dia menjawab panjang. '...cuba mama tengok?'

Selepas meletakkan pinggan mangkuk kotor ke singki, aku beri sedikit perhatian padanya yang mengekori aku dari depan tadi. 'Hah! Apa dia?'

'Ni duit sepuluh ringgit kan?'

Aku angguk.

'Angah dah pecahkan jadi satu ringgit.' Dia menunjukkan duit seringgit sebanyak sepuluh keping yang diperolehi semasa beraya di kampung. 'Yang ni...kalau Angah bagi sorang tiga, ada lebih satu. Kalau Angah bagi sorang empat pulak tak cukup dua.'

'Oh! Macam tu...' aku baru faham. 'Angah bagi berdua dengan Abang aje la...Kakak tu tak payah. Dia baby lagi belum sekolah.'

'Tak baik ma...Tuan Haji dah pesan bahagi bertiga.' Dia beria-ia nak menyelesaikan masalah itu.

Tiba-tiba...Tuan Haji yang dah bergerak pulang tadi berpatah balik. Angah yang mendengar enjin Pajero beliau cepat menerpa ke muka pintu.

'Tuan Haji...Tuan Haji....' dia melulu mendapatkan lelaki itu. 'Duit ni Angah dah bahagi tiga...dia terlebih satu. Bila Angah bahagi empat, tak cukup lagi dua. Macam mana?'

Aku yang tak sempat menahan si anak tadi hanya mendengar penjelasannya dari dalam. Mak ai! Malunya....Aku menyorok di dapur. Biar la dia panggil kalau perlu. Konon-konon tak tahu menahu dengan apa yang Angah sampaikan itu.

'Ma! Tuan Haji panggil!'

Aku pura-pura keluar dengan mengelap tangan. 'Ye Tuan Haji...'

'Cakap dengan husband you...esok I jumpa dia dekat Tampin la. Dia tahu tempat tu.' Masa tu mana ada telefon bimbit?

'InsyaAllah.'

'Babai Tuan Haji!' Angah menjerit sambil melambaikan tangannya. Nampak dia tersenyum puas hati kerana di tangannya kini ada duit tambahan dua ringgit.

Lelaki itu sama melambaikan tangan.

Junie Octovian: Masa tu mulut Angah belum diinsuranskan. 

March 30, 2011

Pertemuan... finale

Pada suatu hari waktu cuti yang aku masih ingat la...sebuah kereta entah model apa agaknya, warna maroon berhenti di depan rumah ku. Aku yang sedang menyiram bunga petang itu hanya mengerling kerana kereta itu memang tak biasa ku lihat.

'Assalamualaikum.' Jalal keluar dari pintu sebelah pemandu.

'Waalaikumsalam.' aku menjawab dengan suara yang sedikit menggumam kerana tidak mengagak beliau itu akan sampai ke rumah keluarga ku. Masa bila dia tahu aku tinggal di Kampung Melayu tu? 'Jalal?' Aku yang kehairanan bertanya.

'Dengan my father.' Dia menunjuk ke dalam kereta.

Aku sedikit menunduk menjengah. 'Dari mana?' Aku tanya la...kot dia kebetulan lalu situ nampak aku yang terpacak sedang menyiram pokok bunga ke?

'Dari Muar...balik kampung.' Jawab Jalal yang berdiri bercekak pinggang.

'So? Dekat sini ada siapa?' Aku tanya lagi.

'Saja...nak datang rumah you la...'

'Jap!' Aku berlari menutup paip air. 'Ajak la father you masuk.' Aku mengajak. Lalu aku cepat masuk ke rumah memanggil Ayah. 'Ayah! Ada kawan datang bawak bapak dia.'

Ayah keluar menjemput tetamu masuk. Aku di muka pintu menunggu. Bapa Jalal yang agak besar badannya itu keluar dari pintu kereta bahagian pemandu terus membuka bonet keretanya. Dia dan Jalal sibuk mengeluarkan durian yang berisi penuh satu bonet. Ayah dan Jalal sama mengangkut durian ke dapur.

'Banyaknya?' Ayah bertanya.

'Kat kampung tu tengah musim pak cik.' Jawab Jalal.

Oleh kerana dua-dua tetamu ku itu lelaki, maka aku terus je ke dapur...biar Ayah je la yang layan. Entah apa yang mereka bualkan aku tak masuk campur langsung. Aku buatkan kopi dan goreng keropok lekor yang memang sentiasa ada bekalannya setiap kali aku pulang dari Mersing. Maklum la...jiran belakang rumah sewa di jalan Awang Daik tu memang ada bisnes keropok. Itu la pertama kali aku berkenalan dengan keropok lekor dan aku perkenalkan pulak kepada keluarga ku.

Adik-adik ku di dapur dah tak tertahan nak menunggu tetamu balik. Durian yang berlonggok di dapur itu menguji kesabaran mereka.

'Kopek je la Andak...orang dah bagi kan?' Kata seorang daripada mereka.

'Lantak korang la...bukan baunya boleh sampai ke depan ke?'

'Siapa tu?' Emak bertanya semasa dia masuk dari pintu dapur, entah datang dari mana. Rumah mak cik Kamariah agaknya. Jiran sebelah kanan tu memang bestfriend Emak.

'Kawan...sama kerja kat Mersing.' Aku beritahu Emak. 'Ni hah! Dia bawak dari kampung dia, dekat Muar.' Aku menunjukkan longgokkan durian kepada Emak.

'Banyak ni...ada makna ke?' Emak cepat menangkap. Orang dah lama makan garam, barangkali.

Aku berkerut kening mendengar pernyataan Emak. 'Ada makna?'

Emak tak menjawab...dia terus naik ke atas menjenguk tetamunya petang itu yang sedang bersembang dengan Ayah.

Sebelum menjelang maghrib, Emak dah menatang dulang ke dapur.

'Nak buat air lagi ke Mak?' Aku bertanya bila dulang itu Emak letakkan di meja dapur.

'Buat apanya? Dah balik dah..' Emak beritahu.

'Dah balik?' Tak dengar pun bunyi kereta? Kenapa aku tak dipanggil?

'Kamu tak cakap dah bertunang ke?' Emak mencerlungkan matanya. 'Kecewa budak tu..'

Aku memang pelik bin hairan dan macam-macam lagi yang seangkatan dengannya. Baru seminggu kenal kot? Dia pun tak tanya dan tak cerita apa-apa. Tak kan aku saja-saja nak tunjuk cincin yang longgar gaya cincin pinjam je tu pada dia mengatakan 'aku dah bertunang'?

'Kesian dia datang jauh-jauh bawak bapak dia...siap bawak satu bonet durian lagi.' Emak memang macam tu...dia kalau dah start, akan sambung dan sambung dan sambung selagi cerita itu masih hangat.

Aku pekakkan telinga je. Bukan salah aku pun...dan bukan juga salah si Jalal. Aku anggap dia bayar harga duit ikan hari tu je la. Lepas tu aku tak pernah lagi nampak Jalal di Mersing. Tapi pada suatu petang temannya yang selalu bermotosikal itu menegur ku semasa aku pulang dari pejabat.

'Hei! Sorang je?' Aku bertanya dengan sebelah tangan di dahi menutup silau matahari petang.

'Ha ah...Jalal kan dah mintak tukar.'

Dengan pernyataannya itu, aku berhenti dari terus melangkah. 'Tukar? Ke mana?'

Dia yang bermotosikal itu sama memberhentikan motosikalnya, 'Dia tu pegawai saya...dia pesan jangan beritahu akak.'

'Oh ye ke?' Aku menjawab kecewa kerana tak tahu hujung pangkal cerita. 'Terima kasih...kalau jumpa dia lagi kirim salam aje la.'

'InsyaAllah.' Jawabnya dan terus berlalu pergi.

Hari itu aku pula yang rasa sangat sedih dan kecewa. Mengapa dan kenapa menjadi persoalan sehingga kini. Ke mana dia pun aku tak tahu. Sekurang-kurangnya aku mahu dia datang bercerita dan bertanya pada ku apa yang sebenarnya berlaku. Aku tak ada masalah nak memberitahu. Mungkin dengan yang demikian, kami masih boleh berutus dan bertanya khabar sebagai kawan, kan?

Junie Octovian: Untuk mu Jalal, di mana sahaja anda di ketika ini - May Allah bless.

March 29, 2011

Pertemuan...( Part 4 )

'Nak ke tak nak?' Hashim adik kepada Sulong bot MGF 1436 yang menunggu aku di luar pintu pejabat itu bersuara bertanya kerana agak lama menunggu aku yang sedang sibuk menyimpan segala alat tulis di atas meja untuk pulang makan tengahari.

'Tunggu la kejap...' Jawab ku sedikit marah sambil mencapai beg tangan yang ke sangkutkan di kerusi.

'Mek! Mu balik rumah ke?' Tanya Yaakub yang duduk di meja bahagian depan.

'Balik la.... tuuu!' Muncung ku talakan ke arah luar, '....Hashim ada beri ikan, nak kena hantar balik rumah la.'

'Okey..' Ujar Yaakub sambil menolak pintu untuk ku.

'Mak ai? Banyaknya Shim....macam mana aku nak pikul bawak balik ni?' Aku yang berbaju kebaya berkain kipas depan dan berkasut tumit tinggi itu nak disuruhnya membawa ikan yang ku kira adalah lebih kurang lima kilo beratnya.

'Aku tak leh tolong ni...nak isi ais dalam bok (bot)...petang nak keluar balik.' Beritahu Hashim yang pelat pekat loghat Terengganunya. Dia dah siap membekalkan aku dengan ikan selar mata besar. Emak aku gelar ikan Uji Rashid.

'Terima kasih la Shim.' Aku capai plastik di tangannya dan sedikit merengkek menjimbitnya.

Tiba-tiba...'Meh I tolong bawakkan.' Suara tu menyapa telinga.

Mustafa dan Fadzil dari bahagian Koperasi dah mengerling memandang ku.

Mahu tak mahu aku serahkan juga plastik ikan tadi kepada si tuan yang bersuara.

'Ni I punya ke? Banyak sangat ni...' Ujarnya sambil menghulurkan plastik berisi ikan tadi kepada temannya yang bertenggek di motosikal menunggu.

'Share.' Aku beritahu dia. Kalau si Hashim tahu aku pandai-pandai beri pada si Jalal ni...tentu esok lusa tak menjamah lagi. Seperti semalam...dia menapak bersaing dengan ku untuk sampai ke rumah sewa yang jauhnya hanya kira-kira 500 meter dari Kompleks MAJUIKAN itu.

'Berapa ringgit ni?' Tanya Jalal setelah ikan itu kami bahagi dua.

'Free of charge...kalau dengan I la...tapi jangan terkejut kalau you kena charge masa you beli sendiri di Kompleks tu lain kali.'

'Thanks.'

'Sempat ke nak masak tengahari ni?' Aku tanya dia.

'Petang karang la...sekarang ni dah pukul berapa?' Sempat dia menjawab sebelum temannya memecut pergi.

