March 12, 2011

The Incredible Kakak

'Ma! Tolong bukakkan pintu!' Suara Kakak menjerit dalam Nokia 73.

Aik? Aku belek skrin. 'Bukan tadi mama dah bukakkan pintu ke?' Memang kerja aku menunggu dia balik kerja selalunya. Hari ini tadi dia habis kerja pukul satu pagi dan aku yang bukakkan pintunya tadi. Ni apasal terjerit memanggil suruh bukak pintu balik?

'Akak dalam bilik air ni...terkunci, tak boleh bukak!' Suara dia menjerit terdengar nyaring dari Nokia N73 itu.

'Jap!' Aku pun sama menjerit sambil cepat turun dari katil. Jam di meja sisi katil aku kerling. Hah? Pukul 3.15 pagi? Ini macam kena rasuk dengan EMILY ROSE aje? Aku ke bilik air bahagian tengah itu lalu ku pulas tombol pintunya. Mak ai! Apa yang ketat sangat ni?

'Kak! Tak boleh la...' Aku sama terjerit kerana aku di luar dia pulak di dalam.

'Cepat la ma! Akak dah panas ni!'

Ai? Duduk dalam bilik air pun panas ke? 'Nanti mama cari screwdriver!' Aku berlari menuruni tangga. Laci kabinet bahagian bawah sekali aku tarik untuk mencari benda yang dimaksudkan. Kemudian berlari kembali ke atas setelah benda yang dikehendaki ku temui. Pagi itu aku jadi Mc Gyver kejap. Pulas punya pulas, cocok punya cocok masih tak boleh juga nak di buka. Aku toleh kiri kanan mencari idea.

'Kak cuba call Abang!' Aku jerit beritahu sebab dia ada henset bersamanya dalam bilik air itu. Dia memang jenis yang mandi sambil mendengar lagu.

'Tak cukup kredit! Mama la tolong call!'

Aku capai Nokia N73 dan menekan nombor anak sulungku.

'Kenapa ma?' Anak sulungku terus bertanya.

'Kakak terkurung dalam bilik air, dah try macam-macam tapi tak boleh nak dibukak.'

'Ma! Pecahkan aje pintu tu..' Bunyi suara menantu pula. 'Saya dah pernah terkurung macam tu...memang kena pecahkan aje pintunya.' Beritahu Natrah menantu sulungku.

Pecahkan? Gila! Pukul berapa ni?

'Abang cakap apa?' Tanya Kakak yang dah tak sabar menanti.

'Dia suruh pecahkan aje!'  Belum sempat aku nak ajak berbincang untuk mengatasi masalah itu, aku terdengar.

DUM!

Bunyi apa tu? Macam dari dalam bilik air ni aje?

DUM! Berbunyi lagi...memang jelas dan nyata, apatah lagi di dinihari begitu.

'Kak! Kau buat apa tu?' Aku bertanya sambil melekapkan telinga ke daun pintu.

DUM! Tapi kali ini bunyi itu serentak dengan sebuah penumbuk kanan. Mujur aku dah beralih dari situ. Kalau tidak mau penumbuk tadi tembus terus ke pipi aku. Huisy!

Selepas dapat mengeluarkan penumbuknya itu, dia mula mengopakkan papan pintu itu untuk mendapatkan ruang lebih lebar bagi meloloskan badannya keluar dari bilik air itu.

'Bolos saja dinding itu!' Aku teringat kata-kata Zizan Raja Lawak. Ketika itu aku lihat jam dah mencecah ke  angka 5 pagi.

Yang lain-lain pulang hujung minggu lihat pintu itu dengan menggelengkan kepala.

'Ini bukan kerja Incredible Hulk tapi Incredible Kakak.' Beritahu Angah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...