Yang jadi tanda tanya...aku tak pernah bertanya dia bekerja di mana. Nama si temannya itu pun aku tak tahu siapa. Namun si teman itu hanya tersenyum selama dua hari dia menemani Jalal berjumpa ku. Aku pulak macam dah kenal berpuluh tahun dengan lelaki itu. Tak ada rasa canggung. Tak simpan syak wasangka langsung. Isy!

                                                                                                                   ~ bersambung ~

Pertemuan...( Part 3 )

Semasa aku keluar dari Kompleks pejabat petang itu, Jalal dah menunggu dengan seorang kawannya di pondok pak guard.

'Hai!' Sapanya dengan senyuman manis.

'Hai!' Aku balas balik dengan mengerutkan kening memikir. Aku ada beritahu dia aku kerja dekat sini ke?

'Semalam I follow you masa turun dari bas.' Jalal memberitahu macam tahu aje apa yang ada dalam otak aku masa tu.

Aku berkerut dahi merenungnya.Main follow-follow pulak pak cik ni. Kalau aku tahu semalam, aku pancung ikut jalan lain...bagi dia sesat barat. Tapi aku pun bukan pandai sangat area Mersing Kanan ni...entah-entah aku pun sama sesat barat. Isy!

'You tunggu siapa dekat sini?' Aku bertanya sambil berjalan pulang. Dia sama menyusun langkah mengekori ku. Temannya yang jadi pak turut itu pula mengekor perlahan dengan motosikal.

'Tunggu you la.'

'Tunggu I?' Aku berhenti melangkah. Dia pun sama terhenti. 'Ada apa ek?' Aku sekejap memutar ingatan jika aku ada berjanji apa-apa dengannya semasa kami sama di dalam bas semalam.

'Saja...kawan I tu..' Dia menunjuk ke arah temannya yang mengikut di belakang. '...dia nak cari ikan. Dia cakap kalau beli di Kompleks ni murah.'

'Oh! Nak beli ikan...' Aku berikan senyuman. Kemudian aku teringat, '...tapi petang ni air surut, tak ada bot yang balik.' Aku beritahu menerangkan. Memang aku dah pandai membaca pasang surutnya air laut. Jadual nelayan keluar masuk semua aku dah tahu. Setakat aku sorang...boleh jadi Badang sebab kebanyakan makan ikan. Kalau si Hashim adik Sulong yang memakai bot MGF 1436 tu, tak payah mintak...siap dah reservedkan ikan yang terbaik untuk aku. Tak main la ikan-ikan pelaling semua ni.

'Kalau I datang lagi petang esok?' Jalal bertanya. Macam kesian pulak bunyinya kan?

'Esok...air pasang pagi jam 7.00. You tak kerja ke?' Aku bertanya pelik. Tak kan hanya kerana nak ikan murah dia sampai tak pergi kerja?

'Kalau I datang tengahari masa lunch hour?'

'Okey jugak..' Waktu tengahari tu nanti rasanya memang dia orang tengah sibuk sebab semua bot-bot nelayan kepunyaan MAJUIKAN akan pulang waktu itu. Aku menganggukkan kepala.

Sampai di depan rumah sewa kami di Jalan Awang Daik tu, Jalal meminta izin untuk pulang. Dia bertenggek di belakang motosikal temannya dan melambaikan tangan.

'Sapa tu Andak?' Tanya Kak Yam yang membukakan pintu rumah petang itu.

'Entah... dia tunggu depan opis nak beli ikan.'

'Dia nak beli dengan Andak ke?' Kak Yam buat muka pelik. '..dia ingat Andak tokeh ikan?'

'Ada rupa ke?' Aku tanya Kak Yam balik.

'Tak ada rupa nak beli ikan pun...nak pasang umpan tu!' Kak Yam memberitahu sambil menonong ke dapur.

Agaknya secara kebetulan dia dan temannya datang nak cari ikan murah, lepas tu nampak aku keluar dari situ. Agaknya la kan? Tapi sebelum ni macam tak pernah nampak pulak. Atau sebelum ni kami belum pernah kenal kot? Apa-apa je la............

                                                                                                                 ~ bersambung ~

March 28, 2011

Pertemuan...( Part 2 )

'Minggu depan hari Isnin kena ambil cuti...' Tiba-tiba Emak beritahu semasa kami sedang makan tengahari.

'Eh! Baru je kerja...takut nak cakap dengan bos mintak cuti...' aku pandang Emak. Emak pula dah membulatkan mata dan tangannya terhenti dari menyuap nasi ke mulut. Statik. Aku dah cuak. Emak aku ni kalau kita dengar kata dia, hendak apa aje...dia akan turutkan. Tapi bila silap pangkah...'siap kau ku kerjakan.'

Aku pandang Ayah...dia peduli pun tidak. Lantak engkau la Emak dengan anak..nak berbincang gaya yang macam mana pun asalkan jangan berparang pulak.

'Kenapa?' Ayah tak menjawab. Aku pandang Emak semula... '...ada apa Mak?'

'Ai? Bukan awak yang nak kawin?' Mata Emak macam dah nak keluar laser. 'Habis tu kalau rombongan meminang tu datang bawak cincin nak sarungkan pada siapa?'

Aku terbahak. Aku urut dada sendiri. Pernyataan 'bukan awak yang nak kawin' tu memang belum masuk dalam kamus hidup aku masa tu. Bila masa aku ada sebut nak kahwin? Aku sempat memutar ingatan dengan dahi yang berkerut-kerut. Dengan siapa? Pegawai Felda sebelah kanan rumah ni ke? Atau anak mak cik Kamariah sebelah kiri ni ke? Atau Zainal anak Pak Rahman tu ke? Atau Man Tonggek tu ke? ( Beliau ni dapat gelaran kerana memakai motor besar ala-ala motor lumba tu. Zaman dulu tu di kawasan kampung situ memang tak ada orang yang pakai. Bila lalu depan rumah aku tu dengan sengajanya dia membunyikan enjin motor tu lebih kuat untuk manarik perhatian.)

'Emak dah terima lamaran dia orang tu...dua kali dia hantar wakil. Ayah cakap kalau tak terima karang, takut awak tu yang ikut dia lari bawak tikar bantal. Kahwin percuma je..'  Emak beritahu sambil mata masih tajam merenung ku. 

Dada ku dah berombak pantas. Mak ai! Siapa la gerangan manusia yang sangat berani datang berjumpa Emak yang garang bagaikan singa lapar itu? Nak tanya siapa pun aku tak mampu membuka mulut, padahal itukan urusan untuk masa depan hidup ku? Tapi kalau berurusan dengan Emak...baik tak usah la. Dalam hati aku memanjat doa semoga pilihan Emak dan Ayah itu baik untuk ku nanti.

Ketika di dalam bas petang itu...ibu jari kanan memutar-mutar cincin di jari manis. Mata masih memandang ke luar melihat hutan rimba sepanjang perjalanan pulang ke Mersing. Esok di pejabat, pasti aku kena sakat......

                                                                                                                   ~ bersambung ~

March 27, 2011

Pertemuan...

Aku yang dah terlambat cepat berkejar untuk mendapatkan bas yang lalu di depan rumah Emak petang itu. Bas terakhir untuk ke Mersing pada jam 4.45 petang. Waktu tu dah pukul 4.00 petang.

'Ya Allah...selamatkan lah hambaMU ini...' aku ucap dalam hati sambil  membuat tap dancing sementara menunggu bas Kampung Melayu itu. Bila nampak sahaja muncung bas memasukki simpang arah ke rumah Emak itu...aku cepat mencapai tangan Emak dan menciumnya. 'Pergi dulu Mak!' Aku menjerit sambil melintas untuk menunggu sebelah sana jalan.

'Baik-baik!' Emak pula menjerit mengingatkan.




Memang macam tu la selalunya. Kalau hari Sabtu masa nak balik ke rumah Emak tu, rasa tak cukup tanah. Habis kerja jam 12.45 aje aku dah melangkah laju ke arah setesen bas. Tapi bila nak balik semula bekerja...masyaAllah....berat betul kaki ni.

Bas yang berhenti di simpang empat kawasan Tanah Perkuburan itu aku tahan untuk turun di situ sahaja. Kalau aku terus ke setesen bas di bandar tu nanti tentu tak sempat untuk mendapatkan bas terakhir ke Mersing pula. Jadi dari tadi aku dah berkira untuk turun di simpang situ menahan bas ke Mersing yang memang akan melalui jalan besar itu juga. Alhamdulillah....akhirnya aku sempat juga.

Nampak gayanya orang tidak begitu ramai petang itu. Maka aku mengambil tempat di bahagian tengah dan duduk sendirian untuk melayani hati setelah meninggalkan Emak tadi. Terbayang Emak yang melambai-lambaikan tangannya semasa aku sudah menaiki bas Kampung Melayu tadi. Sedih pula rasa di hati.

Entah bila aku terlalai agaknya...sempat terlelap kot? Pasal bila aku tersedar bas tu dah dipenuhi orang. Ada sorang mamat yang terpacak berdiri di sebelah aku.

'Boleh saya duduk?' Dia tanya meminta izin kerana kerusi yang kosong di sebelah aku letakkan beg.

Cepat aku mencapai beg pakaian ku dan ku pangku.

Mamat tadi terus melabuhkan punggungnya. 'Terima kasih.'

'Sama-sama.' Aku jawab malas. Malu sebenarnya kerana aku rasa mamat tadi dah tengok aku yang tertidur sebab tu dia hanya berdiri menunggu untuk meminta izin dari ku.

'Oh! Awak orang melayu ye?' Dia bersuara bertanya.

Aik? Aku berpaling sembilan puluh darjah memandang mamat yang bersuara. Dia ingat aku orang apa? Tak kenal ke?

'Ingat amoi tadi...' Jari telunjuk dan matanya sama memandang aku dari atas ke bawah.

Kebetulan aku memakai cheongsam dengan skirt sempit sampai ke betis. (Itu pesen awal tahun lapan puluhan) Rambutku disiput dua kiri dan kanan. Tak sangka pulak dah menyerupai cina jaman dedulu. Makanya aku ni memang berkulit cerah. Dengan pernyataan mamat itu tadi, aku memandang diriku sendiri. Patut la.........

Aku hanya melemparkan senyuman.

'Pergi mana?'

Isy! Mamat ni.... 'Bas ke Mersing...pergi Mersing la...' buat bodoh pulak dia.

'Kerja sana ke?'

Aku senyum lagi. Malas nak layan sebenarnya. Aku ni kan lepas balik bercuti kerana majlis pertunangan. Emak dah pesan macam-macam masa tunggu bas depan rumah tadi.

'Kenapa tak pakai cincin tu?' Emak bertanya semasa aku bersalam di tangga rumah dia nampak jari ku kosong.

'Tak payah la Mak...longgar.' Aku beri alasan. Masa zaman aku dulu semua urusan untuk majlis bertunang dan nikah kahwin ni orang tua yang urus. Jadi cincin tunang yang disarungkan ke jari manisku itu memang longgar gila. Entah saiz berapa agaknya.

'Pergi ambil....pakai.' Emak mengarahkan. Tu yang aku jadi lambat tadi. Dah siap keluar rumah kena masuk balik cari cincin yang dah ku simpan dalam laci almari bilik.

'Saya Jalal...' Mamat sebelah memperkenalkan diri.

Aku senyum lagi. Lepas tu dia diam aje sebab aku hanya memandang ke arah luar tingkap. Bukan ada pemandangan yang menarik pun. Hutan aje. Tapi aku sedang memutar kembali ingatan ke majlis pertunangan yang baru berlangsung dua hari lepas.

                                                                                                                  ~ bersambung ~

March 25, 2011

Ingin Jadi Halimunan?

Hari ini aku ingin berkongsi cerita yang aku ada sementara masih ingat. Manalah tau...esok-esok aku dah tak ada, sekurang-kurangnya cerita arwah Ayah akan diturunkan kepada anak cucu untuk dijadikan cerita dogengan pula. Arwah Ayah ku banyak cerita dan petua. Dia suka bercerita semasa aku membantu Emak memotong akhbar harian untuk dilapiskan dengan daun pisang sebagai pembungkus Nasi Lemak.

Waktu itu Emak selalu dapat tempahan Nasi Lemak dari Taukeh Cina pembuat taugeh. Bila dah cuba pertama kali, dia minta dibekalkan setiap hari. Emak suka aje kerana dia tidak perlu keluar rumah untuk berniaga. Cuma diantara kami kenalah pergi menghantar ke tempatnya. Mungkin Ayah hendak menghilangkan rasa bosan ku waktu itu, maka Ayah mula bercerita yang macam-macam. Kalau dia mula dengan cerita yang berciri seram, aku sampai tertidur dalam timbunan sisa daun pisang akibat takut untuk masuk ke bilik.

Satu malam tu aku bertanya Ayah pasal orang halimunan. 'Ada ke Yah orang halimunan?'

'Adaaa...'Ayah jawab panjang sambil menggulung rokok daunnya.

'Macam mana pulak orang boleh tak nampak dia?' Masa tu aku masih dalam Darjah Lima, kalau tak silap la.

'Dia ada ilmu la tu.' Ayah beritahu sambil menghembus asap rokoknya.

'Macam mana Yah nak dapatkan ilmu tu?' Aku yang sedang mengelap daun pisang jadi seronok nak tau.

Ayah berpaling sembilan puluh darjah memandang wajahku. 'Ingat senang ke?' Ayah menjongkitkan bibir atas seakan mengejek aku. 'Apasal tanya?'

'Saja....Ayah tau tak macam mana caranya?'

'Mula-mula...pergi cari sarang burung tukang.' Ayah mematikan api rokoknya. Dia bersila dan menarik dulang kopi dekat dengannya.

'Dalam sarang burung tukang tu ada arang. Ambil arang tu. Kemudian tunggu bila ada kematian, cukur bulu kening dan dilukiskan dengan arang dari sarang burung tadi.' Ayah meneguk kopi yang dah tak panas lagi.

Aku pula teringatkan Uda yang semenjak dua menjak waktu itu sudah pandai mencabut bulu kening. Masa tu aku baru balik dari sekolah petang, dia di bilik berair mata. Aku yang muda lima tahun dari Uda hanya memerhati, mana la tau kalau-kalau dia menangis kerana dimarahi Emak. Rupanya kerana sakit mencabut bulu keningnya itu.

'Lepas tu buat apa Yah?' Aku bertanya kerana Ayah lambat benar nak menyambung ceritanya. Asyik nak menggulung rokoknya aje. Tadi baru habis hisap satu...habis secawan kopi dah gulung lagi satu.

Sesudah menyedut asap rokoknya tadi, baru dia nak cerita lagi.........
'Tunggu masa orang mandikan mayat tu, ramai setan akan bersuka ria bermain dengan air mandian tu....dalam banyak-banyak tu ada seorang penghulunya yang datang berjubah putih.'

Aku renung wajah Ayah...'Kita boleh nampak ke?'

'Orang yang conteng keningnya tadi itu aje la yang nampak.'

Aku mengangguk. Bulu roma di tengkuk ku dah mula meremang. Aku mengengsot sila makin rapat dengan Emak yang sedang menggentel kuih bom.

'Perhatikan kat mana dia sangkut jubahnya itu. Bila dia sedang asyik bermain dengan air mandian mayat tadi, cepat-cepat curi jubahnya bawak lari.'

Aku beliak mata memandang Ayah. Mak ai! Payahnya. Sampai nak kena main curi-curi pulak. Kalau kena kejar macam mana? 'Kalau dia nampak dan kejar kita macam mana?'

'Kena lari arah ke kolam atau sungai dan terjun. Masa menyelam tu padam arang yang buat conteng kening tadi sampai hilang.' Ayah mengajuk siap dengan aksi sekali. Cerita Ayah jadi tambah hangat dengan Emak sekali tak jadi nak ke bilik air mencuci tangan. Dulu...mana ada singki di dapur. Baru aku ingat sekarang...Emak pun penakut juga rupanya.

'Bila arang tu dah dicuci bersih...kita tak nampak dia, dia pun tak akan nampak kita. Pakai la jubah dia tu...orang tak akan nampak kita pulak.'

Payah juga tu...mana nak cari sarang burung tukang? Woodpecker la dalam bahasa omputihnya. Orang sekarang mandikan mayat di hospital, sempat ke nak berlari cari kolam atau sungai yang berdekatan? Nak kena main kejar-kejar pulak dengan penghulu setan tu. Isy! Tak usah je la....

Junie Octovian: Ini cuma cerita arwah Ayah...bagi pengunjung blog yang nak mencuba silakan lah.....

March 24, 2011

Tsunami?

Semenjak dua menjak ni asyik nak menonton berita aje. Suka betul nak tengok video yang ditunjukkan bagaimana tsunami melanda Jepun tu. Memang hebat! Kuat betul kuasa air...aku kagum gila.

Padahal tsunami ni dah pernah berlaku sejak dulu pun tapi tak ambil perhatian sangat dan tak glamour la barangkali masa tu kan? Liputannya pun kurang. Sejak dia melanda Banda Acheh tu baru AKU celik mata dan menghadap TV siang malam menunggu berita terkini jika ada gegaran susulan yang boleh membawa tsunami lagi. Eee...tak baiknya. Macam suka pulak melihat negara orang tu ditimpa musibah.

Tsunami tu bahasa Jepun yang bermaksud ombak besar, kan? Kalau tak tahu punca kejadian dan tak ada yang merakam dari jarak jauh atau dari tempat yang tinggi, mungkin kita rasa macam banjir besar la. Kisah banjir besar ni, aku pernah alami semasa aku tinggal di 13 Jalan Anggerik pada tahun 1969, lama dulu............

Aku masih ingat, masa tu hari terakhir Ramadhan. Ayah, Abang dan Ngah sedang memasak ketupat di luar belakang rumah. Cuaca yang terang hari tu tiba-tiba bertukar menjadi hujan panas dan berterusan. Dalam hujan yang renyai-renyai berterusan itu kami tidak menyangka air akan naik dengan cepat. Ayah, Abang dan Ngah dah mula mengalih tempat merebus ketupat masuk ke dalam rumah.

Air yang naik dengan cepat itu sudah mula masuk ke dalam dapur kami juga. Hairan? Cuma hujan renyai sahaja...dari mana datangnya air ni? Riuh rendah suara jiran tetangga di luar yang menjerit meminta tolong anak-anak agar menyelamatkan barang-barang rumah dari ditenggelami air yang deras masuknya itu. Kemudian itu baru hujan lebat turun tanpa henti. Aku di tangga dapur hanya mampu melihat sahaja. Dua orang adik ku Jude dan Lela yang bermain di rumah atas makin seronok kerana bila dia melompat, air akan memancut masuk dari celah-celah lantai papan rumah atas itu.

Kakak ku Uda...sibuk menyelamatkan balang biskut raya yang dibuatnya bersama kakak ipar ku di rumah sebelah sahaja itu. Ada tujuh belas macam biskut yang dibuat Uda pada tahun itu. Maklum la...dia kan baru meningkat remaja semua yang ada dalam majalah Wanita itu habis dicuba.

Ayah cepat mendukung Jude dan Lela untuk dibawa ke tempat lebih tinggi dalam rumah itu sahaja. Nak ke mana lagi waktu itu kerana tiada amaran banjir langsung. Macam tsunami yang tiba-tiba melanda tak beri salam. Aku menghadap tingkap rumah kampung yang luas terbuka itu. Air sudah separas pinggang ku walau di bahagian atas rumah. Dapur kami memang dah tenggelam yang paling dalam....dalam sejarah banjir yang pernah aku alami.

Sedang aku leka memandang air yang deras itu, sebuah besen besar berwarna merah seakan tegak hanyut ke arah ku. Bila dia tersangkut di tepi tingkap itu aku cepat memegangnya. Uda tolong tarik masuk ke dalam. Isi besen itu dipenuhi dengan barang-barang dalam tin. Tapi yang aku paling ingat, ada setin besar Milo. Aku dan Uda keseronokan dapat barang dapur percuma kami hari itu.

Ayah dah menjerit suruh kami berdua naik ke atas para yang dibuat untuk tempat kami bertenggek sementara menunggu air surut, kerana ada sebuah reban ayam yang dipenuhi ayam sedang hanyut menghala ke rumah kami. Alhamdulillah. Mujur dia hanya melalu bahagian depan rumah sahaja. Namun, air yang deras itu membawa reban yang dipenuhi ayam yang sedang mengelupur di dalamnya itu ke bahagian dapur rumah jiran kami nombor 15. Bahagian dapurnya yang kukuh dan teguh itu habis dirempuh oleh reban ayam tadi dan membawanya hanyut bersama.

Ketika melihat kejadian itu, kami dah mula merasa takut. Terdengar sayup suara Pak Lah jiran sebelah melaungkan azan setelah rumah dapurnya dihanyutkan air. Aku lihat Ayah menitiskan airmata. Apa tidaknya di hari akhir Ramadhan yang sepatutnya disambut dengan meriah itu, kami didatangkan mala petaka. Bagaimana kami hendak berbuka dan berhariraya esoknya? Habis semua barang dah ditenggelami air, tak sempat nak diselamatkan.

Lewat waktu maghrib, air mulai surut. Kami hanya mampu duduk bertenggek macam ayam di dalam gelap. Kedengaran bunyi enjin bot yang datang untuk membantu dan memberi bantuan. Tapi kami sekeluarga tidak mengikut pindah kerana air sudah pun mulai surut menjelang malam. Ayah, Emak, Abang dan Ngah dah mulai sibuk mengemas dan mencuci rumah bahagian atas dengan menggunakan air banjir itu sahaja.

Pengalaman itu membawa aku memahami perasaan mereka yang melalui saat berlakunya tsunami. Walaupun kehilangan harta benda itu boleh dicari ganti, bagaimana pula dengan mereka yang kehilangan ahli keluarga? Terbayang di ruang mata ketika melihat tangan yang terkapai-kapai itu cuba memegang dahan pokok durian di depan rumah Pak Mat yang bernombor 14. Air yang berarus deras itu terus menolak dan menghanyutkan mangsa entah siapa. Sadisnya!

Di pagi Syawal...tanpa berbaju raya, terdengar suara sorakan gembira dari kawan-kawan dan jiran tetangga yang memperoleh habuan mereka. Ada yang terjumpa dengan kotak-kotak kasut yang berjenama BATA yang elok diikat, barangkali untuk diselamatkan, namun kedainya juga hanyut dibawa air. Ada yang terjumpa dengan kain baju dari kedai jahitan. Ada pula yang terjumpa dengan barang dapur dari kedai runcit. Aku yang memerhati gelagat mereka, bersyukur kerana rumah kampung kami itu masih utuh dan kukuh.

Junie Octovian: Ini kisah benar yang diceritakan dari versi pengalaman ku ketika itu.                                                                                                          

March 23, 2011

Puasa Nazar dan Puasa Bayar

'Esok ambil Hana...kan birthday dia?' Adik berborak sambil kami bertiga makan malam. Kebetulan Kakak tak ke Fitness Class.

'Mama masak pulut kuning sikit la... Abang dengan Kak Nat mesti tak celebrate esok sebab dia orang kerja.' Aku beritahu Kakak dan Adik. Lepas tu kami banyak bercerita kisah klinik gigi yang baru kami lawati.

'Akak nak juga...' Pinta Kakak yang tak mengikut sama ke sana.

'Tak payah...gigi elok jaga je. Tadi doktor tu kata lepas tiga atau empat tahun baru Adik boleh pergi lagi.' Beritahu si Adik pula. 'Sakit kot buat scaling tu...ngilu!'

'Tak jaga betul-betul...muda lagi nanti dah kena pakai gigi palsu.' Aku mengingatkan.

Tak semena-mena Abangnya call beritahu Hana dihantar ke Ampang di bawah jagaan neneknya. 'Dia merengek malam-malam payah nak jaga.'

Nasib baik dia beritahu, kalau tidak tak pasal-pasal kami ke Seri Hijauan pula.

'Ah...boring la. Esok kita puasa je la.' Ujar si Adik.

'Boleh juga...ni puasa nazar untuk Angah belum buat lagi. Adik buat puasa bayar, mama buat puasa nazar.' Dah terdetik dalam hati untuk berpuasa kalau Angah dapat surat tawaran belajar tu. Semalam dia dah call beritahu...surat dah dapat dan banyak urusan yang perlu dibuat, katanya.

'Okey ON..'

'Set alarm pada handphone...nanti tak bangun sahur pulak.'

Adik set pukul 4.30 pagi. Maka aku yang dah lama tak bangun subuh hari itu tak sempat nak mengeliat kiri kanan terus je masuk ke bilik air mencuci muka. Aku mengetuk pintu biliknya mengejutkan sebelum turun ke bawah.

Di meja makan kami berborak kisah puasa pula. Toby, Kaka dan Ogy pun sama hairan melihat kami yang pada pagi itu bangun makan. Banyak kenangan kami di bulan puasa ni...semasa berbuka dan bersahur juga. Kalau dengan Uteh sewaktu di Pondok Indah, dari berbuka sampai jenguk waktu bersahur, tak habis lagi kami bercerita. Entah apa-apa aje...

Itulah kelebihan orang yang dah lama hidup agaknya. Banyak yang dah dilalui. Atau mungkin aku yang sudah tinggal dibanyak tempat, maka bermacam kisah dan ragam manusia yang aku perolehi. Yang nyata, kami memang tidak pernah tinggalkan sahur. Walaupun semasa anak masih kecil, mereka yang terbangun nak kongsi rasa waktu sahur kami biarkan sahaja.

'Siapa yang tak puasa tak boleh berbuka dengan orang yang puasa.' Beritahu Ngah semasa dia masih belajar di UM dulu. Emak pulak kalau berbuka tu rajin aje nak masak macam-macam. Tapi pengat pisang pasti ada...entah kenapa.

Nasib baik anak-anak ku tak berapa kisah, asalkan ada nasi. Macam perangai arwah papanya. Nasi itu penting. Orang melayu, katanya satu hari bila aku menegur keinginannya yang mahukan nasi di waktu jam sepuluh setengah pagi.

'Kerja macam kerbau...mana tahan makan kuih-muih semua ni?' Katanya lagi.

Kalau aku tegur tentang masakan yang asyik nak pedas aje, dia akan menjawab. 'Tak pedas mana sedap? Macam lembu makan rumput je.'

Aku pulak ada gastrik, mana boleh terantuk pedas. Tapi makan juga la sekali tak sekala tu...padahnya kena tanggung sendiri la. Pernah satu hari tu rasa nak bawak bantal ke tandas.

'Tak puasa ke?' Suara Ayah bertanya mengejutkan aku yang sedang enak mengopek kulit pisang emas, suatu ketika bertahun dahulu di 13 Jalan Anggerik. Masa itu aku dalam darjah tiga. Ayah yang pulang dari kerja petang itu menghulurkan seikat pisang emas untuk dibawa ke dapur. Aku yang baru bangun dari tidur dan keletihan itu terus mengopek dan makan, terlupa aku yang sedang berpuasa.

Aku terhenti dari mengopek kulit pisang dan menutup mulut yang masih lagi mengunyah pisang yang kedua tadi. 'Puasa.' Aku menjawab dengan mulut yang penuh.

'Batal tu...dah nak kenyang.' Ayah beritahu mengingatkan.

Aku menangis sambil membawa pisang ke dapur. Sedih betul kerana puasa dah batal sebab nanti tak dapat join orang berbuka.

Tapi yang paling best masa di Tennamaram...bersahur kami macam makan kenduri. Waktu itu Ramadhan jatuh dalam bulan Disember, dimana anak-anak semua sedang dalam cuti sekolah. Waktu sahur pun masih ada yang order mintak dimasakan lauk kari. Lepas tu sepanjang siang apa lagi? Sunyi sepi la...masing-masing baru nak jumpa bantal. Sepanjang malam selepas pulang terawih semuanya masih segar. Aku sahaja la yang mengikut jadual tidur seperti biasa kerana nak bangun masak untuk juadah sahur mereka.

Junie Octovian: Mudah-mudahan sahaja puasa ku hari ini berjalan lancar dan diberkati. Mudah-mudahan juga aku sempat berpuasa lagi di Ramadhan tahun ini. Insya Allah.........

Aku dan Doktor Gigi... ( Finale )

Aku mengetuk pintu bilik nombor 2 dan menolaknya perlahan. Ada dua orang perempuan di situ yang memakai kot putih dan bertutup mukanya. Hanya nampak dua biji mata sahaja.

'Assalamualaikum.'

'Waalaikumsalam.' Dua mereka menjawab serentak.

'Puan baring di sini.' Yang seorang memberi arahan.

Aku mengikut sambil mata tegak memandang lampu putih di atas yang menyuluh terang ke muka.

'Ada masalah apa puan?' Tanya seorang yang sedang mengenakan sarung tangan getahnya.

'Biasa la orang tua ni...gigi dah mula nak tanggal. Ni geraham bungsu bawah kanan..' Aku memberitahu sambil memegang ppi kanan. '...saya dah cuba nak cabut sendiri, tapi sakit gila. Macam ada jarum yang mencucuk dalam kepala.' Aku yang memang ramah tu tak tanya pun siap beri penerangan lagi. Kalau kena orang yang tak suka tentu dah dijelingnya aku 180 darjah.

'Mana boleh cabut sendiri puan...gigi tu akarnya panjang dan ada tisu-tisu yang mencengkam kuat.' Doktor Gigi memberi penjelasan. Ada hati mak cik ni nak cabut sendiri...mungkin begitu dalam hatinya berkata. 'Bagi saya periksa semua dulu ye? Puan nganga besar-besar.' Dia mengarahkan. Di tangannya terdapat dua peralatan kiri dan kanan. Sebelah tangan dengan peralatan yang berupa kanta pembesar dan sebelah lagi berupa jarum yang digunakan untuk memeriksa jikalau terdapat gigi yang sudah berlubang. Ternyata gigi  aku semuanya baik-baik belaka tapi ada dua batang lagi yang disebut sebagai 'mobile' ketika dia memeriksa dan yang seorang lagi mencatat apa yang dikata.

'Okey...puan nak cabut yang mana ni?'

Isy! Yang mana? Ada lagi la tu yang bakal kena cabut, bisik hatiku. Itulah akibatnya suka memakan bebenda yang keras. Aku memang minat makan jenis yang keras...kalau tidak pun minta makanan tu digoreng garing. Hah! Padan muka. Geraham tu masih cantik tak rosak dan berlubang pun tapi gusi tu yang dah tak kuat nak menahannya.

'Yang kanan bawah ni la...dah rasa goyang sangat. Gosok gigi pun payah.' Aku beritahu Doktor yang baik dan mesra tu.

'Saya injek ubat kebas dulu ye?'

Aku menganga aje la...dalam hati Bismillah ku baca tanpa henti. Tiga kali aku rasa jarum tu dicucuk sebelah menyebelah untuk memberi kesan kebas ketika gigi itu ditarik keluar nanti.

'Okey..Puan tunggu di luar dulu, nanti kami panggil lagi.'

'Terima kasih.' Aku meninggalkan bilik itu dan menunggu di kerusi sebelah luar. Ketika itu Adik sudah siap dengan rawatannya. Dia cuma minta buat scaling aje.

Seketika aku rasa pipi kanan ku bengkak macam lepas disengat lebah. Bibir pun dah rasa macam bibir Angelina Jolie. Lidah dah rasa kebas macam orang kena stroke. Aku mengadu pada Adik di sebelah. Tapi Adik cakap macam biasa aje. Perasaan aku la tu.

'Puan Junaidah!' Nama ku dipanggil lagi.

Aku masuk dengan perasaan sedikit berdebar. Mana la tau? Kalau-kalau sakitnya sampai ke otak macam yang aku cuba buat di rumah?

'Nganga.' Pinta Doktor Gigi yang masih muda itu.

Aku menganga kali ini dengan bacaan Ayat Kursi di dalam hati siap dengan mengucap dua kalimah syahadah. Aku nampak Doktor Gigi mencapai alat yang berupa plier kecil.

'Okey...gigit kapas ni kuat-kuat.' Kata Doktor Gigi yang dah siap dengan tugasnya.

'Sudah?' Aku bertanya sebab aku tak rasa apa-apa pun. Dalam beberapa saat sahaja Doktor Gigi menjalankan tugasnya.

'Dah! ...Ni puan bawa kad ke kaunter depan dan bayar seringgit.'

Aku ucapkan terima kasih sambil mata memandang geraham bungsu di atas tray. Panjangnya!
Alhamdulillah. Memang tak berasa langsung. Cuma semasa dia suntik ubat kebas tu aje meleleh juga air mata aku akibat kesakitan. Lain kali boleh datang lagi, dalam hatiku berkata.

Kami pulang dengan hati yang senang. Adik tak perlu ke klinik pergigian untuk tiga ke empat tahun lagi. Cuma kena jaga giginya dengan baik sahaja. Mungkin waktu itu nanti depan rumah kami di Setia Impian dah ada klinik sendiri agaknya kerana tapaknya sudah ada. Walaupun ke seksyen 7 tu tidak la jauh mana pun. Kami cuma dikenakan bayaran seringgit untuk rawatan, manakala di klinik swasta waktu terakhir kami buat pemeriksaan gigi...untuk scaling seorang lapan puluh hengget. Kalau cabut?

 Junie Octovian: Tentu yang menjadi doktor gigi dan membuka klinik sendiri tu kaya orangnya.

Aku dan Doktor Gigi... ( Part 6 )

'Beritahu semua kengkawan dia...sebab kakak dia cakap jenazahnya nak di bawa pulang ke Penang. Kalau kita dah tengok dia di sini, tak payah nak ikut sampai ke Penang sana.' Aku arah Firdaous dan Apis. Memasing mencari nombor teman yang biasa lepak dan yang rapat dengan arwah.

Sampai di PPUM kami dah nampak kelibat beberapa orang teman arwah yang sudah sampai dan menunggu di situ untuk sama-sama ke bilik mayat. Cuma aku sahaja perempuan semasa itu bersama dengan kengkawan arwah yang semuanya lelaki yang seusia beliau. Adik tadi ditinggalkan dengan kakak iparnya di Seri Hijauan.

'Puan Junaidah ke?' Suara seorang lelaki yang menyerupai arwah datang mendekati.

'Ya saya..' aku menjawab.

'Emak saya nak jumpa dengan puan.' Ujar lelaki itu sambil menunjukkan ibu jarinya ke laluan untuk ke bilik mayat.

Suasananya yang sejuk, dinding yang bercat warna putih itu memang agak seram kalau masuk ke situ sendirian. Tapi di subuh pagi itu, bilik itu dipenuhi orang. Bertudung bagi perempuan dan bersongkok bagi lelaki.

Ibu arwah terus mendapatkan aku dan memeluk erat. 'Terima kasih la kerana mengurus anak saya selama ini.'


Aku sama memeluk dan menggosok belakang badan mententeramkan si Ibu yang baru kehilangan anak bungsunya itu. Jauh di sudut hati...aku lebih sedih lagi kerana di saat-saat akhir aku yang rapat dengan arwah...bercerita di meja makan waktu malam dan pagi semasa sarapan sebelum arwah bertolak ke pejabat.  Arwah juga sibuk membantu menyiapkan meja makan kalau aku sedikit lambat memasak tung tang tung tang di dapur.

Arwah juga kekadang ku suruh menghantar Toby ke klinik haiwan di Kota Kemuning bersama dengan Kakak. Dia yang mengikut aku juga dengan sukarela memandu sepanjang jalan ke Kuantan semasa kami menghadiri majlis perkahwinan anak saudaraku di sana. Namun, dia yang teringin ke kampungku di selatan tanah air itu tidak berkesempatan berbuat demikian. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

'Siapa nama penuh arwah tu?' Emak menelefon bertanya waktu zohor itu selepas mendapat berita. 'Nak sedekahkan Fatihah dan surah Yaasin untuk dia.'

Pagi itu aku sampai ke rumah elok azan subuh berkumandang. 'Dah pergi sorang umat Muhammad.' Hatiku berkata sambil merenung Wira di depan rumah yang sudah ditinggalkan oleh tuannya. Airmata berderai sendiri tanpa dipinta. Sedih itu baru terasa. Yang pergi menemui Ilahi itu meninggalkan kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan. Mengapa aku jadi pilihan?

Semasa di bilik mayat tadi aku diperkenalkan dengan setiap kaum keluarga dan saudara maranya. Rata-rata mereka tinggal di sekitar tempat kerja arwah. Mengapa dia tidak menumpang tinggal dengan mereka? Aku tak bertanya hanya memikir sendiri...tentu ada sebabnya. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Nak meratap menyesali juga sudah tiada gunanya ketika tubuhnya dah terbujur kaku. Aku yang tiada berkaitan langsung dengan family arwah membaca hikmah yang cuba disampaikan. Di saat-saat akhir hayatnya dia bahagia bersama keluargaku, sedangkan Ibunya sendiri tidak berkesempatan begitu. Ibunya yang datang bersama abang si arwah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ku kerana menumpangkan anaknya dan mengurus makan pakai beliau. Aku hanya memerhati ketika barang-barang arwah diangkut pergi.

Toby pula tiba-tiba duduk di kerusi bahagian belakang kereta arwah...memang tak pernah dibuatnya selama itu. Mungkin hendak mengucapkan selamat tinggal kerana kereta itu akan dipandu pergi dari situ buat selamanya.

'Kosong Lima Enam Lapan!' Suara dari mesin itu memanggil mengejutkan aku dari lamunan yang mengheret aku ke tarikh 7 Disember 2009.

'Ma! Nombor mama la..' Adik pula menyiku aku yang merenung bilik putih tempat rawatan pergigian itu.

Aku belek nombor di tangan..0568. Aku pandang papan yang memaparkan nombor ku...bilik 2. Aku bangun dan menapak masuk ke bilik nombor 2.

                                                                                                                              ~ bersambung ~

Aku dan Doktor Gigi... ( Part 5 )

Beliau si pesakit tadi masuk wad hari Jumaat. Aku datang melawatnya lagi hari minggu kemudian. Ketika itu hujan lebat dan bandar Diraja tu dah mula banjir. Sampai di sana, kawalan malam itu agak ketat. Cuma dua orang sahaja yang dibenarkan masuk melawat. Maka...anak-anak ku membiarkan aku dan teman rapat beliau untuk naik ke wad beliau di tingkat 8.

Memang keadaan di wad tersebut penuh dengan pesakit. Katilnya agak rapat diantara satu dan yang lain. Selepas bertanya dengan jururawat yang bertugas di situ malam itu, kami ditunjukkan ke katil beliau.

Dari jauh beliau sudah melemparkan senyuman. Nampak macam tak ada apa-apa pun...tapi bila aku cuba berinteraksi dengan beliau, dia menekan sesuatu di keypad telefon bimbitnya dan menunjukkan kepada kami untuk membacanya. Namun apa yang beliau cuba sampaikan itu juga tidak nyata maksudnya.

Aku tak faham langsung. Tapi aku dekati beliau dan meletakkan tapak tangan di dahinya merasakan hangat tubuhnya. Ternyata beliau demam. 'Ubat makan tau...nanti sihat cepat dapat balik.' Aku memujuk sambil mengerling meja sisinya yang menempatkan sebuah buku latihan dan sebatang pen.
Dalam hati berkata...beliau sudah tidak dapat berkata-kata dengan lancar akibat sawan yang menyerangnya berpunca dari sakit kepala dahulu itu barangkali.

Dia mengangguk sambil tersenyum.

'Mak cik nak balik dah ni...Angah, Kakak dan Adik ada kat bawah. Guard tu tak kasi masuk ramai-ramai. Mereka kirim salam aje. Nanti mak cik datang lagi.'

Beliau  senyum sambil mengangkat tangan melihat aku dan temannya si Apis yang beredar dari situ.

Seminggu itu aku memang tidak dapat melawatnya kerana Adik masih menduduki peperiksaan. Tapi aku bertanya dengan kengkawannya yang pergi menziarah beliau bertanyakan akan keadaannya ketika itu. Aku diberitahu abangnya telah membawa dia bertukar ke PPUM kerana saudara mara beliau ramai di situ dan mudah untuk mereka berulang alik.

Hari minggu berikutnya...Apis yang pulang memberitahu akan berita terkini. 'Jangan risau la mak cik...dia okey je...tak lama lagi keluar la tu.'

Aku yang mendengar menganggukkan kepala. Namun hatiku tak mengatakan OK...dah seminggu kot? Mereka masih tak tau ke apa penyakit yang dihadapi beliau itu? Masih dengan alasan 'ujian darah sedang dijalankan'. Lembabnya!

Malam itu kami dapat berita lagi...'beliau diserang jantung kerana ubat yang diberi untuk penyakit sawannya'. Doktor telah menasihatkan orang terdekat memperbanyakkan doa dan bersedia menerima apa jua kemungkinan sekiranya beliau terkena serangan jantung lagi. Ketika itu, beliau sudah berada dalam keadaan KOMA.

Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata. Badanku merasa sakit sana sini. Pusing kiri tak kena..pusing ke kanan pun tak sedap juga. Hati memanjat doa...semoga Angah yang balik ke Skudai dengan bas ekspress tadi sampai dengan selamatnya.

Jam 1.15 pagi itu aku menerima panggilan telefon. Cepat aku menekan butang hijau dan melekapkan ke telinga. 'Hello'

'Puan Junaidah...saya kakak Zafuan. Nak beritahu dia dah meninggal jam 12.00 tengahmalam tadi.'

Aku tak toleh kiri kanan...terus berdiri sambil bertanya lagi, '...dekat mana dia sekarang?'

'Di PPUM, mereka nak pindahkan ke bilik mayat untuk urusan seterusnya.'

'Baik...saya bertolak sekarang.' Aku terus turun ke bawah mengetuk pintu bilik yang didiami oleh temannya Apis.

'Nape mak cik?' Tanya Apis sambil menggosok mata.

'Teman mak cik ke PPUM sekarang. Tohe dah meninggal.' TOHE itulah nama gelarannya di rumah kami. Entah apa maksudnya aku sendiri tak tahu... tapi yang nyata...setiap kenalan yang rapat dengan beliau memanggilnya dengan nama tersebut.

Emak aku, Ngah, Uteh, Ucu Lela dan si Yaya pun memanggilnya dengan nama TOHE. Malah dia sendiri kalau menelefon aku akan mengenalkan dirinya, 'Mak cik...Tohe ni.'

Berita itu cepat aku sambungkan ke setiap kenalan rapatnya sehingga si Boy yang tinggal di Seremban juga. Aku call Firdaous memberitahu aku dalam perjalanan ke PPUM kalau-kalau dia nak ikut sama. Maka aku suruh Apis yang memandu pagi subuh itu ke Seri Hijauan menjemput Firdaous. Adik yang duduk di kerusi bahagian belakang dah sot sat sot set menangis kesedihan. Angah yang menelefon selamat sampai ke Skudai juga ku khabarkan. Dia sedikit ralat kerana dia sudah pulang ketika berita itu diterima. Kakak juga sudah pulang ke UNISEL...hanya sering bertelefon bertanya perkembangan yang berlaku tentang berita itu.

                                                                                                                                  ~ bersambung ~

Aku dan Doktor Gigi... ( Part 4 )

Tak lama kemudian, Firdaous balik menghantar Iwan tanpa beliau si pesakit tadi.

 'Abang kena pergi lagi sebab kawan Abang tu dalam bilik emergency...dorang tengah ambil darah dia nak tahu punca penyakit. '

 Aku mengangguk. 'Nanti mama datang kejap lagi.' Aku beritahu sebab Iwan dan isterinya masih di rumah ku.

Lepas Iwan dan isterinya balik, kami yang tinggal tadi cepat pula bertolak ke hospital yang dimaksudkan untuk mengetahui akan keadaan si pesakit. Akibat tidak pernah ke hospital tersebut, kami sekereta tadi susup sasap juga la...masuk lorong entah mana-mana aje sebelum menjumpai jalan yang betul ke hospital Tengku Ampuan Rahimah itu.

 Firdaous tu lain la...dia dah beberapa kali ke situ menghantar kawannya si Fendi yang patah riuk semasa sesama bermain skateboard. Menghantar yang sorang lagi entah apekenama budak tu akibat kemalangan dilanggar lari pada suatu malam semasa dia pulang dari sembahyang terawih.

Angah tu pernah beberapa kali juga masuk hospital, tapi di HKL sana semasa dia masih belajar di UTM, Jalan Semarak. Adik pula di hospital Normah di Kuching dan Firdaous sendiri yang pernah jatuh dari motosikal masuk hospital di Kluang semasa tinggal dengan Atoknya di sana. Hospital Tengku Ampuan Rahimah ni kami biasa dengar dan lihat signboardnya aje.

Tapi alhamdulillah...kami temui juga tempat yang dituju. Tak payah mana pun cuma bila masuk dalam bandar Diraja Kelang tu, kelam kabut sikit...bandar lama la katakan.

Ya ampun! Dah malam begitu pun ramainya manusia. Kalau tak pergi ke tempat begitu kita memang tak tahu menahu akan keadaan di perkarangan hospital. Tak tahu la hospital lain....tapi yang nyata ketika itu hospital tersebut memang dipenuhi orang.

Dengar sok sak sok sek orang kiri kanan mengatakan ada pergaduhan diantara kaum India sesama mereka yang bertetak. Maka riuh la suasana bila dua kumpulan tadi bercakap...mungkin bercerita memberitahu bagaimana kejadian itu bermula. Alangkah baiknya kalau masa aku lama tinggal di estate dulu aku tahu dan belajar bahasa mereka. Tinggal pasang telinga aje...

Kami mengambil laluan tengah untuk ke bilik emergency. Nampak Firdaous ada di kerusi luar menunggu kawannya itu.

'Macam mana?' Aku bertanya dia yang menyandar. Dah mengantuk barangkali kerana ketika itu sudah hampir tengahmalam.

'Masih dalam bilik tu.' Dia menunjuk ke arah bilik kecemasan. 'Dia orang syak dia ambil dadah sebab dia tak boleh bercakap dengan betul. Bila dia diserang sawan tadi baru dapat rawatan segera.' Beritahu Firdaous dengan muka yang agak tension mengenangkan peristiwa awal tadi.

'Ada nombor family dia? Kena call beritahu la...kalau apa-apa hal nanti dia orang salahkan kita pulak sebab tak beritahu.

'Cuba call Fed...tentu dia tahu.' Natrah mencadangkan kerana Fed yang disebutnya itu adalah sepupu kepada si pesakit tadi.

'Ha ah...cuba call beritahu. Biar dia sahaja yang sampaikan berita ini pada family beliau.' Arah ku pula.

'Saya sms nombor emak dia...mak cik call beritahu la.' Ujar si Fed pula selepas kami beritahu akan keadaan sepupunya itu.

Aku tekan nombor yang diberi...'Saya Puan Junaidah...anak Puan, Zafuan yang tinggal dengan saya, sekarang ni berada di HTAR. Dia diserang sawan tadi dan sekarang ini berada di bilik kecemasan untuk menerima rawatan.'

'Oh ye ke? Nanti kami ke sana...' Jawab si ibu dengan nada yang sebu dan sayu. Mana tidaknya Zafuan tu merupakan anak bungsu dari tiga beradik. Bapanya telah lama meninggal dunia semasa beliau sedang menduduki peperiksaan SPM, katanya.

Selepas berbual dengan ibunya tadi, aku tengok jam di lengan yang dah menunjukkan ke angka 1.30 pagi. 'Kita tunggu dia masuk wad...lepas tu kita balik la.' Aku beritahu anak-anak. Kiranya kalau dia dah ditempatkan di wad, tanggungjawab kami mengurus beliau dah selesai.

Semasa stretcher yang membawa beliau untuk ditempatkan di wad tingkat 8 itu ditolak keluar dari bilik kecemasan...kakaknya yang berbadan agak besar datang meluru mendapatkan adiknya dan sama-sama menyorong stretcher tersebut. Firdaous sahaja yang sempat berkenalan dengan kakak kawannya itu. Mungkin kerana terkejut dengan berita yang diterima, si kakak tidak memandang ke arah kami pun. Maka kami yang ditinggalkan di depan pintu bilik kecemasan itu pun berjalan menuju ke tempat parkir untuk pulang ke rumah.

                                                                                                                      ~ bersambung ~

March 22, 2011

Aku dan Doktor Gigi... ( Part 3 )

'Angah dah pergi...kita orang tak kejut pasal ingatkan kamu tu sakit.' Aku menerangkan memberitahu. '..kamu boleh pergi ke?'

Beliau hanya mengangguk.

'Hah! Tak payah masjid jauh-jauh...yang dalam kawasan Setia Impian ni pun boleh.'

Beliau mengangguk lagi.

Balik dari masjid, aku dah menyiapkan hidangan di meja dan aku suruh Angah menjemput beliau makan. Sementara aku mengisi mangkuk bertingkat untuk dibawa ke rumah bakal mentua Angah yang menjemput kami ke rumah mereka untuk berjamu Nasi Dagang.

'Mak cik nak beraya ke Cheras..kamu berehat aje la di rumah. Makanan semua dah sedia atas meja, kalau nak makan nanti ambil sendiri. Nak ajak... kamu tak sihat pulak.'

Beliau mengangguk sambil tersenyum memandang kami yang bersiap-siap untuk ke Cheras.

Anakanda Iwan datang dengan isterinya semasa aku baru sampai ke rumah. Sambil menjamu selera, aku buka cerita tentang beliau yang senyap di bilik. 'Ida...cuba kamu tengokkan kawan Firdaous tu...dia ngadu sakit kepala...dah seminggu tak baik-baik. Tu ada dalam bilik.' Aku memberitahu isteri Iwan yang kebetulan memang seorang Pegawai Perubatan - doktor la kalau nama glamour dia.

'Bawak pergi hospital la..' Doktor Ida menjawab sambil menyuap nasi.

'Malam-malam ni ada doktor ke nak merawat memeriksa dia?' Tanya Iwan, suaminya pula.

'Ada je...tu sebab ada doktor on-call.' Doktor Ida beritahu.

'Tak apa la...' Aku pula dah mula risau. '...mak andak suruh Firdaous bawak gi hospital malam ni juga.' Aku terus menelefon Firdaous yang beraya di rumah mentuanya di Ampang.

Tidak lama kemudian, Firdaous yang masih berbaju melayu merah menyala itu sampai. 'Kenapa ma?' Dia yang masuk rumah itu terus bertanya.

'Tolong bawak kawan awak tu ke hospital? Kesian mama tengok...kata dia sakit kepala, tapi dah seminggu tak baik-baik. Makin teruk ada la...' Aku bercakap memberitahu sambil sama menapak ke bilik berdekatan membuka menolak daun pintu.

Beliau keluar dari bilik mengikut Firdaous yang sukarela mahu menghantarnya ke hospital Tengku Ampuan Rahimah pada malam itu. Setelah meneguk segelas jus oren yang dihulurkan oleh Iwan kepadanya, dia terus masuk ke dalam kereta bahagian belakang dan berbaring. Nampak memang sungguh dia tak sihat. Iwan pula dengan sukarela meneman Firdaous membawa beliau ke hospital.

'Kamu pergi dulu dengan Firdaous...nanti mak cik dah siap berkemas rumah mak cik datang.' Aku beritahu beliau.

Beliau hanya mengangguk.

Aku memandang kelibat Gen2 merah itu sehingga hilang dari pandangan.

                                                                                                                  ~ bersambung ~

Aku dan Doktor Gigi... ( sambungan )

Selepas menghantar Adik ke sekolahnya di Kota Kemuning, aku terus ke UNISEL menjemput Kakak. Balik ikut Guthrie Expressway terus ke Kota Kemuning semula menjemput Adik yang dah habis paper pada hari itu. On the way balik ke Setia Impian, Angah pula call beritahu dia dah sampai di Klang Sentral, maka aku pun round the world satu hari itu.

Dalam perjalanan tadi aku dah beritahu anak-anak, 'Mama tak masak apa-apa pun lagi tau. Nanti kita keluar makan la ye?'

Anak-anak semua menganggukkan kepala kerana dia faham akan tugasku. Tapi jauh di sudut hati aku ralat juga kerana semenjak aku berumahtangga, memang aku akan memasak untuk menyambut walaupun Hariraya Qurban.

'Tak apa...esok mama masak Nasi Briyani aje. Ketupat tak sempat ni...daun pun tak ada.' Aku beritahu mereka. Masa tinggal di estate dulu, boleh je suruh orang carikan. Masa di Pondok Indah, boleh minta Cik Nab atau Uteh belikan. Itupun kalau kebetulan Uteh tak beraya di Kelantan. Di Setia Impian ni, siapa yang di suruh?

Sampai kami di rumah aku terpandang anak angkat yang sama tidak pulang beraya terbaring kesakitan. Mungkin kerana beliau tu lelaki, maka tidak la dia menjerit terpekik terlolong.

'Masih sakit ke?'

Dia mengangguk sambil memegang belakang kepalanya.

'Dah pergi hospital?'

Dia menggeleng, 'Tak sempat...banyak kerja.'

'Tak apa la...jom kita keluar makan. Mak cik tak sempat masak la. Penat.'

Malam itu aku berempat beranak dan beliau keluar makan. Aku perhatikan beliau yang hanya memesan mee hoon tomyam itu tidak begitu berselera pula. Sekali dia menghirup kuahnya, sekali itu juga dia bangun mencari  tandas. Loya tekak agaknya, bisik hatiku.

Di rumah malam itu, beliau hanya berbaring di bilik. Angah di meja makan, tekun menghadap komputer ribanya. Manakala aku pula, ke hulu dan ke hilir dalam dapur mengemas dan menyediakan apa yang perlu untuk memasak Nasi Briyani yang ku janjikan untuk menyambut Hariraya Aidiladha, keesokan harinya.

Tiba-tiba...beliau keluar dari bilik. Dia berdiri tegak di hadapan Angah sambil membuat bahasa isyarat. Angah bulat mata merenung apa cuba disampaikan oleh beliau.

'Seven E?'

Beliau mengangguk.

Maka Angah membawa beliau ke Seven Eleven. Nasib baik di situ dah ada Seven Eleven. Kalau tidak mana nak cari barang di waktu-waktu malam begitu?

Aku jadi hairan bin ajaib. Memang pelik penyakit beliau ni sampai tak mampu berkata-kata. Nasib baik pulak si Angah tadi faham bahasa isyaratnya. Tapi...sepanjang perjalanan pulang dalam kereta tu aku dah menceritakan kisah beliau kepada anak-anak.

Oleh kerana beliau pun tak minta bantuan apa-apa, aku jangkakan sakit kepala biasa-biasa sahaja. Walaupun dia masih muda dan pangkat anak pada ku, aku tak berani la nak pegang sana pegang sini. Paling tidak aku boleh tolong hantarkan ke hospital jika perlu.

Masa itu anak sulungku yang menjadi kawan baiknya, sudah pun berumah tangga dan tinggal berasingan dariku. Kalau tidak tentu dia berani mengadu akan sakitnya itu padanya.

Pagi Hariraya Aidiladha........
Angah dah bersiap untuk ke masjid. Aku pula sedang menyiapkan juadah pagi raya. Beliau yang bangun kemudian, bersiap juga berbaju melayu hijau lumut yang aku belikan untuknya semasa dia menjadi pengapit pengantin dulu.

'Angah mana?' Beliau bertanya.

Aku yang sedang mengacau ayam briyani di atas dapur berpaling terkejut...........

                                                                                                                 ~ bersambung ~

Aku dan Doktor Gigi...

'Ma!!' Adik menjerit dari atas. '...nak pergi pukul berapa?'

'Alaa...hujan ni. Pukul 10.00 karang la...' Aku menjawab malas kerana baru je melabuhkan punggung ke sofa lepas si Kakak pergi kerja.

Aku membayangkan bilik rawatan tu. Putih dan sejuk macam bilik mayat. Memang la aku boleh cakap kerana aku dah pernah masuk ke bilik mayat. Pengalaman pertama ku bukan urusan dengan saudara mara atau kaum keluarga tapi anak angkat yang pernah menumpang tinggal dengan ku yang tika itu bertugas di Petaling Jaya.

'Susah la nak cari rumah sewa yang dekat-dekat. Mahal pulak tu. Kalau sebuah rumah sampai RM 1200, tak kan saya nak tinggal sensorang?' Beritahu beliau pada ku ketika pertama kali dia datang ke rumah. Beliau merupakan teman serumah anak sulungku semasa mereka sama-sama belajar di YPM dulu.

Anak sulungku mempelawa kawannya itu tinggal di rumah kami sementara dia mendapat rumah sewa untuk dikongsi bersama teman-teman yang lain. Aku pun tak kisah. Kesian kan? Cuba masalah itu terkena batang hidung kita? lagipun dia keluar pagi dan pulang menjelang tengahmalam.

Oleh kerana beliau tu jenis yang peramah, maka kami cepat mesra. Ke mana sahaja aku pelawa...dia sangat suka mengikutnya. Aku perlakukan dia macam anak ku sendiri. Makan minum, kain baju semua aku urus tanpa minta apa-apa balasan. Tapi kalau dia terasa nak memberi..aku terima je dengan senang hati.

Satu pagi... 'Mulai minggu depan kamu kena urus breakfast sendiri tau? Adik dah mula SPM...mak cik mungkin tak balik sebab paper dia habis pukul 10.00.'

'Okey.' Beliau jawab santai.

Aku pulang suatu petang nampak dia yang terbaring di sofa. 'Demam ke?' Aku bertanya sebaik aku menutup kembali pintu rumah.

'Sakit kepala.'

'Dah pergi klinik?'

'Dah.'

'Okey...baring la dulu. Nanti mak cik masak kejap. Lepas makan boleh makan ubat pulak.' aku beritahu lalu mendaki tangga ke bilik untuk solat Asar.

Hari berikutnya, beliau mengadu mata kanannya pula seolah kabur.

'Dah tu memang kerja korang asyik menghadap menatang tu je...pergi la periksa mata pulak. Kot dah kena pakai spec, mana tau?'

Hari berikutnya lagi... beliau bercakap dengan suara yang terputus-putus. Sebiji macam android yang belum siap diprogram. Serious! Aku berkerut dahi memandang wajahnya. 'Eh? Kamu ni kena pergi hospital...macam makin teruk je mak cik tengok?'

Tapi beliau masih mampu tersenyum di ketika itu..........

                                                                                                          ~ bersambung ~                          

Cucuku Hana...

Hana Sofya di hari ulangtahunnya yang pertama
Semalam aku babysit cucu sulung di Seri Hijauan. Sejak kebelakangan ini dia sering demam. Nak merangkak demam, nak tumbuh gigi atas demam, nak keluar gigi bawah pun demam.

Mommynya dah naik risau...'Kalau setiap batang yang nak keluar tu dia demam...parah la nampak gayanya.' Bersuara Natrah suatu hari. Mana tak risau, makanya mereka berdua bekerja.

'Biasa la tu...baby kan?' Aku beritahu menyenangkan hatinya. Sebenarnya ada aje yang jenis lasak...macam Aunty Kakak dia, makan ulat bulu pun relax je. Tapi sebenarnya Hana ni pun masuk kategori yang tak meragam. Aku rasa sebab dia ni manja...the only cucu dari sebelah aku dan sebelah besan juga.

Lepas Kakak keluar bekerja, aku dan Adik melawat Hana di Seri Hijauan. Kesian anak menantu nak kerja pun tak senang hati meninggalkan anak di Nursery dalam keadaan yang kurang sihat itu. Aku sampai elok bapanya dah bersiap nak ke pejabat dengan beg baju Hana yang dah tersedia di atas sofa. Hana pula sedang duduk menghadap Channel TVIQ.

'Dah! Hari ni biar mama jaga.' Beritahuku pada Firdaous.

Dia nampak senang hati...terus duduk menghadap sarapan pagi. Sementara aku melayan cucu yang wajahnya merah padam kerana demam. Seharian aku bersama Hana melayan keletahnya yang sedang belajar menapak itu. Pot pet pot pet...tak diam mulutnya bercakap entah apa biji butirnya memang aku tak tahu. Melihat akan keadaannya yang telah pulih dari demam itu, aku banyak memikir.

Aku boleh je nak menjaganya...tapi di Setia Impian la. Kalau kena tunggu di Seri Hijauan agak payah sikit sebab ada Aunty Kakak yang nak bekerja dan aunty Adik yang masih belajar lagi. Siapa pulak yang nak menghantar dan menjemput Hana? Jauh juga la... Dari Setia Alam keluar tol Seafield...RM 2.40/Setia Alam keluar tol USJ...RM 2.80

Pukul 5.00 petang itu aku bawa Hana balik kerana Aunty Kakak pagi tadi pergi kerja tak bawa kunci rumah bersamanya. Keseronokan Aunty Kakak dapat bertemu anak saudara yang seorang itu bila sampai rumah. Muka cemberut setiap kali pulang itu lenyap begitu sahaja.

'Kerja! Mana ada yang senang? Nak makan pun susah...nak menyediakan bahan-bahan semua tu. Kalau jenis orang yang tak minat masak...semuanya akan jadi susah.' Aku sering mengingatkan dia tentang itu.

'Tak nak susah kena kerja sendiri la... Berniaga ni pun kalau malas, mana nak datang duitnya?' Sambung aku lagi. Tapi aku ni stok emak yang tak pandai nak berleter. Aku tak suka nak mengerohkan suasana...nanti hilang mood aku seharian. Kalau masih teringat tu...boleh sampai berminggu. Aku suka happy-happy dari celik mata waktu pagi. Biarlah semua kerja rumah itu aku lakukan sendiri... siapa suka nak bantu, alhamdulillah!

Lepas maghrib kami bersiap untuk menghantar Aunty Kakak ke Extreme Fitness dan menghantar Hana pulang ke Seri Hijauan. Berkicau mulutnya macam burung murai..menyanyi entah apa-apa sambil menggoyang-goyangkan badannya mengikut rentak lagu yang dipasang oleh Aunty Adik menggunakan pen-drive.

Junie Octovian: Harap-harap hari ini Hana pulih sepenuhnya kerana hari lahirnya tanggal 23 Mac hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi. Get well soon Hana...we love you very much!

March 20, 2011

Bila Rindu Datang Bertamu....

'Duduk sini je Andak..' teringat aku akan kata-kata Uteh semasa hari terakhir aku di Pondok Indah. Uteh yang datang dengan anaknya Liesa dah hujung-hujung hari itu sempat nak bergelak ketawa lagi melihat telatah anak-anak yang berkejaran berebut bola.

'Rasa macam hendak juga...tapi tak kan nak biarkan Adik dan Kakak di sana? Mereka kan perempuan?' Aku beritahu mengingatkan akan keadaan.

'Kan best kalau Andak ada sini? Lagi-lagi masa bulan puasa.' Uteh pula mengingatkan kisah kami berpuasa sama-sama di situ.

Masa tu suamiku di Kuala Ketil, Kedah....suami Uteh pula di Ulu Tiram, Johor. Kami berdua beradik macam ibu tunggal yang melayan kerenah anak pagi dan petang sendiri. Seronok! Anak-anak pun tak banyak songeh. Kalau aku ada hal, Uteh akan tolong menjemput anakku dari sekolah. Kalau dia ada hal pula, anak-anaknya akan tinggal bersamaku di Pondok Indah.

Masing-masing nak menunjukkan bakat semasa menyediakan juadah berbuka. Uteh dengan kepakarannya menggoreng mee. Tapi anak-anaknya hanya gemar makan nasi berlaukan telur sahaja masa itu. Seorang nak telur dadar, seorang nak yang hancur dan seorang lagi  pula nak telur mata yang cair kuningnya. Entah apa-apa aje.

Semasa menjelang raya pula, aku menerima banyak tempahan kuih, terutama 'tat nenas'. Uteh jadi tukang promote di sekolahnya. Memang tak menang tangan. Nasib baik di kawasan situ nenas mudah didapati dan harganya pun murah. Sehingga pagi raya pun masih ada lagi yang bertanya. Aku terima aje la...rezeki kan? Bukan payah sangat pun, barang dan bahan semua masih ada.

Anakanda Iwan dan Natasha yang tak balik ke KK masa Hariraya join aku di situ. Tapi masa tu mereka masih belum berkeluarga. Memang meriah! Kami konvoi ke Kluang. Masih ramai keluarga di sebelah sana selain Atok mereka aka Emak aku la. Ada Ayah Long, Mak Ucu Lela, Mak Ngah Faredah dan Mak Andak Jijah. Masa tu Abah dan Mak cik pun rajin singgah semasa dalam perjalanan balik ke Pontian.

Warung Cik Nab...jadi tempat kami dua keluarga 'mengodi'. Mewah! Makan apa saja, semuanya masih murah. Depan warung Mak Mah pulak ada Tauhu Bakar...aaaaaahh! Rindunya!

Kenangan demi kenangan yang mengusik mindaku semasa pulang bercuti ke Pondok Indah membuat aku merubah suasana blog yang sepi dengan lagu dari Anuar Zain- Sedetik Lebih. Muziknya yang mendayu itu membawa aku mengimbau lebih jauh merindui masa-masa lalu bersama orang-orang tersayang.

Realitynya...aku sekarang di Setia Impian. Aku dah bina kehidupan baru bersama dua orang anak perempuanku yang sedang mencari hala tuju. Yang perlukan bimbingan seorang IBU. Aku dah ada seorang cucu, tempat ku berulit semasa rindu, sayangnya mencecah langit biru. Aku menulis untuk mengisi masa lapangku....

Junie Octovian: Semoga pengunjung blog terhibur dengan lagu yang dihidangkan...........

March 19, 2011

I'm home!

Alhamdulillah...

Sampai kami ke Setia Impian ketika jam mencecah angka lima petang. MasyaAllah....bas express yang mengaku  dan memakai nama CEPAT itu langsung tak cepat pun. Kami yang bertolak dari rumah mengikut Angah pada jam 7.00 pagi itu terlepas bas 8.30 pagi. Maklumlah pertama kali menggunakan perkhidmatan bas, setesen bas di BP tu dekat mana pun kami tak tahu. Menurut khidmat GPS, setesen bas yang paling dekat di Larkin. Gila! Tak kan nak pusing balik?

Tak apalah...pengalaman namanya tu...

Setelah kami temui terminal bas BP di Jalan Rogayah itu, kami pun cepat mencari kaunter yang menjual tiket bas ekspress. Selain jam 8.30 pagi...yang lelainnya pada jam 12.30 tengahari nanti. Cuma CEPAT express sahaja yang ada menawarkan waktu pada 11.30 pagi iaitu sejam lebih awal.

Oleh kerana Angah dan Huda terpaksa mengambil masa bekerjanya untuk menghantar kami ke situ, maka aku putuskan untuk menerima tawaran jam 11.30 pagi.

Bas yang sepatutnya bergerak jam 11.30 pagi itu, masih belum bergerak lagi pada waktunya dan kami yang berada di dalam dah macam kena kukus kepanasan.

Rupanya...air-cond bas tersebut mengalami kerosakan dan kami terpaksa menunggu sementara kerosakan itu dibaiki. Bas akhirnya meneruskan perjalanan pada jam 12.15 tengahari. Kami lega sekejap. Namun....

CEPAT express tu tak express rupanya...dia melalukan bandar Muar mengambil penumpang dan berhenti di Tangkak juga mengambil penumpang. Kalau nak singgah beli kain di bandar Tangkak tu pun masih sempat. Selepas dari situ baru CEPAT express menggunakan laluan lebuhraya.

Lepas dari berhenti di Tangkak tadi, kami sudah mula merasakan bahang kepanasan lagi. Pemandu sama merasa barangkali dan terus membuka laluan angin di bumbung bas.

CEPAT express kemudian masuk ke Terminal Bas di Seremban dan menurunkan ramai penumpang di situ. Perhentian berikutnya di Seksyen 18 di Shah Alam dan terakhir di Klang Sentral. Sampai juga kami akhirnya.
Amin.

Pengalaman hari itu menjadi tajuk perbualan kami anak beranak untuk beberapa hari. Aku tak kisah la kalau dia nak bawak pusing satu Malaysia pun....masalahnya CEPAT express pada hari tu penghawa dinginnya tak berfungsi dan tingkap pun tak dapat nak dibuka. Kami rasa macam terkurus setengah kilo. kot?

Junie Octovian: Pengalaman itu menjadikan kita lebih dewasa.

Journal Day 3




Di Pondok Indah ni, paginya sejuk sampai ke tulang hitam. Nak menggosok gigi pun segan. Macam berkomor dengan air yang berais rasanya. Kena pulak geraham bongsu bawah kanan ni dah mula berlaku gegaran...pergh! Macam terkena panahan petir.

Petang semalam sempat Kakak dan Adik bermain basketball sebelum menjelang senja. Cuaca pun tika itu dah okey sikit selepas berlakunya hujan renyai. Riuh rendah suara mereka yang bermain berdua sahaja itu...belum betul-betul ada team.           Bayangkan kalau satu team?

Dah penat melenting dan melompat, si Kakak masuk mengambil DELL. Dibawanya ke laman. ‘Dik! Kita practice tarian pulak?’

Si Adik hanya mengikut.

Lagu Salome dari Chayanne terdengar ke udara...mereka berdua beradik yang mengikuti kelas tarian bersama TJ Bayu di Extreme Fitness menari mengikut rentak. Sekata...memang cantik walaupun berdua sahaja kerana mungkin bentuk badan yang sama besar itu.

Aku jadi pemerhati...biarlah! Dalam hutan ni bukan ada sesiapa yang nak menonton. Syok sendiri aje la... ala-ala senamrobik di Dataran Merdeka gitu.

Memang seronok la...memang betul-betul bercuti namanya ni. Nak keluar ke pekan berdekatan pun kami tak ada transport kerana datang hari tu bersama Angah. Nasib baik stok makanan semua ada. Aktiviti aku berkisar dalam rumah sahaja...mengemas mana yang perlu, membuang mana yang patut. Menghadap computer riba dengan satu mug Nescafe panas selepas itu sambil sesekali mata mengerling ke  arah TV di ruang makan menunggu berita tentang gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun lima hari lalu.

Apa dibuat oleh si Kaka, Ogy dan Toby di Setia Impian tu sekarang? Kalau boleh call tanya kan bagus? 

Bayangkan.....

Kring! Kring! Kring! Kring!

Kaka berlari ke meja telefon.  Dengan menyandarkan sedikit badannya yang panjang itu dia mengangkat telefon. ‘Hello..’


‘Kaka...its momma..’

‘Yes momma...how is your holidays?’

‘Going well...just checking on the three of you.’

‘We’re doing good as well...but I’m afraid Ogy is going to give birth soon.’ Beritahu Kaka sambil sebelah tangan menggoyang-goyangkan ekornya yang panjang.

‘Don’t worry...uncle Toby is there to help. He’s experienced enough in handling such cases.’

‘Okay then...take your time and enjoy.’  Ujar Kaka lagi dan kali ini dia mencungkil gigi dengan kuku panjangnya yang dikeluarkan menyerupai mata kail. Mungkin terselit dengan biskut perisa Mackerel jenama Smartheart itu.

‘Yeah..thanks. By the way...make sure the house is well-kept until I get back.’

‘Yes momma...do not worry. We are your good Maine Coons.’ Beritahu Kaka lagi sambil mengangkat kening double-jerk ke arah yang dua ekor lagi.

Good Maine Coon eh? Aku ada pun rumah macam kena ribut...inikan pulak aku tak ada beberapa hari. Entah apa pulak yang terbalik dan pecah berderai agaknya. Isy! Aku goyang kepala beberapa kali memikirkan Kaka, Ogy dan Toby yang ku tinggalkan....

Junie Octovian: Bayangkan siri kartun Tom and Jerry... 

Journal Day 2

Assalamualaikum...

Di Pondok Indah ni, Angah guna perkhidmatan Maxis Broadband. Mujur la bila pergi kerja tak dibawaknya. Kalau tidak aku terpaksa guna manual untuk mengisi jurnal hari ini.

Benda alah yang satu ini terpaksa dikongsi bersama Kakak dan Adik pula. Makanya masing-masing pun sangat memerlukan. Entah ye...kekadang aku pun pelik juga. Mengapa sekarang ini benda alah ini amat perlu walhal kami dulu masih boleh hidup sampai sekarang tanpa benda alah yang dinamakan dengan ‘internet’ ini. Kalau dulu TV tu pun hanya sesetengah rumah sahaja yang ada...itupun dalam hitam putih.

Aku teringat suatu hari di rumah anak sulungku di Sri Hijauan, talian internetnya....masyaAllah...kura-kura yang melintas jalan tu pun laju. Di situ dah masuk kategori siput sedut...mak ai! Day after tomorrow pun belum tentu sampai. Memang tak dapek den nak nolongnya...

Masa mula-mula aku berhijrah ke Shah Alam dan tinggal dengannya......

‘Ma...esok kejut awal sikit eh? Abang Long ada meeting..’ Dia mengingatkan aku sebelum masuk tidur malam itu.

‘Okey...’ Aku menjawab panjang sambil menapak mendaki tangga naik ke atas. Abang Long memang pilih duduk bilik bahagian bawah yang dah diubahsuai ala opis. Sebab dia memang bekerja menghadap menatang tu.

Selepas bersolat subuh pagi itu aku turun pula mengejutkan dia sebab aku nak menghantar adiknya ke sekolah. Sekolah Menengah Kota Kemuning tu kebetulan tidak jauh dari rumah kami di Anggerik Aranda. Aku singgah di sebuah mini market dalam perjalanan pulang dan membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk dimasak hari itu. 


Abang Long yang bekerja di Anggerik Vanilla itu pula akan pulang untuk makan tengahari. Macam saja nak membangkitkan nostalgia...bila papanya tak ada, aku masih dalam tugas memasak tapi kali ini menguruskan anaknya pula.

Sampai di rumah, aku seperti biasa bersilat di dapur menyediakan juadah untuk sarapan paginya. Kalau tak sempat makan di rumah dia akan minta diisi dalam bekas untuk dijadikan bekal. Pagi itu aku masakkan Fried Tang Hoon kegemaran dia. Siap dihidang aku panggil dia untuk bersarapan, bimbang nanti terlambat pula. Kan dia dah beritahu dia ada meeting?

‘Abang Long! Cepat breakfast...kata ada meeting!’ Aku jerit memanggil.

Senyap.

Satu minit. Dua minit...tiga...empat...lima. Eh? Tidur balik ke budak ni? Aku yang sedang mencuci kuali di singki , berhenti dari meneruskan kerja. Aku menapak ke biliknya. Molek je dia tercatuk menghadap PC di bilik bawah tu...aku panggil tadi tak menjawab. Kurang asam!

‘Firdaous!’ aku panggil sambil ketuk pintu bilik itu mengejutkan dia.

Dia berpaling dan menjawab, ‘Ma..’

‘Breakfast...nanti lambat. Kata ada meeting.’ Aku mengingatkan.

‘Ni tengah meeting la ni..’

Aku yang dah berpusing nak menyambung balik kerja yang tergendala tadi terhenti langkah. Tengah meeting? Macam mana tu? Yang aku tau dulu semasa suamiku masih ada...kalau sebut meeting tu kena pergi opis...atau pergi entah mana-mana hotel mewah gitu.

Aku pusing balik dan tanya, ‘...meeting dari rumah pakai PC?’

‘Ha ah...habis ni nanti baru pergi opis.’ Dia menjawab tanpa memandangku.

Ooo gitu!

Sebab itu sekarang ni di rumahnya talian internet harus laju macam lipas kudung. Kalau ada masalah dengan talian di rumah, dia akan tinggal bertapa di opisnya sampai larut malam.

‘Ma! Dah ke belum?’ Suara Adik dah memanggil.

Junie Octovian: Sowie! Aku melamun kejap...sampai terlupa benda alah ni kami kena share.
See U again...wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...